Salam Jumaat, hari yang penuh keberkahan, penuh rahmat. Apa khabar
adik-adik penulis yang berbakat besar? Semoga hari-hari mendatang
memberi kegembiraan dan idea berkarya seperti air sungai yang mengalir
deras.
Hari ini akak nak bercerita sedikit buat renungan, pandangan dan sama-sama kita fikirkan.
Rezeki! Semua orang tahu rezeki itu datangnya daripada Allah swt. Allah
memberi, pemurah kepada semua hamba-hambaNya, tidak kira beriman,
pendosa, kafir atau Islam.
Rezeki kita sebagai penulis pun
datangnya daripada Allah swt. Idea pun daripada Allah swt. Allah memberi
rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki, menarik balik rezeki kepada
sesiapa yang Dia kehendaki.
Ramai tahu, ramai perasan, dunia
penerbitan buku hari ini sedang meniti hari-hari yang penuh kesukaran,
ramai penulis, rumah penerbitan sudah mula mengeluh akan kelembapan
jualan produk yang dihasilkan.
Ada penulis yang mengeluh,
pendapatan mereka tidak lagi seperti dulu. Bagi kita penulis yang baru
berjinak-jinak menghasilkan sebuah dua buku tidak begitu terasa kerana
berasakan dapat royalti ribuan ringgit sudah terasa besar. Tetapi bagi
penulis lama yang punya ramai peminat dan penggemar mereka benar-benar
terasa.
Kenapa ini berlaku? Adakah memang kerana ekonomi sedang gawat? Kenapa berlaku kegawatan? Kenapa? Kenapa?
Allah! Akak bukan hendak menunjuk pandai, jika itulah yang adik-adik
rasakan. Cuba perhatikan sekeliling kita, apa yang kita nampak? Apa yang
kita lihat?
Adik-adik semua, bukankah rezeki itu daripada Allah?
Allah hendak apa daripada kita? Kejamkah Allah menarik balik
pemberiannya jika kita melakukan perkara yang baik sesama kita?
Allah nak tengok sahajakah segala perbuatan mungkar kita? Allah nak
beri jugakah rezeki yang melimpah ruah sedangkan ada segelintir kita
menulis perkara yang bukan-bukan dan ajarkan kepada hamba-hambaNya?
Ingat! Musibah melanda bukan hanya kepada yang membuat kemungkaran tetapi juga kepada mereka yang berbuat baik!
Allah tidak pernah MENIPU! Janji Allah pasti! Jika kita bersyukur,
Allah gandakan lagi pemberiaannya. Jika kita kufur, tunggulah
pembalasanNya.
Jangan kata, setiap perbuatan kawan-kawan kita
yang jadi syaitan dalam dunia penulisan hari ini tidak terkesan kepada
kita. Jangan salahkan orang lain atau ekonomi ketika rezeki kita Allah
tarik sebab kemungkaran sedang berlegar sekeliling kita dan kita tidak
ambil kisah pun.
Pandang dengan mata hati, lihat dengan jiwa yang
bersih, tenang dan fikirkan sejenak setiap kata -kata akak ini. Kita
semua sayang akan minat kita, kita punya impian untuk menjadi penulis,
tapi kenapa kita biarkan dunia penulisan ini dicemari syaitan-syaitan
yang tidak takutkan Allah?
Kita semua akan kembali menghadap
Allah dengan membawa bersama dosa dan pahala kita. Kita akan bertemu
Allah dengan membawa bersama bakat dan hasil penulisan kita. Tidak
malukah kita ketika bertemu Allah membawa bersama hasil penulisan kita
sedangkan idea kita menulis juga adalah milik Allah.
Allah tarik
sikit sahaja, semua orang sudah mengelabah, di sana sini para penerbit
berhati-hati menerbitkan buku. Para penulis mengeluh buku jualan mereka
tidak lagi laris macam dulu. Para pembaca semakin tawar hati untuk
membeli buku dan membaca kerana kita semua hanya memikirkan kekayaan di
dunia, bukan kekayaan untuk akhirat.
Apa yang kita tulis tidak
lagi ada jiwa untuk mengajar dan mendidik seperti penulis-penulis
dahulu, hari ini kita menulis untuk menjadi kaya.
Allah tidak
akan biarkan kita menjadi manusia yang merosakkan hamba-hambaNya. Tidak
mustahil kita hanya ada impian dan angan-angan sahaja. Inilah jadinya
jika dalam hati segelintir kita tiada Allah dan hanya ada dunia.
Fikir-fikirkanlah... jika kita sayangkan dunia penulisan, penerbitan
buku, cegahlah kejatuhannya sebelum parah! Bagaimana? Tepuk dada tanya
hati, akak pasti ramai tahu akan jawapannya.
Selamat berjaya mengubah dunia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan