Sabtu, 11 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 27



MALAM kelam, sudah tentulah gelap-gelita. Tiada yang kelihatan hanya bebayang kabur pada pandangan mata. Suara unggas malam saling bersahutan, bagaikan menyanyikan lagu gembira dengan kedatangan malam. Itulah saat dan ketikanya ia akan bebas sebebasnya.  Aleeya berdiri di anjung bilik, memerhati kegelapan malam yang diterangi lampu neon bagi menerangi simpang dan jalan untuk manusia melaluinya. Dia mengeluh.
Jam sudah menganjak ke pukul 10.00 malam, bayang suaminya masih tidak kelihatan. Takkan tolong tutup booth mereka yang menjual bunga di pameran bunga di Putrajaya itu? Dia mengeluh sekali lagi. Kesal menghadirkan diri. Sekurang-kurangnya telefonlah. Ini tidak, sejak bertemu tengah hari tadi, satu panggilan pun tidak diterima daripada suaminya. Isteri manalah yang tidak terasa. Dia benar-benar rasa dipinggirkan.
            Aleeya menapak masuk ke dalam biliknya semula. Cuba untuk bertenang dan melelapkan mata, tetapi sukar. Dia memandang gambar perkahwinannya dengan Ikmal. Lelaki itu berjaya mencuri hatinya pada pandangan pertama. Biarpun lelaki itu bukan lagi bujang, dia menerima dengan hati yang terbuka. Mengharapkan sinar bahagia melakar mekar dalam hidupnya sehingga ke syurga. Apakah jalan yang dilalui telah tersalah simpangnya?
            Bunyi kenderaan masuk ke pekarangan rumah membuatkan hatinya berdebar-debar. Kejadian siang tadi, adakah masih menjadi kudis di hati suaminya? Aleeya resah melayan perasaan sendiri. Bersedia dengan jawapan jika soalan yang bakal ditanya oleh suaminya nanti. Hampir tengah malam baharu nampak batang hidung? Ke mana dan buat apa di luar sana? Persoalan yang tidak mungkin akan terlahir daripada bibirnya. Biarlah suaminya sendiri yang sudi bercerita. Dia pula akan menjadi pendengar yang setia. Mendengar tanpa mengomen apa-apa.
            “Tak tidur lagi?” sapa Ikmal sambil membuka baju yang dipakai.
            Aleeya memerhati dengan ekor mata setiap langkah suaminya. Bersahaja dan selamba sahaja wajah itu. Tidak ada rasa bersalah kerana meninggalkannya seorang diri hampir seharian.
            “Tak mengantuk lagi,” jawab Aleeya perlahan.
            “Pergilah tidur, esok nak kerja,” suruh Ikmal tanpa memandang wajah Aleeya yang bersila di katil.
            “Yalah!” Aleeya malas hendak berbicara dari hati ke hati. Melihat sikap dan tingkah laku suaminya membuatkan hatinya dipanah duka. Dia merebahkan tubuhnya di katil, menghadap pintu sliding yang tertutup rapat. Memandang sepi di kejauhan malam. Memejamkan mata, menangis dalam hati, sayu sendiri. Air mata janganlah kau mengalir duka, biar hatiku sahaja yang menangis, lara. Sambil berzikir di dalam hati, bagi mencari ketenangan diri dan mengharapkan matanya agar terlelap meninggalkan segala duka nestapa.

AZAN subuh berkumandang jelas di pendengaran. Membuatkan tidurnya terjaga. Terpisat-pisat dia bangun dan memandang ke sisi. Mana suaminya? Hatinya disimbah bimbang. Tidak mungkin pagi-pagi lagi sudah ke rumah Nadia? Masih awal, suaminya ke mana? Aleeya cepat-cepat mendapatkan telefon bimbitnya. Tidak! Jangan telefon dahulu, cari di dalam rumah sampai bertemu.
Aleeya ke tingkat bawah, mencari di bilik tetamu, di ruang dapur dan ruang tamu. Kelibat orang tersayang tidak juga kelihatan. Dia meninjau di luar. Kereta suaminya tidak ada di situ. Ke mana? Ke masjid atau surau ke? Aleeya mengeluh. Dia merebahkan tubuhnya di sofa. Mendail nombor orang tersayang. Mencari jawapan pada soalan yang sedang bersarang di akal fikirannya yang paling dalam.
            Menunggu dengan sabar, panggilannya berjawab. Sekali, dua kali, tiga kali barulah berjawab. Kenapa lambat sangat nak jawab? Malas sudah nak mengeluh. Simpan sahaja dalam hati perasaan yang tidak senang itu. Hanya mainan syaitan yang sedang cuba menyucuk dan memujuk. Bertenang, bertenang... semua ini dugaan peringkat awal perkahwinannya.
            “Abang kat mana?” 
            “Hah?”
            “Kenapa tak bagi tahu? Kenapa tak ajak sama? Abang pergi dengan siapa?”
            “Kenapa pula dengan dia? Kenapa bukan dengan Leya? Anak-anak ikut juga ke?”
            “Sampai hati abang!” Aleeya meletak telefon bimbitnya. Dia memejamkan mata. Air mata berjuraian menuruni pipinya. Terasa sebak dadanya. Terasa terbakar hati dan perasaannya.
            Suaminya pulang ke kampung setelah mendapat panggilan telefon yang emak mertuanya jatuh pengsan dan ayah mertuanya mintak bawa cucu-cucunya pulang sama. Jika ada anak-anaknya tidak boleh ada Aleeya. Bolehkah begitu? Itulah permintaan Nadia dan anak-anak, konon. Dia siapa? Apakah dia tidak perlu berada bersama emak mertuanya? Aleeya mengetap bibir. Dia memandang persekitaran rumahnya. Perabot-perabot yang ada tidak mampu berbicara dan menemaninya. Benar-benar terasa diri keseorangan.
            Menangis dan meraunglah! Tiada siapa yang sudi memujuk hatta orang tersayang. Panggilannya pun dijawab sambil lewa sahaja. Begitu cepat suaminya berubah. Kata mulut tidak suka, hanya dirinya berada di hati. Tetapi sikap dan tingkah laku bercerita sebaliknya. Mampukah dia menahan gelora yang sedang melanda rumah tangganya ini? Mampukah dia bertahan menahan ombak yang sedang membadai tiang-tiang seri di dalam rumah tangganya? Kekuatan apa yang dia ada selain kekuatan daripada ALLAH SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan