“Dia kecil lagi, tak
payah susah-susah nak solat. Sudah besar nanti, pandailah dia solat.”
“Aku muda lagilah, sekarang ni waktu untuk enjoy! Nanti dah tua, tahulah aku bertaubat.”
Ayat yang sering kita dengar dan kadang-kadang kita juga berkata
ayat yang sama. Dalam Islam, agama bukan hanya menjadi anutan, tanpa berbuat
apa-apa. Dalam Islam, ada ibadat, paling
utama adalah solat. Di akhirat nanti perkara pertama yang dihitung oleh Allah
swt, adalah solat. Baik dan sempurna solatnya maka baiklah semua amalanya ketika
di dunia.
Teman, solat sewajibnya diajar ketika anak berumur tujuh
tahun. Kalau anak itu sudah boleh berbicara lancar, selayaknya terus diajar
cara mendirikan solat. Setelah berumur
10 tahun rotanlah jika masih ingkar menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang
hamba Allah. Bagaimana mungkin kita
membiarkan anak yang diamanahkan kepada kita dibiarkan membesar tanpa tunduk
dan sujud kepada Allah swt. Mana mungkin, anak yang tidak solat mampu menjadi
hamba Allah yang baik, beriman dan
bertakwa. Memang ada anak-anak yang
berjaya dalam pelajaran walaupun tidak solat, tetapi lihatlah keperibadian,
adab dan akhlaknya. Mampukah dia menjadi
manusia yang benar-benar jujur dan
bertanggungjawab?
“Ada juga orang yang solat, tapi tetap buat jahat.”
Benar, namun…kena selidiki bagaimana solatnya? Dilakukan
kerana siapa? Cukupkah rukunnya?
Bagaimana wuduknya, sempurnakah?
Atau ambil sekadar main jirus sahaja,tanpa mengikut seperti yang telah
diajarkan oleh Baginda Rasul saw. Atau solatnya
sekadar ingin menunjukkan kepada orang, bahawa dia seorang yang baik dan rajin
bersolat. Hatinya pula bagaimana? Apa sahaja yang kita lakukan, semuanya
bergantung kepada niat seseorang itu.
Bukankah hatimu sentiasa dilihat oleh Allah swt. Maka, jagalah hatimu
agar sentiasa bersih, suci sesuci-sucinya.
Berbuat sesuatu yang baik tetapkan hati dan niatkan hanya kerana Allah
swt.
Teman, seseorang yang solat, mampu mencegah diri daripada
mendekati maksiat. Mereka yang solat
juga terpelihara hatinya daripada bersikap mazmumah. Allah swt akan memelihara hamba-Nya yang
sentiasa sujud kepada-Nya daripada segala kemungkaran. Tiada solat seorang hamba itu adalah sia-sia
melainkan mendapat rahmat dan makfirah daripada Allah swt. Jika sebaliknya berlaku, koreksilah ibadah
solatmu.
“Macam mana aku nak berubah?
Hidayah masih tak sampai kepada aku.”
Hidayah takkan datang sendiri. Hanya kepada orang yang bukan Islam sahajalah
hidayah akan tiba tanpa diduga. Tetapi
kepada yang sudah tertulis beragama Islam, sejak lahirmu lagi hidayah sudah pun
menapak dalam diri. Sepatutnya semakin
dirimu membesar, semakin tinggi keimanan. Semakin cinta dan sayangkan Allah swt. Semakin berhati-hati melangkah kerana takutnya dirimu
kepada Allah swt yang sentiasa memerhati dan melihatmu. Namun, semua itu tidak berlaku, kenapa?
Teman, jika kau bersolat sejak usiamu 10 tahun, Allah pasti
mendidik dan menunjukkanmu jalan yang benar.
Jalan yang lurus yang dirahmati dan diberkati oleh-Nya. Biarpun kau akan melakukan atau kerana kerakusan
nafsumu yang lemah, kau turutkan, kepincanganmu itu pasti akan dibawa kembali
ke pangkal jalan. Bagaimana hidayah
ingin sampai, sedangkan kau tak pernah pun sujud atau berdoa kepada Allah
swt. Seperti orang mengajak pergi
kenduri, kalau kau tak berusaha untuk pergi, bagaimana akan sampai ke rumah kenduri? Begitu jugalah hidayah. Solatmu, doamu, akan membimbingmu ke jalan yang
Allah berkati dan redhai. Zikirmu, amalan
tahajudmu, akan membawa cinta Allah ke hatimu.
Jika semua itu tidak kau lakukan, bagaimana kasih sayang Allah akan
sampai ke hati? Bagaimana hidayah Allah
akan mendekati? Bagaimana Allah ingin
menunjukkan jalan yang benar, jalan yang lurus dan jalan ke syurga-Nya sedangkan
kau menjadi manusia yang alpa dan lupa diri dengan keseronokkan duniawi? Jangan salahkan Allah jika kau memilih jalan
yang salah untuk terus hidup. Itu sebab Allah kurniakan akal agar kau tahu
membezakan baik dan buruk. Jika takdir
yang bersalah, samalah seperti kau menyalahkan Allah swt atas segala keburukan
yang ditimpakan kepadamu.
“Sudah tua nanti, aku bertaubatlah. Aku masih muda lagilah, enjoy beb! Enjoy!”
Betul, masih muda.
Sihat, cantik. Kacak. Bergaya. Bertenaga.
Teman, pastikah kita akan hidup sehingga usia tua? Bukankah
ada bayi juga meninggal, ada remaja juga menemui ajalnya belum sempat menikmati
usia dewasa. Jika ketika muda, kita kuat, mampu bergerak ke sana ke mari.Boleh
buat apa saja hatta mendaki bukit dan gunung.
Mampu berlari 10 kilometer tanpa kelelahan.
Adakah teman-temanku semua pasti ketika berusia 40-an ke atas mampu
sekuat umur seorang yang berumur 20-an?
Mungkinkah ketika usia kita berada dalam lingkungan 50-an kita akan cergas
sehingga mampu berlari 10 kilometer lagi? Jika adapun, berapa keratlah sangat. Ketika tubuh sedang bertenaga, kejarlah amal ibadat
sebanyak-banyaknya. Buatlah, solatlah, belajarlah agama, pergilah ke majlis
ilmu. Bacalah al-Quran. Buatlah baik
sebanyak-banyaknya kerana kita tidak tahu amalan yang mana mampu bawa kita ke
syurga Allah dan diterima.
Jangan tunggu sehingga kita berkaki empat atau berkerusi roda
atau badan lemah dan tidak bermaya. Esok,
belum kita tahu keadaan kita bagaimana? Hari ini, sedang masih kuat dan bertenaga,lakukanlah
amal ibadat sebanyak-banyaknya. Raihlah kasih Allah swt, gapailah cinta Allah
swt. Kerana semoga ketika kita sakit dan
tidak berdaya kerana ujian daripada-Nya, Dia masih lagi mencintai kita.
Teman, hidup kita ini antara azan dan qomat sahaja. Diazankan ketika lahir dan diqomatkan ketika
kita sudah kembali kepada Allah swt iaitu meninggalkan dunia ini buat selamanya.
Sudah sampai masanya kita kembali kepada fitrah kehidupan yang dituntut oleh Allah swt. Allah swt menjadikan kita hanya untuk sujud
kepada-Nya. Ajaklah ahli keluargamu kembali kepada kehidupan seorang hamba
Allah yang beriman dan bertakwa. Kerana, kita tetap akan kembali kepada-Nya juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan