S
|
uasana majlis akad nikah dan persandingan antara
Siti Solehah dengan Kamaruzaman berlangsung dalam suasana yang sederhana tetapi
meriah. Jemputan tidak ramai. Hanya saudara dan kenalan dekat.
Selepas
sempurna akad nikah, Siti Solehah bersalam dan mencium tangan Kamaruzaman
dengan gugup dan gementar. Diikuti dengan ucapan dan salam tahniah dari
semua yang hadir.
“Akhirnya,
bertemu juga jodoh awak dengan dia. Saya akan doakan awak berbahagia hingga
akhir hayat, Zaman.” Ahmad Adham bersalam kemudian memeluk Kamaruzaman dengan
gembira.
“Tina
pun macam tu juga, bang. Selamat pengantin baru,” ucap Kartina, ikhlas. Dia
menarik tangan Siti dan menggenggamnya erat.
“Jaga
Abang Zaman baik-baik,” bisik Kartina ke telinga Siti Solehah.
Siti
Solehah angguk perlahan dan malu-malu.
“Abah,
selamat pengantin baru. Hayat juga akan doakan agar abah bahagia. Dan...”
Muhayat bersalam dengan Kamaruzaman sambil mengenyit mata.
“Dan
apa?” tanya Kamaruzaman.
“Dan
apa lagi, dia nak adik cepat lah tu!” gurau Ahmad Adham pula.
Suasana
riuh dengan gelak ketawa para tetamu. Siti Solehah tersipu malu. Merah padam
wajahnya.
Persandingan pula berlangsung dengan
penuh hilai ketawa. Gurauan dan usikan menjadikan dewan dipenuhi suasana
ceria.
Malam itu, malam
pertama untuk Kamaruzaman dan Siti Solehah hidup sebagai suami isteri. Malam
itu juga kali pertama mereka menjadi imam dan makmum. Solat maghrib dan isyak,
Siti Solehah setia berdiri di belakang seorang suami. Dia rasa tenang dan aman
walaupun dia masih gugup dan gementar.
Selepas
solat isyak, Kamaruzaman berdoa panjang. Siti Solehah pula mengaminkan dengan
kusyuk. Ketika doa usai, Kamaruzaman berpaling dan menghulurkan tangan kepada
Siti Solehah. Dengan tenang, Siti Solehah mengucup tangan suaminya.
“A... Abang, mulai hari ini Siti adalah isteri abang. Siti
berjanji akan taat kepada abang dan menurut apa jua perintah abang. Tegurlah
Siti jika Siti buat silap,” kata Siti Solehah, perlahan tetapi jelas.
“Siti,
abang faham perasaan Siti. Abang tahu kenapa Siti bersetuju untuk kahwin dengan abang. Abang
tahu Siti terpaksa. Oleh itu, jika Siti keberatan nak layan abang sebagai
isteri yang sebenar-benarnya, abang reda dan akan maafkan Siti. Abang akan
berikan Siti masa untuk menerima abang dengan hati dan perasaan yang ikhlas, bukan
terpaksa,” balas Kamaruzaman pula sambil mengucup dahi Siti Solehah.
Dengan tenang Siti
Solehah angguk.
Kamaruzaman bangun
dan mengemaskan sejadah. Siti Solehah ikut berbuat begitu. Tidak lama kedengaran pintu
diketuk berkali-kali.
“Pengantin baru,
mari makan. Hidangan dah siap ni!” kata Ahmad Adham di luar pintu bilik.
Kamaruzaman menoleh kepada Siti Solehah. Dia tersenyum
geli hati. Ahmad Adham melayan dia dan Siti Solehah seperti raja dan
permaisuri.
“Mari
kita keluar makan. Selagi kita tak keluar, mereka tak akan makan,” ajak Ahmad
Adham.
Tidak
lama, Kamaruzaman dan Siti Solehah keluar beriring-iringan.
“Silakan
duduk paduka tuanku dan permaisuri.” Ahmad Adham dan Kartina menyambut keduanya
dengan mesra. Seperti sudah dirancang, Zurie, Firdaus, Muhayat dan Asyikin
berdiri untuk menyambut kehadiran mereka.
“Adham,
apa ni? Malu saya!” kata Kamaruzaman, menyengih.
“Apa nak malu. Awak tak buat salah pun.
Kami hanya meraikan awak berdua.”
“Mama, makanlah
kenyang-kenyang. Jangan malu. Zurie masak ni semua untuk abah dan mama,”
kata Zurie.
Siti
Solehah semakin tersipu malu. Perkataan ‘mama’ amat menyentuh hatinya. Zurie
dan Firdaus lebih tua darinya. Muhayat juga seperti seorang abang kepadanya.
Kini semua mereka menjadi anak-anak tirinya!
Ruang
makan menjadi riuh rendah dengan gurau senda. Sambil menikmati hidangan, mereka makan
dengan santai.
“Kita harap majlis
selepas ini adalah majlis perkahwinan Muhayat dan Asyikin pulak. Adham, saya
nak awak uruskan utusan peminangan.”
“Baik tuanku.
Patik tahu tuanku dan adinda Kartina memang dah tak sabar nak menjadi nenda.
Balik dari sini, patik akan terus mengatur rancangan. Asyikin, ada masalah?”
Ahmad Adham berpaling kepada Asyikin.
Gadis itu tunduk.
Kali ini giliran dia pula menjadi sasaran mata mereka. Merah padam wajah
Asyikin.
“Biar Hayat jawab
untuk mewakili Asyikin. Dia ni pemalu
sikit,” kata Muhayat pula. Asyikin mencubit
bahu Muhayat dengan mesra.
“Silakan jawab,”
kata Ahmad Adham ikut tersenyum melihat gelagat dua merpati itu.
“Memang hal ni kami
dah bincang lama. Kami dah
setuju untuk hidup bersama. Cuma, kami belum ada masa nak bincang secara
bersungguh-sungguh. Kali ini, kami serahkan kepada abah dan ibu untuk
menguruskannya. Abah Zaman dan Mama Siti, tolong uruskan majlis untuk kami,”
jawab Muhayat. Kartina tersenyum
senang. Tidak lama lagi dia akan dapat menantu. Makan malam malam itu dirasakan
sangat menyenangkan. Ia bukan sahaja untuk meraikan pengantin baru tetapi juga
meraikan keputusan Muhayat dan Asyikin itu.
“Syukurlah,
keluarga kita akhirnya bercantum semula. Lepas ni kita rancang majlis Muhayat
dan Asyikin dengan baik,” kata Ahmad Adham dengan wajah yang sangat ceria.
Jam 11.00 malam baru
mereka meninggalkan meja makan. Masing-masing sudah mula keletihan dan
mengantuk.
Kamaruzaman
dan Siti Solehah juga masuk ke bilik pengantin.
“Siti
tidurlah di atas. Biar abang tidur di bawah,” kata Kamaruzaman sambil menarik sebiji
bantal dan berbaring di bawah.
“Abang...” Siti
Solehah rasa bersalah.
“Siti tidurlah. Abang tak akan ganggu
Siti. Abang janji.” Kamaruzaman berkata dengan senyum sambil berpusing ke arah
dinding. Sekejap sahaja kedengaran dengkuran kecil tanda lelaki itu sudah
tertidur, keletihan.
Siti Solehah menarik
selimut dan segera menyelimutkan tubuh Kamaruzaman.
“Terima
kasih bang,” kata Siti Solehah dengan terharu. Dalam masa yang
sama, dia rasa lega kerana Kamaruzaman teguh pada kata-katanya. Dia berharap agar semuanya akan kekal begitu.
Sudah
seminggu Kamaruzaman dan Siti Solehah hidup sebagai suami isteri. Hanya mereka
berdua yang tahu apa yang berlaku dalam hubungan mereka.
“Abang
harap ia menjadi rahsia kita berdua saja.” Itu kata Kamaruzaman kepada Siti
Solehah pada pagi pertama mereka berkahwin.
Beberapa
hari selepas majlis, Ahmad Adham dan Kartina pun dibawa balik oleh Muhayat ke Ipoh.
Ternyata wajah masing-masing ceria walaupun terpaksa berpisah.
“Saya
harap kita tak akan terputus lagi selepas ini, Zaman. Kalau awak dapat anak,
jangan lupa bawa ke Ipoh. Kita buat kenduri potong jambul di sana. Kita raikan
adik Muhayat pulak,” kata Ahmad Adham dengan ketawa berdekah-dekah.
“Kalau
anak perempuan, Tina akan buat anak angkat. Boleh?” Kartina ikut bergurau.
Gurauan
itu membuatkan Siti Solehah tunduk diam. Bukan hanya malu, tetapi dihantui rasa
bersalah kerana terpaksa berpura-pura.
Kamaruzaman
rasa dia juga perlu balik ke Johor Bahru. Firdaus sudah membisikkan bahawa dia
ada temujanji dengan doktor pakar jantung pada hujung minggu itu. Tidak boleh
tidak, dia mesti pergi.
“Abang
akan balik ke JB petang ni,” kata Kamaruzaman selepas menunaikan solat sunat
duha. Siti Solehah yang sedang mengemas
sejadah, membalas kata-kata itu dengan senyuman. Namun, senyuman itu seketika
sahaja. Tiba-tiba dia segera tersedar. Kini dia sudah bergelar isteri orang.
Sebagai isteri dia wajib mengikut suaminya. Dia wajib tinggal di rumah suami.
Itu hukum ALLAH bukan undang-undang rekaan manusia.
“Tak
apalah kalau Siti nak terus tinggal di sini. Abang tak kisah. Sekali-sekala
abang akan balik menjenguk Siti,” kata Kamaruzaman penuh pengertian selepas
melihat Siti Solehah termenung.
“Siti
akan ikut ke mana abang pergi selagi abang masih suami Siti,” jawab Siti
Solehah dengan jujur.
“Tapi...”
“Tidak
ada tapinya. Ini keputusan Siti,” tegas Siti Solehah.
Hati
Kamaruzaman tersentuh. Dia seperti pernah mendengar kata-kata sejujur itu
semasa mudanya, tiga puluh tahun yang lalu. Ya. Semasa baru berkahwin dengan
Kartina, hampir sama ucapan itu keluar dari bibir Kartina. Terasa sejarah itu menjadi dekat
dengannya.
“Abang,
kenapa? Salahkah apa yang Siti cakap ni?”
“Kalau
macam tu, abang ucapkan terima kasih kerana Siti sanggup hidup dengan abang.
Walaupun abang tahu, Siti menjadi isteri abang hanya kerana keluarga Siti tapi
abang gembira,” kata Kamaruzaman tanpa menoleh.
“Kenapa
abang gembira?” Siti Solehah beranikan diri untuk bertanya.
“Abang gembira sebab dapat
isteri yang taat dan berjasa kepada ibu bapa. Siti sanggup berkorban hari depan
Siti untuk kesenangan mereka. Susah nak cari gadis macam Siti dalam zaman ini,”
jawab Kamaruzaman, jujur dari lubuk
hatinya.
SITI
SOLEHAH mendengar pujian itu dengan senyuman. Pujian itu amat dihargai.
Namun ALLAH sahaja yang tahu betapa beratnya perjuangan batinnya ketika itu.
“Marilah
kita bersarapan dulu. Siti dah siapkan nasi lemak dan kuih rendang kasturi
untuk abang,” kata Siti Solehah.
“Ya.
Lepas sarapan, kita ke rumah mak dan ayah Siti. Abang kena beritahu mereka
tentang hajat Siti nak ikut abang ni,” kata Kamaruzaman pula.
Siti
Solehah angguk. Memang dia pun ada hajat yang diselesaikan sebelum berangkat
meninggalkan kampung. Dia segera mengekori Kamaruzaman keluar dari bilik menuju
ke meja makan.
Mereka bersarapan tanpa sepatah kata. Masing-masing
hanyut melayan fikiran sendiri.
Selepas
bersarapan, tanpa berlengah mereka berjalan kaki ke rumah Pak Tahir yang tidak
jauh dari rumah itu. Sepanjang jalan, mereka menjadi perhatian orang kampung.
Mereka tersenyum-senyum melihat pengantin baru yang macam anak dengan bapa itu.
Siti Solehah duduk
bersimpuh di hadapan ayah dan ibunya. Kamaruzaman juga duduk
dengan tenang. Semua hajatnya diluahkan.
“Ayah,
mak, saya nak balik ke JB petang ini. Ada urusan di sana. Ingatkan nak
tinggalkan Siti di sini. Tapi dia pula nak ikut saya balik. Harap tak jadi
masalah pada ayah dan mak di sini.” Kamaruzaman cuba membuang kegugupannya.
Walaupun agak gementar dan sukar untuk berdepan dengan kedua-dua mertuanya
dengan panggilan itu, namun dia paksa diri.
Walaupun
Pak Tahir dan Mak Jah lebih muda darinya, mereka adalah mertuanya. Usia bukan
alasan untuk membuang rasa hormat sebagai menantu.
“Dia
dah jadi milik suaminya. Kami dah tak ada hak apa-apa atas dia. Memang
seorang isteri itu wajib mengikut suaminya, bukan keluarganya,” balas Pak Tahir
dengan senyum yang dipaksa. Dia tidak mahu Siti Solehah melihat kesedihan yang
mula berputik di hatinya.
Sejak
kecil Siti Solehah tidak pernah hilang dari pandangan matanya. Kini, dia akan
dibawa pergi. Walaupun tidak jauh, tetapi mereka sudah tidak sebumbung lagi.
“Siti
sedih nak tinggalkan mak, ayah juga adik-adik ...” kata Siti Solehah menahan
sebak.
“Jangan
sedih Siti. Kami tetap akan doakan Siti bahagia,” balas Mak Jah.
“Ayah,
mak, saya dah suruh Amin carikan orang lain menoreh di kebun saya itu. Hasilnya
nanti, ayah dan mak ambillah. Saya ikhlas. Ayah dan mak tak payah menoreh lagi.
Berehatlah. Semua perbelanjaan di rumah ini saya akan tanggung. Amin akan
menjaga ayah dan mak ketika kami tiada,” kata Kamaruzaman lagi.
“Zaman,
kenapa susah-susah buat semua ni?” tanya Pak Tahir, sangat terharu.
“Saya
tak ada keluarga yang ramai. Sekarang, keluarga ini dah jadi keluarga saya. Apa
salahnya saya menjaga kebajikan keluarga mertua saya.”
Siti
Solehah merenung wajah Kamaruzaman. Dia ikut terharu. Air mata mula bergenang di hujung mata. Tanpa
berlengah, Siti Solehah mengeluarkan sebuah sampul surat. Dia perlu segera
selesaikan hajatnya pula.
“Ayah,
ini duit hantaran Siti tempoh hari. Ambillah duit ini ayah,” hulur Siti Solehah
kepada Pak Tahir.
“Eh,
kenapa pula? Inikan duit hantaran perkahwinan kamu. Kami tak berhak ke atasnya,”
kata Pak Tahir, cuba menolak pemberian itu.
“Benar
kata ayah kamu tu, Siti. Ini hak kamu. Kami tak boleh terima,” sokong Mak Jah
pula.
“Apalah
yang ada pada hak itu, jika keluarga Siti hidup susah. Ayah lebih perlukan duit
ini. Inah akan ke universiti. Hafiz masih belajar. Ayah dan mak juga perlukan
rawatan doktor. Ambillah ayah. Hanya ini yang mampu Siti buat sebagai membalas
jasa ayah kepada Siti selama ini,” kata Siti Solehah. Dia menarik tangan
ayahnya dan meletakkan sampul surat itu.
Kamaruzaman
hanya diam memerhati. Dia tahu Siti Solehah pasti akan berbuat begitu. Dan dia
rasa sangat bangga!
“Tapi
duit sepuluh ribu ni banyak sangat untuk kami, Siti. Kau simpanlah duit ni. Mungkin
satu hari kau pun memerlukannya,” kata Pak Tahir.
“Sepuluh
ribu ni belum cukup untuk membayar budi baik dan jasa mak dan ayah membesarkan Siti.
Setitik air susu mak yang Siti minum pun belum mampu Siti bayar. Ini hanya
hadiah kecil dari Siti. Terimalah ayah. Hak Siti ini adalah hak ayah dan mak
juga.”
Pak
Tahir dan Mak Jah saling berpandangan dengan rasa sangat terharu dan sebak.
Mereka mencari jawapan dari kerdipan mata masing-masing.
“Siti!
Kenapalah sebaik itu hati kamu. Kami tak berniat untuk menjual kamu demi kesenangan
hidup kami!” Tiba-tiba tangis Mak Jah mengongoi. Dia tidak menahan lagi. Dia
melepaskan tangis itu berderaian.
“Mak,
jangan cakap macam tu. Siti tak pernah ingat mak dan ayah menjual Siti. Abang Zaman
berkahwin dengan Siti kerana dia benar-benar ingin membantu kita. Dia langsung tak
ambil kesempatan terhadap kemiskinan kita,” balas Siti Solehah. Dia segera
memeluk ibunya dan melepaskan tangisannya di bahu Mak Jah.
“Mak,
esok Siti akan berada di rumah suami. Siti harap mak dan ayah janganlah risau
apa-apa. Doakan Siti dapat jadi isteri yang baik dan taat,” kata Siti Solehah
ketika melepaskan pelukannya.
“Mak
dan ayah akan sentiasa mendoakan Siti. Pergilah. Taatlah kepada suami,” kata
Mak Jah, sambil menyapu air mata Siti Solehah dengan hujung baju kurung Kedah
yang dipakainya.
“Mak, ayah, saya minta izin membawa Siti
bersama saya. Saya janji akan jaga dia dengan baik.”
“Bawalah ke mana
saja sebab dia dah jadi hak awak, Zaman. Cuma sekali-sekali tolong izikan dia
pulang ke sini menjenguk kami. Kami akan rindukan dia nanti,” balas Pak Tahir.
“Ayah, saya
langsung tak berniat nak putuskan hubungan kasih antara anak dan ibu bapanya.
Dia tetap anak ayah dan mak walaupun dia isteri saya.” Kamaruzaman menarik
tangan Pak Tahir dan menciumnya penuh hormat.
Kamaruzaman dan
Siti Solehah meninggalkan rumah itu sebelum matahari meninggi. Kepada Amin
telah diarahkan mendapatkan sebuah teksi untuk terus dibawa mereka ke Johor
Bharu.
“Amin, Ru, tolong
jaga rumah abang ni,” kata Kamaruzaman ketika bersalaman dengan Amin dan
Rukiyah.
“Abang
jangan bimbang, ini dah jadi tugas dan tanggungjawab kami. Kami akan menjaga
rumah ini dengan penuh amanah,” jawab Amin.
“Lagi
satu, abang tambahkan tugas kamu dan gaji kamu berdua,” kata Kamaruzaman lagi.
“Abang
tambahlah apa tugas pun tapi tak payahlah nak tambah gaji. Seribu ringgit
sebulan ni dah cukup untuk kami berdua,” balas Amin, tulus. Dia berkata jujur dari hati, bukan
bermuka-muka.
Dia
selalu bersyukur dengan apa yang ALLAH berikan. Seribu ringgit sebulan untuk
belanja makan minum di kampung, sudah lebih dari cukup. Mereka tidak menyewa
dan mereka tidak ada anak untuk ditanggung.
“Abang
nak kamu dan Ru jaga keluarga mertua abang. Mereka dah tak menoreh lagi. Kalau
mereka nak ke mana-mana, kamu carikan teksi. Pakai duit belanja rumah yang
abang letakkan dalam laci almari itu. Kalau mereka sakit pening, tolong hantar
ke klinik. Kamu juga pergi belanja dapur untuk mereka. Apa yang kamu beli untuk
rumah ini, kamu kena juga beli untuk rumah sana. Ingat Amin, abang tak nak
mereka hidup susah lagi. Biarkan mereka tumpukan perhatian buat amal ibadat,”
kata Kamaruzaman, berupa arahan.
Amin
angguk perlahan. Dia menahan sebak dan air mata. Rukiyah juga begitu.
“Lagi
satu, kalau mereka nak ke masjid kamu kena bawa mereka. Boleh Min?” tanya
Kamaruzaman merenung wajah Amin yang tunduk muram.
“B...
boleh bang.”
“Kenapa
kamu nampak sedih ni? Kamu tak setuju dengan tugas baru ini? Kalau ada yang
kamu tak suka, cakap terus terang. Jangan kamu merungut di dalam hati. Itu tak
baik untuk hati kamu. Akan sakit nanti!” Kamaruzaman menepuk bahu Amin. Sangat
mesra.
“Abang,
saya ikhlas dan tulus dalam menjaga amanah abang. Saya cuma terharu dengan
kebaikan abang kepada Pak Tahir dan Mak Jah. Tak sia-sia Siti berkorban untuk
keluaganya. Abang memang sangat baik hati,” jawab Amin. Kali ini dia tidak
mampu menahan air matanya lagi. Dia menangis!
“Hei!
Apa pula yang kamu tangiskan ni. Sudah, jangan menangis dan jangan banyak
memuji abang. Abang buat ini semua kerana ALLAH. Abang jujur dengan kasih
sayang abang. Kamu tahu abang tak ada keluarga lagi selain kamu berdua dan
sekarang keluarga Pak Tahir tu. Jaga mereka seperti kamu menjaga abang selama
ini,” ucap Kamaruzaman lagi.
Amin
dan Rukiyah angguk tanpa mendongak dan memandang ke arah Kamaruzaman. Sangat
terharu hati mereka dengan sikap Kamaruzaman.
“Ru,
boleh tolong abang?” tanya Kamaruzaman kepada Rukiyah yang menahan esakan.
“Cakaplah
bang,” jawab Rukiyah sambil mengesat air matanya.
“Ru
tolong kemas dan masak untuk rumah sana juga. Kalau Ru tak ada kerja di rumah
ini, Ru tolong jaga rumah sana juga. Boleh Ru?”
“Insya-ALLAH
bang. Ru akan jaga Pak Tahir dan Mak Jah macam keluarga sendiri. Abang jangan
bimbang. Abang jagalah Siti baik-baik. Dia memang budak yang baik. ALLAH memang
dah jodohkan abang dengan dia. DIA Maha Tahu,” jawab Rukiyah dengan senyum
senang.
Siti
Solehah yang mendengar semua pesanan dan amanah Kamaruzaman, ikut menitiskan
air mata. Memang dia sangat terharu.
“Siti,
tolong jaga Abang Zaman ya. Jangan peduli apa orang nak kata. Inilah jodoh yang
terbaik untuk Siti,” kata Rukiyah, sambil menarik tubuh Siti Solehah ke dalam pelukannya.
“Terima
kasih Kak Ru. Siti akan ingat semua pesan akak. Tolong tengok-tengokkan mak dan
ayah Siti. Hanya kepada Kak Ru, Siti letakkan amanah ini,” balas Siti Solehah
pula. Mereka bertangisan.
Kamaruzaman
melangkah masuk ke dalam teksi.
Siti
Solehah mengekorinya dengan mata basah. Kalau Amin dan Rukiyah terharu dengan
layanan Kamaruzaman terhadap keluarganya, dia terlebih-lebih lagi.
‘Alhamdulillah,
aku bersyukur kepada-MU yang ALLAH kerana membayar pengorbananku ini dengan
seorang suami yang begitu baik dan berbudi,’ bisik Siti Solehah di dalam
hatinya. Tiba-tiba hatinya berdebar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan