Kamaruzaman melangkah turun dari bas ekspres. Dia menyedut
udara segar tanpa penghawa dingin dengan dada yang lapang.
“Assalamualaikum! Ini Pak Cik Zaman ke?” Seorang anak muda
menegurnya. Dia menoleh kemudian mengangguk. Anak muda itu segera bersalam dan
mencium tangannya.
“Saya Ahmad Mursyid, anak Ahmad Adham. Abah suruh saya
jemput pak cik. Marilah,” ajak anak muda yang bernama Ahmad Mursyid itu dengan
senyum.
Beg yang ada di tangan Kamaruzaman segera diambil. Dan
dengan penuh hormat dan kasih sayang, tangan Kamaruzaman dipimpin ke arah
sebuah kereta. Hati Kamaruzaman tersentuh. Sungguh pandai Kartina mendidik
anaknya dengan budi bahasa dan kesopanan.
“Abah teruja sangat nak jumpa pak cik. Sejak semalam, bila
dapat tahu pak cik nak datang, dia asyik menyebut nama pak cik,” kata Mursyid
ketika kereta meluncur meninggalkan terminal bas itu.
“Dia sihat?”
“Pak cik tak tahu?” Mursyid menoleh dan meneliti wajah
Kamaruzaman.
“Kenapa?” tanya Kamaruzaman dengan hairan. Giliran matanya
pula menyapu wajah anak muda yang lebih banyak mirip Ahmad Adham itu.
“Abah masuk hospital. Balik dari menunaikan umrah, dia asyik
demam. Sebelah tubuhnya tak boleh bergerak. Kata doktor, abah mengalami
kekejangan dan dia lumpuh sementara.”
Kamaruzaman terkejut. “Jadi, dia telefon dari hospital? Dia
tak cakap pun dia sakit?”
“Saya ingat pak cik tahu. Abah saya memang macam tu. Selagi
mampu dia tak akan menyusahkan perasaan orang lain,” jawab Mursyid. Matanya
terus tertumpu ke jalan raya.
“Mak?” Terluncur soalan itu dari bibir Kamaruzaman. Dia
sedikit terketar. Entah kenapa, hatinya tiba-tiba dihurung risau.
“Ibu sangat sedih. Setiap hari dia menangis. Mungkin dia
bimbang kalau abah pergi
meninggalkannya.”
Kamaruzaman diam. Dia termenung. Terbayang di matanya, air
mata Kartina membasahi pipi. Terdengar di telinganya esakan halus yang
menyentuh kalbu. Sungguh belas.
Kereta yang dipandu Ahmad Mursyid sampai di hadapan sebuah
rumah yang tersergam mewah. Mata Kamaruzaman tidak berkelip. Rupanya Ahmad
Adham bukan calang-calang orang. Tentunya Kartina amat berbahagia dengan semua
yang dimilikinya. Keluarga yang bahagia dengan harta yang menimbun.
“Kenapa kita tak terus ke hospital?” tanya Kamaruzaman
sebelum pintu kereta dibuka.
“Abah pesan, suruh bawa pak cik jumpa ibu di rumah. Dan dia
mahu pak cik berehat dulu. Tengah hari nanti kita ke hospital,” jawab Mursyid
sambil menjinjit beg pakaian Kamaruzaman.
Sekali lagi hati Kamaruzaman meruntun terharu. Alangkah
baiknya hati dan budi orang yang bernama Ahmad Adham itu. Kalau lelaki lain,
pasti tidak akan memberi ruang kepadanya untuk muncul di dalam kehidupannya.
“Pak cik duduk dulu. Biar saya panggil ibu. Ibu ada di dapur
tu, tengah siapkan sarapan pagi untuk kita,” kata Mursyid sambil melangkah ke
arah dapur.
Kamaruzaman duduk dengan selesa di ruang tamu itu. Mata
Kamaruzaman melilau ke sekeliling ruang. Gambar-gambar keluarga tersusun rapi
di sebuah almari antik. Namun yang paling menarik hati Kamaruzaman ialah
sekeping gambar Ahmad Adham sedang menerima pingat dari kebesaran dari seorang
sultan. Kartina tersenyum gembira di sebelahnya. Rupanya dia sudah bergelar
Datuk. Kartina sudah bergelar Datin.
“Abang dah sampai? Abang sihat?” tegur Kartina dengan senyum
manis.
Kamaruzaman menoleh. Matanya terpaku pada wajah Kartina.
Jubah hitam dengan tudung putih itu menyerlahkan kemanisan dan ketenangan yang
jelas di wajahnya.
“Alhamdulillah, abang sihat. Cuma, abang terkilan kenapa
Tina tak beritahu abang bahawa Adham
sakit?”
“Abang, dia tak benarkan. Dia tak nak abang datang
semata-mata nak tengok dia. Dia nak abang datang sebagai tetamu rumah ini.”
“Kenapa macam tu?”
“Dia memang macam tu. Kalau boleh dia memang tak nak orang
tahu dia sakit.”
Kamaruzaman sekali lagi terdiam dan termenung. Ketika dia
termangu-mangu itu seorang wanita Indonesia keluar menghidangkan minuman.
“Jemput minum bang,” kata Kartina.
Dia merenung hidangan di hadapannya. Kuih rendang kasturi?
Kuih kegemarannya sejak dari kecil. Dulu dia merasainya dari hasil tangan
ibunya. Kemudian dari hasil tangan bekas isterinya. Dia merenung kuih itu
seperti sedang merenung wajah Kartina.
Matanya segera beralih kepada Kartina.
“Tina tak pernah lupa kuih kegemaran abang,” kata Kartina
dengan senyum yang dirasakan sungguh menawan. Dia beristighfar dan menghalau
syaitan yang menghasutnya agar tergoda dengan senyuman itu.
“Lepas minum, abang masuklah ke bilik tu. Abang rehatlah
dulu. Nanti kita akan ke hospital,” kata Kartina sambil menunjukkan ke arah
sebuah bilik di hujung tangga. Kemudian Kartina bangun.
“Tina nak masak untuk hidangan tengah hari kita. Abang Adham
nak makan ayam percik. Tina ke dapur dulu ya.”
Kamaruzaman angguk. Tangannya mencapai sekeping kuih rendang
kasturi. Dengan bismillah, kuih itu disuakan ke mulutnya. Rangup. Cukup
manisnya. Cukup juga lemaknya. Sudah lama tidak merasai keenakan kuih itu.
Yang dibeli selama ini tidak sama dengan yang sedang ada
dalam kunyahannya. Air tangan Kartina tetap tidak berubah!
Kemudian dia meneguk pula air kopi dari cawan yang cantik
itu. Tekaknya rasa segar dan basah. Kemudian tanpa menunggu lama, dia
menyandang begnya dan berjalan ke arah bilik yang ditunjukkan. Dia perlu
berehat. Tulang belikatnya rasa sakit dan kakinya lenguh akibat perjalanan jauh
itu.
Dia menolak daun pintu. Bilik itu sangat bersih, kemas dan
cantik susunan perabotnya. Di dinding tergantung sebuah gambar pemandangan air
terjun yang dikelilingi hutan yang menghjiau.
‘Selera dia tetap tidak berubah. Tetap suka pada
gambar-gambar pemandangan dan keindahan alam,’ kata hatinya. Dia tersenyum
senang. Senang dengan suasana di rumah itu.
Telefon bimbitnya berdering. Dengan cepat dia menjawab.
“Abah dah sampai ke?” Suara Firdaus kedengaran penuh
prihatin di hujung talian.
“Dah Fir. Maaflah, abah terlupa nak telefon Fir.”
“Amboi abah! Dah jumpa kawan lama dia, langsung terlupa pada
kami,” balas Firdaus dengan ketawa.
Kamaruzaman menyeringai dengan wajah kelat. Dia rasa
tersindir. Kalaulah Firdaus dapat melihat wajahnya ketika itu, baru dia tahu
bahawa hatinya tersentuh dengan gurauan itu.
“Abah ada kat mana ni?” tanya Firdaus.
“Abah kat rumah kawan abah tu lah.”
“Dah jumpa dia? Apa yang mustahak sangat hingga dia minta
abah ke sana?”
“Belum jumpa dia lagi.”
“Tadi abah kata dah ada kat rumah dia?”
“Anaknya yang menjemput abah. Kawan abah tu di hospital,
sakit.”
“Hah? Tenat ke abah?” Suara Firdaus cemas.
“Tengah hari ni baru abah nak menziarahinya. Sekarang abah
nak rehat sekejap. Nak luruskan kaki yang kejang ni.”
“Baiklah abah. Abah rehatlah. Apa-apa hal abah telefon Fir
atau Zurie. Jangan lupa makan ubat ya abah,” pesan Firdaus sebelum mengucapkan
salam perpisahan. Dia angguk berkali-kali, seolah-olah Firdaus ada di
hadapannya.
Telefon dimatikan dan disimpan semula dalam poket seluarnya.
Dia membaringkan badan di katil empuk itu dengan harapan dapat tidur sebentar
sebelum bergerak ke hospital.
MASA melawat agak lengang. Mungkin kerana wad yang mereka lawati
adalah wad kelas satu. Tidaklah sibuk
seperti wad biasa atau wad kelas tiga.
“Terima kasih kerana sudi datang,” kata Ahmad Adham,
tersenyum menyambut huluran tangan Kamaruzaman. Dia bangun dan menyandarkan
diri ke katil.
Kamaruzaman rasa terharu dengan senyuman itu. Dia tunduk.
“Kenapa dengan awak?” tanya Ahmad Adham ketika melihat wajah
muram Kamaruzaman.
“Saya sedih tengok keadaan awak macam ni,” jawab
Kamaruzaman, jujur. Entah kenapa,
tiba-tiba dia rasa belas melihat wajah pucat Ahmad Adham dan tubuhnya yang
terlantar itu.
“Heh, jangan macam ni. Saya tak apa-apa. ALLAH sedang
menguji saya. ALLAH juga sedang membersihkan dosa-dosa saya. Mudah-mudahan bila
sampai ajal saya, saya akan pergi seperti saya lahir dulu. Bersih dan suci.”
Ahmad Adham berkata tenang sambil menggenggam tangan Kamaruzaman. Getaran kecil
dapat dirasakan dalam genggaman itu.
“Tina, tengoklah bekas kekasih awak ni. Dia takut saya mati
tinggalkan awak. Patutnya dia suka kan?” Ahmad Adham mengalihkan pandangannya
kepada Kartina yang duduk di hujung kepalanya.
Dada Kamaruzaman seperti diledak bom!
“Abang… Apa ni?” Kartina meleretkan matanya. Ketawa Ahmad
Adham pecah berderai. Namun gurauan itu tidak lucu buat Kamaruzaman. Dia tidak
mampu tersenyum, apa lagi untuk ketawa. Dadanya sedang menahan sebuah
gelora. Dia tunduk diam dan menyepikan
diri. Dia membiarkan ketawa Ahmad Adham usai.
Suasana sepi. Ahmad Adham termenung seperti sedang
mencari-cari ilham untuk bersuara. Kamaruzaman pula menunggu dengan sabar.
“Saya minta maaf kalau kata-kata saya menyakitkan hati awak.
Saya hanya bergurau.”
“Saya tak suka awak bergurau begitu.” Kamaruzaman berkata
dengan jujur.
Ahmad Adham menarik tangan Kamaruzaman dan menggenggamnya
erat sebagi tanda memohon maaf.
“Awak tentu tertanya-tanya kenapa saya nak jumpa awak.
Sebenarnya ada perkara yang saya nak selesaikan dengan awak sebelum saya mati.
Sebelum ini saya amat risau kalau saya tak dapat jumpa awak
sebelum saya mati. Namun, ALLAH Maha mendengar doa saya ketika di Baitullah.”
“Apa doa awak?” Kamaruzaman merenung Ahmad Adham.
“Saya minta ALLAH ketemukan saya dengan awak, walau
sekejap.”
Kamaruzaman semakin hairan. Dia tidak dapat membaca apakah
perkara yang begitu mustahak itu. Daripada mana Ahmad Idham tahu perihal dirinya?
“Ada hal nak saya sampaikan pada awak. Penting sangat. Sebab
itu saya suruh awak datang.”
“Apa dia? Tak bolehkah kita tunggu hingga awak sihat?”
Kamaruzaman semakin teruja dan hairan.
Ketika itu Ahmad Adham meneliti wajah isterinya Kartina. Dia
seperti sedang mencari kata izin dari wanita itu. Dengan perlahan, Kartina
angguk.
“Tidak. Saya tak nak bertangguh dan berlama-lama lagi
menyimpan rahsia ini. Cukuplah tiga puluh tahun.” Ahmad Adham berhenti. Matanya
masih menatap wajah Kartina yang mula tunduk.
Hati Kamaruzaman semakin tidak keruan. Gelisah dan resah
berganding menjadi satu. Ahmad Adham dan Kartina seperti sedang menyimpan satu
rahsia yang besar.
“Katakanlah. Jangan buat saya bingung macam ni,” desak
Kamaruzaman.
“Saya nak berkisah mengenai anak awak,” kata Ahmad Adham.
“Anak saya? Siapa?”
Ahmad Adham tidak segera menjawab. Dia sebaliknya menoleh
semula kepada Kartina. Dia sedang memberi ruang untuk Kartina yang berkisah.
Namun, Kartina tetap tunduk dan langsung tidak memberikan reaksi bahawa dia
yang akan berbicara dan berkisah.
“Benar-benarkah Zaman tidak tahu akan hal ini?” tanya Ahmad
Adham.
“Hal apa?” Fikiran Kamaruzaman semakin tidak menentu dan
keliru.
“Hal Muhayat.”
“Siapa Muhayat?”
“Anak Zaman dan Tina.”
Kamaruzaman tersentak. Matanya terpaku dan tidak berkelip
menatap wajah Ahmad Adham. Benarkah apa yang didengarnya? Dia cuba menyakinkan
hatinya. Untuk pertama kali telinganya mendengar nama Muhayat. Dan nama itu
sangat asing baginya. Dia menggeleng beberapa kali.
“Tina, betulkah apa yang abang dengar ni?” Kamaruzaman
menoleh kepada Kartina dan cuba mencari jawapan yang benar.
Kartina angguk. “Semasa kita berpisah dulu, Tina membawa
benih abang bersama Tina. Tina mengandung dua bulan. Itulah Muhayat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan