Sabtu, 6 Januari 2018

MANGSA- BAB 2



Mak Temah bingkas bangun ketika terdengar kokokan ayam jantan miliknya.  Dia memandang jam di dinding.  Sudah hampir siang.  Dia membetulkan rambutnya yang kusut masai.  Mengemas  tempat tidur sendiri.  Membuka tingkap  dan membiarkan angin pagi bertiup masuk, terasa sejuk terkena angin pagi yang nyaman itu.   Di luar masih gelap.  Dia menuju ke bilik air. Mandi dan membersihkan diri.  Menanak nasi dan air untuk sarapan paginya.   Cukuplah nasi panas dengan telur mata kerbau atau dadar dan ikan masin. Sudah cukup menyelerakan.  Kopi pekat menjadi minuman kegemarannya.  Terutama jika kopi kasar, dia akan kunyah biji kopi itu sehingga halus dan menelannya, terasa nikmatnya.
            Usai siap sarapan paginya, dia melangkah ke bilik yang menempatkan pesakitnya.  Mungkin gadis itu masih lagi tidur. Daun pintu yang tertutup ditolak perlahan.  Bau hanyir darah menerpa ke hidungnya.  Hampir dia termuntah dek baunya yang busuk.  Darah membasahi tilam yang menjadi alas tidur gadis itu.  Mulut gadis itu berbuih.  Mak Temah menerpa.  Tubuhnya menggigil.  Dia memeriksa nadi di lengan dan leher gadis itu.  Tidak ada sebarang denyutan.  Matikah dia?  Mak Temah bingung.  Dia galau, apa yang harus dia lakukan?  Mak Temah menyandar di dinding. Matilah dia!  Apa yang dia  harus lakukan? Tidak mungkin membiarkan mayat gadis itu berada di dalam rumahnya?  Mak Temah bingkas bangun.  Akalnya terus berfikir  mencari jalan untuk menghampuskan mayat gadis tersebut.
            Hendak dibawa ke belakang, biarpun gadis itu kurus, dia tetap tidak mampu membawa mayat itu keluar.    Apatah lagi mengali lubang untuk mengguburkan mayat itu.  Kalau janin mudahlah, bukan besar mana pun.  Memang malang sungguh nasibnya.  Belum pernah ada yang mati sewaktu dia  menggugurkan kandungan mereka.   Ketakukan dan kebimbangan menyelubungi hatinya.  Dia masih tidak menemui jalan untuk menghapuskan mayat itu.  Macam mana gadis itu boleh mati?  Mak Temah mengeluh, mungkin akibat terlalu banyak darah yang keluar setelah menggugurkan kandungannya menyebabkan gadis itu tidak mampu bertahan lebih lama.  Sudah sampai ajalnya.  Mak Temah menuju ke dapur.  Dia mencari sesuatu.  Matanya terpandangkan kapak sebesar lengannya  di ceruk dapur.  Kapak itu diambil.  Kapak yang digunakan oleh arwah suami untuk  membelah pokok-pokok yang tumbuh liar di kawasan rumah.  Kapak itu tajam, rasanya seekor lembu kalau ditetak boleh terputus lehernya. 
            Mak Temah mendapat akal.  Dia menuju ke bilik air.  Besen besar dibawa naik ke dalam bilik bersama kapak.  Wajah gadis yang sudah menjadi mayat itu dipandang seketika.  Maafkan aku, aku terpaksa melakukannya, detik hati kecil Mak Temah.  Sebelum dia ingin mengasihi orang lain, dia harus mengasihi dirinya sendiri.  Dia tidak mahu ditangkap polis. Dia tidak mahu dipenjarakan.  Kapak digenggam kuat.  Dia duduk di hadapan mayat tersebut.  Tangannya terketar-ketar.  Kapak diangkat tinggi.  Dia mengetap bibir. Mampukah  dia melakukannya?  Mak Temah bersoal jawab dengan dirinya sendiri.  Kapak itu diletak semula ke lantai.  Hatinya berbelah bahagi.  Antara kemanusia dan kepentingan diri sendiri. 
            Akalnya tidak berhenti berfikir.  Dia mengeluh berat. Kalau dia tidak menghapuskan mayat itu, apa yang harus dia lakukan? Panggil orang kampung?  Tidak mungkinlah. Nanti banyak soalan yang akan keluar dari mulut orang kampung. Terutama abangnya sendiri.  Dia tidak akan biarkan hal itu berlaku.  Setakat ini orang kampung tidak pernah mengganggu hidupnya.  Tidak pernah menghiraukannya.  Mungkin mereka malu dengan abangnya.  Apatah lagi dia penduduk asal kampung itu. Kenapalah tidak mati semalam lagi, ini tidak… siang-siang hari dia terpaksa mencangkul, dipanahan matahari terik.  Memang menyusahkan!  Dapat upah lumayan pun berasa tidak berbaloi bila terpaksa menanam mayat gadis itu pula. 
            Mak Temah membetulkan ikatan kain sarungnya.  Dia mencapai kembali kapak yang berada di atas lantai rumah.  Dia berdiri menggunakan lutut.  Kapak diangkat dengan kedua belah tangan.  Dengan kekuatan yang ada, dia menetak mayat gadis itu sehingga putus, mula-mula bahagian lengan, darah memancut keluar, terpercik ke muka dan badannya.    Dia terus menghayun dan menghayun sehingga selesai kerjanya.  Kepala mayat itu juga dipenggal.  Bahagian tubuh yang sudah dikerat itu dimasukkan ke dalam besen tadi.  Darah memenuhi bilik tersebut.  Bau hanyir semakin kuat.  Tilam pula basah dengan darah sahaja.  Mak Temah mengesat mukanya dengan tuala, Bukan mudah mengerat mayat itu.
            Dia menolak besen berisi mayat itu ke dapur dan terus ke bahagian belakang rumah.  Dia menjengah keluar.  Keadaan belukar yang memagari kawasan belakang itu sukar untuk orang lain melihat apa yang ada di belakang kawasan itu. Panas matahari tidak menghalangnya menyelesaikan kerjanya. Apa yang dia tahu, mayat itu harus ditanam.  Tidak boleh sesiapa tahu apa yang berlaku.  Mak Temah mengeluh kepenatan.  Dia mula mencangkul, lubang yang dalamnya mampu menanam mayat gadis itu.  Hampir dua jam  dia mencangkul, sudah beberapa kali dia mengacu mayat gadis itu masuk ke dalam lubang tersebut. Biar muat, biar tertutup semuanya.
            Malam menjelang tiba.  Mak Temah masih lagi berehat.  Dia benar-benar keletihan.  Seharian dia menguruskan mayat gadis itu dan membersihkan bilik yang dipenuhi darah.  Tidak pernah dia berasa sepenat ini.    Kalau boleh dia ingin tidur awal, berehat dan memulihkan tenaganya semula.  Mana tahu, esok ada rezeki yang lain pula.  Tubuhnya direbahkan ke atas katil.  Dia mengiring ke kanan.  Matanya berasa berat teramat sangat, terasa berpasir.  Mungkin terlalu mengantuk.  Beberapa kali dia menguap, kalau tidak ditutup mulut, cicak pun boleh masuk ke dalam. 
            Kepalanya dipusingkan beberapa kali, tubuhnya diregangkan.  Mata dipejam rapat. Tidurlah, bisik hati kecilnya.  Dia cuba melelapkan mata. Biarpun mengantuk tetapi begitu sukar untuk dia terlelap.  Agaknya terlalu penat sehingga tidak mampu melelapkan mata.  Mak Temah membuka tingkap bilik.  Suara unggas malam mengusik telinganya.  Sesekali merdu juga suara cengkerik yang sedang bersahut-sahutan sesama sendiri itu. Kicauan burung hantu sedikit pun tidak menakutkan.  Sudah biasa dengan situas begitu.  Burung hantu keluar dari sarangnya untuk mencari makan.
            Mak Temah kembali ke atas katil.  Dia duduk menyandar di birai katil, memandang langit malam yang dipenuhi bintang bergemelapan, menyinari dada malam.  Sejak arwah suaminya meninggal, dia tinggal seorang diri, tidak dikurnikan zuriat seorang pun.  Tidak pernah arwah suaminya merengek inginkan zuriat.  Dia juga tidak pernah berasa keinginan memiliki zuriat sendiri.  Mudah begini, tidak ada yang datang mengganggu.
            Ketukan kuat di pintu mengganggu lamunannya.  Dahinya berkerut. Siapa pula yang datang malam-malam buta begini?  Mak Temah bergegas keluar dan membuka pintu.  Dia tertolak ke belakang bila daun pintu ditolak dengan kasar sebelum sempat dia membuka sepenuhnya. 
            “Mana gadis semalam yang aku hantar semalam?” tanya seorang lelaki yang berdiri di hadapan pintu rumah.  Dia mencekak pinggang.
            “Gadis?” Mak Temah mengamati wajah lelaki itu.  Dia tidak cam wajah itu, kerana disembunyikan disebalik topi.  Lelaki itu tidaklah terlalu muda.  Cakapnya kasar dan tidak menghormati orang lain.
            “Gadis yang aku bawa suruh kau gugurkan kandungannya!” jerkah lelaki itu.
            “Dia…  Di… Dia dah mati!” jawab Mak Temah tergagap-gagap.
            “Mati? Kau buat apa dengan dia?” marah lelaki itu dan sedikit terkejut.
            “Bukan aku bunuh dia, dia kehilangan banyak darah, waktu aku tinggalkan dia di bilik itu semalam, dia masih hidup.  Pagi tadi aku hanya temui mayatnya saja.  Jadi… aku kebumikanlah!  Takkan aku nak biarkan mayat itu di sini,” kata Mak Temah lagi.  Dia memandang sinis lelaki itu. Mungkin juga teman lelaki arwah gadis tersebut.
            “Kau memang tak guna! Habis rosak rancangan aku” marah Lelaki itu. 
            “Mana kau tanam dia?” soal lelaki itu lagi.  Dia memandang wajah Mak Temah yang sedang ketakutan.  Di belakangnya sudah bersedia sebilah pedang.
            Mak Temah kecut perut.  Apa lelaki itu hendak buat dengan pedang panjang seperti pedang Samurai.  Mak Temah mula mengundur ke belakang.  Dia tidak mahu nyawanya pula jadi galang ganti.  Bukan dia yang membunuh gadis itu.  Gadis itu mati sendiri. 
            “Aku tak suruh kau bunuh dia! Aku suruh kau buat kerja kau aje!” kemarahan masih memuncak. Lelaki itu menolak tubuh Mak Temah dengan kuat sehingga jatuh terjelepok ke lantai. 
            “Kau tak faham ke? Aku tak bunuh dia! Aku cuma tanam mayat dia aje!” Mak Temah hilang sabar. 
            Lelaki itu menendang Mak Temah di bahagian perut.  Terhenyak Mak Temah ke dinding.  Hanya terdengar jeritan kesakitan.  Mak Temah menggagahi diri untuk bangun berdiri.  Kenapa pula dia dipukul?  Kenapa lelaki itu tidak faham dengan kata-katanya? 
            “Kenapa kau biarkan dia mati?” Lelaki itu menarik sanggup Mak Temah, terburai rambut Mak Temah.
            “Hey, kau yang suruh aku gugurkan kandungan gadis itu biarpun aku beritahu, bahaya menggugurkan kandungan yang berusia lima bulan ke atas.  Melainkan dilakukan di hospital. Mereka lengkap dengan alatan yang sesuai!”  Mak Temah masih mampu bersuara mempertahankan tindakannya. 
            “Aku peduli apa! Kau telah mengganggu rancangan aku! Kau hampir gagalkan rancangan yang telah aku atur selama ini!”  jerit lelaki itu, geram dan memuncak rasa marahnya. 
            Mak Temah ditarik ke dapur.  Pintu belakang dibuka. 
            “Tunjukkan aku tempat kau tanam mayat gadis tu?”  perintah lelaki itu lagi.  Matanya liar memerhati sekeliling.  Keretanya juga diletakkan jauh dari rumah itu. 
            “Situlah!” Mak Temah menunjukkan kubur yang ditanam mayat gadis itu.
            “Punggah balik!”  arah lelaki itu, dia terus menolak Mak Temah sehingga jatuh di atas kubur yang tidak bertanda itu. Mak Temah tidak membantah.l  Dia menggali semula kubur tersebut.  Kelelahan dia melakukan kerja itu seorang diri. Lelaki itu hanya menjadi pemerhati.
            Lelaki itu menjengah ke dalam lubang yang sudah siap digali oleh Mak Temah.
            “Kau buat apa dengan mayat dia? Kau kerat?”  soal lelaki itu.  Pedang samurai di tangan digenggam semakin erat. 
            Mak Temah ketakutan.
            “Aku terpaksalah! Manalah aku larat nak tanam mayatnya sekaligus.  Kau ingat senang nak gali lubang!” kata Mak Temah.
            “Tak guna! Tak guna!” pekik lelaki itu dengan suara yang masih ditahan. Tidak mahu ada yang terdengar suara pekikannya. Dia menendang Mak Temah bertubi-tubi. Di perut, muka dan di kaki. 
            “Lepaskan akulah! Jangan buat aku macam ni, aku dah tua!” rayu Makl Temah.
            “Kau patut mati!” jerit lelaki itu. Pedang samurai dihayun terkena bahu Mak Temah.  Darah memancut keluar.  Mak Temah mengerang kesakitan.
            “Jangan bunuh aku! Jangan Bunuh aku!” Mak Temah bingkas bangun dan melarikan diri.  Dia menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk melepaskan diri.  Jika terpaksa berlari keluar pagar, dia sanggup lakukan.  Asalkan dirinya terlepas daripada lelaki yang gila itu.  Dia masih tidak boleh melihat wajah lelaki itu dengan tepat.  Lantaklah! Dia harus menyelamatkan dirinya dahulu.
            Lelaki itu mengejar Mak Temah dari belakang. 
            Mak Temah berlari sekuat hati menuju ke pintu hadapan.  Hanya pintu hadapan itu sahaja jalan keluar dari rumahnya.  Kawasan belakang dipenuhi belukar yang tidak mampu dibolosi oleh badan manusia. 
            “Kau nak lari ke mana?”  Lelaki itu menghayun pedang samurai sekuat hati dan mengelar belakang Mak Temah.  Bukan sekali., berkali-kali. Darah mengalir panas di belakang tubuh tua itu. 
            Mak Temah rebah ke lantai, dia merangkak ke muka pintu.  Cuba juga melepaskan diri. Biar terpaksa merangkak sekalipun. 
            Lelaki itu terus menetak dan mengelar tubuh, tangan dan kaki Mak Temah.  Dia melepaskan segala kemarahan yang bertandang di hatinya.  Dia hanya meminta kandungan gadis itu digugurkan. Bukan dibunuh sebegitu kejam sekali.  Sekali lagi dia menghayun, kepala Mak Temah menjadi sasaran.  Mak Temah rebah di hadapan pintu rumahnya;  Tidak bernyawa lagi. Darah terus mengalir dari celahan kelahan dan luka di tubuh Mak Temah yang sudah tidak bernyawa lagi itu.  Lekaki itu tersenyum puas. Dia mengelap pedang itu dengan kain sarung Mak Temah yang berlumuran darah.
            “Mampus kau!” kata lelaki itu dengan penuh kepuasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan