Alhamdulillah,
akhirnya dapat juga dia menyewa sebuah rumah dengan harga yang berpatutan. Rumah kampung, satu bilik. Cukuplah untuk dirinya yang memang tinggal
bersendirian. Gajinya sebagai seorang
pengawal keselataman cukup untuk melunaskan sewa rumah, bayar bil dan duit
makan. Dia boleh masak sendirian, kalau
beli makanan di luar, tentulah mahal.
Hidup seorang duda, beginilah.
Rumah papan yang kecil itu terletak
tidak jauh dari kawasan Masjid Kampung Seberang, mudahlah dia berjemaah di
masjid nanti. Pak Su Shukri yang tolong
carikan rumah sewa itu untuknya. Dia tidak menolak, asalkan bukan pak sunya
yang membayar sewa rumah itu. Biarpun
penduduk kampung sudah mula boleh menerima kehadirannya, namun tetap tidak sama
penerimaan ahli keluarga sendiri. Dia
akan berasa gembira, jika bekas isteri dan anaknya Zara dapat menerima
kehadirannya. Entah bila keadaan itu akan hadir dalam hidupnya.
Urusan pembersihan tanah yang pernah
menjadi tempat penagihan dadah di kampung itu pun sudah berjalan lancar. Sebuah padang bola sepak akan dibina di
kawasan tersebut. Pihak Majlis Bandaran
akan ambil alih tempat itu untuk dibangunkan.
Orang kampung ramai yang berasa lega.
Mereka yang terlibat dengan penagihan dadah sudah pun diserahkan kepada
pihak polis oleh ahli keluarga masing-masing, hanya menunggu hari
perbicaraan.
Bukan mudah menjaga sebuah kampung
dengan barisan manusia yang pelbagai perangai dan gelagat. Tidak semua yang mahu beri kerjasama. Namun, Pak Su Shukri yang bertindak sebagai ketua
kampung, bertegas untuk menghantar para penagih dadah ke pusar serenti. Anak-anak kampung yang ‘kaki ponteng’
sekolah, sudah diberi nasihat dan hukuman yang setimpal. Mereka disuruh membersihkan Masjid Kampung
Seberang selama sebulan, setiap hari selepas waktu sekolah. Ibu dan ayah mereka tidak berani membantah,
takut benar mereka dengan Malek. Dia tidak berniat untuk menakut-nakutkan
mereka. Tetapi tugas yang disandangnya
seperti satu amanah yang mesti ditunaikan, apatah lagi itulah permintaan Pak Su
Shukri, bapa saudaranya sendiri.
Cukuplah dia berbuat jahat sebelum
ini. Sudah tiba masanya dia belajar
berbakti kepada masyarakat pula. Sejarah
hitam yang terpalit, tidak mungkin akan terpadam dengan mudah. Tidak ada siapa yang akan melupakannya dengan
begitu mudah segala kejahatannya dahulu.
Penjara banyak mengajarnya menjadi manusia. Berada di dalamnya, terkurung, memang satu
hukuman. Dalam hukuman itu ada sesuatu
yang disediakan Allah swt untuk orang-orang sepertinya. Ilmu agama yang tidak pernah putus diberi
kepada para banduan. Pengajian yang
tidak berhenti. Pelbagai ilmu
dibentangkan kepada mereka. Ilmu yang
diperolehi banyak memberi ruangnya untuk muhasabah diri dan mencari jalan
pulang yang terbaik buatnya. Untung, nyawanya
masih panjang lagi, sempat bertaubat.
Itu hanya dosanya kepada Allah dan
keluarganya, tetapi mampukah dosanya diampunkan oleh keluarga arwah Tuan
Harun? Gadis yang dirosakkan itu sedang
merana di hospital sakit jiwa dan seorang anak yang dilahirkan atas perbuatan terkutuknya. Mampukan dia mengaku kepada anak gadis itu,
bahawasanya, dialah yang telah menyebabkan seluruh keluarga anak gadis itu
merana. Allah! Orang jahil agama akan berbuat apa sahaja
jika bertuhankan nafsu.
Suara azan maghrib memecah
lamunannya. Malek bingkas bangun menuju
ke bilik air. Ambil wuduk dan bersiap ke
masjid untuk solat berjemaah. Beberapa
orang kampung menegurnya.
“Ayah!”
“Zakuan?” Malek melakarkan senyuman.
Zakuan terus memeluk Malek erat.
“Berhari-hari Wan cari ayah. Ayah tinggal di mana?” tanya Zakuan.
“Tu…” Malek menunjukkan ke arah sebuah rumah papan
kecil di hadapan jalan utama. Rumah
kosong milik seorang penduduk kampung yang sudah pun berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, tinggal di kampung ini juga.
Wan ingat ayah dah pergi jauh dari sini,” luah Zakuan.
“Ayah takkan ke mana-mana Wan, usah
risau ya,” jawab Malek, sambil menepuk
bahu anak sulongnya itu. Mereka beriringan menuju ke Masjid. Malek hanya mampu menangis dalam hati, melihat
wajah anak sulongnya, perasaan bersalah bertubi-tubi menumbuk hati. Kalaulah
masa boleh diputar kembali kebelakang. Pasti dia tidak akan memilih jalan hidup
yang membunuh seluruh kehidupannya. Dia tidak akan tergila-gila mencari
kekayaan yang mudah. Bagaimana dia
hendak meminta ampun kepada anak arwah Tuan Harun serta anak yang lahir atas
perbuatan terkutuknya itu. Pelbagai
perkara menempek di kepalanya. Malek
mengeluh kesal.
Matahari pagi bersinar cerah, warna
keemasan mentari itu memancar terang di seluruh kawasan Kampung Seberang.
Tiupan angin pagi terasa mendamaikan.
Ketenangan desa begitu terasa di hati.
Liuk lentuk pokok kelapa melambai-lambai mesra, seperti mengucapkan
salam pada alam. Malek menyapu daun-daun kering yang bertaburan di laman rumah
sewanya. Pagar yang rosak akan
diperbaiki perlahan-lahan.
“Ayah!” sapa Zakuan, di tangannya
ada plastik berwarna merah.
“Wan?” Malek mengeluh. Bukan dia tidak suka anak sulongnya itu
datang menziarahinya. Dia risau bekas
isterinya akan marah Zakuan. Dia tidak
mahu hubungan anak ibu itu tegang kerananya.
“Ayah seperti tidak suka Wan
datang?” Zakuan mendekati Malek dan
bersalaman dengan lelaki itu.
“Wan tak kerja ke?” tanya Malek, dia
berhenti menyapu dan duduk di kerusi yang ada di tepi pintu rumah.
Zakuan turut melabuhkan punggung di
sebelah Malek.
“Ayah dah sarapan? Wan ada beli kuih
dan nasi lemak, kita sarapan sama-sama,”
ajak Zakuan.
Malek tersenyum. Siapa dia hendak melarang Zakuan hadir di
rumahnya.
“Mari masuk, ayah buat air.” Malek
bingkas bangun dan melangkah masuk ke dalam rumah. Tiada perabut mewah, hanya ada kusyen kayu
yang masih elok, meja makan empat segi dan ada dua buah kerusi. Semua perabut
yang ada adalah milik tuan rumah, sengaja ditinggalkan. Malek berasa lega, tidaklah perlu dia membeli
perabut. Dapur pun ada. Bolehlah dia gunakan untuk memasak buat diri
sendiri.
“Selesa juga rumah ayah ni,
bersih. Ayah kemas ya?” Zakuan meletak makanan yang dibeli di atas
meja makan. Dia duduk sambil memerhati
sekeliling rumah itu.
“Bolehlah Wan, asalkan ada tempat
tinggal,” jawab Malek. Dua mug berisi air nescafe o diletakkan di
atas meja. Pinggan dan sudu diserahkan
kepada Zakuan untuk diisi kuih muih yang ada.
“Mak Wan apa khabar? Zara macam mana?” Malek membuka bungkusan nasi lemak yang
dibeli Zakuan, bau haruman daun pisang mengusik hidungnya. Lauk ayam rendang, lauk kegemarannya. Malek tersenyum puas.
“Mak, Alhamdulillah. Zara sibuk dengan kerjanya,” jawab Zakuan sambil menyuap nasi lemak ke dalam
mulutnya.
“Sesekali bolehlah Wan tidur sini,
ya ayah?” pinta Zakuan.
Malek memandang wajah Zakuan. Dia tersenyum dan mengangguk perlahan. Dia tidak akan mengajak, juga tidak akan
menghalang. Bertuah dirinya mendapat
anak sebaik Zakuan. Apa yang dia pernah
berikan kepada anak itu? Hanya benih
yang menyebabkan Zakuan lahir ke dunia.
Sebak dada mencengkam jiwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan