Jumaat, 12 Januari 2018

MANGSA- BAB 6



            Tangannya laju membersihkan kawasan rumah arwah mak sunya.  Harun tidak gentar atau takut dengan keadaan rumah arwah yang kelihatan seperti rumah berhantu itu. Kawasan semak samun itu menambah keusangan keadaan kawasan dan rumah tersebut.  Beberapa hari yang lalu, Harun sudah pun membersihkan ruang di dalam rumah.  Segala barangan buruk sudah dibuang dan dibakar.  Begitu juga dengan pakaian arwah, tiada orang kampung yang sudi menerima pakaian-pakaian tersebut.
            Ayahnya sudah menghalang dia datang ke rumah tersebut.   Ah! Apa hendak ditakutkan?  Arwah sudah pun meninggal. Cerita hantu sering dia mendengarnya, tapi tak pernah pula berjumpa, atau ada sesiapa yang bertemu empat empat?  Malas nak ambil tahu.  Apa yang pasti, kawasan itu perlu dibersihkan.  Pertemuan beberapa janin bayi di belakang rumah arwah menambah misteri lagi kematian  arwah mak sunya itu.  Adakah mak sunya mengamalkan penguguran  bayi secara haram?  Kenapa ayahnya langsung tidak tahu kegiatan adiknya sendiri? Pelik betullah!
            Usai membersihkan kawasan tersebut.  Harun terus pulang ke rumah.  Badannya berasa bergetah.  Sudah dua hari dia bercuti.  Esok dia akan kembali ke Kuala Lumpur, kembali bekerja. 
            Harun duduk di kaki tangan, dia membelek sebentuk cincin emas berlian bermata satu, cincin siapakah ini? Takkan cincin arwah mak sunya?  Mengikut bentuk dan saiz cincin tersebut, tentu kepunyaan gadis muda.  Harun mengeluh, mungkin kepunyaan salah seorang gadis yang telah mengugurkan kandungannya di rumah arwah. Kemungkinan itu ada.  Harun mengeluh kesal.  Sudah buat dosa, kemudian tambah dosa lagi.
            “Dah selesai kau bersihkan kawasan rumah arwah mak su kau tu, Harun?”  tanya  Haji Manaf yang baharu saja pulang dari masjid. Ada mesyuarat AJK masjid sejak pagi tadi.  Tengahari  baharu selesai. Motosikal diparkir di tepi rumah, lalu duduk di kaki tangga bersama anak tunggalnya itu.
            “Sudah ayah, esok Harun dah nak balik ke KL. Harun dah letak mangga di pagar dan di pintu rumah arwah mak su.  Harap-harap jangan ada sesiapa yang ceroboh, pihak polis sahaja yang boleh masuk dan siasat apa yang berlaku.  Nanti ayah uruskanlah, kalau ada pihak polis nak masuk ke dalam rumah arwah.  Harun dah bersihkan semuanya, tiada apa yang lagi yang tinggal di dalam rumah, biarpun pihak polis menghalang, tapi kawasan belakang, Harun tak usik, mungkin ada bukti-bukti yang diperlukan oleh pihak polis.  Sisa-sisa janin masih ada lagi di situ, tulang belulang manusia juga ada, entah milik siapa?  Seram juga memikirkannya,” Harun mengeluh.
            “Nanti marah pihak polis dengan ayah, kan mereka dah pesan jangan bersihkan?  Bagaimana mereka nak jejak pembunuh arwah mak su kau?”  Haji Manaf mengeluh kasar.
            “Kesan darah arwah dan tempat arwah dibunuh, Harun tak bersihkan.  Harun cuma buang barang-barang dalam rumah yang buruk dan busuk, itu aje,”  beritahu Harun. 
            “Baguslah begitu, entah manusia jenis apa yang sanggup membunuh orang tua yang lemah seperti arwah mak su kau! Kejam sungguh!” tempelak Haji Manaf. 
            “Kenapa arwah sanggup buat kerja kotor itu ayah?  Selama ini kita tak pernah tahu pun arwah menggugurkan bayi?  Allah! Dosa besar itu ayah, sama dengan membunuh!”  Harun mengeluh kesal.  Dia sayang arwah emak saudaranya itu, sesekali ada juga dia datang menjengah arwah kalau dia pulang bercuti di kampung itu.  Pandai sungguh, arwah menyembunyikan kerja kotornya itu. Padanlah arwah sering melarang Harun ke belakang rumah, rupanya ada yang disembunyikan.  Tidak tahu berapa ramai bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kerja kotor arwah.  Semoga Allah mengampunkan dosa arwah emak saudaranya itu.
            Haji Manaf tidak berkata apa-apa, hanya menggelengkan kepala.  Arwah adiknya bukan manusia begitu, mungkin terikut-ikut cara arwah suaminya, teka Haji Manaf.  Simpati dengan nasib arwah adiknya itu.  Hidup bergelumang dosa.  Semoga Allah mengampunkan semua dosa-dosa arwah, aamiin, doa Haji Manaf dalam hati.
            “Harun bila balik KL?” tanya Haji Manaf, menukar tajuk cerita.  Tidak sanggup memikirkan kisah arwah adiknya itu.  Orang kampung sudah mula bercakap-cakap.  Kadangkala terusik juga hatinya, yang dikata adiknya sendiri, darah dagingnya.  Nasib orang perempuan, dapat suami baik, baiklah jadinya.  Jika sebaliknya?  Haji Manaf mengeluh berat.
            “Lusa,” jawab Harun perlahan.  Berat hatinya hendak meninggalkan kampung halamannya itu, apatah lagi memikirkan kematian arwah emak saudaranya yang sangat misteri.  Siapakah yang telah membunuh Mak Su Temahnya itu?  Persoalan itu berlegar dalam fikirannya.  Polis pun masih menyiasat perkara tersebut.  Harap mereka cepat dapat menangkap pembunuh tersebut.  Biar terbalas kematian arwah emah saudaranya itu.
            Harun tidak memberitahu ayahnya akan pertemuan cincin berlian itu.  Mungkin cincin mereka yang telah datang untuk menggugurkan kandungan, atau cincin arwah mak sunya? 
            “Kenapa dua beranak ni jadi penunggu tangga?  Tak nak naik makan ke?” tegur Hajah Kamariah  yang muncul di muka pintu utama.
            “Nak naiklah ni,” kata Haji Manaf, lalu bingkas bangun berdiri dan naik ke dalam rumah.
            Harun masih termenung memikirkan nasib arwah mak sunya.  Mati seleranya hendak menikmati makan tengahari yang enak dimasak oleh emaknya. 
            “Harun!” panggil Hajah Kamariah.
            “Ya, nak naiklah ni,” jawab Harun perlahan.  Dia bingkas bangun dan melangkah masuk ke dalam rumah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan