Sekujur tubuh kecil berlumuran darah bersaiz sebesar tapak tangan
dengan tali pusat yang masih melingkar di tubuhnya sudah dikeluarkan dari rahim
seorang ibu muda yang tidak mahu menerima kehadiran janin itu. Usia di dalam rahim yang baru mencecah enam
bulan, namun sudah cukup sifatnya tapi dibunuh tanpa sempat melihat alam ini.
Sekeping
kertas surat khabar sudah bersedia menunggu untuk membalut tubuh janin yang
masih kecil itu. Sepantas kilat janin
itu terus dibungkus kemas, lalu dibawa ke belakang rumah untuk
disemadikan. Tiada kain kafan, tidak
juga dimandikan. Dicampak ke dalam lubang yang suda siap digali. Kedalamannya hanya cukup untuk menimbus janin
itu, sekadar menutup agar tidak berbau.
Tangan tuanya pantas menutup lubang sehingga tertutup semuanya, langsung
tidak ada sedikit pun belas ehsan di hatinya.
Tidak ubah seperti menanam bangkai binatang yang sudah tidak bernyawa
lagi.
Kawasan di
belakang rumahnya dipagari semak-samun, mampu menutup semua kegiatan yang
berlaku di belakang rumah itu. Di
situlah dia menguburkan janin-janin yang digugurkannya. Tiada siapa yang
mengetahuinya hatta saudara maranya sendiri.
Pandai buat, pandailah simpan. Jangan sampai tembelangnya pecah. Sikapnya yang
suka menyendiri dan kurang bergaul dengan orang lain membuatkan tiada
siapa yang tahu akan kerja-kerja gila yang dilakukannya. Sejak berkahwin dengan arwah suaminya, dia
hanya duduk diam di dalam rumah. Membantu suaminya mengubat orang, suaminya
jugalah yang mengajar di acara menggugurkan kandungan, dan pekerjaan itu
dilakukan sehingga sekarang. Dahulu,
arwah suaminya yang menggali lubang bagi menanam janin-janin yang digugurkan.
Kini, terpaksalah dia melakukannya sendiri.
Dalam
kepekatan malam dengan disimbahi lampu mentol bulat yang terpasang di bahagian
belakang rumah, Mak Temah menyambung tugasnya dengan menanam seperdu daun
pandan. Tempat yang ditanam janin tadi
ditutup dengan peru daun pandan tadi.
Dia menarik nafas lega.
Suara perempuan mengerang kesakitan
di sebalik dinding rumah terasa begitu merimaskan. Selalunya, selepas sahaja menggugurkan
kandungan, pelanggannya akan pulang terus, tetapi tidak dengan kes hari ini.
Orang yang membawa perempuan itu memintanya
membenarkan perempuan itu bermalam di rumahnya.
Mahu atau tidak terpaksalah dia bersetuju lantaran jumlah wang yang
dibayar kepadanya cukup lumayan. Panas
berbahang hatinya, suara itu begitu menyeksakan jiwanya. Biarpun rumahnya jauh dari rumah penduduk
kampung yang lain namun dengan kesunyian
malam tidak mustahil suara itu mampu didengari oleh penduduk yang
berhampiran atau mereka yang lalu di hadapan rumahnya.
Tubuhnya
yang sedikit berisi kerana faktor usia tidak mampu melangkah laju. Suara itu terus kedengaran. Mak Temah mengeluh geram. Baju dan kain sarongnya yang dikotori darah
dan tanah harus diganti dengan baju dan kain yang lebih bersih. Dia melangkah ke dalam bilik air untuk
membersihkan diri. Bau hamis darah terasa memualkan tekak. Usai menguruskan diri sendiri, dia kembali ke
dalam bilik yang menempatkan perempuan yang mengerang kesakitan itu. Pintu bilik yang tertutup rapat ditolak dengan
kasar, berdentm terkena dinding rumah.
Matanya menikam tajam wajah pesakit yang masih mengerang kesakitan itu.
"Diamlah!
Waktu kau berseronok, tak tahulah sakit? Sedapkan? Sekarang baru kau tahu untung nasib kau! Tak tahu langsung nak jaga maruah sendiri. Kau ingat, lelaki suka perempuan murahan
seperti kau untuk dibuat bini? Murah
bermaksud, tidur dengan dia sebelum kau sah menjadi isterinya!” marah Mak
Temah. Nasib baik dia tidak dikurniakan
seorang anak pun. Kalau dia ada anak, agaknya pening kepala memikirkan perangan
lepas bebas anak-anaknya.
“Sakit Mak Temah!”
tangis gadis itu, sambil tangannya menekan ari-ari menahan sakit. Darah masih
mengalir keluar dari celah kelangkangnya.
Habis basah tilam tempat dia berbaring tadi.
“Pakailah pad!” jerit Mak Temah geram. Habis kotor bilik tersebut. Biarpun rumahnya tidak sebersih mana tetapi
tidaklah dikotori dengan bau darah yang hanyir dan busuk itu. Kembang kempis hidungnya menahan rasa loya
dan bau hanyir darah.
“Tak larat nak bangun Mak Temah, rasa nak gugur rahim
saya ni,” adu gadis itu, air mata sudah
merembas keluar. Dia sudah teresak-esak
menahan sakit.
“Makan ubat ni!” Mak Temah memberi dua biji pil ubat
tahan sakit.
Gadis itu mengambilnya dengan tangan terketar-ketar
menahan rasa bisa di seluruh tubuhnya.
Berdenyut terasa di kemaluannya.
Darah masih lagi mengalir.
Bibirnya pucat menahan kesakitan yang amat sangat.
Mak Temah menyumbat kain di celah kelangkang gadis
itu. Tidak mahu darah terus
mengalir. Tekaknya terasa meloya,
ditahan nafas agar tidak termuntah di situ juga.
“Mak Temah, bawa saya ke hospital! Tak tahan sangat ni,”
rayu gadis itu. Wajah Mak Temah yang masak mencuka dipandang memohon
simpati.
“Kau gila! Nanti satu kampung tahu, aku gugurkan anak
haram!” Mak Temah mendengus kasar. Tidak
mungkin dia melakukannya. Dia belum
cukup bodoh untuk menyerah tengkuknya pada pihak berkuasa. Ingat senang, jika dia ke hospital atau
mana-mana klinik, pasti doktor akan tahu, gadis itu baru sahaja menggugurkan
bayi. Silap haribulan dia yang akan ke
lokap. Memang cari nahaslah.
“Mak Temah, tolonglah!” rayu gadis itu sambil memegang
lengan Mak Temah.
“Hey, sebelum aku nak gugurkan kandungan kau, aku dah
beritahu bahayanya menggugurkan kandungan dua bulan ke atas. Kau degil!
Pandai buat, pandailah simpan!
Sendiri cari masalah, kenapa nak menyusahkan aku!” marah Mak Temah. Peduli apa dia dengan masalah atau kesakitan
yang dialami. Dia sudah memberi amaran kesan menggugurkan kandungan yang sudah
melebihi dua bulan ke atas. Keadaan
janin yang sudah besar menyukarkan untuk bidan kampung seperti dia
melakukannya. Dia bukannya pakar, dia
belajar menggugurkan kandungan pun daripada arwah suaminya yang merupakan
seorang bomoh.
Gadis itu terus menangis, dahinya berkerut. Mukanya
pucat lesi. Kain sarongnya dipenuhi darah. Dia menekan perut dengan tangannya,
semakin lama, semakin sakit.
“Bawalah tidur! Hari dah jauh malam. Esok ajelah aku fikirkan bagaimana nak
selesaikan masalah kau. Badan aku dah cukup letih hari ini. Biarlah aku
berehat,” kata Mak Temah. Dia melangkah
keluar dan menuju ke biliknya. Dengan
usia yang menjangkau usia emas, tubuhnya tidak begitu kuat lagi. Hendak mencangkul seperti dahulu, sudah tidak
berdaya lagi. Perlahan-lahan dia melakukannya. Asalkan kerjanya selesai, usai dikira lambat
atau cepat dia melakukannya.
Mak Temah merebahkan tubuh di atas tilam. Dia cuba melelapkan mata, Keletihan benar-benar terasa. Sakit habis
seluruh anggota. Esok sahajalah dia membersihkan
bilik sebelah yang berbau hanyir darah.
Suara gadis itu masih kedengaran sayup-sayup di cuping telinganya. Masih tidak tidur lagi! Bisik hati kecilnya.
Memang menyusahkan! Kalau didengari oleh penduduk kampung, mampus dia!
“Hoi! Diamlah!” Mak Temah mengetuk dinding yang
memisahkan biliknya dan bilik sebelah.
Tidak mampu melelapkan mata lantaran suara gadis itu terasa mengganggu
tidurnya. Dia menekup bantal di
telinga. Bising! Omelnya sendiri. Perlahan-lahan dia mengangkat bantal yang menutup
telinganya. Suara gadis itu sudah
senyap. Mak Temah menarik nafas
lega. Tidur juga akhirnya, bisiknya lagi. Dia tersenyum sinis. Duit upah menggugurkan kandungan gadis itu
sudah diperolehi sebaik sahaja gadis itu menjejakkan kaki di rumah itu. Dia tersenyum puas. Bukan sikit upah yang diperolehi hari ini.
Entah siapa gadis itu?
Anak siapa? Dia tidak pernah ambil tahu, jauh sekali hendak
menasihati. Diri sendiri melakukan dosa,
pandai-pandai hendak nasihatkan orang lain. Memang tidaklah. Dosa sendiri tidak tertanggung olehnya. Bukan tidak berasa bersalah, diakan manusia.
Bukannya kejam sangat. Tetapi tuntutan dan keperluan hidup membuatkan dia
senang melakukan kerja tersebut. Matanya terus terpejam dengan angan yang
panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan