F
|
irdaus sudah
memberi khabar bahawa Ahmad Adham dan Kartina akan sampai dari Ipoh hari itu.
Dari Johor Bahru, mereka tidak akan singgah di mana-mana. Akan terus ke
kampung. Kononnya Ahmad Adham dan Kartina tidak sabar untuk bertemu Kamaruzaman.
“Ru, hari ni mereka akan sampai. Tolong masak yang istimewa ya,” kata
Kamaruzaman kepada Rukiyah.
“Siapa bang?” tanya Rukiyah, termangu-mangu.
“Eh, Ru lupa ke? Kan abang dah cakap, kita akan ada tetamu. Tetamu dari
Ipoh.”
“Oh, bekas isteri abang tu!”
“Ya. Mereka akan sampai hari ni. Ru
masak sedap-sedap ya.”
“Ramai ke yang nak datang ni bang?” Rukiyah rasa curiga. Perkataan
‘mereka’ menarik perhatiannya.
“Hanya mereka berdua saja.”
“Mereka?” Akhirnya Rukiyah bertanya juga. Dia tidak mahu tenggelam dalam teka-teki lagi.
“Ya. Kartina dan suaminya Ahmad Adham.”
Rukiyah mengurut dada. Dia rasa lega sangat. Sekurang-kurangnya
kemunculan Kartina tidak menimbulkan fitnah atau mengganggu hajat Kamaruzaman
untuk menyunting gadis Siti Solehah.
“Baiklah bang.
Saya ke dapur sekarang. Saya akan masak yang sedap-sedap,” kata Rukiyah,
berlalu ke dapur dengan segala senang hati.
Kamaruzaman turun ke tanah. Dia mengintai-ngintai motor Amin. Tidak ada.
“Ru! Amin mana?” laung Kamaruzaman dari halaman.
“Abang Amin ke
kedai, ambil ikan yang saya pesan semalam. Kenapa bang?” tanya Rukiyah,
tergesa-gesa keluar dari dapur.
Kamaruzaman
angguk.
“Tak ada apa.
Abang pun ingat nak ajak dia ke kedai.”
“Abang nak
beli apa?”
“Nak ke warung
Muna. Mana tahu ada kuih muih. Kartina suka makan kuih
rendang kasturi,” jawab Kamaruzaman.
“Mana ada jual kuih tu kat warong tu, bang. Kalau abang nak, Ru boleh
buatkan. Kacang hijau pun ada kat dapur tu.”
“Bolehkah? Kesian Ru. Kena buat macam-macam,” balas Kamaruzaman.
“Masak ni hobi Ru, bang. Abang suruh saja. Ru akan buat. Kalau Ru tak pandai, Ru cari buku resepi.” Rukiyah menjawab dengan
ketawa. Tidak lama, dia kembali ke dapur.
Kamaruzaman duduk di tangga. Entah kenapa, hatinya sangat girang hari
ini. Dia tidak pernah termimpi kalau Ahmad Adham dan Kartina akan datang.
Hampir waktu zuhur, semua hidangan siap dimasak oleh Rukiyah. Sambal
tumis terung pipit, masak lemak udang dengan nenas, asam pedas ikan merah dan
kacang buncis goreng dengan tempe. Pencuci mulut ialah kuih rendang kasturi dan
puding roti.
“Wah! Macam masakan di restoren!” kata Kamaruzaman ketika hidangan
sedang diatur oleh Amin di meja makan.
“Ru memang cekap bab masak memasak ni bang. Abang cakap je nak makan
apa, dia pasti akan masak,” balas Amin.
Kamaruzaman angguk. Dia akur dengan kata-kata Amin itu. Selama dia
berada di kampung, setiap hari Rukiyah menghidangkan masakan yang berbeza.
Masakan kampung yang sangat disukai oleh Kamaruzaman.
Mata Kamaruzaman tidak lepas dari memandang ke arah jalan masuk ke
rumah itu. Wajahnya sangat teruja.
“Ru, tengoklah Abang Zaman tu. Gelisah benar dia menanti Firdaus
sampai,” bisik Amin.
“Bukan kerana Firdaus, tapi tetamu yang dibawa tu,” balas Rukiyah.
Amin diam. Dia setuju dengan kata-kata isterinya. Sebab sebelum ini
Kamaruzaman tidak pernah bersikap begitu.
Setengah jam selepas azan zuhur, kereta Firdaus memasuki halaman. Kamaruzaman
yang selesai menunaikan solat, segera bangun dan berjalan ke pintu. Wajahnya
segar bercahaya.
Rukiyah dan Amin mengekorinya. Mereka juga teruja untuk melihat wajah
Kartina, yang pernah mengisi hidup Kamaruzaman sebelum ini.
“Assalamualaikum sahabatku!” ucap Ahmad Adham ketika keluar dari
kereta.
Kamaruzaman tidak sempat menjawab salam itu. Tubuhnya segera ditarik dan dipeluk erat oleh Ahmad Adham. Dia membalas pelukan itu.
“Akhirnya saya sampai juga di kampung awak. Awak tengok, serta merta
kaki saya kuat dan saya mampu berjalan tanpa tongkat!” kata Ahmad Adham dengan
ceria.
“Alhamdulillah, ALLAH makbulkan doa saya agar awak berdua sihat,” balas
Kamaruzaman pula.
Lama mereka berpelukan dan melepaskan rindu.
“Abang berdua ni kalau dah jumpa, langsung terlupa dunia!” kata Kartina
yang lama berdiri di belakang mereka. Dia berpura-pura merajuk.
“Oh ya! Terlupa pulak kita. Merajuk dah permaisuri kita,” kata Ahmad
Adham sambil ketawa.
“Tina apa khabar?” tanya Kamaruzaman menoleh dan merenung Kartina yang
berpura-pura merajuk itu.
“Alhamdulillah...Tina sihat. Cuma sekali sekala sakit tu dah adat orang
tua,” jawab Kartina.
“Tua? Ish, mana ada?” celah Ahmad Adham.
“Ya, kita ni bukan tua, tapi lama. Barang lama, selalunya akan dianggap
antik dan dihargai.”
Mereka ketawa dengan mesra.
Amin dan Rukiyah melihat dari
jauh. Hati mereka tersentuh dengan keakraban itu.
“Patutlah Abang Zaman gelisah dari tadi,” bisik Rukiyah perlahan.
“Hanya bekas isterinya, mana anak Abang Zaman. Tak adapun!” balas Amin
pula.
“Ish! Itu kita tanya kemudian. Sekarang, kita siapkan hidangan. Mereka
tentu dah lapar.” Rukiyah berjalan masuk dan menuju ke dapur. Hanya nasi yang
belum disendukkan. Yang lain-lainnya
sudah sedia dihidang.
“Kak Ru, sedapnya bau. Tak sabar nak makan ni!” tegur Firdaus selepas
meletakkan beg-beg tetamu di bilik yang sudah disediakan.
“Lapar ya! Pergi tolong Kak Ru hantarkan nasi ni ke meja. Semuanya dah
siap tu. Tinggal ceduk nasi saja,” kata Rukiyah.
“Kak Ru, apa yang boleh Zurie tolong?” tanya Zurie pula menawarkan
diri.
“Tak ada apa, Zurie. Semua dah siap dah. Jom, kita ke meja makan.”
Rukiyah berjalan membawa mangkuk nasi.
“Abang, ajaklah tetamu kita makan. Dah lambat ni. Tentu semua dah lapar,”
kata Rukiyah dengan senyum mesra.
“Ru, Amin, mari abang kenalkan. Inilah sahabat abang dari Ipoh, Ahmad
Adham dan isterinya Kartina. Adham, Tina, inilah saudara saya yang menjaga dan
menguruskan saya selama di sini,” kata Kamaruzaman, memperkenalkan.
Mereka bersalaman. Hati Rukiyah dan Amin amat tersentuh dengan
perkataan ‘saudara’ itu. Mereka terharu dengan anggapan Kamaruzaman terhadap
mereka. Mereka tidak dianggap pembantu yang dibayar gaji, tetapi dianggap
saudara.
“Abah, lepas ni kita duduk berkenalan dan bersembang. Sekarang, Fir dah
tak tahan sangat menghidu bau masakan Kak Ru ni. Marilah kita makan,” ajak
Firdaus.
“Benar tu. Marilah kita makan. Lepas makan, kita boleh sembang lagi. Jemputlah
Adham, Tina. Ini saja yang mampu kami sediakan. Masakan kampung,” kata
Kamaruzaman.
Mereka duduk menghadap hidangan. Perbualan dan gurauan menjadi pengiring
dan perisa yang menambahkan selera. Akhirnya, masing-masing bersendawa dengan
ucapan Alhamdulillah penuh syukur.
“Kalau setiap hari saya makan macam ni, naik berat badan saya.” Ahmad Adham melepaskan sendawa. Dia mencuci tangan.
“Duduklah lama-lama di sini. Awak akan rasa resepi masakan Ru yang
sedap setiap hari,” balas Kamaruzaman, ikut membasuh tangan.
“Memang kami akan lama di sini. Itupun kalau awak sudi menumpangkan
kami di sini,” kata Ahmad Adham selamba. Dia mengambil sebiji kuih rendang
kasturi.
Kamaruzaman tidak tersentak. Sedikit sebanyak dia sudah mendengarnya
dari Firdaus mengenai ‘huru-hara’ yang sedang melanda kehidupan Ahmad Adham dan
Kartina.
“Adham, janganlah cakap macam tu. Kita ni dah macam saudara. Walaupun kita baru dipertemukan, tapi saya
rasa awak adalah sebahagian dari hidup saya. Jasa awak menjaga Tina dan
membesarkan Muhayat tak dapat saya balas dengan wang ringgit. Sekarang, ALLAH
berikan saya peluang untuk membalas semua kebaikan awak itu. Tinggallah di sini
selama mana yang awak suka,” kata Kamaruzaman sambil menepuk-nepuk lengan Ahmad
Adham.
“Terima kasih Zaman. Saya memang boleh pergi ke tempat lain atau ke
rumah anak-anak yang lain. Tapi, saya dan Tina
dah ambil keputusan untuk tinggal di sini untuk sementara. Sehingga satu
masa... ” Ahmad Adham terhenti. Dia tunduk sebak.
Kamaruzaman segera faham. Dia tidak mahu
bertanya apa-apa lagi.
“Tina, tengok ni. Ru buatkan Tina kuih rendang kasturi kegemaran Tina.
Makanlah,” kata Kamaruzaman kepada Kartina. Dia cuba mengalihkan pandangan dan
suasana menjadi lebih ceria.
Kartina angguk dengan senyum terpaksa. Memang
itu kuih kegemarannya dan kuih kegemaran Kamaruzaman juga. Namun, ia bukan kuih
kegemaran Muhayat!
Sudah seminggu Ahmad Adham dan Kartina berada di kampung itu. Angin
segar dan nyaman telah menyegarkan jiwa mereka juga. Agenda yang diatur oleh
Kamaruzaman juga menyenangkan hati mereka.
Setiap waktu subuh, mereka akan ke masjid untuk berjemaah. Balik dari
masjid, mereka akan bersarapan samada di rumah atau di warung Muna.
Selepas bersarapan, mereka akan dibawa berjalan-jalan ke kebun
buah-buahan yang bersebelahan dengan kebun getah.
“Terima kasih sahabatku. Saya
rasa tenang sekarang. Saya tak nak fikirkan apa-apa lagi selain hari mati. Nak
duduk di sini dan mengumpul amal. Bolehkah Zaman?” tanya Ahmad Adham.
“Duduklah selama mana pun. Saya amat berbesar hati. Sangat gembira,” jawab Kamaruzaman, jujur.
“Apa kata permaisuri beta?” Ahmad Adham berpaling kepada Kartina yang
asyik memerhati buah rambutan yang berjuntaian.
“Patik menurut
perintah paduka tuanku. Janji tuanku tak akan tinggalkan patik di tepi jalan,”
balas Kartina.
Kata-kata
Kartina itu membuatkan ketawa Ahmad Adham dan Kamaruzaman berdekah memecah
sunyi kebun itu. Tiba-tiba ketawa Kamaruzaman terhenti. Matanya terpaku pada susuk
tubuh sesaorang di kebun bertentangan.
Siti Solehah!
“Siapa tu
bang?” tanya Kartina kepada Kamaruzaman.
“Itu Siti
Solehah, anak Pak Tahir yang menoreh di kebun tu sejak dulu.”
Wajah
Kamaruzaman berubah ketika menyebut nama Siti Solehah. Sebenarnya sejak dia
melangkah turun dari rumah Pak Tahir dulu, dia belum berani menyebut nama itu.
Apa lagi untuk bersua muka.
“Zaman,
kenapa?” tanya Ahmad Adham, curiga. Dia terkesan dengan
perubahan pada wajah Kamaruzaman itu.
“T... tak ada apa-apa,” jawab Kamaruzaman, sedikit gugup.
“Abang, kalau ada masalah beritahulah kami. Kalau abang anggap kami
saudara abang, apa salahnya kita berkongsi rahsia,” kata Kartina pula.
Kamaruzaman tidak berhajat untuk berahsia. Dia cuma rasa malu. Dia bimbang Ahmad Adham dan Kartina akan tersalah
faham.
Kartina dan Ahmad Adham pun tidak mahu menyoal lagi. Mungkin ada
perkara yang Kamaruzaman tidak mahu berkongsi dengan mereka. Hal itu tidak
boleh dipaksa.
Ketika matahari mula meninggi, mereka meninggalkan kebun itu. Amin
datang mengambil mereka secara bergilir-gilir. Kartina yang pertama dibonceng
pulang.
“Penat kak?” tanya Rukiyah ketika Kartina melabuhkan punggung di
tangga. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan hujung baju.
“Penatlah juga. Dah lama akak tak ke kebun macam ni. Masa muda-muda dulu, adalah. Banyak
juga pokok buah-buahan di kebun tu ya!” balas Kartina.
“Musim buah
dah nak habis. Kalau akak datang hari tu, tak
habis makan. Tahun ni semua pokok berbuah lebat. Seperti tahu bahawa Abang
Zaman akan datang.”
“Habis, semua buah-buahan itu dijual ke?”
“Taklah. Abang Zaman beri sedekah pada semua orang kampung.”
Kartina angguk.
“Kak, boleh Ru tanya akak sikit?”
Sekali lagi Kartina angguk, sebagai tanda memberi izin.
“Masa akak jadi isteri Abang Zaman dulu, akak pernah datang kampung ni
tak?”
“Dah lama masa berlalu Ru. Seingat akak, akak tak pernah datang.
Lagipun, arwah mak Abang Zaman tinggal di Johor Bahru. Jadi, akak tak tahu pun
pasal kampung ni.”
Rukiyah angguk. Patutlah Kartina tidak kenal seorang pun
orang kampung itu. Patutlah juga seorang pun tidak kenal siapa Kartina.
“Akak pulak
nak tanya Ru. Boleh?” Kartina berpaling
kepada Rukiyah.
“Tanyalah. Kalau soalannya senang, Ru akan jawab. Kalau susah, kenalah
akak beri masa,” jawab Rukiyah dengan ketawa.
“Tadi, kami ternampak seorang gadis di kebun getah tu. Ru kenal gadis
tu?”
“Maksud akak,
Siti Solehah?”
Kartina
angguk. Matanya menatap Rukiyah dengan penuh harap.
“Siapa tak
kenal Siti. Satu kampung ni kenal dia. Budak
tu baik, rajin dan berbudi bahasa. Dia juga pandai.
Cuma...”
Rukiyah merenung ke arah jalan. Kartina tetap menanti.
“Dia orang miskin. Keputusan peperiksaannya cemerlang, tapi dia tak
dapat nak teruskan kerana Pak Tahir sakit. Kesian dia, kak.”
Hati Kartina jatuh simpati.
“Itu yang Abang Zaman cuba nak bantu. Dia nak Siti sambung belajar. Dia
nak Siti teruskan cita-citanya. Dalam masa yang sama, dia tak nak difitnah,”
kata Rukiyah.
“Apa maksud Ru? Akak tak faham.”
“Abang Zaman melamar Siti untuk jadi isterinya.”
Kartina terdiam. Barulah dia faham apa yang tersirat di sebalik
kegugupan dan perubahan wajah Kamaruzaman ketika menyebut nama Siti Solehah
tadi. Akhirnya, bibir Kartina menguntum senyuman.
“Kenapa Kak Tina senyum?” tanya Rukiyah, agak ragu-ragu.
“Akak senang
hati dengan keputusan Abang Zaman ni.”
“Maksud akak,
akak setuju Abang Zaman kahwin dengan Siti?”
“Akak akan
setuju kalau Abang Zaman kahwin walau dengan siapa pun. Sebab dia memang
perlukan sesaorang untuk menjaganya. Dah lama dia hidup sepi selepas kematian
isterinya. Dah sampai masa dia ditemani,” jawab Kartina, jujur.
“Tapi, dia nak
berkahwin dengan Siti bukan atas alasan itu. Dia hanya nak bantu kewangan Siti dan keluarganya. Dan Siti pun, belum
tahu terima lamaran dia atau tidak,” balas Rukiyah pula dengan nada perlahan.
“Maksudnya,
Siti belum beri kata putus lagi?”
Geleng.
Kartina
termenung. Dia berfikir secara logik dan membuat andaian sendiri. Sudah tentu,
Siti Solehah tidak sanggup bersuamikan orang tua. Sudah tentu Siti Solehah sudah
ada calon pilihannya sendiri. Ataupun, mungkin Siti Solehah rasa malu pada ejekan orang nanti.
“Mari kita
berdoa agar ALLAH tetapkan jodoh mereka, Ru.”
“Siti tu budak
baik. Abang Zaman juga orang baik, Kalau bukan sebab umur, tak ada alasan Siti
nak tolak lamaran ini,” kata Rukiyah pula.
“ALLAH
berkuasa menentukan semuanya termasuk hati manusia. Kita hanya mampu merancang.
Selebihnya adalah doa,” balas Kartina pula.
Tidak lama, deruan enjin motor kedengaran mendekat.
“Itupun Abang Amin dah balik. Ru siapkan minuman dulu. Tentu semua
orang kehausan ni.” Rukiyah bangun menuju ke dapur.
Amin berhentikan motor dan Ahmad Adham turun. Kemudian Amin terus
bergerak untuk ke kebun mengambil Kamaruzaman pula.
“Abang penat?” tanya Kartina ketika Ahmad Adham duduk di sebelahnya.
“Penat memang penat. Tapi abang seronok. Banyak peluh abang keluar selama
di sini. Abang rasa sihat dan segar,” jawab Ahmad Adham.
Kartina mengesat peluh yang menitik di dahi dan muka suaminya.
“Tina seronok tak kat sini?” tanya Ahmad Adham pula. Dia merenung mata
Kartina.
“Seronok juga. Tapi, sampai bila kita nak duduk sini bang?”
Ahmad Adham
merenung ke jalan. Dia melepaskan sebuah keluhan. Ketika itu dia terbayangkan
wajah Muhayat. Dia mengharapkan Muhayat sedar kesilapannya selepas mengetahui
hal sebenar antara Kartina dan Kamaruzaman. Namun semuanya tidak berlaku.
Muhayat semakin selamba dengan dosa fitnahnya. Langsung dia tidak rasa bersalah
kerana menuduh ibu dan ayah kandungnya melakukan perkara sumbang!
“Abang, kita
kena fikir untuk tinggal lama-lama di sini. Kita kena fikirkan Abang Zaman. Dia mungkin suka kita di sini. Tapi,
kalau dia dah kahwin apa pula kata isterinya.”
“Zaman nak kahwin?” Ahmad Adham segera berpaling, Matanya melorot ke
dalam mata Kartina. Dia mencari jawapan.
“Ya. Dia dah melamar. Sedang menunggu jawapan dari pihak perempuan.”
Ahmad Adham termenung.
“Tina tak nak kita menjadi halangan dan alasan untuk gadis itu menolak
lamaran Abang Zaman,” sambung Kartina.
“Gadis?” Sekali lagi Ahmad Adham menoleh.
“Ya. Gadis yang kita lihat di kebun getah tadi.”
Ahmad Adham termenung. Fikirannya dikerah untuk mengingati apa yang
berlaku di kebun tadi. Dia terbayang wajah gugup Kamaruzaman ketika menyebut
nama gadis yang menoreh di kebunnya itu.
“Kamaruzaman...” Sebuah
keluhan terkeluar dari bibir Ahmad Adham
Tiada ulasan:
Catat Ulasan