Rabu, 8 Jun 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 15 - karya Rohani Deraman







S
udah agak lama Rosni tidak mengunjungi rumah banglo abang sulungnya, Ahmad Adham.  Ketika dia menerima panggilan telefon dari Mursyid memberitahu Ahmad Adham jatuh sakit, dia berada di Medan menguruskan perniagaannya.
Baru kali ini dia berpeluang untuk datang menziarahi abangnya. Ternyata apa yang    dikhabarkan oleh Mursyid itu benar belaka. Ahmad Adham sangat kurus dan cengkung. Pergerakannya juga bergantung kepada sebatang tongkat di ketiaknya.
“Kak Tina mana bang?” Matanya melilau mencari selepas tangan Ahmad Adham dicium dengan penuh hormat.

“Dia ke pasar. Kejap lagi baliklah tu. Marilah minum. Kebetulan akak kau ada buatkan karipap ayam dan kuih rendang kasturi ni,” ajak Ahmad Adham sambil menunjukkan juadah  yang sedia terhidang di meja.
Rosni melihat ke arah piring yang berisi karipap ayam dengan berselera. Walaupun dia tidak sukakan Kartina sejak dulu lagi, namun dia amat gemarkan karipap ayam hasil tangan wanita itu. Rasanya memang agak lain dari karipap ayam orang lain.
“Saya minta maaf bang, kerana masa abang sakit hari tu saya tak dapat datang,” kata Rosni sambil mengunyah dengan sedikit gelojoh.
“Yalah, Kuala Lumpur dan Ipoh dah semakin jauh. Tak guna ada lapangan terbang yang canggih. Tak guna juga ada lebuhraya yang selesa kalau silaturrahim kita semakin renggang,” sindir Ahmad Adham dengan senyum sinis.
Rosni tidak tersentak. Dia tahu dia akan menerima tempelak itu. Memang dia tidak kisah. Karipap ayam dikunyah juga dengan penuh selera. Dengan perlahan pula dia menghirup nescafe panas. Sungguh menyelerakan.
“Abang kena faham, saya ni orang bisnes. Masa Mursyid telefon saya ada di Medan. Dan ketika itu pula saya terikat dengan jadual kerja yang ketat. Lepas Medan, saya ke Jakarta. Baru semalam saya balik,” jelas Kartina.
“Aku faham. Aku juga orang bisnes. Tapi aku tak pernah tukar wang ringgit dengan kasih  sayang dan silaturrahim keluarga. Kita bukan ada ramai adik beradik. Fariza memang jauh di Arab Saudi. Dia memang susah untuk balik sebab dia terikat dengan kontraknya dengan Kerajaan Arab Saudi. Tapi kau? Aku dah faham benar  perangai  kau ni.”
            Ahmad Adham menjeling. Dia mencari kerinduan pada wajah adik bongsunya itu. Namun, memang tidak pernah ada!

Ketika Rosni termangu-mangu mencari ayat untuk menyanggah kata-kata abangnya itu, bunyi enjin kereta memasuki garaj. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya abangnya akan menghentikan ‘khutbah’ yang tidak suka didengarnya.
            “Hmm, dah balik pun mereka,” kata Ahmad Adham menjengahkan kepala.           Kartina masuk diikuti Mursyid dan Kamaruzaman. Di tangan masing-masing menjinjit plastik yang mengandungi berbagai barang.
            “Eh, Ros. Bila sampai?” tegur Kartina dengan senyum ramah. Dia meletakkan barang yang dijinjitnya dan berjalan ke arah ruang tamu. Mursyid dan Kamaruzaman pula terus ke dapur untuk menghantar barang-barang yang dibeli.
            Rosni bangun dan bersalaman dengan Kartina. Kemudian matanya memandang ke arah lelaki yang berjalan bersama Mursyid.
            Kartina pula tanpa segan mendekati Ahmad Adham dan mencium pipinya.
            “Abang okey tak?” tanya Kartina.
Ahmad Adham membalasnya dengan senyuman. “Maafkan abang kerana tak temankan Tina ke pasar,” kata Ahmad Adham sambil memeluk pinggang Kartina, mesra.
“Tak apa abah. Hari ni ibu bawa dua pengiring. Kami jaga ibu dengan baik. Abah usah risau. Kami yang bawa barang. Kami yang beli barang. Ibu hanya tunjuk-tunjuk sahaja. Kami buat dia macam permaisuri macam yang abah nak,” kata Mursyid keluar dari dapur. Dia terus bersalam dengan Rosni sebelum duduk di sebelahnya.
           

“Benar Adham. Kami dah ikut arahan awak. Dia adalah ratu yang memerintah kita hari ni,” celah Kamaruzaman pula. Ahmad Adham ketawa berdekah-dekah. Laporan kedua-duanya amat menggelikan hatinya.
Hati Rosni semakin tidak keruan. Kemesraan yang dilihatnya begitu janggal.
“Syid tak kerja ke hari ni?” tanya Rosni, cuba mematikan suasana mesra yang sedang merewang itu.
            “Mak usu, sejak abah sakit Syid ambil cuti panjang.”
            “Cuti? Habis siapa yang uruskan syarikat?”
“Abang Muhayat kan dah balik? Dialah yang jadi bos besar sekarang,” jawab Mursyid sambil mencapai sebiji karipap ayam dan mengunyahnya dengan selamba.
Wajah Rosni berubah rona. Ketika itu matanya menatap wajah lelaki yang duduk bertentang dengannya.
“Itu Kamaruzaman, ayah kandung Muhayat,” kata Ahmad Adham ketika melihat wajah sangsi Rosni dengan ekor matanya.
Rosni tersentap. Kali ini hatinya berderau. Rasa bencinya kepada Kartina dan Muhayat semakin mencengkam jiwa. Dia menjeling kepada Kartina. Wanita itu dilihatnya semakin ceria dan bahagia.
“Ros, makan tengah hari di sinilah hari ni. Kak Tina nak masak kuzi kambing kegemaran Syid dan Abang Zaman,” kata Kartina.
  “Wah! Sedap tu! Abang pun dah lama tak makan kuzi kambing. Sejak...” Kamaruzaman terhenti. Dia tidak jadi meneruskan kata-katanya. 

Tiba-tiba dia rasa gugup dan resah. Mata Kartina yang sedang merenungnya membuatkan dia rasa serba salah.
“Saya pun dah lama tak makan. Hari ni dapatlah saya makan puas-puas,” kata Ahmad Adham cuba menutup keresahan hati Kamaruzaman. Dia faham maksud kata-kata Kamaruzaman itu walaupun ayatnya tidak bernoktah.
“Abang! Bukankah abang tak boleh makan daging kambing? Abang lupa abang tu ada darah tinggi? Nanti tak pasal-pasal abang jatuh sakit lagi,” kata Rosni, sambil matanya menjeling ke arah Kartina.
“Jangan bimbang, Kak Tina akan masak resepi lain untuk abang.”
“Akak dah tahu dia tak boleh makan daging kambing. Buat apa akak nak masak resepi tu?”
            “Akak masak untuk Syid. Dia yang minta. Memang dah lama tak masak kuzi kambing.”
            “Bukan untuk dia?” tanya Rosni sambil berpaling ke arah Kamaruzaman.
            “Untuk mereka berdua. Apa salahnya Kak Tina masak resepi kuzi kambing tu? Kalau abang tak boleh makan, tak semestinya orang lain semua kena ikut. Yang sakit tu abang. Orang yang sihat tak payah nak berpantang!” Ahmad Adham cuba mematikan api yang sedang dinyalakan oleh Rosni.
Rosni menarik muka masam.
            “Ibu, marilah ke dapur. Hari ni, Syid tolong ibu kat dapur tu!” kata Mursyid cuba mematikan api pertelingkahan yang cuba dinyalakan mak usunya. Dia faham dan tahu benar, mak usunya tidak sukakan ibunya.
            “Tak payahlah. Syid teman abah. Ibu dah biasa memasak seorang diri. Atau Syid temankan Abah Zaman,” kata Kartina. Dia segera bangun. Dia juga sudah mula merasakan ada bahang di ruang tamu itu. 

“Kalau macam tu, Syid nak ajak Abah Zaman keluar boleh tak ibu?” tanya Mursyid.
            “Nak ke mana lagi?” tanya Kartina.
            Mursyid tersengih-sengih. Dia tidak menjawab sebaliknya bangun dan mencapai kunci kereta.
            “Jom abah. Kita keluar. Syid nak beli barang,” kata Mursyid sambil menarik tangan Kamaruzaman. Dengan patuh, Kamaruzaman mengekori Mursyid. Dadanya rasa lega.
            Ahmad Adham senyum senang. Dia bersyukur kerana Mursyid dan Marsyila dapat menerima Kamaruzaman dengan baik. Sejak Kamaruzaman muncul dalam hidup mereka, kemesraan tidak pernah terbatas. Langsung tidak ada benteng untuk mereka mengasihi dan menghormati Kamaruzaman.
            Rosni membetulkan duduknya. Dia juga rasa lega selepas semua orang pergi meninggalkan ruang tamu itu. Agenda yang ada dalam fikirannya dapat diteruskan tanpa halangan.
            “Kenapa abang ni baik sangat?” Rosni memulakan bicara.
            “Apa maksud kau, Ros?” Ahmad Adham menoleh. Wajah adiknya direnung.       
            “Abang suka sangat beri muka pada orang luar.”
            “Orang luar mana?”
            “Muhayat dan ayahnya tu. Ros tak suka bang. Muhayat tu hanya anak tiri abang. Tapi abang beri dia kuasa dalam syarikat. Lama kelamaan, dia besar kepala dan bolot semua harta abang. Baru abang tahu!”

Ahmad Adham merenung wajah Rosni. Dia mula membaca titik hitam yang ada di hati Rosni.  Sejak awal memang dia tahu Rosni tidak sukakan Kartina dan Muhayat. Namun semuanya sudah lama. Umur Muhayat sudah tiga puluh tahun lebih. Apakah perasaan itu tidak pernah terubat?
            “Ros, Muhayat itu bukan orang lain. Dia adalah anak abang. Memang nama abang tak ada di hujung namanya, tapi abang bela dia dari umur enam bulan. Berak kencingnya, tangan abang yang membasuhnya. Apa salahnya, demi kasih sayang abang syarikat itu abang serahkan kepada dia. Mursyid dan Marsyila pun setuju. Saham mereka tetap ada dalam syarikat itu,” kata Ahmad Adham dengan tenang.
            “Abang percaya sangat dengan dia. Tak terfikir ke abang satu hari nanti dia akan ambil kesempatan atas kebaikan abang ni?”
            “Apa sebenarnya yang kau nak cakap, Ros?” tengking Ahmad Adham. Dia rasa Rosni cuba membakar hatinya. Dia rasa Rosni datang dengan jarum hasutannya.       Ahmad Adham tidak akan membiarkan jarum itu menusuk ke dalam dirinya. Dia kenal siapa Rosni dan dia kenal siapa Kartina dan Muhayat.
            “Saya nak cakap, abang ni sedang diperkuda oleh Kak Tina dan anaknya,” kata Rosni, tanpa segan.
            “Ros! Jaga mulut kau. Tina itu isteri abang. Buruk baik dia, hanya abang yang tahu. Kami dah lama hidup bersama. Kami dah rasa semua susah dan senang. Engkau tu yang sedang diperkuda oleh syaitan!” sergah Ahmad Adham, semakin naik berang.
“Abang nampaknya semakin tak sedar. Abang sekarang sedang buat perkara yang ganjil dan pelik.”
“Apa yang ganjil? Apa yang pelik tu?”

“Belum pernah dibuat orang, bekas suami datang ke rumah bekas isterinya. Tinggal bersama dalam sebuah rumah. Pergi berjalan ke sana sini bersama!” Rosni mencebik.
Ahmad Adham tidak segera menjawab. Namun seketika dia tersenyum. Dia mula membaca apa yang ada dalam hati Rosni.  
“Sebab orang tak buat, maka abang buat. Abang nak masyarakat belajar, bahawa perceraian itu bukan alasan untuk bermusuhan.”
“Tapi abang sedang mengundang fitnah. Masyarakat akan memandang serong terhadap abang nanti,” tingkah Rosni, semakin bersungguh-sungguh.
“Setakat ini yang memandang serong hanya kau, Ros. Sebab dalam hati kau ada satu titik hitam, jadi apa yang kau lihat tentang Kartina dan Muhayat semuanya salah. Apa yang kau marah sangat dengan mereka tu?” Ahmad Adham melorotkan matanya kepada Rosni.
Rosni tunduk. Dia kalah dengan sorotan mata itu. Namun, dalam hatinya sedikitpun dia belum rasa kalah dan bersalah.
“Abang nak tahu kenapa? Sebab mereka sedang merampas hak orang lain,” jawab Rosni.
“Hak siapa?”
Diam. Rosni mencari-cari jawapan yang dia sendiri tidak tahu. Yang dia tahu hanyalah sebuah kebencian yang semakin meluap-luap!

“Dengar sini Ros. Kau memang adik abang. Selama ini abang tak pernah ganggu hidup kau. Abang juga tak pernah tanya pasal bisnes kau. Apa lagi pasal harta benda milik kau. Jadi, abang harap kau pun macam tu. Tak payahlah kau nak hasut abang supaya menidakkan hak Muhayat dalam pembahagian harta abang. Walau apapun yang kau kata, dia tetap anak abang. Dia telah membahagiakan abang selama ini,” kata Ahmad Adham.
“Abang …”
“Ros, sudahlah. Kalau kau datang ke sini hanya untuk menghasut abang, lain kali tak payah datang. Abang dah tua. Abang nak hidup aman dengan anak isteri abang. Semua harta abang dah abang bahagi-bahagikan dengan adil. Kalau abang mati sekarang, semuanya dah ada bahagian masing-masing,” potong Ahmad Adham sebelum sempat Rosni meneruskan kata-katanya.
Rosni menarik muka masam. Tanpa berlengah, dia mencapai beg tangannya dan berlalu meninggalkan rumah itu tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada Kartina di dapur.
Deruman enjin keretanya yang kuat membuatkan Kartina keluar menjengah.
“Mana Ros? Kenapa tak tunggu makan tengah hari?”
“Dia tu kan macam angin ribut. Datangnya tiba-tiba, pergi juga serta merta. Biarlah. Selamat sikit kuzi kambing Tina tu. Dah orang tak sudi, jangan dipaksa,” jawab Ahmad Adham, tersenyum sinis.
Kartina rasa tidak sedap hati. Dia mendekati Ahmad Adham dan meneliti wajahnya.
“Ada apa bang? Ada yang tak kena ke?”

“Tak ada apalah. Pertelingkahan adik beradik saja. Tina tahulah perangai Ros tu,” jawab Ahmad Adham.
“Abang ni, sekali-sekala orang tu datang abang ajak bergaduh pulak!” kata Kartina.
“Bukan abang yang ajak dia bergaduh, dia yang cari pasal,” balas Ahmad Adham dengan ketawa kecil untuk menghilangkan tekanan yang menghempapnya. 






           

           




Tiada ulasan:

Catat Ulasan