Haji
Shukri menggeleng kesal. Salmah masih
marah rupanya. Wajah kusut anak buahnya
dipandang seketika. Inilah bahananya
jika mengikut hawa nafsu. Buat baik
berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Sudahlah masih tidak sehat, tidak ada pula tempat tinggal. Bak kata bidalan, sudah jatuh ditimpa tangga,
berdebuk-debuk jatuhnya.
“Kau tinggallah di sini Malek, kau
bukan orang lain dengan pak su. Takkan
pak su nak biarkan kau merempat,” pelawa Haji Shukri
“Tak apalah pak su, biarlah saya
cari rumah atau bilik sewa. Malek menolak dengan baik. Dia tidak mahu anak-anak pak sunya pula marah
nanti. Dia tahu, mereka juga tidak suka
kepadanya. Mana ada orang suka dengan
bekas banduan. Inilah natijahnya. Caturan Allah buat hambanya yang lupa
daratan. Ujian pnghapus dosa-dosanya
yang lalu.
“Ini kampung Malek, bukan mudah nak
cari, lainlah di bandar sana,” ujar Haji Shukri
“Nanti saya tanya kawan-kawan
sekerja saya pak su. Saya boleh saja
tinggal dengan mereka, asalkan ada tempat berehat, cukuplah pak su,” luah Malek.
Itu sahaja jalan yang dia ada.
Menumpang tinggal dengan rakan-rakan sekerjanya. Biarlah sempit, asalkan ada tempat dia
merehatkan diri. Dalam keadaan dirinya
yang masih belum sembuh sepenuhnya, dia tidak boleh memilih, perlahan-lahan dia
akan cari rumah atau bilik yang sesuai untuk dirinya sendiri.
“Bagaimana dengan tanah di hujung
kampung tu pak su? Sudah selesai?” tanya Malek tentang tanah yang pernah
menjadi sarang penagihan dadah. Kini, tanah itu sudah dibersihkan dan kawasan
itu tidak lagi menjadi sarang penagihan dadah.
“Pak su dah bertemu dengan wakil
rakyat kampung ini, dia akan bantu kita membangunkan tanah itu macam yang kau
cadangkan,” kata Haji Shauki.
“Alhamdulillah, lega saya
mendengarnya,” jawab Malek dengan wajah
ceria semula.
“Kau dah buat laporan polis tentang
orang yang pukul kau tempohari?” tanya Haji Shauki.
Malek menggeleng. Bagaimana dia nak buat laporan, sedangkan dia
tidak nampak wajah-wajah mereka yang memukulnya. Macam mana pihak polis nak siasat?
“Kau tak boleh biarkan penjenayah
seperti itu terlepas, nanti semakin bermaharajalela!” kata Haji Shauki tegas.
Malek masih membisu, dia juga dahulu
penjenayah, detik hati kecilnya.
“Malek!” tempik Haji Shauki,
geram.
“Nak buat laporan polis macam mana
pak su? Wajah mereka pun saya tak
nampak, saya nak beritahu pihak polis apa?” jawab Malek serius. Dia melepaskan keluhan.
Haji Shauki menggeleng kesal.
“Pak su ingat kau jaguan
sangat!” perli Haji Shauki.
Malek tersenyum.
“Dulu jaguanlah pak su, sekarang dah
tua dan pencen,” ujar Malek sambil tersenyum.
“Entahlah Malek, pak su nak kau
berhati-hati, mana tahu mereka masih dendam dengan kau,” nasihat Haji Shauki.
“Insya-Allah pak su,” jawab Malek.
“Kau duduklah sini dulu, nanti kita
fikirkan jalannya,” pelawa Haji Shauki.
Malek memandang wajah bapa
saudaranya itu tidak berkedip. Kerisuan
tetap bertandang, biarpun orang tua itu bukan orang lain dengannya.
“Dengar tak?” soal Haji Shauki.
Malek mengangguk perlahan. Hatinya berbelah bahagi.
“Pergilah berehat Malek, kau tu baru
keluar hospital,” suruh Hajah Rokiah
yang baru sahaja keluar dari salah satu bilik yang terdapat di rumah itu.
“Terima kasih mak su,” ucap Malek,
serba salah jadinya. Masih memikirkan tentang mulut orang. Terutama anak-anak pak sunya. Kebimbangan tetap bertandang, rasa rendah
diri semakin menebal. Siapalah dia di mata mereka, hanya sampah masyarakat yang
membebankan. Keluhan dilepaskan, terasa
sesak dadanya. Hiba mengusik diri. Baru
hari ini dia terasa hidup sepi tanpa keluarga, baru terasa betapa hinanya diri
di mata manusia. Dia seperti najis yang
menjijiknya, boleh dipandang, tak boleh disimpan atau dipegang.
Perlahan-lahan Malek bangun menuju
ke bilik yang disediakan. Dia melangkah
masuk, bilik itu tidak terlalu besar, ada sebuah katil kelamin, sebuah almari
pakaian, tempat menyangkut sejadah dan tuala, almari solek dan sebuah meja
tulis. Mungkin bilik anak-anak pak
sunya. Haji Shauki mempunyai lima orang
anak, semuanya lelaki dan sudah merantau ke bandar, masing-masing mempunyai
pekerjaan yang bagus, semuanya kelulusan universiti tempatan. Bijak-bijak
semuanya.
Malek duduk di katil. Lengannya yang masih berbalut dipandang
seketika. Dia perlu bekerja untuk
menyara dirinya sendiri. Majikannya
masih mahu menerima dia bekerjakah?
Sudah tiga empat hari dia bercuti.
Kerja sebagai pengawal keselamatan, ada kerja, ada gaji. Kalau dia tidak bekerja, gajinya akan
dipotong oleh pengurus kilang tersebut.
Badannya benar-benar terasa letih.
Bertambah sakit dengan masalah yang menimpa. Bukan mudah hendak menjadi baik dan diterima
oleh masyarakat rupanya, bagi orang seperti dirinya. Bekas banduan. Dia cuba melelapkan mata,
namun dosa semalam sering menghantui diri.
“Oi! Cepatlah keluarkan duit dari
peti besi tu! Kau tengok apa?” marah lelaki yang bertopengkan sarung kaki
perempuan ke arah Malek yang sedang memandang dengan penuh berahi anak gadis
perempuan rumah yang mereka rompak.
“Cantik betullah budak ni!” kata
Malek sambil menyengih. Mukanya juga
ditutup dengan sarung kaki perempuan.
Gadis yang baru diikatnya tadi berbaju tidur. Dia menelan air liur sendiri.
“Kau jangan main gila! Cepat kita ambil, cepatlah kita keluar!” kata
kawannya itu.
“Kejap aje, tak lama!” jerit Malek, gadis itu dicempungnya. Malek menyeringai. Dia hilang pertimbangan
dan kewarasan, lupa diri, lupa segala-galanya.
Kerana nafsu serakahnya, malam itu menjadi malam jahanam buatnya. Dia tertangkap. 25 tahun di penjara.
Segalanya bertayangan di ruang
fikirannya. Menyesal? Sudah tentu dia menyesal, kalaulah dia tidak
mengikut hawa nafsu, sudah tentu kehidupannya tidak seperti sekarang. Mungkin dia sedang berbahagia dengan anak dan
isterinya. Salmah, gadis yang dikahwini
atas pilihan keluarga, seorang isteri yang baik tetapi disia-siakan. Inilah natijahnya hidup tidak berpanduan,
bukan salah orang tuanya, tetapi salah sendiri, tidak bijak memilik, tidak
bijak mengatur, akhirnya tersalah jalan dan terbabas. Semoga Allah swt sudi memandangnya. Hanya itu
sahaja yang diharapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan