Selasa, 3 Mac 2015

KE MANA ARAH TUJU?





Gambar kredit - Cikgu Ana Zaidi.
                SPM, STAM, STPM, O Level semuanya sudah keluar dan anak-anak telah mendapatkan keputusan masing-masing.  Kepada yang cemerlang tahniah diucapkan.  Kepada yang kurang bernasib baik, kenalah muhasabah diri.  Di mana kekurangan, kenapa kita tidak berjaya dan kawan sekelas kita berjaya?  Tepuk dada tanya usaha.  Setakat mana kita berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Usaha kita bukan hanya dengan membaca buku atau mula belajar sejak di tingkatan 1 lagi.  Selain membaca, buat latih tubi, masuk kelas tuisyen.  Usaha yang paling utama adalah doa, dan menjaga hubungan kita dengan ALLAH SWT. Solat jangan lupa, doa jangan berhenti.  Kunci utama adalah menjaga hubungan kita dengan kedua orang tua dan juga dengan guru yang telah mencurahkan ilmu kepada kita.  Bagaimana dan setakat mana kita menghormati mereka?   Hormatilah  dan sayangi guru adik-adik, kerana tanpa mereka adik-adik tidak akan berjaya di hari ini.
                Setelah mendapat keputusan, mulalah ayah, ibu dan adik-adik sendiri sibuk mencari universiti dan kos yang sesuai dengan minat dan kelulusan.  Ada yang tahu hendak belajar apa, minat pada bidang apa dan hendak jadi apa.  Kepada yang tidak tahu, masih tercari-cari, tentu pening memikirkan kos yang sesuai dengan diri sendiri.  Jangan tergopoh-gapah membuat keputusan.  Setelah mendapat keputusan dan tidak tahu bidang apa yang hendak dipilih, hendaklah bertanya dengan kedua orang tua atau rujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang ini.  Bertanyalah tentang kerjaya bidang yang kita akan pilih.  Pengetahuan tentang sesuatu bidang itu perlu agar kita faham apa yang kita pelajari sepanjang berada di universiti nanti. 
                Cenderung kita ke arah mana?  Minat melukis, bidang seni, minat memasak, minat bersukan atau minat bermain dengan angka.  Jangan terlalu bergantung kepada keputusan orang lain.  Mungkin minat seseorang itu tidak sama.  Kita pilih mengikut kerjaya yang ingin kita ceburi.  Jika tersalah pilih bidang yang hendak kita terokai, takut-takut terkandas di tengah jalan.  Ada universiti akan mengeluarkan pelajarnya jika di semester pertama tidak mendapat GPA  1.50 ke bawah.  Paling penting dan pastikan kita benar-benar minat dengan bidang yang akan kita ambil.  Jangan sia-siakan masa, peluang dan ruang yang ada.  Jangan leka  berpacaran sehingga mengabaikan pelajaran.  Masa itu akan tiba jua.  Tumpukan perhatian mengejar impian dan minat dahulu, usai belajar, baharulah fikir untuk mencari jodoh. Kalau sudah sampai serunya, pastikan kedua-duanya mampu mengapai bintang.  Pilihan di tangan kita.  Kehidupan kita, kitalah yang menentukannya. 
                Ketika di universiti, jangan lalai dan leka.  Peluang yang ada begitu amat berharga.  Kejarlah kejayaan untuk masa hadapan sendiri, balaslah jasa kedua orang tua dengan segulung sijil yang amat bermakna.  Jangan berfoya-foya waktu dan ketika sedang belajar.  Hanya singkat sahaja kita terpaksa bergelumang dengan nota dan tesis.  Panjang lagi masa untuk kita di luar sana dalam alam pekerjaan.  Keputusan yang baik terletak setakat mana usaha kita.  Setakat mana kita menjaga hubungan baik dengan ALLAH, kedua orang tua dan juga dengan pensyarah/ guru yang telah menurunkan ilmu kepada kita. Pilihlah bidang yang amat kita sukai, jika tiada pilihan, pilihlah kerana kita rasa mampu membawanya.  Semoga adik-adik terus berjaya  di dunia dan akhirat. 
               

Tiada ulasan:

Catat Ulasan