Diliriknya kawasan khemah yang kelihatan
terang benderang di laman masjid. Berbalam-balam dipenglihatannya. Ternyata masih ada penyewa yang sedang
menyusun barangan jualan mereka di bawah
khemah yang disediakan dan saling berbincang.
Mesti ada perkara penting sehingga tidak mampu menunggu sehingga esok,
fikirnya lagi. Ummu Salamah menuju ke
keretanya yang terletak tidak berapa jauh dari pintu utama pejabatnya. Syukur Alhamdulllah untuk majlis itu akan
berjalan dengan jayanya. Segala masalah
yang bertandang pada siang tadi sudah diselesaikan satu persatu. Segala urusan berjalan lancar tanpa ada satu
pun yang tinggal. Hebatkah dia dan
rakan-rakan seperjuangannya seperti Imah dan Azizah yang turut bertungkus lumus
untuk menjayakannya. Tidak, mereka
tidak hebat. ALLAH jua yang hebat. Mereka hanya mengikut gerak hati melakukan
segala tugasan selain meminta kekuatan daripada ALLAH SWT. Masalah bas, katering tempat tinggal para
peserta bengkel sudah selesai semuanya.
Alhamdulillah. Sekumpulan
sukarelawan masjid terdiri daripada
guru-guru KAFA yang mengajar di
masjid tersebut dan para ahli jawatankuasa muslimat sudah bersedia untuk
membantu esok. Biarlah semua para
pekerjanya bercuti, terbukti ALLAH SWT akan menghantar orang lain untuk
membantunya. Orang yang lebih baik
daripada yang sengaja mengambil cuti itu, pastinya.
Dia
semakin hampir dengan keretanya.
Kereta Proton Waja berwarna
jingga itu setia menanti, hendak ke mana jika tidak dipandu pergi. Ummu Salamah tersenyum sendiri. Kaki kirinya menyapa lantai perut kereta. Kunci dimasukkan, dia menghidupkan enjin
kereta. Gear dimasukkan, brek tangan
dilepaskan. Minyak ditekan dan kereta
meluncur perlahan keluar dari perkarangan masjid. Pernafasan cuba dikawal dengan degup
jantungnya yang seperti cuba memberitahu sesuatu yang buruk akan berlaku. Kebimbangan yang entah apa menerpa lagi. Keraguan pada sesuatu yang entah apa juga,
mencengkam di sanubarinya. Dia perlu
yakin terhadap diri sendiri. Tidak boleh
kalah. Semoga ALLAH permudahkan segala
urusan, aamin.
Biar
apa pun perasaannya kereta itu tetap
dipandu perlahan. Lampu jalan menerangi
setiap laluannya, memberi sedikit ketenangan di hati. Memberi sedikit pencerahan di pandangan mata
ketika menyusuri jalan yang ditelan kegelapan malam. Ternyata setelah dinihari begini, tiada sebarang kenderaan
yang melalui jalan tersebut. Hanya
sesekali bertembung dengan kenderaa yang dipecut laju menuju ke destinasi
masing-masing. Hatinya semakin
berdebar, tidak sabar-sabar di mahu segera sampai di rumahnya yang tidak berapa
jauh dari masjid. Degup jantung itu
pasti akan kembali reda, setibanya di kuaters hunian keluarganya yang
disediakan khas untuk para pekerja karyawan masjid yang memudahkan dia berulang alik ke tempat
kerja dan selesa. Lebih-lebih lagi
apabila dia sering pulang lewat dinihari begini, kiranya keputusan tinggal di
situ diambil adalah tepat; demi keselamatan diri sendiri. Tambahan pula
bukankah suaminya yang mencadangkan begitu, apabila melihat dia yang
terpaksa memandu jauh dari rumah yang mereka huni dahulu untuk ke Masjid An-
Nur. Dia akur dan setuju mengikut nasihat yang diberi. Ya, pasti degupan jantungnya akan kembali
seperti biasa, apabila berada di kalangan ahli keluarga tercinta. Selamat dan tenang.
Dengan
cermat kereta diparkir di hadapan rumah
yang terang di anjungnya. Rumah teres
dua tingkat, biasa sahaja namun cukup sempurna di hatinya. Dahinya berkerut apabila melihat ruang tamu
masih terang benderang. Semakin berdegup
jantungnya. Semakin berdebar hatinya
Suaminya belum tidur lagikah? Anak-anak,
Shahirah, Aishah dan Adam masih
berjagakah? Ummu Salamah membuka daun
pintu yang tidak berkunci.
“Baru
balik? Sudah pukul berapa? Tidak tahu bezakankah, antara siang dengan
malam?” tempelak seseorang dari arah ruang tamu.
Ummu
Salamah terkejut tidak terkata. Mengurut dada. Kenal benar dia akan suara itu. Dia melangkah ke ruang tamu dengan wajah yang
manis walaupun jantungnya semakin kuat bergetar. Malah, tubuhnya juga merintih-rintih kerana
sudah bersedia minta direhatkan.
“Mak… bila sampai?” Ummu Salamah mendekati wanita
separuh abad. Bertubuh gempal dan
berkaca mata. Mungkin baharu sampai dari
kampung nun jauh di utara tanah air.
Memandangnya dengan wajah cemberut.
“Siang
tadi, ingatkan kau ada di rumah.” Agak
kasar, jerkah wanita yang seperti singa itu.
Hatinya telah dirasuk marah itu dan yang terlahir di bibir kasar belaka.
“Ada
kerja yang perlu diselesaikan di
masjid, mak.” Tutur kata Ummu Salamah
tetap lembut, itulah yang dituntut oleh agama.
Menghormati orang yang lebih tua terutama seorang ibu, walaupun hanya
ibu mentua. Taraf mereka sama. Walaupun
kasih sayang ibu mertua terhadap dirinya
jauh tidak sama. Dia sedar
itu. Namun biarlah disimpan jauh di
dalam hati.
“Kerja,
kerjalah juga… rumahtangga jangan
diabaikan!” lengking suara ibu mentuanya
memecah keheningan malam.
“Insya-ALLAH
mak. Ummu cuba sebaik mungkin,” getus Ummu Salamah. Tutur kata terjaga rapi tidak mahu menggores
hati ibu mentua yang datang sekali sekala, walaupun ibu mertuanya tidak
teragak-agakmenggores hatinya. Tubuhnya
benar-benar letih dan minta berehat.
Namun dia terpaksa mendengar bebelan
emak mentuanya. Lambat-lambat dia
duduk di sofa sambil matanya tetap melekat
ke wajah ibu mentuanya yang berdiri di hadapannya bagaikan seorang
mandur memberi arahan kepada pekerjanya.
“Suami
dan anak-anak, kau tinggalkan begitu sahaja.
Makan minum mereka tidak terjaga.
Kerja itu biarlah berpada. Bukan
sebaliknya terlebih ghairah hendak jadi kaya melulu!” dengus ibu mentuanya masih keras
nadanya, Sinis.
“Bukan
selalu begini, mak… hanya sesekali. Ummu
takkan melupakan keluarga dan tidak juga pernah ingin jadi kaya.” Ya ALLAH tabahkanlah hati, detik Ummu
sendiri.
“Mak
pergilah berehat, sudah jauh dinihari ni.
Esok kita bersembang lagi. Kalau
mak nak ikut ke masjid pun bagus juga.
Boleh tengok Timbalan Perdana Menteri, esok beliau hadir merasmikan
Karnival Masjid.”
“Ah! Tidak berminat langsung aku. Hendak tunjuk kau hebatlah, ya? Aku tidak hairan dengan kerja kau itu. Hei, kalau sudah dilahirkan sebagai
perempuan, bersikaplah seperti perempuan!
Tidak perlu jadi lelaki, suami kau
kerja juga, pukul 5.00 petang sudah sampai di rumah. Kau, pukul 2.00 dinihari! Isteri apa namanya itu, hah?” leternya.
“Mak… tiada langsung niat di hati hendak tunjuk
hebat. Ummu hanya menjalankan tugas Ummu
sebagai petugas Masjid An- Nur. Itu
sahaja,” luah Ummu Salamah menyangkal
tuduhan emak mentuanya dengan nada yang selembut mungkin.
“Aku
tahu benar orang berpelajaran seperti kau, Ummu! Angkuh melulu. Itu sebab kau sanggup tinggalkan keluarga
konon tuntutan tugas. Kalau tidak buat
pun, tiada siapa marah. Kau sahaja yang
terlebih rajin.” Dia menjeling tajam ke
arah Ummu Salamah.
“Ummu
minta diri dulu. Esok kita sembang lagi,
ya mak.” Ummu Salamah bangun perlahan-lahan. Dia tidak mahu kata-kata ibu mentuanya itu
akan membuatkan hatinya sakit. Dia
benar-benar letih. Bukan main-main. Dia perlukah rehat, minda dan tubuh Esok akan bersambung tugasnya lagi.
“Tak
nak dengar leteran akulah ya? Kau kena
ingat Ummu. Tugas seorang isteri
memuaskan dan melayan kehendak suami.
Baik zahir dan batin. Kalau sudah
sibuk 24 jam, mana tanggungjawab kau?
Kalau anak mak kahwin lagi, jangan sesekali kau marah! Kesalahan itu ada di tangan kau!” tempelak Halimahton.
Ummu
Salamah berhenti melangkah. Dia menoleh.
Wajah cemberut emak mentuanya dipandang seketika. Dia melemparkan senyuman sayu dan melangkah
semula. Andai itu takdirnya, suaminya
berkahwin lagi, apakan daya. Hanya itu
yang lahir di hatinya. Sekarang sedarlah
dia mengapa jantungnya berdegup bagai nak rak tadi. Bukan kerana oleh Ustaz Zaki atau
sebagainya. Sebaliknya oleh Puan
Halimahton, ibu mentuanya sendiri.
“Mak!”
Imran yang baru muncul dari tingkat atas
rumah terkedu mendengar butir bicara ibu kandungnya itu.
“Bang,” Ummu Salamah menyalami tangan suami dengan
lembut. Dan air jernih yang tidak
dipinta hadirnya mengembang di kelopak
mata.
“Ummu
minta diri ke bilik dahulu, ya… “
Dengan
riak muka penuh kasih dan sayang, Imran mengusap lembut bahu Ummu Salamah. Memberi sedikit kelegaan di hatinya. Sedikit
ketenangan mengapai lembut. Agaknya, apa
perasaan ibu mentuanya melihat mereka begitu?
Degupan jantung semakin susut ditelan ketenangan yang hadir dengan
kedatangan suaminya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan