Jumaat, 27 Mei 2016

ADUH, PENING! BAB 16




NADIA menahan marah. Kali ini, permintaannya telah ditolak. Dia tidak dibenarkan mengikut bekas suaminya bercuti dengan anak-anaknya lagi. Ikmal sudah berani melarangnya mengikut ke mana sahaja. Panggilan telefonnya juga tidak dijawab. Malah, Ikmal telah membeli sebuah telefon bimbit khas untuk anak-anaknya sahaja. Ini mesti kerja si Aleeya. Nadia menggenggam penumpuk. Dia tidak akan membiarkan perkara itu berlarutan. Anak-anak adalah haknya. Ikmal tidak boleh lepas tangan. Ikmal harus bertanggungjawab sepenuhnya. Termasuk dirinya.
            “Awak nak apa lagi?” Ikmal tidak keruan melihat kemunculan Nadia di pejabatnya. Apalah yang tidak kena lagi. Minggu lepas dia melarang Nadia ikut dia keluar bersama anak-anak mereka. Dia bawa Aleeya dan isterinya duduk jauh daripadanya, memerhati dia melayan anak-anaknya. Aleeya benar-benar terbuka.
            “Awak tak boleh buat saya macam ni!” marah Nadia.
            “Nadia… antara kita dah tak ada apa-apa hubungan. Awak dan saya dah lama menjadi lipatan sejarah. Awak teruskan hidup awak, carilah orang lain sebagai pengganti saya. Nadia, awak kena ingat, bukan saya yang tolak awak, tapi awak,” terang Ikmal.
            “Tapi, saya masih sayangkan awak! Saya tak boleh hidup tanpa awak, takkan awak tak faham lagi, Ikmal...” rayu Nadia mengharap.
            “Tak boleh, Nadia! Saya dah ada isteri, awak kena faham tu,” tolak Ikmal.
            “Ikmal, kasihanilah saya, kasihankan anak-anak... mereka perlukan awak, samalah dengan saya.” Nadia tidak berputus asa.
            “Nadia, hati saya dah ada orang lain. Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Saya mohon sangat-sangat, awak kenalah faham.” Ikmal mengeluh. Nampaknya, Nadia masih berkeras. Susah betullah nak cakap dengan orang yang tidak faham bahasa ini. Kalau Nadia faham, dia tidak akan memaksa begini.
            “Saya sanggup bermadu kalau itu yang awak nak!” Nadia memandang wajah Ikmal tidak berkelip. Jika terpaksa, dia sanggup berbuat apa sahaja.
            “Saya tak mampu jaga dua orang isteri. Bukan mudah, Nadia. Awak ingat senang? Sekarang ini pun saya rasa macam ada dua buah rumah, anak-anak dan Leya. Semua saya kena jaga, perasaan mereka juga saya kena jaga. Saya tak berani, takut dipersoalkan di akhirat nanti. Tolonglah saya, jangan buat kepala saya pening.” Ikmal mengeluh berat.
“Baik! Kalau awak masih bertegas. Awak tungguhlah nanti!” Nadia mengetap bibir, dia menghempas pintu pejabat itu dengan kuat. Rasa marah membuak-buak di hati.  Dia tidak akan berdiam diri. Jika Ikmal masih tidak mahu rujuk dengannya, Ikmal juga tidak akan dapat berjumpa dengan anak-anaknya lagi. Itu keputusannya.
Nadia terus memandu menuju ke pejabat peguamnya. Dia ingin buat tuntutan baru. Ikmal ingat semudah itu hendak menyingkirkannya? 
“AWAK yakin nak buat macam ni? Memanglah boleh menang, macam kes AC Mizal, bekas isterinya menang dalam semua tuntutan. Puan Nadia nak tuntut apa lagi?” tanya Encik Azman, peguam syariah yang mengambil kes Nadia sebelum ini.
            “Ya, Encik Azman. Ikmal tak boleh ziarah anak-anaknya lagi. Dia hanya boleh telefon mereka sebulan sekali sahaja. Dia tak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, duit belanja pun selalu tak cukup. Saya nak dia bayar insuran pelajaran anak-anaknya yang telah saya daftarkan minggu lepas. Duit tambang bas sekolah, duit pembantu rumah, saya telah buat permohonan juga,” kata Nadia lagi. Kali ini, Ikmal tidak akan terlepas. Dia akan buang semua permintaan itu jika Ikmal setuju berkahwin semula dengannya.
            “Banyak permintaan awak ni, Puan Nadia. Mampu ke bekas suami awak bayar semuanya?” soal peguam muda itu lagi.
            “Peduli apa saya! Dia ayah pada anak-anak saya, kenalah dia bertanggungjawab!” Nadia mencebik.
            “Baiklah, jika itu permintaan Puan Nadia. Nanti saya uruskan. Ambil masa sikit. Jika ada apa-apa maklumat, saya akan hubungi puan,” jelas Encik Azman.
            “Bagus... masukkan juga duit perkhidmatan Encik Azman pun dia kena bayar. Siapa suruh dia lepas tangan?” Nadia tersenyum senang.
            “Baik puan!”
            Usai bertemu peguam syariah, dia ke pejabat Aleeya pula. Dia menunggu di dalam kereta. Perempuan itu harus diajar. Kerana perempuan itu Ikmal tidak mahu kembali kepadanya. Kerana perempuan itu hidupnya tunggang terbalik. Kerana perempuan itu, anak-anak tidak dapat semula kasih sayang ayah mereka. Ini belum ada anak lagi? Jika mereka berdua sudah ada anak, entah-entah kelima-lima anaknya diketepikan. Dia tidak akan biarkan perkara itu berlaku.
            Dia menunggu dengan sabar di pekarangan letak kereta berhampiran pejabat Aleeya. Dia kenal kereta milik perempuan itu, masih ada di tempat letak kereta, bermakna perempuan itu masih berada di pejabat. Nadia tersenyum sinis.
            “Nanti kau perempuan!” kata Nadia geram. Rancangannya musnah kerana Aleeya. Sayang benar bekas suaminya dengan isteri barunya itu. Apa yang hebat sangat perempuan itu berbanding dirinya? Beranak pun belum. Dia yang berhak hidup bersama Ikmal, bukan perempuan itu.
            Dari kejauhan, dia melihat Aleeya berjalan bersama-sama dengan empat orang rakan perempuannya. Uh! Ada geng? Ah! Peduli apa dia... geng ke, kumpulan ke, kongsi gelap ke, dia tidak akan duduk diam selagi Ikmal tidak kembali kepadanya.
            “Hoi, perempuan!” laung Nadia. Rembang petang masih memancarkan sinarnya. Kecil besar sahaja matanya memandang Aleeya.
            “Alamak!” kata Aleeya sambil memandang rakan-rakannya.
            “Sekutu akaklah tu!” kata Ros, tangannya sudah memegang lengan Aleeya.
            Nadia mendekati.
            Aleeya dan rakan-rakannya berdiri, menanti.
            “Kau nak apa lagi, Nadia?” Aleeya mengerutkan dahi.
            “Aku nak kau tinggalkan Ikmal! Faham!” jerkah Nadia tanpa segan silu.
            “Hisy… susah jugalah kalau ada perempuan gila talak ni,” sampuk Rozita.
            “Kau diam! Ini bukan urusan kau!” jerkah Nadia.
            “Kau tak malu ke Nadia, merendahkan martabat kaum perempuan, terkejar-kejar, terhegeh-hegeh pada lelaki yang tak sudi dah dengan kau?” Aleeya mengangkat kening.
            “Martabat! Kau lagi tak malu ke? Kahwin dengan duda anak lima?” sindir Nadia.
            “Nak malu apa? Aku bukan ambil hak orang. Waktu aku kahwin dengan Ikmal, dia dah tak ada isteri,” luah Aleeya. Memang pun, Bukan dia paksa Ikmal berkahwin dengannya. Walaupun diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak, tetapi mereka sudah suka sama suka. Apa masalahnya?
            “Kau ambil hak oranglah! Kau rampas ayah anak-anak aku!” marah Nadia.
            “Rasa geli pula hati Ina, Kak Leya… mana punya ilmu perempuan ini belajar?” sindir  Ina yang turut ingin membela Aleeya.
            “Tak padan perempuan, mulut celopar!” Nadia menjegilkan mata ke arah Ina.
            “Hei, aku perempuan... kau tu apa?” Ina mencekak pinggang.
            “Sudahlah Nadia, baliklah. Orang tengok tak manis. Yang kau gila-gilakan tu bukan suami kau lagi, tapi bekas suami! Tak manislah terjerit-jerit dan cari gaduh kat sini. Macam orang tak ada maruah dan harga diri pula!” Aleeya mencebik. Jenis tak faham bahasa memang susah. Setiap malam menelefon suaminya, tapi suaminya tak layan, maka terjerit-jeritlah telefon itu, sungguh merimaskan.
            “Kau beranilah depan kawan-kawan kau! Kau tunggu dan tengok, aku takkan berdiam diri!” kata Nadia garang.  Dia mengetap bibir dan menunjuk penumbuk. Langkah diatur laju meninggalkan Aleeya dan rakan-rakannya.
            “Amboi, Kak Leya! Garangnya bekas isteri suami akak tu!” Lin menggeleng laju. Perempuan macam itu pun ada.
            “Biarlah, dah terdesak sangat nak bersuami balik agaknya,” kata Aleeya sambil menyengih. Dalam hati berdebar-debar juga, buatnya Nadia tekad ganyangnya di situ. Malulah... satu Kementerian akan bercakap. Ini pun dia sudah cukup terasa malunya. Ada beberapa orang pegawainya sudah melihat adegan yang tidak sepatutnya.
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan