Salmah
sudah sibuk di dapur sejak kelmarin lagi.
Menyiapkan barang hantaran buat Zara yang akan bertunang hari ini. Terpancar kecerian di wajahnya. Panggilan telefon daripada keluarga sebelah
lelaki membuatkan dia tidak kering tangan menyiapkan segalanya. Pada awalnya hanya datang merisik telah
bertukar ke masjlis pertunangan.
Alhamdulillah, ucap Salmah dalam hati.
Keluarga tersebut masih mahu menerima Zara biarpun mereka tahu siapa
ayah Zara.
Beberapa jiran tetangga berdekatan
sudi membantu. Penduduk kampung juga
menyiap dan memasang khemah. Biarpun
jemputan tidak ramai, hanya penduduk kampung yang dekat dengan rumah Salmah,
namun ruang di dalam tidak mampu memuatkan kehadiran semua tetamu yang datang.
Salmah telah menyalai ikan keli
kelmarin untuk dimasak Masak Lemak Cili Api. Dia juga memasak beberapa masakan
lain.
Zakuan juga sibuk membantu.
Zara turut turun pandang membantu
ibunya di dapur. Hampir pukul 12.00
tengahari tetamu sudah pun hadir.
Deretan kereta mewah yang memasuki laman rumah membuatkan penduduk
kampung yang berada di laman rumah saling bercakap.
Salmah sudah menunggu di laman rumah
bersama dengan Zakuan, Haji Shauki juga ada bersama. Di celah-celah pendudukan
kampung, Malek juga tidak mahu melepaskan peluang ingin melihat anak gadisnya
bertunang, biarpun Zakuan ada menjemputnya.
Namun, hatinya berasa berat untuk turut serta. Bukan malu dengan sesiapa, tetapi dia malu
dengan Zara, dia tidak layak berada di samping anak gadisnya itu. Anak yang tidak dibesarkan olehnya.
“Wan jemput lelaki itu ke?” tanya
Salmah sebaik sahaja terlihat kelibat Malek.
“Ya, Wan ada jemput ayah,” jawab
Zakuan.
“Wan nak malukan ibu?” Salmah mendengus kasar.
“Ibu, sudahlah… keluarga lelaki
sendiri yang minta ayah hadir sama,”
ujar Zakuan. Dia menggeleng
kesal. Sampai bila agaknya dendam akan
hadir di hati ibunya. Sampai bila? Zakuan berjalan ke arah Malek. Dia terus menarik tangan ayahnya naik ke
rumah.
Malek serba salah apatah lagi
melihat jelingan tajam Salmah.
“Wan!” Malek menarik tangannya.
“Ini permintaan Haji Latif ayah,
nanti apa kata dia, kalau tengok ayah tak ada. Mereka dah nak masuk tu.” Zakuan faham perasaan ayahnya. Tetamu yang tidak diundang oleh ibu.
“Naiklah Malek,” suruh Haji
Shauki.
Mereka melangkah masuk dan
duduk di ruang tamu, diikuti tetamu yang
hadir. Barang-barang hantaran telah pun
di susun di tengah-tengah ruang tamu. Haji Shauki akan menjadi jurucakap bagi
pihak perempuan.
Salmah menjeling tajam.
Malek sesekali menunduk. Tidak mahu melawan jelingan tajam bekas
isterinya seperti tidak sabar-sabar hendak menikam tepat ke jantungnya. Malek mengeluh. Aku hanya harapkan satu kemaafan, hanya itu,
detik hati kecil Malek.
Majlis berjalan dengan penuh
harmoni. Hantaran dan tarikh perkahwinan
terus ditetapkan oleh pihak lelaki.
Salmah tidak meletak harga buat anak gadisnya, terserah pihak lelaki
untuk beri berapa. Dia terima
seadanya. Asalkan mereka sudi
membimbing dan menjaga anak gadisnya dengan baik, sudah cukup buatnya. Usahlah anaknya disia-siakan seperti dirinya
dahulu.
Majlis kemuncak, acara menyarung
cincin tanda si gadis sudah pun bertunang.
Zara melangkah keluar dan duduk di hadapan tetamu. Wajahnya disolek
nipis. Cantik berbaju kurung moden
daripada kain list berwarna merah jambu.
Sebiji bantal besar menjadi pelapik punggungnya. Hajah Maimun telah
menyarungkan cincin bermata nilam ke jari manis Zara.
Salmah menahan hiba di hati.
Tangisan kegembiraan mengalir laju di pipinya.
Semoga Zara beroleh kebahagian sehingga ada hayat.
Malek turut sebak di hati. Dia berbalas senyuman dengan Haji Latif. Sempat Malek mengucapkan terima kasih dan
menunduk hormat kepada lelaki yang bakal menjadi ayah mertua anak gadisnya
nanti.
Zakuan mengusap belakang
ayahnya. Dia turut bahagia melihat
kegembiraan di wajah adik bongsunya itu.
Satu-satunya darah daging yang dia ada.
Hanya dia belum bertemu jodoh.
Usai majlis menyarung cincin dan
bertukar hantaran, para tetamu dijemput menikmati makanan tengahari. Majlis berakhir cepat, kerana Haji Shauki
terpaksa ke masjid untuk mengimamkan solat zohor.
Haji Shauki dan Malek juga tidak
sempat menjamu selera.
Zakuan telah membungkus makanan
untuk kedua lelaki yang disayanginya itu.
Malek sempat bersembang seketika
dengan Haji Latif dan Taufik yang turut hadir di majlis pertunangannya
sendiri.
Salmah melayan bakal besannya dengan
mesra. Hidangan yang terhidang menarik
selera para tetamu yang hadir. Ikan keli
salai masak lemak cili api, Ikan kembung goreng berlada, pajeri terung,
ulam-ulaman dan sambal belacan. Kuih
seri muka dan cendol turut dihidangkan.
Salmah menarik nafas lega, majlis
berjalan lancar. Tiada masalah, tiada
persoalan daripada pihak lelaki siapa ayah si gadis. Salmah
juga menarik nafas lega melihat kemesraan Haji Latif, bakal besannya dengan
bekas suaminya.
Enam bulan dari sekarang, Zara akan
bergelar isteri. Salmah tiada saudara
mara, hanya mengharapkan bantuan jiran sekampung. Dia masih memikirkan jodoh untuk Zakuan, takkan
selamanya Zakuan ingin membujang? Takkan tak ada seorang pun gadis yang
berkenan di hati, rakan sekerjakah, atau anak-anak jiran sekampung, asalkan
mereka mahu menerima Zakuan seadanya.
Salmah bukan memilih sangat, cukuplah mereka tahu menghormati dirinya
dan anak-anaknya. Ah! biarlah Allah yang menentukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan