Sewaktu mengikuti majlis ceramah Ustazah Halimah Alaydrus bercerita
tentang keluarga Imran, kisah yang tercatat dalam Surah Al-Imran ayat
35.
'Ya Tuhanku, Aku bernazar kepada-Mu, apa( janin) yang dalam
kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdikan ( kepada-Mu), maka
terimalah (nazar) itu dariku. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha
Mendengar, Maha Mengetahui.'
Nazar seorang ibu yang ingin melihat
anaknya berkhidmat untuk agama dan berbakti kepada Allah swt. Doa
yang membuatkan Maryam menjadi insan dan hamba yang dicintai oleh Allah
swt. Paling saya suka adalah ayat Ustazah Halimah Alaydrus seperti ini:
'Ya Allah, ingin aku PERSEMBAHKAN anak dalam kandunganku ini untuk
mengabdikan diri kepada agama-Mu, terimalah PERSEMBAHANKU ini."
Betapa mulianya hati seorang ibu yang sanggup menyerahkan anak yang dilahirkan daripada rahimnya berkhidmat untuk agama.
Terfikir di dalam benak saya saat dan ketika itu, kenapalah saya tidak
berdoa seperti itu? Paling tidak doa kita adalah inginkan nak yang
soleh, beriman dan bertakwa kepada Allah swt, itu pun sudah kira doa
yang terbaik buat hamba Allah swt seperti diri kita ini.
Anak
adalah kurniaan Ilahi kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Ada
orang, baru sahaja bernikah, terus disahkan mengandung. Tidak kurang
ramai juga yang setelah berkahwin belum dikurniakan seorang anak pun,
biarpun sudah berbelas tahun. Tidak ada anak, bukan bererti hidup kita
adalah seorang wanita malang yang tidak sempurna.
Allah swt itu
lebih Maha Mengetahui akan kemampuan kita setakat mana. Bukan kerana
tidak boleh mendidik atau dikatakan tidak layak menjadi ibu. Tetapi
kerana Allah juga tahu, jika kita dikurniakan zuriat, anak itu akan
menjadi penyebab kita ke neraka. Atau menjadi anak derhaka. Rahsia
Allah, hanya Allah yang tahu. Kepada yang ada zuriat, didiklah anak itu
dengan sempurna sebagai hamba Allah swt.
Kepada yang tidak
punya anak, usah berduka. Allah memberi ruang dan peluang untuk kita
mengabdikan diri kepada Allah swt dengan lebih banyak lagi. Punya ruang
dan peluang untuk duduk di majlis ilmu, bertahajud, bersolat sunat yang
lainnya tanpa ada gangguan daripada seorang insan bernama anak.
"Nanti sudah tua, siapa nak jaga kalau tak ada anak?"
Pertanyaan yang sering kita dengar. Adakah kita pasti, anak yang kita
lahirkan itu akan menjaga kita setelah mereka dewasa kelak? Berapa
ramai anak-anak di luar sana yang mengabaikan tanggungjawab mereka
kepada kedua orang tua? Adakah kita pasti anak-anak kita mampu menjadi
hamba Allah yang soleh dan solehah seperti yang kita dambakan?
Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan kerana anak itu milik Allah dan
kita hanya diberi pinjaman supaya kita mampu didik anak itu untuk
mengenal siapa pemilik mereka. Bukan hanya patuh dan taat kepada kita
semata-mata.
Jangan memandang hina mereka yang tidak punya anak
kerana kemungkinan nasib mereka lebih baik daripada kita di akhirat
kelak. Tiada banyak perkara yang akan diperhitungkan.
Jika Hanna
ibunya Maryam dan nenek kepada Nabi Isa a.s mampu berdoa seperti itu,
kenapa tidak kita cuba turut sama berdoa seperti itu agar Allah swt akan
membimbing anak kita ke jalan yang diredhai-Nya. Wallahu Alam. Hanya
Allah swt jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya
yang amat disayangi ini.
Ingatlah teman-temanku, ANAK ITU MILIK
ALLAH, kita hanya diberi amanah untuk menjadikan mereka Nasranikah?
Majusikah? atau seorang yang beragama Islam yang taat kepada perintah
Allah dan Rasul-Nya.
Antara gambar satu dan dua, mana satu pilihan kita?#muhasabahdiri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan