Sarimah
terdiam melihat bekas suaminya berada di dalam stor yang kini sudah sempurna
menjadi sebuah bilik yang selesa.
Patutlah bertungkus lumus Zakuan memperbaiki bilik stor lama itu,
rupanya sudah ada yang akan menghuni.
Wajah kelatnya tidak mengusik hati Zakuan, selamba sahaja anaknya,
seperti tidak ada apa yang berubah.
“Kenapa bawa dia ke sini?” tegur
Sarimah agak kasar. Hatinya sedang
memerah rasa marah.
“Ibu, jangan tambah beban di
kepala. Ayah tidak akan ganggu ibu,
makan minumnya biarlah Wan yang uruskan.
Wan pun sudah dapatkan kerja untuk ayah, sebagai pengawal keselamatan di
sebuah kilang.” Tidak mahu membebankan diri ibunya. Dia tahu perasaan ibunya masih terluka, masih
berdarah. Semoga satu hari nanti akan
sembuh juga.
“Nanti apa kata jiran-jiran? Wan tak malukah?” sergah Sarimah.
“Nak malu apanya? Ayah sudah pun dihukum atas semua
kesalahannya, kenapa mereka nak bising-bising lagi?” Zakuan mengeluh kesal. Manusia mudah
menghukum dan menghina, sedikit sangat yang mahu memberi semangat dan
membimbing orang-orang seperti ayahnya. Memang, betul, dahulu ayahnya jahat.
Kini, ayahnya sudah berubah. Kenapa
tidak harus diberi peluang?
“Wan senanglah cakap! Wan tak
sentiasa ada di rumah. Ibu yang terpaksa berhadapan dengan mereka!” sela Sarimah dengan air mata mula bergenang
di tubir mata. Sebak menikam sehingga ke
jantungnya. Menggila merasuk dalam diri.
Terasa hendak meraung sekuat hati, biar anaknya mengerti perasaan yang sedang
bersarang dalam diri. Titisan air jernih
perlahan-lahan membasahi pipi. Mengharapkan pengertian daripada seorang anak
yang amat dikasihi. Bukan niat hendak
membenci, apatah lagi terhadap orang yang pernah menjadi suami. Hati ini masih tidak mampu menerima kehadiran
manusia yang pernah hidup dalam hatinya.
“Ibu… tolonglah. Wan rayu pada ibu. Sekali ini sahaja. Biar
ayah buktikan yang dia benar-benar sudah berubah,” rayu Zakuan. Jari jemari ibunya dibelai lembut. Dia menciumnya berkali-kali. Memujuk dan
merayu. Hati yang terluka dan tercalar, bukan mudah untuk disembuhkan. Dia tahu itu. Jika masih melayan perasaan itu
sampai bila-bila pun tidak akan sembuh.
Sarimah mengetap bibir. Menahan rasa
marah yang merasuk diri. Apa yang harus
dia lakukan. Kehendak anak sulongnya benar-benar meresahkannya. Pasti keluarganya akan menjadi bahan umpatan
lagi. Penat mendengar, letih menepis
kata-kata orang sekeliling yang tidak memahami. Seronok mengumpat orang lain,
langsung tiada rasa bersalah di hati. Kepulangannya ke kampung bekas suaminya
kerana terpaksa, lantaran tidak ada tempat yang hendak dituju. Kebetulan rumah
pusaka arwah ayah mertua dibei kepada bekas suaminya. Di situlah harapan
diikatkan. Namun sia-sia, orang kampung membencinya kerana suaminya seorang
penjenayah. Waktu dia susah semakin galak mereka mengata, isteri seorang banduan itulah yang dicap padanya. Dia terima dengan tabah dan sabar demi kedua
anaknya. Kalau ikutkan hati sudah lama dia pergi jauh-jauh dari kampung itu
membawa diri. Air mata yang berbaki
dilap dengan hujung baju. Menguatkan
hati agar mampu menahan umpatan orang lagi.
Anak-anaknya disisihkan. Tidak dibenarkan bermain bersama. Takut terikut-ikut kerana darah penjenayah
yang mengalir di tubuh. Anak-anaknya
membesar tanpa ada kawan baik atau sahabat.
Di mana sahaja mereka pergi, jika ada yang mengenali pasti akan
menjauhkan diri. Hiba memerhati, dia
menangis jauh-jauh agar tidak dilihat oleh anak-anaknya. Dia berlakon kuat demi mereka. Malam hari
punya cerita, dia berendam air mata memikirkan nasib diri. Berkahwin dengan
insan yang telah mengetuk hatinya, kononnya setia sehingga hujung nyawa. Berjanji akan menjaganya
sehingga ke akhir hayat dan akan bersama sehingga ke syurga. Janji hanya tinggal menjadi ucapan di bibir yang
lidahnya tidak bertulang. Terbuai dengan
kata-kata, akhirnya memakan diri. Dia
berkahwin dengan seorang penjenayah rupanya. Hidupnya merompak dan merampas hak
orang lain. Patutlah mewah sahaja. Rupanya hasil haram yang diberi untuk
menyara kehidupan mereka suami isteri.
Pembohongan ditelan bulat-bulat,
disangkakan suaminya ketika itu seorang yang berpangkat besar. Hancur luluh
hatinya waktu suaminya ditahan di rumah kerana merompak dan merogol
mangsa. Ketika itu dia mengandungkan
anak bongsunya. Meraung separuh
gila dirinya. Bersendirian menawan duka.
Tangisan teman setia, memikirkan masa depan anak-anak yang ada, semakin sakit
hatinya. Alhamdulillah, ALLAH swt tidak
pernah meminggirkannya. Dia bangkit,
bangun meneruskan hidup demi anak-anak tercinta. Keluarga sendiri juga mencemuh.
“Ibu!” Zakuan memegang lengan Sarimah
erat.
“Kenapa Wan buat ibu sakit
hati?” Sarimah mengesat air mata yang
berbaki.
“Ibu, bersihkan hati, tenangkan
fikiran. Semuanya akan berjalan dengan
lancar. Wan percaya dengan ayah dan
yakin ayah benar-benar telah berubah.
ALLAH itu Maha Pengampun ibu, kenapa kita tidak ambil sedikit daripada
sifatnya itu. Maafkanlah ayah, berilah
dia peluang untuk mengubah dirinya,” pujuk Zakuan
“Entahlah Wan, ibu tak tahu nak
cakap apa. Hati ibu terlalu berat untuk
menerima. Berilah ibu masa,” pinta Sarimah. Air mata sedih masih juga mengalir. Tidak juga mahu berhenti bersuara, melayan
perasaan sedih dan kecewa, takut dan bimbang yang bercampur baur merojak di
hati ketika dan saat itu.
Zakuan faham perasaan ibunya. Dia juga berperasaan begitu, tetapi cuba
dibuang jauh-jauh. Ayahnya memang jahat.
Itu dulu, sekarang ayahnya telah menjadi orang lain. Bukan lagi Malek 25 tahun
dahulu. Malek hari ini sudah insaf,
sudah kenal tikar sejadah, sudah tahu mengaji dan berzikir. Mampu berpuasa di bulan Ramadhan. Itulah yang telah diberitahu oleh pihak
penjara kepadanya.
“Wan, ibu harap, harapan Wan bukan
harapan kosong. Baiklah, ibu malas nak
bertengkar dengan Wan. Tanggungjawab ayah terletak di bahu Wan, jadi apa-apa,
Wan harus bertanggungjawab sepenuhnya,”
pesan Sarimah.
“Ibu jangan bimbang. Tahulah Wan jaga ayah,” janji Zakuan seraya
senyuman terlakar di bibirnya. Hanya
itulah yang diharapkan, jawapan persetujuan daripada ibunya. Biar tiada gundah
di hati ayahnya untuk terus tinggal di situ.
Semoga adiknya juga mampu menerima kehadiran ayah mereka. Kasih sayang seorang anak dan ayah bagaikan
air yang dicincang takkan putus.
Sarimah melangkah ke dapur.
Meninggalkan Zakuan sendirian melayan perasaan.
Sungguh dia bertuah kerana dikurniakan anak-anak sebaik Zakuan dan
Zara. Zakuan pula seorang yang
bertanggungjawab. Pandai dalam pelajaran dan sekarang sudah menjawat jawatan
kedua tertinggi dalam syarikat tempatnya bekerja. Sikap bertanggungjawabnya membuatkan sesiapa
sahaja senang mendekatinya. Malah majikannya memberi tanggungjawab yang besar
kepadanya menguruskan syarikat yang ada.
Tidak sabar ingin melihat anak
bujangnya itu berkeluarga. Usia sudah semakin banyak angkanya. Bimbang menjadi
anak bujang terlajak pula. Semoga ada
jodoh buat anak-anaknya, tentulah ingin yang baik-baik sahaja, yang mampu
dibimbing dan membimbing. Zara juga
begitu, satu-satunya anak gadisnya yang
semakin meningkat dewasa. Berat jodoh mereka.
Semoga ALLAH swt memberi yang terbaik buat mereka berdua. Dia? Biarlah dia bersendirian sehingga ke akhir
hayat. Kembali kepada bekas suaminya? Tidak mungkin itu akan terjadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan