Anak adalah amanah daripada Allah swt kepada kedua orang tua. Bagaimana cara orang tua mendidik, maka hasilnya akan dihadap sendiri.
Beruntunglah orang tua yang mendidik anak-anak berjaya di dunia dan akhirat. Orang tua yang gagal menjadikan anak-anak mereka yang taat perintah Allah, perlu muhasabah diri. Kerana, anak yang diberi bukan hak sendiri, tetapi dipinjamkan Allah kepadamu.
Kegagalan mengenalkan mereka kepada Allah swt sejak dalam kandungan, kesannya akan terlihat setelah mereka membesar. Solat tidak mahu, mengaji tidak tahu. Belajar pun malas.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal ketika di sana nanti kau ditanya akan amanah ini. Anakmu, hak Allah, dihantar kepadamu agar kau didik mengenal dan mencintai penciptanya.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal, ketika kau sudah kembali mendekati Allah swt, anakmu liat untuk sujud kepada Allah swt.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal, setelah tuamu, anak-anak tidak mahu berbakti kepadamu dan menjadi derhaka kerana kau terlebih dahulu derhaka kepada Allah apabila kau biarkan anak-anakmu tidak taat dan sujud kepada Allah.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal apabila anak-anakmu tidak beradab dan berakhlak kerana kau sendiri membentuk mereka menjadi tidak beradab dan berakhlak.
Perjalanan kita masih jauh, bukan di dunia, tetapi di akhirat. Bagaimana cara kita menyemai benih di dunia ini, akan kita lihat hasil tanaman ketika di sana. Ketika itu usah kesal jika tanamanmu tidak subur dan segar. Usah kau kesal ketika itu. kerana benihnya kau sendiri yang tabur, bajanya kau sendiri yang letak, airnya kau sendiri siram.
Wahai teman-temanku, kalau inginkan tanamanmu yang subur dan segar, taburlah benih keimanan, kesolehan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt.
Jagalah hubunganmu dengan Allah swt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan