PECAH
gelak mereka berdua. Kejadian yang tidak disangka-sangka membawa pertemuan semula.
Jejak kasih yang tidak diduga. Geli hati memikirkan kejadian tadi. Sama-sama
kasar, sama-sama brutal. Memang perangai sama. Nasiblah mereka tidak berjodoh,
kalau tidak boleh runtuh rumah mereka. Kalau sudah hari-hari bertekak,
berperang tetapi tidaklah sampai berparang. Lama juga mereka tidak berjumpa,
setelah Aleeya dan keluarga berpindah dari kampung neneknya. Sejak itu mereka
terus terputus hubungan ditambah lelaki itu masuk ke sekolah berasrama penuh. Lagilah mereka terpisah jauh.
“Kau masih garang ya, Leya. Aku
ingatkan dah besar panjang, berubahlah hendaknya. Tapi masih sama. Brutal
betul.”
“Kau pun apa kurangnya, Amran.
Langsung tak pandai nak berlembut dengan perempuan. Cakap kasar aje, ada ke
perempuan yang nak dekat dengan kau ni?”
“Kau ingat aku teruk sangat ke?” Amran
menyengih. Wajah Aleeya yang sudah banyak berubah itu dipandang lama. Tetap
cantik, walaupun tidaklah secantik Amy Mastura.
“Tak sangka kita akan bertemu lagi
ya?” kata Aleeya gembira.
“Macam mana kau boleh cam aku tadi? Aku
langsung tak kenal kau.” Amran mengerut dahi. Bagus sungguh ingatan sahabatnya
itu. 25 tahun berpisah, bukan semua orang mampu mengenali antara satu sama
lain. Melainkan mereka saling berhubung.
“Ketawa kau memang aku tak lupa,
walaupun kau dah tak montel macam dulu. Tapi, iras-iras wajah kau tu masih ada. Kau dah lama
berpindah dari kampung kan?” terang Aleeya.
“Hebat kau ya? Kau bekerja di mana
sekarang? Sudah berumah tangga? Anak berapa orang?” tanya Amran ingin tahu
cerita tentang sahabat sekampungnya itu. Waktu kecil dahulu, mereka memang
rapat. Macam belangkas. Di mana ada Aleeya, di situ ada Amran. Di mana ada
Amran, di situ ada Aleeya. Namun keadaan dan masa telah memisahkan mereka.
“Aku bekerja di Kementerian
Pendidikan di Putrajaya, sudah berumah tangga. Anak belum ada rezeki,” jelas
Aleeya tidak menyembunyikan tentang siapa dirinya.
“Dah berumah tangga? Wah… siapakah
lelaki yang bernasib malang itu?” usik Amran.
“Tak guna kau! Kau pulak?” tanya
Aleeya turut ingin mengetahui kehidupan sahabat lamanya itu.
“Aku pengurus di bank tadi tulah. Dah
kahwin, tapi dah bersendirian semula. Anak… macam kau juga, tak ada rezeki.”
“Kau bercerai?” Aleeya mengorek
rahsia peribadi sahabatnya itu.
“Cerai mati, kanser pangkal rahim. Sewaktu
kami baru saja berkahwin, baru tahu isteri aku hidap penyakit yang berbahaya tu.
Kami berusaha pelbagai cara untuk mengubatinya. Bertahun-tahun dia menderita,
akhirnya… ALLAH lebih menyayanginya. Aku redha,” cerita Amran tentang
kehidupannya.
“Maafkan aku...” Hiba Aleeya
mendengarnya. Tidak sangka sahabatnya itu diuji sebegitu sekali.
“Mak dan ayah kau macam mana? Mereka
sihat? Masih ada lagi?” Hanya pertanyaan dan persoalan yang terlahir di bibir
mereka.
Panjang ceritanya. Setebal 400 muka
surat pun rasanya tidak cukup. Banyak cerita yang ingin ditanya dan ingin
dikongsikan bersama. Pertemuan semula yang membawa keceriaan di wajah Aleeya. Lelaki itu sudah jauh berbeza. Kacak dan
bergaya. Tidak lagi kotor, berdaki sana sini. Hanya dia sahaja yang sanggup
berkawan dengan Amran gemuk, itulah gelaran yang diberi oleh rakan-rakan
sekampung mereka. Tetapi, Amran seorang yang pandai dalam pelajaran, terutama
matematik. Itu sebabnya jadi pengurus bank. Dia pula hanya pegawai kanan di
Kementerian Pelajaran. Tidak kisahlah,
asalkan rezeki halal. Bukan ambil hak orang lain atau merompak harta benda
orang.
Amran bukan anak orang berada. Di
kampung mereka dahulu, keluarga dialah yang paling miskin, tinggal pun
menumpang di atas tanah orang lain. Tapi emak dan ayahnya seorang yang rajin
bekerja. Tidak berkira dalam mencari rezeki. Keluarga Aleeya mengajikan emak
Amran sebagai pembantu rumah. Tiap-tiap bulan dapatkan upah. Amran pula tidak
ramai adik beradik. Rasanya dia anak tunggal pasangan tersebut. Selepas
keluarga Aleeya berpindah keluar dari kampung itu, mereka tidak lagi bertemu. Pernah
juga mereka pulang ke kampung, tetapi ketika itu Amran tidak ada lagi di
kampung, menurut neneknya, keluarganya dapat tanah rancangan dan Amran dapat
masuk asrama penuh. Orang pandailah katakan, kesusahan tidak mematahkan
semangatnya untuk berjaya. Alhamdulillah, kejayaan sudah menjadi milik lelaki
itu.
“Bila lagi kita boleh berjumpa? Banyak
benda aku nak tanya pada kau Leya. Aku tak sangka akan jumpa kau juga akhirnya.
Hari malang buatku tetapi hari paling bermakna dalam diriku. Nasib baik kau
kenal aku, kalau tidak kita akan terus terpisah selama-lamanya,” ujar Amran
gembira. Hatinya berbunga riang.
“Insya-ALLAH, tapi aku kenalah ajak
suami aku, tak bolehlah keluar berdua-duaan dengan kau, berdosa. Akukan isteri
orang,” terang Aleeya.
“Ya tak ya juga, kan. Lain kali bawa
suami kau, boleh aku berkenalan dengannya,” pelawa Amran. Dalam pergaulan kena
ada batas-batasnya, terutama jika temannya itu sudah berkeluarga dan isteri
orang pula. Jangan cari pasal kalau tidak mahu benjol di kepala.
“Tak sangka kita akan bertemu
semula, kan Leya… kau pula semakin matang dan cantik,” puji Amran tanpa
segan-silu. Itulah hakikatnya.
“Jangan puji lebih-lebih, kang
terkoyak kain yang aku pakai ni,” gurau Aleeya.
Amran ketawa gembira.
Mereka ketawa bersama.
“Tentu orang tua aku gembira bertemu
kau, Leya. Sesekali mereka sebut juga tentang keluarga kau. Tentu orang tua
kita akan gembirakan kalau mereka bertemu kembali,” ucap Amran. Terbayang wajah
kedua orang tuanya yang semakin uzur namun masih bersemangat dan kuat bekerja.
“Aku nak sangat jumpa keluarga kau,
mungkin satu hari nanti, aku boleh singgah jumpa mereka,” kata Aleeya sebelum
mereka berpisah buat kali kedua. Di harap ada pertemuan kedua dan seterusnya. Silaturahim
antara mereka, semoga tidak akan putus selamanya, detik hati kecil Aleeya
setelah berpamitan dengan Amran. Hatinya ceria semula. Jiwanya lapang dan
tenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan