Selasa, 11 Februari 2014

ULASAN BAHASA DI DALAM KARYA KABUS RINDU - ASMAH HASHIM









ULASAN  BAHASA DALAM KARYA KABUS RINDU
            Saya berbangsa melayu dan sememangnya bercakap bahasa melayu. Menjadi petuturan rasmi di rumah atau bersama kawan-kawan.  Dalam sesebuah karya gaya bahasa adalah antara perkara penting dan amat diteliti oleh para penulis, editor dan pembaca.  Ada yang suka membaca novel  yang mempunyai bahasa yang mudah difahami dan mudah dimengertikan.    Tidak kurang juga membaca gaya bahasa yang mempunyai unsur-unsur humor dan mampu membuat para pembaca tersenyum sendiri, lenggok bahasanya terpulang kepada kreativi para penulis tersebut.   Gaya  bahasa yang baik mampu menarik jiwa pembaca mendekati karya tersebut bermula daripada dalam diri mereka sendiri.  Emosi, perasaan akan dipengerahui oleh gaya bahasa yang mampu  menganggu gugat perasaan pembaca.
            Dengan penggunaan ayat yang menarik atau boleh dikatakan dengan gaya bahasa yang menarik pembaca dapat menghayati jalan cerita sesuatu karya tersebut.  Saya beri satu contoh :-  Dia  teramat rindu kepada kekasihnya – ayat memberitahu bahawa ‘dia’ rindu kekasihnya jika ayat begini pula ditulis oleh penulis:-  Terasa sesak dadanya menahan getar rindu yang mencengkam jiwa, mencengkam sanubari bagaikan tidak terluah dengan kata-kata, kerinduan yang mampu meruntuhkan jantungnya.  Ayat seperti ini akan menarik pembaca untuk terus membaca dan menghayati jalan cerita sehingga selesai.
            Sejak akhir-akhir ini kita melihat bahasa yang bercampur aduk antara English dan B. Malaysia dipergunakan dengan meluasnya.  Ada juga pihak yang berpendapat itulah gaya bahasa yang diguna pakai oleh ramai orang di luar sana sebagai contoh:-

“I suka berkawan dengan you, tapi so far I lebih suka kita hanya menjadi kawan baik sahaja.”
Banyak  gaya bahasa ini kita jumpa di dalam karya popular terkini. Bagaikan satu ikutan sehingga semua orang ingin menulis seperti ini.  Katakan kisah itu dibuat di luar negara maka  watak itu perlu  bercakap dengan bahasa English, dibolehkan jika digarap sepenuhnya dalam bahasa English dan tidak bercampur aduk contoh:-

“I love you so much.”
Gaya  bahasa seperti ini dibolehkan dalam erti kata lain kita menghormati stuktur ayat dan bahasa itu sendiri.  Jangan kita jadi pencemar bahasa dalam merealisasikan impian kita sebagai penulis.  Hormati kesucian bahasa ibunda agar kita menjadi manusia yang tahu menghargai bahasa itu sendiri.  Pelacuran bahasa yang semakin menjadi-jadi harus dihentikan agar tidak lahir bangsa yang tidak tahu menghargai bahasa kita sendiri. Rasanya mat salleh di luar sanapun akan ketawa berdekah-dekah melihat gaya bahasa kita di dalam karya.  Ditambah dengan tajuk yang rata-rata sekarang ini memilih untuk diEnglishkan.  Saya pasti para pembaca dan peminat buku berbangsa mat salleh ini pasti terkejut melihat tajuk di luar bahasa mereka tetapi isi di dalam karya tersebut terang-terangan bahasa melayu.  Salah siapa?  Persoalan yang tidak mampu kita jawab kerana tanggungjawab itu terletak di bahu kita sendiri, tepuk dada tanya selera ke mana arah karya kita itu.  Banggakah kita menjadi perosak bahasa sendiri? Rasa rasa kita sendiri tidak pernah melihat novel English bertajuk bahasa Jepun atau Perancis misalnya.  Kenapa kita pula beriya-iya ingin mengekalkan tajuk menggunakan bahasa asing?  Di mana letaknya keistimewaan karya tersebut.  Lainlah jika kita benar-benar menulis karya berbahasa asing.
            Bahasa Melayu mempunyai pembendaharaan kata yang begitu banyak sehingga ada yang jarang kita dengar sama sekali.  Kenapa tidak dicari dan digali agar sesuai dengan jalan cerita yang kita garapkan itu. Dahulu karya-karya yang ditulis oleh penulis dahulu mempunyai tajuk yang indah dan menarik dan yang penting semuanya dalam Bahasa Malaysia.  Kenapa tidak dikekalkan terus?  Terhinakah kita jika tajuk novel kita berbahasa Malaysia?  Atau jatuhkah martabat kita  jika  karya kita langsung tiada bahasa English diselitkan di dalamnya. 
            Begitu juga jika di dalam karya yang bercakap adalah anak orang kaya dan berada sudah tentu penggunaan I, You begitu berluas-luasa seolah-olah, aku, kau dan saya tidak indah diucapkan.  Bagi saya orang yang paling banyak merosakkan bahasa di dalam percakapan adalah  mereka yang bergelar orang kaya ini.  Sehinggakan ada yang beranggapan semua orang kaya perlu bercakap seperti itu di dalam karya.  Sebagai penulis kita bukan sahaja menjadi pembaca cerita tetapi juga membetulkan apa yang salah di dalam masyarakat, dalam erti kata mendidik mereka tanpa disedari oleh kita sendiri.  Membetulkan kembali apa yang salah.  Jika ingin memaparkan orang kaya itu pandai berbahasa English, biarlah bercakap dengan ayat yang betul, grammer yang tepat.  Supaya kita tidak diketawakan kerana kejahilan diri sendiri.
            Bercakap soal bahasa jugalah membuatkan saya terpanggil untuk mencoretkan catatan ini.  Gaya bahasa di dalam sebuah karya Kabus Rindu.

            
Monalita Mansor muncul kembali setelah sekian lama menyepi diri dalam dunia penulisan.     Hobinya suka membaca.  Buku pertama yang beliau baca adalah Panji  Semerang sewaktu berumur 8 tahun.   Mula berkarya di dalam majalah Media Hiburan yang memberi ruang kepada sesiapa sahaja mencoretkan apa yang dirasa.  Seorang yang berani, menghantar karya ke Dewan Sastera walaupun tidak tersiar namun diberi peluang untuk mendalami ilmu penulisan  pada tahun 1991 Minggu Penulis Remaja.  Dari situ beliau mengatur langkah.   Cerpen beliau terpilih antara 5 cerpen terbaik memenangi Hadiah Sastera Siswa. Kini beliau kembali selepas dua buah novel bersama Creative Enterprise.  Karya beliau dengan Elee Mardhiana Publication setelah  17 tahun menyepikan diri.   KABUS RINDU adalah karya terbaharu beliau.

            Tidak pernah terfikir diakal saya akan membaca dua karya dalam satu naskah.  Satu kisah di zaman moden dan satu lagi di zaman purbakala.  Pada pendapat saya penulis ini telah berjaya mengarap  dua bahasa yang menarik dan  unik dalam satu karya.  Mudah menulis bahasa santai tetapi tidak mudah mengarap karya dalam bahasa melayu klasik yang kadangkala kalau tidak pandai sukar untuk dimengertikan.
            Kenapa saya kata ada dua gaya bahasa di dalam karya ini.  Cuba lihat contoh-contoh yang akan saya berikan di bawah ini:-
            Maka tersebutlah  pula kisah Putera Indera Laksamana.  Bertitahlah baginda kepada Panglima Awang Gagah. Panglima Awang Gagah itu  yang terbilang di seluruh negeri hingga mendengar ke Benua Kecil Hindi.  Pangila Awang yang  kepalang gagah itu berkata;
            Bertempur tiga hari tiga malam,
            Keris dan panah menalang hingga ke sum-sum,
            Tak lut konon kalam,
            Kerana jasad bersendi hukum.
            Bertitahlah Putera Indera Laksamana kepada Panglima Awang Gagah yang juga sahabatnya itu agar menyiapkan geliung berserta awak-awaknya kerana baginda hendak belayar.  Adapun Putera Indera Laksamana terlalu ingin melihat rupa tanah bumi orang sebelah sana. Dikata orang, disuluh bulan cahaya menyimbag ke langit.  Disuluh suria terang seluruh buana.
            Arakian didengar sahaja Tuanku Seri Alam Keramat akan hajat anakanda putera pengarang jantung maka dikhabarkan kepada bondanya, Tuanku Permaisuri Cahaya Bulan.  Bertangisan kedua laki isteri itu mengenangkan nasib  hendak ditinggalkan putera. Dipanggil segala orang-orang besar ke peseban dan dikhabarkan oleh Tuanku Seri Alam Keramat akan hajat Putera Indera Laksamana itu.(  bab 2, perenggan 2i, muka surat 33/34)
            Penulis juga memasukkan syair ke dalam karya ini.

            Ayuhai kawan inilah sabda,
            Yusuf yang tampan empunyai cerita,
            Bulan dan bintang sujud kepadanya,
            Terbitlah walang ayahanda tercinta.

            Berperi ayahanda waspada  anakanda
            Syaitan sentiasa bersiap  siaga
            Kepada  saudara jangan diberita
            Kelak celaka badan binasa

            Yusuf itu nabi pilihan,
            Mentakwil mimpi itulah kelebihan,
            Janganlah manusia buruk perasaan,
            Janji  ALLAH bukan tandingan,

            Hasad  dengki jangan dilayan,
            Putus kasih dengan  kesayangan,
            Syaitan pula main peranan,
            Terkorban Yusuf dalam buangan.
            (Bab 4, muka surat  57/58)

Berbagai gaya bahasa akan kita jumpa.  Puisi turut diselitkan dengan bahasa dialek Minang atau pun Negeri Sembilan.
            Nagari aman, kampueng santoso,
            Padi masak, jagueng manjadi,
            Taranak bakambang biak,
            Bapak kayo, mande batueh,
            Mamak dihurmati urang pulo.
            (Bab 6, muka surat 87)

            Itu adalah antara contoh-contoh gaya bahasa yang akan kita jumpa jika kita membaca karya ini.  Novel ini akan menjadi khazanah bangsa kerana nilai bahasa yang terdapat di dalamnya.    Bukan hanya di bab awal kita jumpa gaya bahasa klasik malah dibab-bab seterusnya sehingga habis.
 
            Tahniah kepada Puan Monalita Mansor kerana mampu menghasilkan karya yang bermutu.  Walaupun ceritanya biasa-biasa sahaja tetapi gaya bahasa membezakannya dengan karya penulis lain.
            Kepada para penulis atau mereka yang sedang belajar menulis.  Carilah karya bermutu dan belajar cara garapan bahasa di dalam karya tersebut. Tidak perlu menjadi sasterawan negara baharulah kita hendak menggunakan Bahasa Malaysia Standard di dalam karya.  Kita mampu mengubah keadaan jika kita bersama-sama para penerbit, dan editor benar-benar bersatu hati untuk memartabatkan bahasa sendiri.  Tidak Melayu Hilang di dunia namun  tidak mustahil bahasa kita pupus dan hilang kerana kejahilan dan kesombongan kita sendiri. Berbalik kepada akarnya kita rawat dan ubat pasti pokoknya tumbuh subur dan segar. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan