Ahad, 16 Ogos 2015

INDAHNYA ZAMAN PERSEKOLAHAN.
























                                                 Inilah wajah guru tingkatan lima saya...



INDAHNYA ZAMAN PERSEKOLAHAN…
                Detik waktu yang berlalu tidak mungkin akan kembali.  Apatah lagi zaman ketika meniti usia remaja.  Zaman yang kita tidak memikirkan masalah keluarga hatta masalah dunia.  Kita seronok dengan dunia kita. Kehidupan yang berlegar di zaman persekolahan kita.  Zaman yang sudah jauh ditinggalkan.   Dunia FB telah menemukan kita semula dengan rakan-rakan sekolah yang telah lama kita tinggalkan.  Ada yang terputus terus tanpa khabar berita.  Maklumlah, ketika itu mana  ada telefon canggih untuk kita hubungi rakan-rakan sekolah yang pernah menjadi sahabat, teman ketika suka dan duka.  Sekarang dunia sudah jauh berubah, semuanya di hujung jari kita.

                Pertemuan semula dengan rakan-rakan sekolah, bagaikan membaca cerita lama, cerita di zaman remaja kita yang penuh dengan kenakalan, penuh dengan keseronokkan dan kegembiran.  Bertemu di waktu usia hampir menjelang senja.  Kita imbau kisah lama, kita cerita tentang perangai teman-teman kita, ada yang telah berubah baik dari segi tingkahlaku, tidak kurang juga berubah bentuk fizikal.  Ada juga yang masih kekal anggun, comel dan bergaya.  Ada juga yang tidak mampu mengingati zaman persekolahan dahulu, wajah teman-teman ada yang tidak mampu diingati lagi.  Kadang-kadang jenuh menelek, bagaimana ya rupa sahabat kita di waktu sekolah dahulu?  Ada yang tengok gambar lama.  Apa pun yang kita lakukan, apa jua yang kita buat, pertemuan semula telah memberi seribu erti dalam hidup kita.
                Waktu sekolah dahulu, kita tidak pernah terfikir apa akan jadi dengan diri kita?  Berjayakah dalam hidup?  Ada yang sudah bergelar usahawan, tidak kurang juga yang telah memegang jawatan tinggi dalam sektor pekerjaan.  Kita tersenyum gembira melihat kegembiraan  bekas rakan sekolah kita.  Mereka bahagia dengan rumah tangga yang dibina, tidak kurang juga yang tidak berjaya sampai ke penghujungnya.  Sudah bergelar datuk dan nenek.  Alhamdulillah, anak-anak juga telah meningkat dewasa. 
               
                Reunion atau pertemuan semula diadakan untuk mengumpulkan bekas-bekas rakan sekolah kita dahulu.  Pertemuan yang dirancang membuatkan hati berbunga riang.  Ditambah dengan kehadiran bekas-bekas guru yang sudi memeriahkan suasana.  Bertambah gembira hati kita.  Maklumlah sudah berpuluh tahun tidak bertemu. Guru-guru juga pasti ingin berjumpa dengan bekas pelajar mereka, pasti mereka berbangga melihat kita yang sudah berjaya mereka didik menjadi manusia berguna.  Cikgu tetap jadi cikgu, tetapi anak murid sudah berjaya lebih daripada mereka.  Tidak gembirakah mereka?  Sudah tentu mereka berbangga, bertambah bangga jika diri mereka dihargai oleh bekas-bekas pelajar mereka.  Hargailah orang yang telah memberi ilmu kepada kita, kalau tidak mereka belum tentu kita jadi seperti hari ini.  Bukan hanya hormat kepada orang tua kita, guru juga adalah sebahagian daripada diri kita.
                15.8.2015, Reunion Batch saya sewaktu bersekolah di Sek. Men. Sri Pantai, Kampung Kerinchi. Malangnya tidak dapat hadir kerana ada program yang dirancang keesokkan harinya dan kebetulan ada kawan-kawan yang datang ke rumah. Biarpun hati kecewa tetapi saya gembira, kawan-kawan berjaya mengadakan pertemuan semula dengan penuh jayanya.  Kalian memang terbaik.  Tahniah, dan semoga diadakan lagi, biar pertemuan semula ini menambah eratkan lagi hubungan yang sedia terjalin sejak remaja lagi.  Paling gembira dapat melihat wajah guru kelas saya yang masih sehat dan cergas.  Terima kasih cikgu… kami semua sayang pada cikgu.

TAHNIAH BATCH 1986.

2 ulasan:

  1. Mujur ada FB kan... boleh hubung balik dengan cikgu dan kawan-kawan lama 😊

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu. Menyambung ukhwah yang terpisah sekian lama

      Padam