Ahad, 15 Februari 2015

Bukan Mudah Bergelar Penulis









Sukarnya untuk  bergelar penulis?  Bagi saya memang sukar dan bukan jalan yang mudah. Banyak onak dan duri terpaksa ditempuhi sebelum mampu berdiri kukuh.  Bagaikan bayi yang baharu lahir, perlu melalui proses, menyiarap, menjulur, duduk, merangkak dan baharulah berjalan.  Begitu juga diri saya.  Masih ingat lagi pengalaman pertama saya menghantar manuskrip pertama saya yang tebalnya hanya 150 muka surat.  Ketika itu saya tiada langsung ilmu tentang penulisan novel.  Hanya menghasilkan  cerpen.  Cerpen pun tersiar setelah saya mengikuti kelas.  Baharulah saya sedar, jika ingin menjadi apa pun, perlu ada ilmu dalam bidang yang ingin diceburi.  Bukan hanya berangan dalam hati dan mengetuk huruf-huruf di komputer membentuk perkataan seterusnya menjadi ayat.

Saya tahu ramai penulis baharu kecewa ketika karya atau manuskrip ditolak, ada yang tidak mahu menulis lagi. Tidak kurang yang menyalahkan syarikat atau editor yang menolak karya tersebut.  Dalam hati kita sendiri, berasakan karya kita itu sudah terbaik, mana mempersoalkan  kenapa ia ditolak.  Pelbagai persoalan bermain difikiran.  Bagi sesetengah syarikat penerbitan yang menolak karya kita, pasti akan diiringi dengan surat penolakan dan ada juga yang menulis kenapa karya tersebut ditolak. 

Manuskrip pertama saya hantar pada tahun 1999 ke Karangkraf, kemudian dipulangkan semula, kerana tidak cukup tebal.  Saya tidak tahu bahawasanya, manuskrip novel perlu setebal 400 ke atas.  Saya tidak putus asa.  Manuskrip itu saya tambah dan kembangkan menjadi 400 muka surat seperti yang diminta oleh pihak Karangkraf.  Saya hantar semula pada tahun 2000, menunggu dua bulan baharulah mendapat jawapan yang pasti mengecewakan.  Manuskrip saya ditolak.  Hati benar-benar kecewa, bohonglah jika saya cakap tidak kecewa, hancur, lebur sehingga terdetik tidak mahu menulis lagi.  Masih saya ingat lagi antara komen Dr. H. M. Tuah dalam suratnya itu.  Kalaulah masih ada surat tersebut sudah pasti akan saya kongsikan dengan  rakan-rakan yang minat menulis.

Antara komen pihak Karangkraf

1) Mereka  tidak keluarkan jalan cerita berbentuk Biografi-

jawapan saya : tidak dinafikan manuskrip itu bermula daripada heroinnya bersekolah, sehinggalah sudah bekerja.

2) Jalan cerita tidak kuat –

Jawapan saya : Kisah kahwin paksa yang tiada isu dan motif. Memang layak ditolak.
3)  Banyak kesalahan tanda bacaan dan tatabahasa -

Jawapan saya : kesalahan diri sendiri.

Kepada adik-adik semua, jika karya kita ditolak oleh sesebuah syarikat atau editor, janganlah marah atau menyindir atau  mengeluarkan perkataan yang mampu menguriskan hati orang lain.  Bukanlah saya berasa diri saya baik.   Sewaktu karya saya ditolak oleh pihak Karangkraf, saya telah menelefon Dr. H. M Tuah dan mengucapkan terima kasih, sedar akan kelemahan diri saya, malah beliau menasihati saya untuk cuba ke syarikat lain.  Saya akur.  Sejak itu saya tidak pernah berangan lagi  hendak menjadi penulis novel.  Berpuas hati dengan hanya menjadi penulis cerpen.

Tahun 2011 saya menghantar manuskrip SESALAN TIDAK TERUCAP, ke sebuah rumah penerbitan yang masih baharu yang dikenalkan oleh seorang kawan penulis buku kanak-kanak.  Dengan rasa berkobar-kobar mencuba nasib.  Tahun 2012 mendapat jawapan manuskrip itu ditolak kerana pihak  karya itu tidak menepati sasaran pembaca syarikat tersebut.  Kecewa?  Memanglah kecewa.  Hanya sebab yang kecil sahaja, kan?  Tapi akak tak marah, malah mengucapkan terima kasih kepada ketua editor syarikat tersebut.

Pada tahun yang sama juga, saya bertungkus-lumus menyiapkan naskah yang sama, yang pernah ditolak dan mula paparkan di wall grup penulisan.  Waktu itu ramai yang membantu dan mencantikkan  manuskrip tersebut.  Banyak perubahan saya lakukan sehingga karya pertama saya itu tampak menarik.  Awal 2013, dengan berani dan cuba meyakinkan diri sendiri,  saya meminta bantuan suami untuk menghantar manuskrip SESALAN TIDAK TERUCAP  ke Syarikat Penerbitan Karangkraf.  Rumah penerbitan yang pernah dua kali menolak manuskrip saya.   Alhamdulillah, mungkin rezeki saya ketika usia meniti 40-an, dan berkat saya mengasuh anak yatim.   Manuskrip itu diterima.  Hanya ALLAH jua yang tahu apa yang bermain difikiran ketika itu.  Teruja, gembira, riang dan terlahirlah pelbagai rasa yang tidak tergambarkan oleh akal.  Siapalah yang tidak gembira.  Pucuk dicita, ulam mendatang.  Impian bakal menjadi kenyataan.  Terasa hendak melompat dari Gunung tertinggi di dunia.  Rasa ingin khabarkan kepada umum, bahawa diri ini bakal bergelar NOVELIS.  Kalau tidak percaya, tanyakan kepada mereka yang pernah mengalami situasi ini.

Alhamdulillah, akhirnya SESALAN TIDAK TERUCAP ditukar tajuknya menjadi AKU TURUT BAHAGIA.  Karya yang dekat dengan diri dan hati.  Saya tulis daripada hati sendiri melihat keadaan kawan yang berpoligami.  Walaupun sambutannya kurang memberangsangkan, namun itu bukan penyebab untuk saya menyimpan jari,  berhenti mengetup  papan kekunci.  Saya akan terus menulis dan menulis selagi akal sihat dan kuat.  Kemudian lahir karya kedua, TOLONG CARI SUAMIKU pada tahun 2014. 

Satu lagi pengalaman yang ingin saya kongsikan.  Ketika karya saya ditolak, dalam hati saya terlintas sesuatu, agaknya jika menang apa-apa pertandingan, maka baharulah karya itu dipandang orang dan dicetak.  Itulah yang sering saya fikirkan, sehinggakan pantang ada mana-mana pertandingan penulisan, semuanya saya sertai, hatta  menulis skrip, sedangkan ketika itu ilmu langsung tiada.  Semuanya ditolak dan tidak pernah dapat tempat pun.  Sampai sekarang saya beranggapan begitu.  2013, saya masuk pertandingan menulis novel remaja anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka.  Alhamdulillan keputusan diberitahu pada tahun 2014, saya sendiri sudah lupa, yang saya ada hantar manuskrip saya ke pertandingan tersebut.  Manuskrip dengan tajuk asal SEBUAH KEHIDUPAN, menang tempat kedua.  Alhamdulillah, satu lagi hadiah manis buat diri sendiri selama bergelar penulis. 

Kepada adik-adik yang baharu mencuba nasib, bercita-cita ingin menjadi penulis.  Jangan sesekali menempelak, marah atau menyindir syarikat penerbitan dan editor yang menolak karya kita itu. Mungkin ada kekurangan di mana-mana. Kita terima dengan hati yang terbuka.  Penulis yang baik yang boleh menerima teguran daripada  mana-mana pihak terutama editor dan penerbit.  Mereka punya hak untuk menolak karya kita.  Setiap penerbit punya etika mereka tersendiri.  Untuk menjadi  penulis yang cemerlang, gemilang dan terbilang, teguran daripada orang lain adalah yang terbaik untuk memperbaiki penulisan dan diri sendiri. Jangan buat musuh dengan syarikat penerbitan atau editor, kerana suatu hari ini, kita akan memerlukan mereka. Percayalah.  Buktinya saya sendiri, walaupun pernah ditolak oleh Syarikat Karangkraf, saya masih lagi menghantar manuskrip ke rumah penerbitan itu dan akhirnya diterima.  Jadi, berhati-hatilah ketika berkata-kata, bertindaklah gunakan akal yang waras.  Marah, geram dan kecewa, simpan sahaja di hati.  Pertingkatkan diri dan prestasi, agar kejayaan menanti kita suatu hari nanti.  Bersabar dan teruslah berusaha, kerana orang yang ikhlas dan  tidak kenal putus asa, pasti  berjaya.




3 ulasan:

  1. Sis asmah sungguh membantu entry ini...terima kasih kongsi pengalaman

    BalasPadam
  2. Saya pernah mengalami perkara yg sama seperti sis ... ITU bukanlah penghujung untuk berkarya. In shaa Allah... doakan juga saya berjaya.

    BalasPadam
  3. nilai sebuah kejayaan pada lelahnya usaha

    BalasPadam