Usai perut terisi, terasa
tubuh segar kembali. Ada tugas yang menanti. Motor buruknya menjadi
tunggangan hari-hari. Kali ini destinasi
memang di luar jangkaan. Beberapa orang
pemuda diajak bersama, membantu apa yang perlu.
Amanah yang terpikul di bahunya tidak akan di sia-siakan.
“Kita ke mana dulu Bang Malek?” tanya Khairul, anak muda
lulusan luar negara yang sedang pulang
bercuti. Sanggup turun padang membantu,
membersihkan kampung daripada anasir yang tidak sehat.
“Ke belukar hujung kampung. Dengar kata ramai bersidai di situ,” cadang
Malek.
“Baik Malek, tapi hati-hati, mereka kat situ agresif
sikit. Pihak polis pun tak
terkejar,” sampuk Hassan, rakan sebaya
dan kawan lama Malek.
“Yalah, Hassan. Terima kasih kerana sudi membantu. Halim
mana?” Malek mencari kelibat rakan sekampungnya yang seorang lagi.
“Dia ada hal agaknya, biarkanlah. Pihak polis kau dah
hubungi?” tanya Hassan. Biarpun dia tidak senang dengan perangai Malek dahulu,
sekarang ini rakannya itu sudah berubah. Tidak salah memberi peluang kepada
seseorang jika benar-benar sudah berubah.
“Biarkan dulu, kita intip kegiatan mereka. Pihak polis
hanya serbu ikan bilis, kalau boleh aku nak tangkap mereka yang menjual benda
haram itu pada budak-budak kampung kita ini,” kata Malek akan
rancangannya. Tangkap penagih, jika
barang di tangan tidak banyak, lepas naik mahkamah, bayar denda terlepas lagi. Kemudian kembali menagih. Sampai bila? Yang
mesti dihapuskan adalah pengedar tegar yang jahat dan berhati syaitan itu. Sanggup merosakkan anak bangsa sendiri.
“Baik, tetapi hati-hati…” pesan Hassan.
“Khairul… hati-hati,” pesan Malek pula.
“Baik,” jawab Khairul.
Dengan menunggang motosikal buruknya itu Malek bersama
dua orang lagi yang sudi membantunya menuju ke destinasi yang telah mereka
sasarkan. Tempat penagihan dadah yang
menjadi kubu kuat para pengedar dan penagih di kampung itu. Hassan dan Khairul menunggang sebuah lagi
motosikal milik Khairul.
Mereka berhenti beberapa meter dari kawasan belukar yang terletak di hujung kampung. Semak dan seperti hutan kecil, memang sesuailah untuk para penagih bersantai melepaskan gian. Malek mematikan enjin motosikalnya, sambil matanya memandang kiri dan kanan. Bukan takut dengan penagih tetapi lebih berhati-hati agar misi yang sedang dijalankan berjaya. Waktu muda bergelumang dosa, biarlah dia menghabiskan sisa-sisa usianya melakukan kerja yang bermanfaat.
Mereka berhenti beberapa meter dari kawasan belukar yang terletak di hujung kampung. Semak dan seperti hutan kecil, memang sesuailah untuk para penagih bersantai melepaskan gian. Malek mematikan enjin motosikalnya, sambil matanya memandang kiri dan kanan. Bukan takut dengan penagih tetapi lebih berhati-hati agar misi yang sedang dijalankan berjaya. Waktu muda bergelumang dosa, biarlah dia menghabiskan sisa-sisa usianya melakukan kerja yang bermanfaat.
“Hati-hati,” pesan Malek kepada Hassan dan Khairul yang
sudah mula mendekati tempat tersebut.
Mata mereka bertiga memerhatikan sahaja gelagat para
penagih yang sedang asyik melepaskan gian.
Kawasan itu tersorok daripada
penduduk kampung. Apatah lagi
kawasan itu dipenuhi semak-samun. Malek
mengeluh. Kawasan itu perlu dibersihkan dan dibina sesuatu yang bermanfaat
untuk penduduk kampung. Kawasan tersebut juga jauh dari rumah penduduk. Semakin
bermaharajalelalah penagih dan pengedar di kawasan tersebut. Dia perlu lakukan
sesuatu jika mahu kawasan itu bersih dari penagihan dadah.
“Macam mana ni Malek? Apa yang harus kita lakukan?” tanya
Hassan setelah setengah jam mereka memerhati.
“Kita mesti rancang dengan teliti… jom kita beredar,”
ajak Malek. Untuk menangkap mereka perlu
ada perancangan yang teliti. Sudah tentulah pihak polis tahu apa yang akan
mereka lakukan. Tetapi kali ini dia berharap mereka ditahan terus dan disumbat
ke dalam pusat pemulihan. Selalunya yang
masuk pusat serenti, bila balik, kembali menghisap. Tidak pernah insaf. Seolah-olah benda haram itu sudah menjadi
makanan ruji buat mereka.
Mereka bertiga terus ke dewan orang ramai. Di situlah
Persatuan Belia Kampung Seberang beroperasi.
Nasib baik dia bekerja shif malam, siang bolehlah dia mengatur program
untuk anak muda di kampung itu. Hujung
bulan ada Kem Ibadat. Malek tersenyum
puas. Dia bukanlah pandai sangat dalam
hal pentadbiran tetapi dia harus rajin dan ingin belajar. Tiada yang mustahil dalam dunia ini.
“Macam mana sekarang Malek? Kau sudah tengok sendiri
tempat itu. Aku dan penduduk kampung dah
tak tahu nak buat apa lagi,” adu Hassan dengan muka berkerut. Masalah remaja hari ini, penagihan dadah semakin menjadi-jadi di
kampung itu. Bukan orang muda sahaja,
orang tua pun ada juga yang terlibat.
“Ya Bang Malek, kita perlu hapuskan terus penagihan dadah
di kampung ini.” Khairul setuju dengan
pendapat Hassan tadi. Sebagai anak muda,
dia juga tidak suka melihat keadaan kampungnya itu. Kecurian juga semakin menjadi-jadi. Di malam
hari penduduk kampung bergilir menjaga keselamatan kampung. Semuanya gara-gara
penagihan dadah. Tidak ada duit hendak
membeli benda haram itu, rumah penduduk kampung dijadikan sasaran.
“Insya-ALLAH, kita akan hapuskan sarang tersebut!” janji
Malek. Dia perlu dapatkan maklumat
tentang pengedar di kawasan tersebut.
Kalau ikutkan hati, tidak mahu lagi berurusan dengan orang-orang seperti
itu. Demi nama baik kampungnya. Dia perlu buat sesuatu.
“Assalamualaikum,” sapa seorang lelaki. Air mukanya
monyok sahaja. Seperti ada masalah yang
sedang melanda.
Mereka bertiga menjawab salam serentak.
“Halim? Kenapa
dengan kau ni?” tanya Hassan.
“Anak aku! Anak aku San!” terketar-ketar suara Halim
menjawab.
“Kenapa dengan anak kau?” tanya Malek. Biarpun dia tahu Halim tidak suka dengannya
tetapi lelaki itu tetap rakan sekampungnya.
“Dia sedang menggila di rumah!” jelas Halim.
“Menggila? Kenapa pula?” tanya Khairul.
“Tolonglah aku! Dia kunci pintu dari dalam. Aku tak boleh
masuk! Isteri aku tengah meraung ketakutan!” beritahu Halim.
“Cepat kita ke sana!” arah Malek. Kenapa pula dengan anak Halim? Bukankah budak itu masih bersekolah lagi.
Tidak sampai lima minit mereka tiba di rumah Halim. Pintu
dan tingkap kayu rumah itu bertutup rapat.
“Hadi! Hadi!
Rafidah! Ida!” laung Halim. Dia
mengetuk pintu rumah sekuat hati.
Daun tingkap di ruang tamu terbuka luas. Hadi sedang memegang leher emaknya. Sesekali dia mengesat hidungnya yang berair.
“Mana duit aku! Aku nak duitlah!” jerit Hadi.
Rafidah menangis sambil memujuk anak lelaki sulongnya itu
yang baharu berumur 15 tahun. Ya ALLAH, dia langsung tidak mengetahui anaknya
terlibat dengan penagihan dadah. Padanlah lain macam sangat sikap anaknya
beberapa bulan ini. Lebih banyak mengurung diri di dalam bilik atau keluar
dengan kawan-kawanya. Sudah jarang
berbual-bual dengannya dan suami. Sering
mengelak bertembung dengan dia dan suaminya.
Rupanya ada cerita disebaliknya.
Ingatkan disebabkan peperiksaan PT3 yang semakin hampir, anaknya
tertekan atau belajar dengan kawan-kawan.
Malek memandang ke arah Hassan dan Khairul. Mereka berdua terus menuju ke arah pintu
dapur. Hassan cuba menolak, terkunci rapat.
Khairul mencari sesuatu untuk mengumpil
daun pintu dapur itu.
“Kita pecahkan sahaja pintu ini,” suruh Hassan.
“Bahaya bang! Kalau dia tahu kita buat sesuatu, takut
diapa-apakan pula emaknya nanti,” kata
Khairul bimbang. Orang sedang gian apa
sahaja dia sanggup lakukan.
“Hadi! Jangan buat macam tu kat emak kau. Buka pintu, ayah bagi duit!’ pinta Halim.
“Ayah jangan buat laporan polis! Kalau tak, mati emak aku
bunuh!” kata Hadi. Pisau begitu hampir
berada di leher Rafidah yang ketakutan.
Malek memandang pintu utama rumah papan itu. Rasanya tidak susah untuk dia menendang pintu
tersebut. Masalahnya, Hadi pasti akan bertindak agresif nanti. Ini akan membahayakan nyawa Rafidah.
“Hadi! Lepaskan emak kau.
Pak cik dan ayah bagi duit sekarang!” pujuk Malek. Dia mengeluarkan duit
dari poket seluarnya.
Hadi tersenyum lebar.
Dia menarik tangan emaknya mendekati pintu. Pisau masih di tangan. Dia membuka daun pintu. Pintu terbuka luas.
Halim memandang Malek.
“Bagi aku duit! Aku nak duit!” jerkah Hadi, langsung
tidak dihiraukan tangisan emaknya. Apa yang penting dia harus melepaskan rasa giannya itu. Sudah tiga bulan dia menagih dadah atas
ajakan beberapa orang kawan
sekampung yang sudah lama terpengaruh.
Pada awalnya dia menolak, lama-lama tidak boleh tahan juga, keinginan mencuba
begitu tinggi meresap di hati. Akhirnya
dia terjebak. Harga barang itu semakin hari semakin mahal dan mereka tidak mahu
bagi percuma seperti mula-mula dia mencuba. Itu sebab dia jadi tidak keruan
kerana jika hendak melepaskan gian, dia kena membeli barang tersebut. Dia mana ada duit? Dia masih sekolah. Kalau tidak meminta dengan orang tuanya,
tentulah sukar untuk dia mendapatkan bekalan dadah yang sudah meresap ke dalam
tubuhnya.
“Nah! Ini duit Hadi!”
Halim mencampak duit note RM50.00 kepada anak lelakinya yang sudah
kehilangan arah itu. Sebak dadanya.
Kenapa anaknya jadi seperti itu?
Hadi melepaskan Rafidah dan mengutip duit tersebut.
Malek dengan pantas menangkap Hadi sewaktu remaja itu
sedang menunduk mengutip duit yang berada di tanah.
Khairul dan Hassan juga membantu menangkap Hadi.
“Hoi! Lepaskan akulah! Aku nak beli ubat!” jerit Hadi,
dia meronta untuk melepaskan diri.
“Macam mana ni Halim? Nak bawa ke balai atau kau nak
kurung dalam rumah sahaja?” tanya Malek. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia
sumbat remaja itu ke dalam lokap polis. Biar dia rasa betapa terseksanya hidup
di dalam lokap polis. Muda-muda sudah
menyusahkan mak bapa, bercakap untuk dirinya sendiri juga. Dia juga pernah melakukan kesalahan yang
berat sehingga memalukan keluarganya.
Kalau boleh dia tidak mahu ada anak-anak muda di kampung ini terjebak ke
lembah kehancuran dalam hidup mereka.
“Abang!” Rafidah memandang wajah suaminya. Tidak
mungkinlah dia tergamak melihat anak sulongnya itu dipenjarakan.
“Tak boleh Ida, abang tak nak dia terus terjebak dalam
penagihan dadah ini. Kita bawa dia ke
balai,” ujar Halim. Kalau dibiarkan
anaknya akan terus hanyut dalam ketagihan.
“Dia masih muda lagi bang! Tak molek jika ada rekod
jenayah!” tangis Rafidah.
“Apa daya kita Ida, kalau kita tak buat macam ni, nanti
dia mengamuk macam tadi, macam mana?
Dibuatnya dia berani membunuh pula?” Halim masih bertegas.
“Ya Ida… biarlah dia dihantar ke sekolah pemulihan. Kalau
dibiarkan di sini, semakin hancur masa depannya,” pujuk Malek. Dia sudah melalui alam kejahatannya. Kerana tidak dibendung dan dibiarkan sahaja
maka semakin dia menjadi jahat.
“Ya, ALLAH!” Rafidah meraung kesal. Dipandang wajah Hadi yang menunduk menahan
gian dan ketakutan.
“Mak, ayah!” raung Hadi.
“Bawa dia dengan kereta aku, Malek!” suruh Halim. Dia
berlari masuk ke dalam rumah mengambil kunci kereta dan keluar beberapa minit
kemudian. Kunci kereta bertukar tangan.
“Ida ikut juga ya, kena buat laporan polis juga,” ajak
Malek.
Rafidah mengangguk lemah.
Pilu hatinya melihat keadaan anak sulongnya daripada tiga beradik. Nasib baik dua orang lagi anaknya masih di
sekolah. Kalau tidak semakin kecoh keadaan.
“Saya bawa motor sahaja bang Malek,” kata Khairul.
Mana muat nak naik sebiji kereta.
“Jumpa di balai polis nanti. Sebelum itu, pergi beritahu
Haji Shauki ya,” pesan Malek.
Khairul mengangkat ibu jari tangannya.
Kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah
Halim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan