Riana
hanya melakarkan senyuman nipis bagi menjawab pertanyaan Rafeah yang berapi-api
itu. Jelas terpancar kemarahan di wajah
sahabat yang sudah dianggap seperti saudara sendiri. Biarlah Rafeah berleter sepuas-puas hatinya.
Melepaskan rasa geram yang menyala-nyala, kalau ditahan takut membakar diri.
“Rin!” Rafeah duduk di hadapan
Riana, memandang dengan pandangan geram dan marah.
“Aku tahu apa yang aku buat,
Feah. Kau jangan risau ya?” pujuk Riana, dia pula yang terpaksa
menenangkan sahabatnya itu.
“Mana ada perempuan dalam dunia ini
sanggup berkongsi suami,” ujar Rafeah. Dia mengerling malas.
“Biarlah aku jadi yang pertama,”
gurau Riana. Dia tersenyum lebar. Mungkin jika hatinya masih ada cinta terhadap
Haziq, pasti dia tidak akan benarkan, tetapi cintanya terhadap Haziq bagaikan
sudah berkubur pada hari Haziq menghina dan memakinya dengan kata-kata
penghinaan telah melunturkan rasa sayang dan kasih yang selama ini cuba dipertahankan. Haziqlah yang telah membunuhnya!
“Kau ni waras ke tidak?” Rafeah menggeleng kesal.
“Kau jangan bimbang Feah, aku tahu
apa yang aku lakukan,” jelas Riana. Dia memandang keluar tingkap pejabatnya. Melepaskan keluhan berat.
“Kenapa Diana? Biarkanlah dia cari jalan hidupnya
sendiri. Dia yang gatal!” Rafeah mencebik.
“Hei, dia perempuan juga tau. Kalau kita sebagai perempuan tidak melindungi
kaum sejenis kita, siapa lagi? Siapa
yang sanggup memperisterikan dia? Nama keluarganya sudah tercemar, maruah
dirinya juga. Haziq harus
bertanggungjawab terhadap perbuatannya itu.
Aku takkan biarkan dia terlepas bebas,” kata Riana tegas.
“Rin, selama mana kau nak korbankan
kehidupan sendiri?”
“Selagi aku mampu membuat orang lain
tersenyum,” jawab Riana penuh yakin. Dia
tidak minta balasan dengan apa yang dilakukan.
Membantu Diana kembali ke pangkal jalan dan menggembirakan keluarga
bekas pekerjanya itu sudah cukup membahagiakannya.
Sedang mereka berbual, daun pintu
ditolak dengan kasar. Terpacul Haziq dengan muka garang mendekati Riana dan
Rafeah.
“Abang akan berkahwin dengan Diana,
dengan syarat Rin jadikan abang pemilik syarikat ini. Jika itu tertunai, dengan penuh bahagia,
abang akan terima Diana menjadi isteri abang,” kata Haziq dengan muka selamba.
“Apa?” Rafeah bingkas bangun dan mencekak
pinggang.
“Kenapa kau yang melatah?” jerkah
Haziq.
“Sebab, separuh dari syarikat ini
juga milik aku!” kata Rafeah kasar.
“Apa maksud abang ni?” Riana
terkejut dengan syarat yang diberi.
Pemilik syarikat ini? Gila! Ini syarikat dia dan Rafeah. Mereka
sama-sama bangunkan sehingga menjadi terkenal dan gah begini.
“Tiada maksud. Abang nak jadi pemilik syarikat ini, itu
sahaja.” Haziq tersenyum sinis.
“Tidak boleh!” bantah Rafeah.
“Kau keluar, biar aku sendiri
berbincang dengan isteri aku, tak ada kena mengena dengan kau!” marah Haziq.
“Hello, kau tak denga raku cakap
tadi ya? Separuh dari syarikat ini
adalah milik aku! Kau faham tak? Milik
aku!” Rafeah tidak mahu berganjak.
“Feah! Kau keluar dulu, biar aku
berbincang dengan Haziq sekejap,” pinta Riana, dia mendekati Rafeah dan menarik
tangan sahabatnya itu keluar dari biliknya.
“Rin!” Rafeah memanggil keras.
Riana terus melangkah masuk dan
mengunci pintu. Dia memandang wajah
Haziq yang sedang tersenyum bahagia.
“Abang dah gila ya? Abang fikir, saya akan benarkan abang
permainkan saya? Baik, kalau abang tidak
mahu berkahwin dengan Diana, abang boleh
keluar dari rumah saya dan syarikat ini! Berambus!” bentak Riana.
Haziq ingat dia akan tunduk dengan mudah. Dia sudah cukup matang melawan lelaki sehina
suaminya itu. Memang dasar lelaki tidak sedar diri. Suami yang baik yang layak dihormati adalah
lelaki yang mampu membimbing, menjaga, membela, mendidik seorang isteri
sehingga patuh kepada agama, beriman dan bertakwa. Bukan seperti Haziq, tidak ubah seperti singa
lapar yang sanggup makan apa sahaja asalkan perutnya kenyang. Hatta harta isteri sendiri sanggup dirampas. Bukan hendak menambah tetapi hanya tahu
menghabiskannya.
Haziq terpinga-pinga. Kata-kata
Riana menyusuk ke jantungnya.
“Bagaimana? Nak kahwin atau
tidak? Kalau tidak mahu, silakan keluar
dari pejabat saya dan berambus keluar juga dari rumah saya,” halau Riana tanpa
ada perasaan belas ehsan. Dia mengajak Haziq kembali ke pangkuannya bukan
kerana Haziq masih suaminya tetapi ingin mengahwinkan suaminya itu dengan Diana
yang telah dirosakkan oleh lekaki tidak berguna itu.
“Hish! Abang guraulah! Itu pun Rin nak ambil serius,” ujar Haziq.
Riana tersenyum sinis. Gurau? Datang dengan wajah serius macam seorang
samseng, dikatakan bergurau? Riana
duduk semula di kerusinya setelah berdiri beberapa minit melayan permintaan
kurang cerdik suaminya itu.
“Keputusan di tangan abang. Saya tidak akan berganjak dari keputusan
saya,” jelas Riana selamba dan
tenang. Haziq ingin bermain tarik tali? Tengoklah nanti, siapa yang lebih cekap dan
menang dengan mudah? Riana menggeleng
kesal. Lelaki itu tidak pernah mahu
berubah, dalam kepala hanya memikirkan kekayaan yang dia ada. Semakin bertambah sakit di hati. Sayang hanya menjadi mainan dan ungkapan
semata-mata. Di hati Haziq hanya ada
cinta pada harta miliknya sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan