Selasa, 29 September 2015

REUNION



Kredit: Gambar Kumpulan Artis Penjuru Alam sewaktu perkahwinan anak salah seorang bekas ahli.




                Berpuluh tahun tidak bertemu.  Setelah habis waktu sekolah, masing-masing membawa diri.  Ketika zaman 80-an tidak ada telefon bimbit seperti hari ini.  Yang ada hanyalah telefon awam atau telefon rumah. Tetapi bukan semua mampu masukkan talian telefon di rumah.  Hanya keluarga yang  berkemampuan sahaja yang mampu ada telefon di rumah.  Berbalik kepada perpisahan kita dengan rakan-rakan sekolah.  Dengan cinta hati yang ala-ala cinta monyet itu berlalu pergi.  Kita lupakan zaman sekolah.  Kita mula mencari tapak untuk menyambung pelajaran. Ada yang terus bekerja kerana keputusan SPM hanya cukup-cukup makan dan kelulusan tidak membolehkan untuk menyambung pelajaran semula.  Tidak kurang juga yang berumah tangga.  Biasanya si gadislah.  Alhamdulillah jodoh sudah sampai.
                Hari ini, teknologi semakin berkembang pesat.  Dengan adanya telefon bimbit, internet kita sudah mula melangkah lebih jauh. Ada FB pula itu, di sinilah bermulanya pertemuan semula dengan rakan-rakan sekolah lama yang satu waktu dahulu kita sudah hampir melupakannya.  Bukan tidak ingat, tetapi tiada kuasa untuk mencari mereka.   Hendak cari di mana? Rupa-rupanya kawan-kawan kita sudah bertebaran di muka bumi ini.  Ada yang tinggal di Johor, Kelantan dan tidak kurang juga tinggal berdekatan. Perubahan wajah kerana  faktor usia telah menyebabkan kita saling tidak mengenali hatta terlanggar bahu sekalipun.  Bermula dengan pertemuan dengan seorang kawan lama, akhirnya kita hampir dapat mengumpulkan semua rakan-rakan sekolah kita dahulu.  Tentulah kita tersenyum bahagia, terbayangkan wajah masing-masing waktu zaman sekolah dahulu.

                Ingin benar kita tahu akan cerita kawan-kawan kita itu. Apa pekerjaan mereka, siapa isteri mereka, tinggal di mana dan berapa orang anak.  Persoalan itu akan bermain dibenak kita selagi kita tidak bertemu semula dengan rakan-rakan kita itu.  Hati melonjak riang, kita mula menubuhkan jawatankuasa untuk membina semula silaturahim yang terputus sekian lama.  Ada juga rakan sekolah kita berkahwin dengan rakan satu sekolah. Kita tumpang bahagia.
                Dalam mencari rakan lama, rakan sekolah, satu kelas, satu pasukan pakaian seragam dahulu, jangan pula kita mencari cinta monyet kita.  Ada juga yang kembali menyambung kisah dan kasih lama biarpun masing-masing sudah berkeluarga.   Bahayalah kalau seperti itu.  Pertemuan semula bukan untuk melakar duka dalam rumah tangga kita sendiri.  Lupakan cinta monyet atau cinta yang tidak kesampaian itu kerana yang berada bersama kita itulah cinta hati kita yang sebenar-benarnya.  Kalau pun teman sebantal kita itu ada kekurangan diri, usahlah dipandang sangat atau diungkit-ungkit, kajilah kelebihan yang ada pada dirinya.  Kekasih atau cinta monyet kita pun bukan hebat mana.  Baharu bertemu kembali, semuanya indah belaka.  Kita tengok senyumannya dahulu dan sekarang tidak berubah. Hati kita mula berbunga mekar.  Kalau itu terjadi, cepat-cepatlah nyah perasaan yang menyinggah.  Itu permainan syaitan.  Reunion diadakan semula cuma satu sahaja tujuannya, untuk kita menyambung silaturahim yang terputus. Bukan tempat menyambung kasih yang tidak kesampaian. Ingatlah, rakan kita itu sudah ada isteri, suami dan anak-anak.  Sebagai rakan lama kita doakan kebahagian mereka.  Itulah yang terbaik sebenarnya. 
                Semoga pertemuan semula dengan rakan sekolah, baik dari sekolah rendah, menengah, di universiti atau di tempat kerja, tujuannya hanya satu, agar kita saling berkenalan semula, merapatkan ukhwah dan hidup bagaikan sebuah keluarga yang besar.  Semoga juga pertemuan semula akan mengeratkan lagi hubungan yang sudah lama terputus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan