Saya: Biasa tolong emak di dapur?
Pelajar: (menggeleng laju)
Saya: Kenapa?
Pelajar: Emak tak bagi.
Saya hanya mampu tersenyum. Itulah yang berlaku setiap kali dua orang pelajar ditugaskan membantu saya di dapur. 90 peratus pelajar perempuan yang belajar di maahad kami jarang membantu di dapur. Kebanyakkan jawapan yang saya terima adalah emak tidak benarkan. Bukan nak kata anak orang, anak sendiri pun sama. Kadangkala kita nak cepat sahaja. Kalau minta anak membantu, selalunya kerja mereka lambat dan membuat kerja-kerja kita tertangguh. Apatah lagi otak kita yang sedang mengatur kerja satu persatu hendak diselesaikan berasa terganggu dengan pertanyaan “Lepas ini nak buat apa mak?” “Sayur ni nak potong macam mana?” memang rasa rimas dan tidak selesa nak buat kerja.
Ilmu mendidik anak-anak perempuan cekap di dapur bukan kerja mudah, kan? Saya masih ingat lagi bagaimana emak, nenek, arwah nenek dan emak-emak saudara mengajar saya memasak. Arwah nenek Zainab akan sediakan bahan masakan yang ingin dimasak. Diatur di tepi dapur minyak tanah. Saya yang masih lagi budak, mungkin sekitar umur lapan ke Sembilan tahun. Ingat-ingat lupa. Saya akan disuruh menumis masakan tersebut dan tunggu sehingga masak, diajar merasa makanan, masin dan manisnya. Allah! Sabar sungguh nenek dan emak mengajar saya memasak, biasanya diselit dengan kemarahan kerana tersalah potong atau terlambat menyudahkan kerja yang diberi.
Umur sepuluh tahun, saya sudah mampu memasak untuk keluarga kerana emak ketika itu sudah mula berniaga di kaki lima kedai dobi di Jalan Bangsar. Kerja rumah yang tidak pernah berhenti. Tanggungjawab menyediakan makanan untuk keluarga biarpun usia yang masih mentah. Kadang-kadang terasa berada di sekolah lebih menyeronokkan kerana tidak perlu buat semua kerja. Penat, letih dan terasa tiada masa berehat. Kalau balik kampung pula, jangan haraplah boleh duduk goyang kaki. Ambil air di perigi, bantu menyapu sampah di laman rumah nenek sebelah emak. Pendek kata, ada sahaja kerja yang perlu dilakukan.
Salahkah didikan mereka? Setelah meningkat dewasa, sudah berumah tangga. meningkat dewasa, sudah berumah tangga. Berkat tunjuk ajar mereka, saya semakin cekap melakukan kerja-kerja rumah, akal berjalan sesuai dengan situasi keadaan ditambah apabila sudah mempunyai anak. Umur 19 tahun, saya sudah mendudukan anak sulong, bukan mudah untuk saya mengawal diri sendiri sesuai dengan keadaan baru yang dilalui. Ada anak, kena sediakan makan minum untuk suami. Apabila anak buat perangai, mulalah menggelabah, mana nak masak, nak basuh baju, nak mengemas rumah. Semuanya dilalui dengan tabah dan sabar. Semakin hari, semakin cekap. Semuanya berkat ajaran emak dan ahli keluarga yang lain.
Berbeza anak-anak hari ini, umur 17 tahun masih belum mampu menanak nasi. Bukan nak cerita anak orang lain, anak sendiri pun begitu. Saya tidak sesabar emak, nenek dan arwah nenek ketika mendidik saya dahulu. Sehingga saya terlupa, anak gadis perlu tahu perkara asas di dapur seperti memasak nasi, cara menggunakan pisau. Sekurang-kurangnya tahulah menggoreng telur. Hebat seorang emak zaman ini yang mampu mengajar anaknya memasak. Syabas diucapkan!
Sejak minggu lepas, pelajar-pelajar perempuan di maahad kami mula diajar membantu di dapur. Biarpun mereka kekok, kenalah juga mengajar mereka. Agar mereka tidaklah ‘buta’ perkara asas di dapur. Satu hari mereka akan dewasa juga. Mereka akan duduk dengan orang lain. Mereka akan duduk sendiri. Mereka akan berumah tangga, ada keluarga mertua, ada suami dan akan ada anak-anak. Bagaimana mereka hendak hadapi kehidupan ini tanpa dibekalkan ilmu rumah tangga? Biarpun zaman ini segalanya boleh dipelajari melalui internet, namun asas ilmu rumah tangga wajib dibekalkan kepada anak-anak perempuan kita, supaya mereka biasa dan tidak kekok melakukannya satu hari nanti.
Hari ini, kami bercerita tentang emak kami. Satu hari nanti, anak cucu akan bercerita tentang kami pula. Itulah yang kami lakukan sehingga lahirnya buku LEGASI EMAK. Cerita yang tertulis akan menjadi kenangan terindah dan sudah tentulah kami ingin ia dibaca oleh keturunan kami nanti.
#ikanbakarairasam
#Ikanceluptepung
#Kariayamcinta
#Kurmadagingpujaan
#Nasilemaksambalbilis
#Cekmekmoleksokmo
#cucurudangrangup
#pengatlabukasihsayang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan