Ekonomi Mikro STPM (Penggal Satu)
Kekurangan, Pilihan dan Kos Lepas, Masalah Asas Eko dan Keluk Kemungkinan Pengeluaran:
1. Dengan memberikan contoh yang sesuai, terangkan masalah kekurangan,
pilihan dan kos lepas yang dialami oleh seseorang individu pengguna.
• Kekurangan ialah masalah ekonomi yang dialami kesan daripada
kekurangan sumber ekonomi berbanding kehendak manusia yang tidak terhad.
Contohnya seseorang pengguna kekurangan wang untuk membeli semua jenis
barang yang dikehendaki.
•Pilihan ialah masalah ekonomi yang wujud
kerana kekurangan sumber menyebabkan pilihan perlu dibuat. Contohnya
pengguna yang kekurangan wang perlu memilih apa jenis barang yang akan
dibeli daripada beberapa pilihan yang ada.
• Kos lepas ialah masalah
ekonomi yang wujud akibat daripada wujudnya pilihan. Contohnya, jika
pengguna memilih pilihan pertamanya iaitu untuk membeli kasut dan
melepaskan pilihan keduanya iaitu untuk membeli buku, maka kos lepas
yang dihadapi pengguna ialah barang pilihan kedua terbaiknya yang
terpaksa dilepaskan iaitu buku.
2 (a) Terangkan maksud masalah asas ekonomi.
Masalah asas ekonomi melibatkan masalah yang berkaitan pengagihan
sumber ekonomi yang terhad, iaitu melibatkan masalah apa, berapa banyak,
bagaimana dan kepada siapa barang dan perkhidmatan dikeluarkan.
(b) Huraikan bagaimana masalah asas ekonomi diselesaikan dalam sistem
ekonomi pasaran bebas.
• Secara amnya, masalah asas ekonomi dalam sistem ekonomi
pasaran bebas diselesaikan oleh keputusan isi rumah dan firma melalui
mekanisme pasaran.
• Masalah apa yang hendak dikeluarkan
diselesaikan berdasarkan permintaan pengguna di pasaran, bermakna firma
akan mengeluarkan barang yang mempunyai permintaan oleh pengguna.
• Masalah berapa banyak dikeluarkan ditentukan oleh mekanisme harga di pasaran yang menetapkan tingkat kuantiti keseimbangan, iaitu kuantiti pengeluaran yang akan dipilih.
• Masalah bagaimana hendak dikeluarkan ditentukan oleh mekanisme
pasaran yang menentukan harga faktor pengeluaran dan kaedah pengeluaran
yang menggunakan kos yang paling rendah akan dipilih.
• Masalah kepada siapa akan dikeluarkan ditentukan oleh pengagihan pendapatan di kalangan pemilik faktor yang akan menentukan kuasa permintaan pengguna, dengan itu barang mewah dikeluarkan kepada pengguna berpendapatan tinggi.
3. Gambar rajah di bawah menunjukkan keluk kemungkinan pengeluaran AD sebuah ekonomi yang mengeluarkan barang X dan barang Y.
(a) Terangkan keadaan-keadaan kecekapan pengeluaran di dalam ekonomi.
(b) Terangkan masalah kekurangan yang dialami ekonomi.
(c) Terangkan masalah kos lepas yang dialami dalam ekonomi.
(a) Kecekapan pengeluaran ditunjukkan oleh semua titik di atas keluk
kemungkinan pengeluaran AD kerana wujudnya guna tenaga penuh.
Sebaliknya, sebarang titik ke kiri daripada keluk kemungkinan
pengeluaran AD menunjukkan ketidakcekapan pengeluaran kerana wujud
pengangguran sumber.
(b) Masalah kekurangan ditunjukkan oleh
bahagian kanan daripada keluk kemungkinan pengeluaran AD, contohnya
titik F ialah kombinasi yang tidak dapat dicapai kerana kekurangan
sumber.
(c) Masalah kos lepas ditunjukkan oleh kecerunan keluk
kemungkinan pěngeluaran AD, contohnya jika kombinasi B dipilih, firma
akan mengalami kos lepas, iaitu sejumlah barang Y yang dilepaskan untuk
meningkatkan pengeluaran barang X.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan