USJ, Subang Jaya, Selangor
Pagi Sabtu
Suasana di luar jalan sana masih lagi hitam pekat. Hanya beberapa ketika
kedengaran enjin kenderaan yang melalui jalan besar berdekatan dengan
pangsapuri yang didiami mereka bertiga. Itupun kedengaran agak sayup dan hanya
jika kereta, bas atau lori itu menderum kuat, barulah Adik boleh mendengarnya kerana
kedudukan rumah Alice yang agak tinggi.
Adik sudah terbangun
sebelum azan subuh berkumandang. Tidurnya tidak begitu lena. Mungkin ini kali
pertama dia tidur di dalam bilik tidur yang berhawa dingin. Johari menetapkan
suhu penghawa dinginnya ke angka enam belas darjah celcius. Tubuh Adik
menggigil kesejukan walaupun Johari sudah memberinya sehelai kain selimut yang
agak tebal. Johari kononnya ingin berangan tidur di negara Eropah yang bersuhu
sejuk. Dia tergelak besar ketika sahabatnya itu memberi alasan yang begitu.
Ada-ada sahaja angan-angan Johari.
“ Kau tak sejuk ke Ri?”
tanyanya kepada Johari malam tadi ketika melihatkan sahabatnya itu menekan suis
penghawa dingin.
“ Alah Dik, kau anggap
aje kita tengah tidur kat London! Hehe,” Johari menjawab soalannya sambil
menarik selimut. “ Lagi satu, Ri...kau jangan ngompol pulak! Susah nak basuh cadar tebal kat apartment macam ni.” Sempat pula Johari berpesan sambil
tersengih-sengih.
“ Ahh kau ni! Takkanlah
aku nak ngompol pulak!”
Johari tergelak-gelak
sambil memeluk erat bantal peluknya.
Johari memang tidak sudah-sudah
dengan angan-angannya. Semasa mereka remaja dahulu, Johari membayangkan yang
perahu abang Sahak atau abang Ajis yang mereka naiki itu adalah gondola dari
Venice, Italy. Ketika mereka membuat persembahan di tarian zapin di Stadium
Batu Pahat pula, Johari akan berbisik kepadanya,
“Dik...bayangkan kita tengah buat show dekat Dataran Merdeka, KL!”
Ingat lagi dia dengan Faezah Hanim yang ketawa hingga keluar air mata
kerana tidak tahan melayan angan-angan Johari.
Mungkin juga, dia tidak boleh lena malam
tadi kerana ini kali pertama dia tidur sekatil dengan Johari sedangkan di
rumahnya, dia tidur sendirian di katil bujang. Ketika di UiTM juga, dia tidur
di katil bujang. Agak janggal sebenarnya pada diri Adik untuk tidur sekatil
dengan orang lain walaupun itu sahabat karibnya.
Pesanan SMS yang diterima dari
Faezah Hanim setelah dia dan Johari selesai makan malam dan membasuh pinggan mangkuk
juga, adalah salah satu faktor yang menganggu lenanya. Hingga ke lewat malam
dia berfikir, perlukah dia membalas SMS Faezah? Perlukah sekurang-kurangnya
Adik memberitahu yang dia kini berada di Kuala Lumpur? Perlukah dia memberitahu
Faezah yang dia akan mencari kerja di kota? Adik akhirnya mengambil keputusan
untuk tidak menjawab atau membalas apa-apa pun.
Salam
Arif, minggu ini saya tidak balik BP. Nanti minggu depan, insya-Allah, saya
balik. Kita jumpa ya.
Dia tahu, dia bersalah kerana hampir
tiga minggu dia tidak menghubungi Faezah. Dia langsung tidak membalas emel
ataupun SMS yang dihantar oleh Faezah Hanim kepadanya. Entah kenapa, dia berasa
begitu kusut. Dengan masalah yang dihadapi, dengan hijrah barunya ke kota.
Dengan dia tidak punya sebarang kerja lagi, dia ingin memutuskan sementara
komunikasinya dengan Faezah Hanim. Dia tahu, amat salah dan tidak adil untuk
dia memperlakukan Faezah Hanim sedemikian rupa.
Tetapi, Faezah Hanim itu seperti Kak
Nora. Dia tidak boleh menipu dengan kawannya yang seorang itu. Jika Faezah
menyoal siasat tentang kejadian apa yang menimpa hingga dia nekad untuk ke
Kuala Lumpur, dia pasti terperangkap. Faezah akan mengorek rahsia itu hingga ke
akar umbi. Faezah seakan-akan boleh mengesan gerak tubuhnya. Faezah Hanim itu boleh
mengesan nada suaranya yang sedih, yang gembira, yang sayu. Malah nada suaranya
yang cuba melarikan diri dari menjawab soalan pun, Faezah akan dapat
mengesannya. Kemudian, akhirnya Faezah akan tahu juga.
Faezah Hanim itu selayaknya harus jadi
penyiasat atau mata-mata gelap Polis Di Raja Malaysia. Jika dia bertanya, akan
dipastikan dia mendapat jawapan. Tidak puas dengan itu, akan disoal-selidik
macam-macam hingga semua cerita terburai keluar. Selepas Faezah tahu, dia pasti
hal itu akan sampai pula pada pengetahuan Kak Nora. Jika Kak Nora tahu,
alamatnya...emak dan Kasih Alia akan tahu. Dia tidak mahu hal itu sampai ke
pengetahuan emak.
Walaupun berita itu fitnah
semata-mata, dia tidak mahu emak, ayah, Kak Nora atau Faezah tahu. Setakat ini,
biarlah dia, Johari, abang Khalid dan si penabur fitnah yang tahu cerita itu.
Cerita yang amat pahit untuk ditelan. Cerita yang membuatkan dia mengambil
jalan nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur walau tidak ada kerja yang menanti.
Sangkanya, di zaman moden ini, di zaman tahun dua ribu ini, tidak akan ada
fitnah yang sebegitu berat. Untuk menidakkan fitnah itu pula, dia tidak ada
bukti, dia tidak ada saksi. Jadi, biarlah dia lari. Walaupun mungkin, apabila
dia melarikan diri, seolah-olah fitnah itu adalah cerita benar. Biarlah, ALLAH
maha mengetahui. Dia yakin, suatu hari, ALLAH pasti akan menunjukkan kebenaran.
Dia bingkas bangun
mencapai tuala dan membuka perlahan-lahan pintu bilik Johari untuk menuju ke
bilik air. Adik terus mandi dan berwuduk. Dia kembali semula ke bilik tidur.
Terus dia menyarung kain pelikat, memakai kemeja T dan mengambil sejadah untuk
bersolat di ruang tamu. Dia pasti, waktu subuh sudah masuk ketika dia mandi
tadi. Ditutup semula pintu bilik tidur yang dingin itu. Dia kurang enak untuk
bersolat di bilik tidur kerana kiblatnya betul-betul mengadap katil. Jika katil
itu kosong, tidak mengapa juga. Tetapi Johari sedang enak tidur dibungkus
selimut tebalnya yang berwarna merah jambu.
Selesai solat, seperti
biasa, dia berzikir. Adik membaca surah Al-Fatihah, ayatul qursi, Al-Kafirun,
Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas. Jika ketika ini dia bersolat subuh di surau
bersama-sama dengan ayah, Pak Hassan, Pak Bilal dan beberapa penduduk kampung
yang lain, pak imam pasti akan mengadakan tazkirah singkat pada waktu pagi.
Selalunya tazkirah diadakan pada pagi hari Sabtu atau Ahad, ketika ramai penduduk
tidak keluar bekerja. Ketika saf jemaah melebihi dari tiga baris. Selalunya,
hanya golongan warga emas sahaja yang memenuhi surau kampung di waktu subuh. Selesai
membaca surah-surah lazim, Adik mengangkat tangan berdoa. Dia mendoakan
keselamatan dan kesejahteraan ayah, ibu, abang-abang dan adiknya, Kasih Alia.
Dia juga mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sahabat-sahabatnya.
Waktu baru menunjukkan
pukul 6.30 pagi ketika Adik melipat sejadah. Dia tidak pasti, pukul berapa
Johari akan bangun. Hendak dikejutkan Johari untuk bersolat juga, dia merasa
serba-salah sedangkan dia tahu, itu adalah satu kewajipan. Akhirnya, Adik
mengambil keputusan membuat apa yang patut. Dibukanya tingkap-tingkap ruang
tamu dan dapur. Dia mengambil alas pinggan yang terletak di dalam laci kabinet
dapur dan disusun di atas meja makan. Adik juga mengambil piring-piring,
mangkuk sup dan gelas lalu disusun di atas meja.
Sedang Adik membancuh
air teh susu di dapur, datang Johari dengan rambut yang kusut masai sambil
tuala mandinya tersangkut di bahu kanan. Johari memakai pyjama tidur berwarna
biru muda dengan corak-corak teddy bear
berwarna coklat. Agak lucu dia
melihat keadaan Johari ketika itu.
“ Pukul berapa kau
bangun, Dik?” tegur Johari sambil membetulkan rambutnya yang mengerbang. Getah
rambut yang memang tersedia di pergelangan tangan, digunakan untuk mengikat
rambutnya.
“ Sebelum azan subuh
aku dah terjaga,” jawabnya seraya meneguk air teh susu yang sudah siap
dibancuh.
“ Ohh...kau tak lenyak
tidur ke?”
“ Tak adalah,” dia
berbohong. “Aku memang bangun pagi. Tapi, memang aku kesejukan. Sejuk sangat
sampai tak tahan kaki tangan aku menggigil.”
Johari tersengih, “ Nasib
baik kau tak ngompol.”
“Heh kau ni, melampau!
Kau ingat aku budak kecik ke?” Dia tidak ambil hati dengan gurauan Johari.
Mereka memang biasa begitu. Sedari kecil bergurau mesra.
“Kau kena biasakan diri tidur dalam
bilik sejuk tu, Dik.” Dengan nada selamba Johari berkata.
“Kenapa pulak?”
Keningnya berkerut sambil tangannya mengenggam kuat mug yang berisi teh susu
panas yang dibancuhnya tadi.
“Iyalah, nanti senang
kalau aku nak bawa kau jalan-jalan kat London! Kau tak laa pengsan kesejukan!”
jawab Johari sambil tersengih-sengih dan berlalu pergi ke bilik air.
Adik tersengih-sengih
sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“ Berangan aje kau tak
sudah-sudah, Ri!” Sempat dia membalas kata-kata Johari sebelum temannya itu
menutup pintu bilik air.
“ Biar berangan dulu,
nanti tak lama lagi jadi kenyataan, Dik!” Boleh lagi Johari menjawab walau dia
sudah memasuki bilik air dan bersedia untuk mandi.
Adik
menggeleng-gelengkan kepala. Dia tersengih sendirian. Johari memang kuat
berangan sedari kecil. Selain kuat berangan dia juga suka menyanyi. Baru sahaja
Adik terkenangkan perihal Johari yang tidak berubah sedari kecil, sudah
kedengaran Johari membuat konsert di dalam bilik air. Adik tersengih lagi.
Kedua-dua sahabat itu
saling bantu-membantu di dalam penyediaan sarapan pagi mereka. Adik hanya
menurut arahan Johari. Dia diminta mencincang bawang putih hingga betul-betul
lumat. Kemudian bawang putih yang hanya dua tiga biji itu dicampur bersama
dengan butter. Setelah siap, Adik
perlu menyapu butter bawang putih itu
kepada kepingan roti. Johari meminta dia menghabiskan sebantal roti yang
dibelinya semalam. Johari pula menyiapkan sup ayam cendawannya dan cucur udang
istimewa.
“ Dik...macam kita masak-masak kat
dapur rumah mak aku masa kita sekolah dulu ek?” Tanya Johari kepada Adik yang
sedang menyapu sapuan butter bawang
putih pada sekeping roti putih.
Adik tersenyum, “Haah...best kan masa tu?”
Johari mengangguk.
“
Masa kecik, kita main pondok-pondok, bawa biskut dan air teh dan kita
letak dalam bekas mainan masak-masak si Ani, ingat tak Ri?”
“ Ingat...mana tak ingat. Lepas tu,
bila aku dah pandai goreng cucur, kita masak betul-betul kat rumah aku pulak, ”
Johari mengimbau kenangan zaman di kampung.
“ Dik...Faez tahu kau ada di KL?”
Sambil mengadun bawang besar, lada merah dan daun sup yang siap dicincang di
dalam adunan tepung, Johari memandang Adik serius.
Adik membalas pandangan Johari dan
menggeleng perlahan.
“ Faez tahu ke hal ni?” Johari
bertanya lagi.
Geleng.
“ Kau tak nak beritahu dia? ”
Adik mengangkat bahu.
“ Kasihan Faez. Dia mesti
tercari-cari kau nanti.”
“ Sebenarnya semalam, Faez SMS aku,”
nada suaranya perlahan.
“ Habis, kau tak balas?” Berkerut
kening Johari memandang Adik yang sedang duduk di kerusi makan sambil tangannya
memegang pisau mentega.
Adik melepaskan keluhan sambil
meletakkan sekeping roti yang sudah siap disapu di atas sekeping pinggan makan.
Dia mengambil sekeping lagi roti untuk disapu.
“ Aku tak tahu nak mula cerita dari
mana dengan Faez. Kau tahulah, dia tu nanti, banyak soal jawab. Pening kepala
aku jadiknya,” Adik menerangkan.
“ Bila agaknya kau bersedia nak
beritahu dia ek? Kasihan makcik tu.”
“ Entahlah Ri...aku pun tak tahu.
Tapi, biarlah dulu. Aku tengah cuak nak pergi temuduga hari Isnin ni nanti,”
Adik tidak mahu berselindung dengan Johari tentang kegusaran hatinya.
“ Alah...rileks lah...aku dah
beritahu boss aku. Dia tahu kau kawan
aku. Insya-ALLAH, mesti dapat. Kau datang interview
tu, buat syarat aje. Kau memang dah
dapat dah kerja tu,” Johari menyakinkan sambil tersenyum memandang Adik.
“ Heh, kau ni, biar betul?” Adik
memandang Johari seakan tidak percaya.
“ Iyalah! Kau ingat aku main-main
ke?” Johari menjawab selamba sambil menuang udang kering yang siap ditumbuk.
Adik memandang Johari tidak
berkelip-kelip. Anak matanya tepat memerhati Johari seakan harimau yang mahu
menerkam mangsa.
“ Eh...yang kau renung aku macam nak
telan aku ni dah kenapa?” Berkerut kening Johari membalas renungan Adik sambil
memberhentikan tangannya yang mengacau adunan tepung dengan udang kering tadi.
“ Kau janganlah bagi aku harapan
kosong, Ri.” Adik menarik muka mengharap Johari tidak menipu padanya.
“ Laa haula wala...aku ni, pernah
bohong kau ke, Dik? Cuba cakap dengan aku?” Johari meletakkan periuk adunan di
atas kaunter kabinet dapur dan mencekak pinggang.
Adik menggeleng perlahan.
“Haa...dah tu? Yang kau cakap-cakap
aku bagi harapan kosonglah...biar betullah...dah kenapa?” Suara Johari seakan
tidak puas hati kerana Adik menaruh sangsi padanya.
“Takkan senang sangat...,” suaranya
sayu. Sungguh dia tidak menyangka, rupanya, apabila dia berhijrah ke Kuala
Lumpur, sudah ada kerja yang menanti buatnya.
“Dik...,” Johari juga menurunkan
nada suaranya kerana dilihat air muka Adik berubah. “ALLAH bagi dugaan yang
besar untuk kau...jadi, mungkin inilah pembalasan ALLAH bagi orang yang sabar
macam kau. Kau tak balas pun orang yang fitnah kau. Kau ambil keputusan untuk
berdiam diri dan terus datang sini. Baik hati kau, Dik. TUHAN sayangkan kau,”
Johari berusrah sambil mengambil kembali periuk adunan tepung cucur udang.
Air mata Adik bergenang.
Dipandangnya wajah Johari – sayu.
“Terima kasih, Ri. Kaulah sahabat
aku dunia akhirat, ” sebak dadanya ketika menuturkan kebenaran itu.
Johari tersenyum memandang
sahabatnya.
“Semuanya ALLAH dah susun, Dik. Aku
cuma tolong kau, apa yang mampu.”
Adik mengangguk dan mengelap air matanya
yang tumpah menggunakan lengan bajunya.
“Dah...kau jangan nak meleleh kat
sini macam mak Neng pulak, Dik. Karang masin pulak garlic bread aku!” pesan
Johari bersungguh-sungguh hingga Adik kembali tersenyum. Kedua-dua sahabat itu
akhirnya menyambung tugas masing-masing.
Johari sedang menggoreng adunan
cucur udang yang terakhir ketika loceng letrik rumah Alice berbunyi.
“Dik...bukakan pintu Dik. Mesti si
Diana dengan Kajol tu. Kau ambil kunci rumah yang aku sangkut belakang pintu tu
eh,” Johari memberi arahan kepada Adik yang tadinya memerhatikan Johari
memasukkan sejemput demi sejemput adunan tepung ke dalam kuali panas.
Adik bergerak ke pintu hadapan.
Kunci diambil dan dia membuka pintu kayu rumah Alice.
Apabila pintu dibuka, kelihatan di
hadapannya dua orang wanita yang cantik. Seorang berbadan agak gempal. Memakai
blaus berwarna hitam dan skirt labuh berwarna kuning. Lagaknya seperti seorang
datin. Di lehernya terdapat seutas kalung mutiara sebagai aksesori. Seorang
lagi, mempunyai tubuh yang langsing. Dia juga mempunyai wajah pelakon hindustan
yang terkenal- Kajol. Matanya pun bulat besar seperti Kajol. Alis matanya
lentik walau Adik dapat merasakan yang dia tidak memakai maskara. Kulitnya juga
agak gelap namun licin berseri. Dari pengamatan Adik, mungkin Kajol ini seorang
yang berbangsa India.
“ Haiii you alls! You must be Adik, kan?” tanya Kajol girang. Perangainya
juga persis Kajol dalam filem Kuch Kuch Hota Hai.
Adik tersenyum dan mengangguk. Dia
akui, dia agak gugup. Dia segera membuka mangga pintu rumah Alice.
“Masuklah...Ri kat belakang tu,”
ujar Adik sambil membuka pintu dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan
Diana dan Kajol. Mereka menyambut tangannya sambil tersenyum. Kajol bersalaman
serta terus memeluk Adik erat. Adik tergamam. Dia membatukan diri, tidak pula
dia cuba membalas pelukan Kajol.
“Nama mak, Diana you alls, ” jelas rakan Kajol yang
seperti ‘mak datin’ itu kepada Adik yang masih lagi kaget melihat perwatakan
kedua-dua rakan Johari.
“ My name is Kajol. Kita orang nak panggil you, apa?” Tanya Kajol meriah. Dia memakai baju kemeja T bersaiz
kecil berwarna oren dengan tulisan Peace
No War di dada dan seluar jeans
ketat.
“ Panggil dia Adik aje!!!” laung
Johari dari dapur. Memang suara Diana dan Kajol yang agak kuat, boleh didengari
dari dapur.
“ Yoooo hoooo....you alls! Mak dah datang ni!” Diana masuk
ke rumah dan memanggil Johari sambil meletakkan beg tangannya lalu terus menuju
ke dapur. Jalannya lenggang-lengguk.
Gaya mereka seperti mereka sudah
biasa bertandang ke rumah Alice. Kajol yang membawa dua botol air oren Peel Fresh pula meletakkannya di atas
meja yang sudah siap terhidang dengan roti bawang putih, sosej ayam, sup ayam
serta cendawan dan air teh O.
“ You alls! Oh my God! You alls buatkan cucur udang untuk mak ke?
Ohhhh I Loooveeee! ” Diana memegang dadanya
seakan-akan terperanjat melihat sebakul cucur udang enak yang sudah siap
digoreng.
“ Dah tu, korang asyik menyamuk kat
telinga aku hari-hari minta benda alah ni...kang kalau aku tak buat
kan...meleleh pulak air liur korang!” Johari petah menjawab.
“Haah you alls. Dah lama mak mintak tau...kalau mak mengandung, menjejeh
aje air liur anak mak nanti tauuu,” kata-kata Diana membuatkan Johari ketawa
terbahak-bahak. Begitu juga dengan Adik dan Kajol yang turut sama ketawa dengan
kenyataan Diana.
Adik hanya tersenyum-senyum kambing
melihat telatah mereka. Sungguh ini adalah pengalaman yang baru untuknya.
“Juls...mak memang suka sangat kat
cucur udang you alls tau!” Diana
mengambil sebutir dan terus memakannya, “ Oh
my God...heaven sangat you alls!
” Matanya dipejam rapat seperti dia sedang menikmati makanan paling enak dalam
dunia.
“ Puaslah hati you, Dee?” Kajol bertanya sambil memerhati gelagat Diana yang
sedang menikmati cucur udang Johari. “You
know what Juls...aku dengan Dee cari kat banyak pasar malam, tak jumpa tau.
Kau punya memang terbaik laaa Juls,” jelas Kajol sambil mengambil sebuah
majalah Vogue yang terletak di bawah
meja ruang tamu.
“ Memanglah takde jual cucur udang
macam ini kat pasar malam! Sampai kiamat pun kalau you alls cari tak ada. Aku letak udang besar ibu cari, letak udang
kering lagi,” jelas Johari sambil menggoreng adunan yang terakhir.
“ Eh...si amoy mana? Tidur ke? ” Diana
bertanya sambil berjalan ke ruang makan lalu melabuhkan punggungnya di salah
sebuah kerusi di meja makan. Adik yang tadinya memakai kain pelikat telah
menukar kain itu dengan sepasang seluar track. Entah kenapa, dia merasa janggal
hendak memakai kain pelikat cap gajah itu di hadapan Diana dan Kajol. Kain
pelikat itu hanya sesuai dibuat untuk sembahyang di kalangan jemaah lelaki.
Keluar dari bilik, dia juga mengambil tempat di meja makan yang sudah terhidang
di atasnya dengan pelbagai makanan.
“Amoy tidur le. Macam you alls tak tahu si burung hantu tu,”
Johari yang menjawab pertanyaan Diana sambil meletakkan semangkuk besar cucur
udang yang sudah siap digoreng.
“Pergi laa kejutkan dia... I dah lapar ni,” Kajol mengarahkan
sambil dia juga menuju ke meja makan setelah meletakkan majalah Vogue di atas meja bulat di ruang tamu.
Adik memandang Johari.
“Nanti kejap, bagi akak minum air
seteguk dulu, haus dari tadi kat dapur aje memasak...kepanasan aku.” Johari
faham dengan pandangan Adik. Adik mungkin berasa segan hendak mengejutkan Alice
di dalam bilik. Maklumlah mereka baru berkenalan semalam.
Diana yang sudah duduk di kerusi
meja makan bangun dan menyeluk beg tangannya yang besar. Dikeluarkan telefon
bimbit miliknya.
“You
nak telefon siapa pulak tu, Dee?” tanya Kajol yang sedang membakar dua
keping roti bawang putih di tempat pembakar roti yang diletakkan berdekatan
dengan meja makan. Bau semerbak aroma roti itu membangkitkan selera mereka.
Diana tidak menjawab sebaliknya, dia
memberi jelingan kepada Johari dan Kajol.
“Weiii...nee
how marrr...,” tiga pasang mata memandang Diana yang sedang bertelefon. “Haaa...Dee
laaa ni. Bangun laa Moy...kita orang semua sudah lapar tau...you kalau lambat...mak makan semua
ni...haaaa baru you tauuuu....tapi
mak tak nak laaa buat macam tu, kan Moy. Nanti kang, kalau koyak kain skirt mak ni? Haaa...korang ada saiz ke
nak bagi mak pinjam?” Adik, Johari dan Kajol tersengih-sengih mendengar
kata-kata Diana.
“Hah? Nak mandi dulu? Dah tak payah!
Cepat keluar dari sarang you tu! Tak
payah nak mandi-mandi...kita orang tunggu ni. Bye Moy.” Diana seraya menekan punat End Call, “Dah kejap lagi si nyonya tu keluar. Dia basuh muka kejap,”
jelas Diana kepada tiga orang rakannya yang menanti dia menghabiskan
perbualannya dengan Alice.
“You
telefon Amoy, Dee? Biliknya tak
berapa langkah aje, kau ni buang bil aje...,” kata Johari sambil
mengeleng-gelengkan kepalanya.
“Habis? Kau orang nak
suruh mak masuk bilik dia dan kejutkan dia? Kang kalau dia nampak mak yang
seksi ni...dia jadi Wong Ah Leng dan peluk mak, macam mana you alls? Heee....kes naya tauuu! Mak tak rela you alls!” Diana membela perbuatannya sambil memberikan jelingan
kepada Johari.
Ketiga-tiga rakan itu
terus tergelak besar dengan kenyataan Diana lebih-lebih lagi apabila dia menyebut
nama sebenar Alice.
Tidak sampai lima minit
selepas Diana menelefon Alice, tuan rumah itu keluar dan menyertai mereka di
ruang makan dengan mata yang sepet dan sembab.
“Apa yang you alls semua ketawakan tadi?” tanya
Alice dengan suara yang serak-serak basah macam itik serati.
“Takde apalah Moy...kau
tahulah kalau si Dee ni kalau dia datang...boleh pecah rumah kita Moy, ” Johari
menjelaskan sambil menyenduk sup ayam cendawan untuk diberi kepada
rakan-rakannya.
“Eleh...tapi kau orang
tetap suka, kan kalau mak datang rumah kau orang? Mak kan DIVA!” Diana
menjeling Johari sambil mengibaskan rambutnya yang separa bahu itu.
“Iyalah, iyalah, Diva
laaa sangat...yang Julia Roberts masuk dapur buatkan cucur udang special ni, kau jangan lupa pulak!” Johari
menjeling Diana.
Amoy dan Kajol
terkekeh-kekeh ketawa.
“Eh...mak tak lupakan
kau, Juls! Kau memang satu-satunya pelakon Hollywood yang pandai buat cucur
udang ni tauuu!”
“Chop! Habis yang Kajol
bakar roti ni? Kau orang lupakan ya?” Kajol membesarkan mata memandang
rakan-rakan yang menanti Johari membahagikan sup cendawan di dalam mangkuk sup.
“Iyalah...iyalah...kita
orang tak lupalah kat kau,” Diana pantas menjawab.
“Abang Shah Rukh tak ikut sekali?” Terus pula dia bertanya kepada
rakannya yang bermata besar itu.
“Abang Shah Rukh tengah
berlakon dengan Rani Mukherjee, nyah!” Jawab Kajol selamba. Alice, Johari dan
Adik tersengih-sengih. Diana pula sudah pun mencicah roti bakar di dalam sup
cendawan yang diberi oleh Johari sebentar tadi.
Adik lebih banyak
memerhati dan tersenyum. Dia masih baru dalam suasana sosial sebegini. Dia
tidak menyangka yang dia akan mengenali Alice, Diana dan Kajol. Kesemua mereka
mempunyai perwatakan yang sama. Kemuanya seperti Johari. Meriah, peramah,
kelakar, baik hati dan suka berangan. Hati Adik terhibur. Terubat juga rasa
rindu mengenangkan insan-insan yang ditinggalkan di kampung. Dia memang
benar-benar teruja dengan pengalaman baru ini. Tetapi jauh di sudut hati, dia
terkenangkan emak. Sewaktu menjeling ke arah jam dinding besar rumah Alice,
waktu sudah menunjukkan jam sepuluh pagi. Dia terbayang wajah emak. Dia
teringatkan Kak Nora. Pasti Kak Nora sedang menggubah barang hantaran ataupun
pergi mengandam di hari-hari minggu begini.
‘Pasti emak sedang
menyidai baju atau menyiapkan barang-barang untuk masak tengahari.’ Adik
menarik nafas panjang. Rindu menggamit lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan