Ahad, 31 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 17 - ASMAH HASHIM.



Hembusan angin pendingin hawa menyapa lembut pipinya. Dia memandang wajah kedua orang kepercayaan yang memandangnya tidak berkedip.  Riana menarik nafas panjang.  Keluhan nipis terlahir di bibirnya.  Dia masih mampu tersenyum.  Segala perancangan sudah ada di dalam kepalanya.  Dia akan aturkan satu persatu hanya untuk Haziq dan Diana yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka. 
            “Kau serius ni Rin?” tanya Rafeah seperti tidak percaya.
            Riana bingkas bangun dan mendekati Arman dan Rafeah.
            “Ya, aku serius. Saya nak Arman tolong carikan saya seorang ustazah dan seorang ustaz yang boleh mengajar di rumah. Mampu mengajar Tauhid, Fekah, bab-bab  hukum-hakam, sirah, membaca al-Quran, tasawwur kalau boleh. Apa sahaja asalkan mampu buat manusia menjadi baik, hatinya bersih, tiada cemburu, tiada iri hati, tiada dengki dan khianat,” pinta Riana
            “Kau nak ambil periksa ke?” tanya Rafeah kebingungan.
            “Tadi kau tanya aku serius ke tidak?  Tentulah aku serius nak suruh Haziq belajar agama.  Nama sahaja Islam, niat naik kenderaan pun tak tahu,”  kata Riana, bukan bermaksud memperkecilkan suami sendiri, tetapi itulah hakikat.  Bagaimana hendak jadi ketua keluarga, sedangkan perkara asas dalam kehidupan sebagai orang Islam pun suaminya tidak tahu. 
            “Waktu kau kahwin dengan dia  dulu, kenapa tak tanya?” Rafeah menggeleng kesal.
            “Wakltu itu aku jahil, mabuk cinta,” ujar Riana, dia mengeluh kekesalahan.  Itu sebab dalam mencari pasangan hidup, pastikan calon pilihan hati itu tahu solat dan mengaji al-Quran perkara asas sebagai orang Islam.  Bukan hanya memandang kacak dan berharta sahaja, biarpun keperluan itu perlu, tetapi bab agama haruslah tahu, kalau tidak bagaimana seorang ketua keluarga hendak melindungi keluarganya dari seksaan kubur dan api neraka?  Seperti hidupnya sekarang, Haziq langsung tidak mampu membimbingnya menjadi isteri dan muslimah sejati yang taat pada Allah dan Rasul-NYA. 
            “Mahu ke dia?” Rafeah cuak.
            “Dia pasti mahu.” Riana.
            “Baik puan, nanti saya usahakan,” janji Arman.
            “Oh ya, Arman sebelum saya terlupa.”  Riana menuju ke almari yang tersusun segala fail perniagaannya. Dia mengambil lima fail kotak yang tersusun kemas  di almari tersebut. Langkah diatur mendekati Rafeah dan Arman yang duduk di sofa. Fail-fail tersebut di letakkan di atas meja kopi.
            “Ini fail akaun perniagaan saya yang lain selain dari butik ini,” jelas Riana.
            “Perniagaan lain? Maksud puan?”  Arman kehairanan.  Dia membelek satu persatu fail tersebut.
            “Hartanah, hotel, spa dan kedai emas,” kata Riana.
            “Banyaknya!” Terkejut Arman mendengarnya. 
            “Awak ingat dengan berniaga tudung sahaja, saya boleh jadi seperti ini?  Boleh tu memanglah boleh, tapi sekarang ini persaingan banyak, ada yang jual dalam talian.  Industri tudung terlalu banyak persaingan.  Saya tidaklah boleh bergantung hanya pada satu perniagaan. Kenalah pelbagaikan,” cerita Riana.
            Arman mengangguk perlahan.
            “Bagaimana puan uruskan, sedangkan saya lihat puan jarang ke mana-mana, hanya Kak Feah yang sering tidak ada di pejabat.”  Arman memandang wajah kakak sepupunya yang menyengih di sebelahnya.
            “Kak Feah yang uruskan.  Dia suka buat kerja di lapangan.  Saya pantau dari pejabat ini sahaja,”  kata Riana menjelaskan segala-galanya.
            “Padanlah selalu tidak ada di pejabat.”  Arman tersenyum.
            “Kami sama-sama berkongsi Arman, ini perniagaan akak juga. Kalau akak tidak jaga, siapa yang rugi?”  Rafeah tersenyum lagi. 
            “Saya suka hubungan baik Kak Feah dan puan. Persahabatan yang terjalin atas kepercayaan antara satu sama lain.  Adik beradik pun tidak boleh berniaga macam ni,” kata Arman. 
            “Harta semuanya milik Allah swt Arman, kita hanya alat sahaja, kalau kita terlalu taksub dengan harta yang ada sehingga lupa diri, sanggup khianat, berlaku tidak jujur, sampai bila?  Kita hendak ke mana akhirnya?  Bukankah bertemu Allah juga.  Ketika dan waktu itu agak-agak, ada tak jawapan atau alasan kita hendak diberitahu, ke mana harta yang diberi oleh-NYA kita habiskan? Sumbernya dari mana?  Ke mana perginya?  Hasilnya  bagaimana?  Haram atau halal?  Uh! Tak naklah saya menjawab pertanyaan itu semua.  Fail yang satu lagi itu adalah tempat-tempat yang saya bayar zakat perniagaan setelah cukup haul dan nisabnya.  Nanti awak uruskan juga ya.  Bayaran harus dibuat mengikut waktu yang ditetapkan.  Saya tidak mahu dipertanggungjawabkan sebagai orang yang tidak tahu membayar zakat,” cerita Riana panjang lebar.
            “Puan bayar zakat?  Cukai perniagaan dan pendapatan bagaimana?”  Arman membelek fail tersebut.  Banyak juga tersenarai nama-nama badan-badan kebajikan dan individu yang layak menerima zakat.
            “Cukai pun bayar juga.  Itu tanggungjawab sebagai rakyat. Zakat tuntutan sebagai orang Islam, wajib jika berkemampuan.”
            “Baiklah puan, saya akan uruskan.  Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan semua akaun syarikat puan.  Saya harap saya mampu berlaku jujur dan bertanggungjawab terhadap tugas-tugas saya,”  kata Arman perlahan. 
            “Bukan sikit-sikit tu Arman, kalau manusia yang  gelap mata tengok jumlahnya, boleh berlaku khianat,” kata Rafeah. Sebelum ini dia yang uruskan. Memandangkan tugasnya semakin bertambah, kerja mengemaskini akaun boleh diserahkan kepada orang lain.  Arman selayaknya melakukan kerja-kerja tersebut.
            “Saya pun tak nak makan hasil wang haram puan.  Biarlah hidup sederhana di dunia, asalkan tidak dihukum oleh Allah di akhirat nanti.  Tak naklah saya.  Entah-entah di dunia lagi sudah disumpah oleh emak saya.” Arman menggeleng laju. 
            “Itu bagi yang faham, yang tak faham atau buat tak faham pun ramai juga.  Apa yang penting kesenangan di dunia. Akhirat usah dipedulikan.  Bukan nak kiamat esok,”  kata Rafeah pula.
            “Hanya manusia yang tidak takut dengan Allah swt sahaja yang sanggup melakukan pengkhianatan, mencuri wang syarikat sewaktu bekerja.”  Riana mengeluh kesal.  Di dada akhbar terpampang kisah penyelewengan wang syarikat oleh mereka yang bekerja di syarikat tersebut. Sayang, duit itu digunakan untuk menyara keluarga.  Takut memikirkan balasan Allah terhadap orang seperti itu. Tidak amanah, tidak jujur, tidak bertanggungjawab. 
            “Kalau begitu, saya minta diri dulu, segalanya akan saya uruskan secepat mungkin,”  kata Arman sebelum mengepit ke semua fail dan membawanya pergi.
            Riana tersenyum puas.  Arman seorang pekerja yang jujur dan bertanggungjawab.  Rafeah bijak mengajak adik sepupunya itu bekerja di syarikat milik mereka berdua.  Sekurang-kurangnya hati  mereka yakin dan berasa selamat.

1 ulasan:

  1. Baiknya riana..bagus ada sifat ingin membantu sesama insan mendalami ilmu agama..tp yg masalahnya tu terlalu baik sampaikan suami dah jadi biawak hidup...tp tula kebanyakan reality sekarang ni..ramai je suami takde rasa tanggungjawab sbbkan isteri yg bagi muka..

    BalasPadam