Rabu, 4 Disember 2019

ORANG KETIGA? - Asmah Hashim

Berlakunya rasa cinta antara suami orang dan isteri orang, janda atau anak dara, bermula dengan hanya berbual bicara. Kemudian bertanya khabar. Disulami pula bercerita tentang masalah rumah tangga masing-masing. Kemudian menambah perisa meminta nasihat, maka salinglah nasihat menasihati.
Hubungan terus berpanjangan, dari rasa suka, timbullah dalam hati, kuch,kuch hota hai. Ketika itu baharu sedar, eh! Aku sudah bersuami! Eh! Aku sudah beristeri. Eh! dia suami oranglah!
Bagaikan tarikan magnet, tidak mampu berpisah lagi. rasa suka dan saja-saja berbual sebagai rakan sekerja, kawan sepasukan, kawan sepersatuan, kawan suka-suka, akhirnya jadi kekasih hati yang tidak mampu dipisahkan lagi.
Kalau sudah bersuami, usahlah berani mendekati lelaki lain. Usah berbual mesra, usah bercerita apa yang ada di jiwa. Akhirnya pasti akan jatuh cinta. Ketika itu tiada siapa mampu menghalang rumah tangga yang ada musnah akhirnya.
Wahai Kaum Hawa, kalau ada masalah, inginkan panduan hidup, inginkan khidmat nasihat, carilah Kaum Hawa juga, ramai ustazah dan pakar kaunseling perempuan juga. Sama pakar dengan ustaz-ustaz di luar sana.
Kalau sudah beristeri, usahlah mendekati wanita lain. Usah sibuk hendak membantu, kononnya kita manusia paling baik di dunia. Akhirnya, hati jatuh sayang, ketika itu rumah tangga yang ada takut melayang lantaran isteri tua tak nak jadi penghalang.
Kalau ada yang datang meminta nasihat, perkenalkanlah dengan isterimu, suruh nasihatkan. Usah pandai-pandai jadi kaunselor yang akhirnya kau jadi teman sebiliknya.
Usah bercakap, ini sudah ditakdirkan! Sudah jodohku! Kau yang mencari! Kau yang memulakan langkah! Allah bagi akal, Allah juga bagi nafsu. Pertimbangkan perbuatan kita, usah salahkan takdir dengan apa yang berlaku.
Kau yang mencari, ia takkan datang sendiri. Allah tentukan yang baik-baik sahaja. Kalau terjadi yang buruk, itu salahmu sendiri.
Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan