Dia
sudah siap berpakaian. Bukan main lagi
cantiknya dia berhias. Lebih cantik
daripada biasa. Terbit rasa cemburu di
hati. Keterujaan di wajahnya buat hatiku
berasa kesal pula membenarkan dia ke pertemuan semula sekolahnya. Alahai, cemburukah aku? Dalam fikiran bermain
seribu satu anggapan yang bukan-bukan.
Isteriku akan bertemu kekasih pertamanya. Isteriku akan bertemu dengan
cinta monyetnya. Mungkinkah isteriku
akan terpikat kembali dengan lelaki itu?
Pelbagai persoalan sedang merasuk di fikiran. Syaitan pula semakin galak menyucuk dan
memujuk.
“Kalau ayang tak pergi, tak bolehkah?”
tanyaku, perlahan sekali nada suaraku.
“Kenapa? Bukan selalu, kami sudah lama tidak bertemu
bang. Takkan tak boleh?” Liya memandangku.
“Yalah, abang tak ada, nanti ayang
buat yang bukan-bukan pula, maklumlah sudah jumpa kawan lama,” kataku. Aku
memandang ke arah lain. Tidak sanggup bertentang mata dengannya.
“Jangan macam ini, bang. Liya teringin sangat bertemu teman-teman
sekolah Liya. Kebanyakan mereka tidak tinggal di KL. Bolehlah bang,” rayu Liya.
Aku mengeluh. Berat hatiku tiba-tiba. Perasaan cemburu meneroka seluruh
hatiku. Ya ALLAH! Ya ALLAH! Apa yang harus
aku lakukan? Betulkah tindakanku ini?
Berjumpa rakan lama, dalam kepala mesti terbayangkan zaman sewaktu
mereka bersekolah dahulu. Pergaulan lelaki dan
perempuan tanpa batasan, aku tidak suka. Bukan itu caraku.
Isteriku datang mendekati. Memeluk
lenganku manja. Wajahnya berkerut dan
keruh. Dia sudah berhias cantik, semakin
kuat rasa cemburu di hati. Bagaimana jika ada rakan sekolah isteri berstatus
duda, atau bekas teman lelaki isteriku merayu kembali. Tidak mustahil itu berlaku. Aku
tidak mahu menempah neraka, jika isteriku berlaku curang di
belakangku.
“Kasihanlah Aiman. Dia mana pernah berpisah dengan Liya.” Anakku jadikan alasan. Ah! Kejamnya aku.
“Liya sudah bayar duit untuk turut
serta. Kawan-kawan dan sahabat Liya sudah tahu akan kehadiran Liya. Hari ini Liya akan ke sana dengan harapan
untuk menyambung silaturahim. Bukan
menyambung kasih yang telah lama Liya lupakan.
Abang jangan fikir yang bukan-bukan?
Kalaulah terbit rasa cemburu di hati abang, Liya kesal. Liya tidak ada niat lain. Liya ingin bertemu
hanya untuk bertanya khabar, tidak lebih daripada itu,” rintih Liya.
Aku terkedu mendengar
kata-katanya. Adakah aku terlalu kejam?
Sedangkan seawalnya aku sendiri yang membenarkan. Kejamkah aku? Cemburu yang tidak bertempat
dan tidak kena dengan waktunya. Aku
tidak berkenan kerana pertemuan yang diadakan tidak membenarkan membawa
pasangan, kenapa? Kenapa tidak boleh
berkenalan dengan pasangan rakan dan kawan-kawan kita itu? Adakah pertemuan semula rakan sekolah hanya
untuk berjumpa semula rakan-rakan sekolah sahaja? Bukankah lebih manis jika pasangan,
anaka-anak ikut sekali. Itu baru betul, dan silaturahmi pun boleh dipanjangkan.
“Liya.” Aku mati kata-kata ketika
melihat titisan manik jernih di pipinya.
Dia duduk di birai katil.
Menangis? Ya, dia menangis. Aku
semakin serba salah. Bahunya
terhenjut-henjut menahan tangis. Ya ALLAH! Apa yang telah aku lakukan?
“Abang tidak yakin dengan cinta
abang pada Liya, abang was-was. Abang juga tak yakin dengan diri sendiri. Liya
bukan manusia yang tidak ada agama. Liya tahu batas-batas pergaulan sebagai
seorang isteri. Liya tahu dosa pahala,
halal dan haram. Jangan samalah Liya
dengan orang lain. Liya sudah abang
kahwini sekian lama, kita kenal sejak di universiti lagi. Kenapa baru sekarang
ada rasa tidak percaya di hati abang?
Kenapa baru sekarang?” Air
matanya mengalir laju membasahi wajahnya yang telah siap disolek.
“Liya.” Aku terkedu mendengar kata-katanya. Benar katanya. Kenapa aku tidak yakin dengan cinta dan
diriku sendiri? Aku telah didiknya
dengan baik. Dia seorang isteri yang baik dan taat. Tidak pernah melawanku.
Tidak pernah membantah segala kemahuanku.
Semuanya dituruti dengan baik dan senyuman yang sentiasa menghiasi
bibirnya. Perlahan-lahan aku
mendekatinya. Mengelap pipinya yang
dibasahi air mata. Aku menarik nafas panjang. Seharusnya aku menanamkan rasa kepercayaan
yang tinggi terhadapnya. Sudahlah aku
tidak membenarkan dia bekerja. Seharian masanya dihabiskan di rumah. Menunggu kepulanganku dari tempat kerja
dengan penuh setia. Masanya di habiskan
dengan surirumah tangga yang lain, siapa lagi kalau bukan jiran tetangga
kami.
“Maafkan abang,” kataku, ingin
memujuk. Berasa bersalah dengannya.
Salahku juga, memikirkan yang bukan-bukan, membayangkan dan berprasangka
yang tidak sepatutnya ada dalam diri seorang suami. Sepatutnya aku mengenali dia sepenuhnya. Sudah lama kami saling mengenali, sudahku
tahu hati budinya. Sudahku fahami
caranya. Ya ALLAH! Ya ALLAH! Janganlah
aku menjadi suami yang hanya mementingkan diri sendiri.
“Liya faham perasaan abang. Liya takkan menduakan abang, atau berlaku
curang. Tuduhan yang bermain di fikiran
abang langsung tak berasas. Jangan terjebak dengan permainan syaitan,
bang!” kata Liya.
Aku menunduk seketika. Betul. Aku tidak boleh berfikir yang
bukan-bukan. Aku perlu yakin dengan
kesetiaan isteriku sendiri.
“Jom abang hantar Liya,” pelawaku.
Senyuman terukir di bibir. Dia menghulurkan tangan dan mencium
tanganku.
Aku mengusap lembut kepalanya. Selesai sudah walang di hatiku. Aduhai
isteri, keranamu sayang, abang sanggup buat apa sahaja, detik hati kecilku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan