Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 17 Ogos 2018

Hitam-Hitam Si Tampuk Manggis - Bab 97


            Di  sebalik rimbunan yang tubuh subur. Di hadapan sebuah tasik yang tenang airnya.  Kelihatan burung-burung beraneka jenis terbang  dan bermain-main di gigi air.  Menerkam dan menangkap ikan yang bermain di dalam air tasek yang tenang dan damai itu.  Di tangannya ipad menjadi santapan mata. Memandang gambar yang tertera dengan juraian air mata. Gembirakah? Atau duka yang menyinggah di hati.  Dia menyeka air mata yang mengalir. Mencari kekuatan diri.  Kisah seminggu yang lalu menyinggah di fikiran.  Semakin lebat air matanya mengalir.

Seminggu yang lalu…

            Wajah Zaiton dan Hajah Sofiah yang datang bertandang di rumahnya di pandang lama.  Bagaikan tidak percaya kedua insan yang amat dikenalinya itu sanggup datang memujuk dirinya agar meninggalkan Dasuki dan melupakan lelaki itu kerana seorang gadis yang amat disayanginya, sudah dianggap seperti adik sendiri. 
            “Cik Weeda  ada segala-galanya, harta, pangkat dan rupa.  Tapi Rose tak ada apa-apa.  Hanya ada kami dan dirinya yang sering bernasib malang.  Tidak sanggup saya melihatnya menangis sendirian di kamarnya yang sepi memikirkan nasib diri.  Mencintai Abang Suki dalam diam, tidak pernah dilafazkan kepada sesiapa, melainkan diri saya,” luah Zaiton.
            “Ya Weeda, mak cik nampak renungan matanya, cara dia memandang Suki lain benar.  Hati tua ini berdetik, Rose simpan perasaan terhadap Suki, tetapi kerana dirinya, fizikalnya,  dia pendamkan rasa itu. Tak sanggup mak cik tengok dia, bila tengok kau dan Suki bernikah nanti,   sudi ke Weeda berkorban?”  Hajah Sofiah menunduk, terasa berat dan serba salah jadinya. Dia tidak mahu Rose hidup dalam angan-angan untuk mengapai cinta anak lelakinya.  Kalaulah dia ada anak lelaki lain, sudah pasti akan dinikahkan dengan  Rose.  Sayang seribu kali sayang, hanya Dasuki sahaja anaknya yang ada.
            Gila! Kedua-dua insan ini bagaikan sudah hilang akal agaknya. Mana mungkin dia meninggalkan lelaki yang telah berlabuh di hatinya?  Mana mungkin dia berkorban dalam soal seperti ini?  Nanti, siapa pula yang disalahkan?  Pasti buruk namanya dan nama kedua orang tuanya.  Weeda bingkas bangun dan berdiri di muka tingkap. Dia memandang jauh ke laman rumah yang bersih dan kemas.  Dahinya berkerut memikirkan masalah yang menerjah tanpa diduga.  Berat sungguh masalah yang mendatang.  Kesannya pasti terkena kepada seluruh keturunannya.
            “Mak cik rayu Weeda, kasihanilah Rose!”  pujuk Hajah Sofiah.
            “Rose tahu tak? Kalau dia tahu saya pasti, dia takkan setuju.  Mak cik dan Ton dah jatuhkan air mukanya.”  Weeda mengeluh berat.  Gadis itu terlalu menjaga maruah dirinya. Menyembah, meminta tolong dan merayu pada orang lain, bukan caranya.  Dia menyerah kehidupannya kepada ALLAH SWT.  Tidak pernah mengeluh dan tidak pernah kenal putus asa.  Semuanya dilalui dengan hati yang tabah dan kuat.  Kenapa kedua insan ini tidak memahami hati gadis itu?
            “Dia tak tahu Cik Weeda,  saya yang minta mak cik Sofiah bantu pujuk Cik Weeda. Kalau Cik Weeda keberatan, kami tak mampu nak buat apa-apa. Kami sekadar mencuba.” Zaiton mengeluh kesal.  Dia mendengar keluhan sahabatnya tentang perkahwinan Dasuki dan Weeda yang semakin dekat, biarpun dia suka, kelihatan gembira tetapi lelaki itu adalah yang dicintainya.  Rose pendamkan perasaan itu kerana sedar diri dan tidak mungkin lelaki itu akan memilih dia sebagai teman hidup.  Sesekali dia melihat Rose menangis seorang diri melihat kad perkahwinan yang ada di tangannya.  Tidak sanggup dia melihatnya.  Cik Weeda masih boleh jatuh cinta dengan lelaki lain, tetapi tidak Rose.  Tiada siapa yang sudi mengahwini gadis hitam manis itu. 
            “Baliklah! Saya takkan lakukannya mak cik, Ton.  Saya cintakan Dasuki.  Saya akan mengahwininya.  Keputusan saya muktamad.  Kalau kerana ini mak cik membenci saya, saya tak kisah.  Asalkan saya dapat menggembirakan  Dasuki dan mak cik.,” ujar Weeda dengan mata berkaca.  Berat sungguh permintaan mereka. Tidak mungkin dia sanggup melakukannya.
            “Kalau begitu, kami tidak mampu berbuat apa-apa.  Terima kasih kerana sudi mendengar luahan rasa hati kami,” kata Zaiton hiba.  Hatinya kecewa.  Percubaannya gagal. Misi tidak tertunai. 


***
Hari ini…
            Weeda mengesat air mata yang mengalir.  Melihat gambar bekas tunangnya menyarungkan cincin ke jari Rose membuatkan hatinya tersiat luka, dia sendiri yang meminta Zaiton menghantar gambar-gambar itu.   Hati siapa yang tidak pedih, bohonglah dia tidak terasa dan tidak kecewa.  Hiba mengasak dalam hati, menyuburkan duka dalam diri.  Kepada kedua orang tuanya sudah diperjelaskan akan tindakannya.  Jangan lagi ada yang bertanya kenapa dia bertindak di luar kotak fikiran.  Bukan sengaja, atau terpaksa.  Dia rela demi melihat gadis yang sudah dianggap seperti adik sendiri itu hidup bahagia.  Biarpun mereka baharu sahaja berkenalan dan tidak lama mengenal hati budi masing-masing, tetapi melihat diri gadis itu membuatkan hatinya sering dibalut rasa sedih yang tidak kunjung padam. 
            Dia boleh mencari kebahagian di tempat lain, mungkin sudah tertulis, jodohnya bukan dengan Dasuki, biarpun mereka saling mencintai.  Bercinta tidak semestinya sehingga ke jinjang pelamin.  Burung-burung camar berterbangan ke udara bila di sergah oleh sekumpulan anak-anak yang sedang bermain di gigi air.  Terjerit-jerit mereka menghalau burung-burung itu terbang pergi.  Ketawa dan gembira tiada batasannya pada mereka. Indahnya zaman kanak-kanak.  Weeda bingkas bangun.  Sudah beberapa hari dia berada di bumi matahari terbit ini.  Dia akan sambung belajar mungkin perlahan-lahan akan cari calon suami yang boleh menerima diri seadannya.  Dia akan terus berdoa, agar kedua-dua orang yang disayanginya itu berbahagia sehingga ke syurga.  Apa lagi yang lebih bererti dalam hidup selain melihat orang yang dicintai dan disayangi  menyulam bahagia bersama.  Semoga kebahagiaan itu milik mereka.  Dia?  Pasti ada kebahagian lain yang sedang menunggunya.

Tiada ulasan:

Catat Komen