Kredit Gambar : curhatcintadia.blogspot.com
Manusia hidup kerana cinta,
tanpa cinta hidup ini bagaikan tidak bererti.
Benarkah? Bukankah cinta itu
lahir daripada hati yang suci? Kenapa
cinta itu akan dikhianati? Kenapa cinta
itu tidak akan kekal abadi? Kenapa cinta
akan berlalu pergi, meninggalkan rasa sakit di hati? Kenapa rasa cinta membunuh rasa tenang di
jiwa? Ah! Kenapa cinta harus hadir dalam hidupnya? Kini dia ditinggal sepi sendiri.
“Menangis! Menangislah semahu
kau! Kau dah tahu dia tu lelaki hidung
belang. Tapi masih lagi kau terhegeh-hegeh menghampiri dia. Sekarang, siapa yang rugi?” Jerkah Nur Hidayah dengan muka merah padam. Menyampah pun ada. Simpati juga ada.
“Kau takkan faham Dayah! Cinta
aku pada dia, sepenuh jiwa,” ulas Intan
dengan mata yang membengkak kesan tangisan berhari-hari. Teringat sahaja wajah jejaka yang dicintainya
itu, hatinya akan sebak, air mata mudah sahaja mengalir. Usah diceritakan apa
yang dirasa. Bernanar dan terluka, jiwa
sengsara. Panahan asmara menyentap kebahagian dirinya. Kejamnya cinta!
“Tak faham, tak faham! Kau tu
yang tak faham. Peperiksaan akhir dah
semakin dekat, tapi kau… masih angau mengalahkan orang perempuan yang kematian
suami! Oi! Pak we ajelah. Kahwin dan nikah pun belum, nak merana
separuh mati! Pergi blalah!” Herdik Nur Hidayah, hilang sabar jadinya
melayan kerenah manusia yang menjadi hamba cinta.
“Jangan bising, boleh tak?” Intan mencebik. Dia menjeling.
“Aku kawan kau, aku nak ingatkan
kau. Kalau kau tak nak dengar, aku boleh
buat apa? Kau fikirlah sendiri. Kau ingat, bila kau menangis, budak jantan tu akan terhegeh-hegeh sembah
kau balik? Jangan menangis kerana
lelakilah. Tak berbaloi! Nasib baik kau tak serah semuanya. Kalau tidak, menangis air mata darah pun tak
berguna! Buat malu keluarga aje. Malukan
keturunan Hawa! Malukan agama dan
bangsa. Perempuan Melayu hanya tahu
mengandungkan anak luar nikah aje! Kau pula nak tambah angka yang ada!” bentak Nurul Hidayah, geram.
“Kau ni kenapa? Kau cemburukan? Sebab kau tak ada pak we, kau masih solo
walaupun dah tahun akhir kat sini. Itu
sebab kau dengki dengan aku, itu sebab kau marah aku menangis kerana gagal
dalam percintaan!” Inta mencebik. Apa yang Nur Hidayah tahu tentang cinta? Sejak tahun pertama sehingga ke tahun akhir
ini, masih sendiri. Masih tidak
berteman. Bertudung litup sehingga ke
dada. Jalan tunduk sampai terlanggar
tiang. Ada hati nak nasihatkan dia.
Biarlah dia nak menangis dan kecewa pun, bukan ganggu sesiapa. Bukan ganggu Nur Hidayah pun, bebel Intan
dalam hati. Tidak berani cakap seperti itu, silap hari bulan, kena tongkat
semambu Nur Hidayah yang garang macam singa kehilangan anak itu.
“Eee… tak kuasa nak dengki kat
kau! Kalau kau bukan kawan aku, pedulilah nak jadi apapun. Ada aku kisah?” Nur Hidayah bingkas bangun.
Langkah diatur menuju ke biliknya. Orang nak nasihat, dituduh cemburu dan
dengki. Lantaklah nak jadi apa. Bukan masalah dia pun. Nur Hidayah mencebik.
Intan memandang sahaja langkah
laju Nur Hidayah dan terus menghilangkan diri ke dalam biliknya. Marahlah
itu. Lantaklah. Intan menyambung tangisannya semula. Gambar kekasih hati masih digenggaman, dicium
dan dibelai lembut. Dia menangis lagi
dan lagi. Air mata pula bagaikan
berkongsi kesedihan yang melanda.
Cinta tidak akan mati, yang mati hanya insan bernama manusia, bisik hati
kecil Intan. Teringat waktu bercinta.
Semuanya indah belaka.
***
Di kejauhan, kelihatan sepasang
teruna dan dara, saling bergurau senda.
Berjalan dan berbual mesra, benar-benar menyentuh hatinya. Parah hatinya, rajuk jiwanya. Siapakah gerangan si dara, manis bergaya,
cantik orangnya. Ah! Api cemburu
menyapa. Tak betah berdirinya. Rasa hendak berlari, menerpa. Geramnya!
Bukan main lagi kemesraan mereka.
Dia tidak sanggup menontonnya. Intan melangkah laju, dia menarik tangan
Ikram yang berjalan seiring dengan gadis bertudung litup, berjubah dan bersolek
nipis itu. Ayu orangnya, sopan langkahnya.
“Apa ni? Main
sentuh-sentuh… haram tau!” kata Ikram
kurang senang dengan tindakan Intan yang secara tiba-tiba muncul entah dari
mana.
“Ooo… baharu hari ini tahu
haram? Sebelum ini, bukan main lagi
peluk, cium, tak haram pun!” herdik Intan, berasa malu ditegur begitu oleh
Ikram. Waktu mereka bersama, setakat berpegang
tangan itu perkara biasa. Hari ini, tiba-tiba haram pula. Wah, sudah jadi orang alim ke? Bisik hati kecil Intan. Kemarahan memuncak di hati. Lelaki yang pernah bertahta di hatinya,
sewenang-wenangnya memalukan dirinya.
Sampai hati. Tiga tahun mereka
berkawan, ke hulu, ke hilir macam belangkas.
Hari ini semuanya menjadi noktah yang terakhir buat dia dan Ikram. Lelaki durjana!
“Mana ada? Jangan buat fitnah!” Ikram memandang gadis di sebelahnya. Terpancar wajah serba salahnya.
Wah, wah, bukan main tunjuk
lagak di hadapan perempuan itu. Bertahun-tahun mereka berkenalan, hari ini
tidak kenal pula?
“Sampai hati awak ya,
Ikram. Awak buang saya macam sampah!
Selama ini saya setia dengan awak.
Sanggup buat apa aje demi awak. Tiba masanya awak buang saya! Awak lupakan janji setia awak pada
saya!” marah Intan. Dia buang perasaan
malu jauh-jauh dari lubuk hatinya. Biar
Ikram tahu perasannya. Biar semua orang
tahu, lelaki yang berada di hadapannya ini adalah lelaki yang tidak berguna!
“Apa ni? Awak ni siapa? Saya tak kenallah!” Ikram menafikannya.
Mahu terjerit Intan ketika
itu. Wajah Ikram dipandang lama. Dia tersenyum sumbing. Mudah sungguh melupakan cinta hati sendiri.
Oh, ya… dia terlupa, dia bukan sesiapa
di hati Ikram. Dia hanya teman seketika
buat menghiburkan hati lelaki durjana itu.
“Ooo… tak kenal ya? Baharu hari ni tak kenal? Kau bawa aku ke hulu ke hilir, tak kira
siang, tak kira malam. Hari ini kau kata kau tak kenal aku? Kau nak aku bawa kau ke Kolej kita ke? Nak
mereka jawabkan bagi pihak kau?” Marah
Intan berapi-api. Orang sekeliling yang memandang, langsung tidak menjadi kudis
di hati. Biarlah mereka tengok, biarlah
mereka menjadi saksi sikap seorang lelaki yang mudah sahaja menghancurkan
hatinya. Orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke pasaraya Giant.
“Siapa ni bang?” tanya gadis itu
lembut.
“Entah! Orang gila agaknya,” ujar Ikram tanpa rasa bersalah. Dia menjeling
tajam ke arah Intan yang masih
menghalang perjalanannya.
“Awak bertanya, siapa saya? Awak tu siapa dengan Ikram?” tanya Intan keras. Kasar dan bernada tinggi. Kemarahan terus memuncak. Terasa diri tercabar dengan sikap Ikram.
“Saya bakal isterinya. Sudah setahun kami bertunang. Hujung bulan ini kami akan mendirikan rumah
tangga,” jelas gadis itu lembut.
Terlopong mulut Intan
mendengarnya. Terasa lembut lututnya.
Tanah tempatnya berpijak terasa tinggi rendah. Matanya berpinar, badannya seram sejuk. Mereka sudah setahun bertunang? Ikram hendak berkahwin dengan gadis itu? Padanlah lelaki itu memutuskan hubungan
dengan dirinya. Sampai hati kau Ikram…
bisik hati kecil Intan. Dia berjalan
laju meninggalkan pasangan itu dengan mata yang berair. Ke mana dia hendak pergi? Siapa yang mampu memujuk hatinya yang
terbakar kecewa itu?
***
Di anjung bilik sewanya, Intan
duduk termenung sendiri. Tidak tahu
banyak mana air mata yang mengalir keluar.
Mungkin mampu membanjirkan seluruh Kuala Lumpur. Gambar-gambar kenangan sewaktu bersama Ikram
lunyai dikoyak dan diguntingnya. Sakit
benar hatinya. Bukan setakat kecewa
malah kemarahan terus membakar qalbunya.
Peperiksaan akhir semesta tinggal sebulan lagi. Dia masih belum buat apa-apa persediaan. Tesis yang diminta oleh pensyarahnya langsung
tidak disiapkan. Minatnya pada pelajaran
langsung menghilang. Cita-cita dan
impian yang ingin dikejar sudah tidak bererti lagi bagi dirinya. Hatinya mati,
berkubur bersama cinta pertama yang hancur lebur dan tidak mungkin akan hidup
lagi.
Dalam diam, Ikram bermain kayu
tiga di belakangnya. Dalam diam Ikram
menghianati cintanya. Buat apa dia
setia? Buat apa dia mencintai lelaki itu
separuh hati sedangkan lelaki itu tergamak menghancur lunyaikan hati dan
perasaannya. Kini, lelaki itu sudah pun
bertunang, dengan perempuan lain pula itu.
Bukan dengan dirinya. Ah! Kenapa begitu kejam Ikram terhadap dirinya. Tidak tahukan Ikram yang cintanya pada lelaki
itu seteguh Gunung Tahan. Tidakkah Ikram tahu, kasihnya pada lelaki itu
seluas lautan dalam. Kau kejam Ikram!
Kejam! Tangisannya berpanjangan. Berpinar matanya. Sakit kepalanya. Terasa kelam pandangannya. Intan terus rebah, lemah dan tidak sedarkan
diri.
I
Bunyi mesin jangka hayat jelas
di pendengaran. Tanganya terasa berat
untuk diangkat. Matanya terpejam rapat,
sukar untuk dibuka. Terasa pedih terkena
sinaran lampu neon yang memancar terang.
Terpisat-pisat dia cuba bangun.
Terasa sakit dadanya. Dia membuka
mata perlahan-lahan, ingin tahu dia berada di mana? Dia memandang ke bahagian
kanan,kain biru menjadi tirai telah menutup pandangannya. Dia menoleh ke bahagian kiri pula, tingkap
terbuka luas melambai angin masuk menyejukkan tubuhnya. Terasa berat kepalanya. Terasa sengal
tubuhnya. Siapa pula yang bawanya ke
hospital? Dia mengeluh berat.
“Hah, dah sedar pun? Aku ingatkan nak terus ke liang lahad,” perli
Nur Hidayah yang muncul tiba-tiba.
“Hah? Aku kat mana ni?” tanya Intan, tidak ambil
peduli dengan sindiran Nur Hidayah, sudah mulut temannya seperti itu, malas
berbalas bicara.
“Kat mana lagi? Di hospitallah. Aku jumpa kau pengsan tak sedarkan diri. Aku terus bawa kau ke mari. Kau ingat sudah berapa hari kau tak sedar
diri?” Nur Hidayah duduk di sebelah
Intan. Memerhati wajah pucat teman sebiliknya itu dengan penuh simpati.
“Beberapa jam?” teka Intan.
“Dah tiga hari kau tak sedar,
Intan,” jawab Nur Hidayah. Dia menggeleng kesal. Melepaskan keluhan. Berat betul tanggungan nafsu temannya itu
sehingga sanggup mengabdikan diri dengan cinta yang tiada ertinya itu. Buang masa dan buang air mata yang sia-sia
sahaja.
“Tiga hari?” Intan
terkejut. Dia mengeluh. Wajah Nur Hidayah dipandang lama. Memang pedih kata-kata Nur Hidayah singgah di
hatinya, tetapi butir bicara sahabatnya itu ada benarnya. Dia sengaja merosakkan diri sendiri. Menyusahkan orang lain, menyusahkan kedua
orang tuanya. Kenapalah dia keras hati
sangat? Kenapa dia ikut rasa hati? Nasib
baik tidak terjadi apa-apa dengan dirinya.
Nasib baik tidak sampai dia membunuh diri, nau’zubillah… itu bukan cara
orang Islam. Itu cara orang sesat. Intan mengusap dadanya perlahan. Takut memikirkan panahan cinta yang mampu
membunuh jiwa manusia yang sihat. Cinta mampu membunuh sel-sel segar dalam
diri. Cinta mampu menewaskan hati yang
waras. Bukan salah cinta
sebenarnya. Tetapi salah manusia itu
sendiri yang tidak tahu mempergunakan rasa cinta di tempat yang betul. Keluhan tersisa, meresahkan jiwanya.
“Intan… kenapa nak rosakkan diri sendiri kerana
seorang lelaki? Kau tak baca suratkhabar
ke? Kau tak tengok berita? Berapa ramai
gadis-gadis di luar sana yang rosak kerana cinta? Berapa ramai bayi dibunuh
kerana cinta? Berapa ramai gadis-gadis
sebaya kita yang terpaksa merengkok dalam penjara kerana cinta? Berbaloikah semua itu? Apa perasaan kedua orang tua kita, kalau tahu
kita merana dan kecewa kerana cinta?” nasihat Nur Hidayah.
“Kita bukan budak sekolah lagi
sehingga tidak tahu membezakan baik dan buruk, kita dah dewasa, ada akal, waras
lagi. Lelaki yang baik takkan buat kau
begini, lelaki yang baik takkan persiakan cinta yang kita beri, lelaki yang
baik takkan minta pengorbanan atas bukti cinta kita pada mereka. Lelaki yang baik akan terus masuk meminang
untuk jadikan kita hak mereka yang sah.
Tapi aku hairan, kenapa masih lagi yang terbuai kerana cinta, sanggup
serahkan apa aje kerana cinta. Hatta tubuh
badan sendiri. Bodohnya kita, semudah
itu dipermainkan. Maruah kita diinjak
dengan kejam, jiwa dan hati kita dihancurkan dengan mudah. Lemahnya kita, kerana terleka dan hanyut
dalam pujukan rayu lelaki. Sedarlah!
Waktu kita masih panjang. Masih banyak yang perlu kita kejar dan terokai, bukan
hanya cinta!” bebel Nur Hidayah lagi.
II
Seminggu di hospital, akhirnya dia dibenarkan pulang
ke rumah. Hatinya masih terpahat rasa
sedih yang berbaki. Entah bila akan
hilang rasa kecewa itu. Intan termenung
jauh. Memikirkan nasib dirinya. Dia kehilangan cinta, malah dia kehilangan
kewarasan diri. Hebatnya panahan cinta
yang telah merasuknya.
“Intan!” sapa seseorang.
Intan menoleh. Air mata yang ingin mengalir, cepat-cepat
diseka dengan jari. Mudah sangat dia
menangis. Insan yang menyapa mendekatinya. Dia menguntumkan senyuman biarpun
hambar. Hatinya tidak lagi seriang
dahulu. Hidupnya terasa kosong dan
hambar. Semuanya kerana dia dikecewakan
dalam percintaan. Sungguh hebat rasa
cinta yang lahir di hatinya. Sungguh
hebat lelaki yang telah merosakkan hatinya.
“Masih bersedih?” Tangannya diraih lembut.
Dia tidak mampu menjawabnya.
Hanya gelengan laju menidakkan apa yang dirasakan ketika itu. Bohonglah dia tidak bersedih.
“Esok, mak dah nak balik. Mak tak harap banyak-banyak daripada anak mak
ini. Mak juga tak nak memaksa. Jika
Intan sudah tidak mampu untuk meneruskan pelajaran Intan, apa daya mak. Mak reda aje.
Mungkin rezeki Intan untuk meneruskan pelajaran, hanya setakat ini aje. Apa yang penting, mak dapat balik anak mak
ni,” kata Hajah Kalsom.
“Mak!” Intan tidak mampu bersuara. Kalau dia bercakap, takut-takut nanti, dia
meraung pula. Wajah redup dan penuh
kasih sayang seorang ibu ditatap lama.
Terasa benar rindunya pada wanita itu.
Ya, ALLAH, kata-kata emaknya tadi benar-benar menyentuh hatinya,
sehingga ke qalbu, biar sedikit ayat yang keluar tetapi dalam maknanya. Mahu sahaja dia sujud di kaki emaknya. Memohon ampun dan maaf. Apa yang telah dia lakukan? Apa dosa orang tuanya, sehingga sanggup dia
bertindak mengikut hawa nafsunya sendiri.
ALLAH, ALLAH, ALLAH! Hanya perkataan itu sahaja yang bergema di dadanya,
di jiwanya di seluruh tubuhnya. Bergetar
jantungnya.
“Jangan menangis, mak tak
marah. Mak faham gejolak jiwa
remaja. Cuma, satu aje yang mak
minta. Jangan sia-siakan diri sendiri,
habiskanlah pelajaran Intan. Tak dapat
anugerah apa-apa pun tak mengapa.
Asalkan tamat. Selesai. Cinta akan datang lagi dengan cara berbeza,
dengan orang yang berbeza juga. Kita
banyak pilihan sebenarnya. Kalau cinta
pertama gagal, tidak mungkin kedua atau ketiga juga akan berjaya. Cinta juga adalah jodoh yang ditentukan oleh
ALLAH. Siapa? Di mana, apa nama? Semuanya sudah tercatat sejak di Luh
Mahfuz. Kenapa terkejar-kejar? Kenapa perlu merana jika sudah kecewa? Biarlah cinta itu pergi? Biarlah ia berlalu, kerana… mungkin ia bukan
jodoh Intan. Adakah dia lelaki yang
terbaik buat anak emak ni? Adakah dia
mampu menjadi seorang suami yang terbaik untuk Intan? Mampukah dia membimbing Intan dan membawa
kebahagian dalam hidup anak emak ini, di
dunia dan akhirat? Kalau sebelum
bernikah pun, dia mampu menghancurkan hati Intan, berbaloikah pengorbanan dan
air mata ini?” Hajah Kalsom membelai
lembut rambut anak gadisnya.
“Intan tidak terlanjur langkah kan?” Berkerut dahi Hajah Kalsom.
“Intan tidak terlanjur langkah kan?” Berkerut dahi Hajah Kalsom.
Intan menggeleng laju.
“Alhamdulillah… itulah yang mak nak dengar. Mahkota diri kita, milik lelaki yang dah sah bernikah
dengan kita. Jangan sesekali diserah
kepada lelaki yang hanya teman lelaki atau tunang sendiri. Hilang harga diri, hilang maruah dan nama
juga tercemar. Bukan nama Intan aje,
nama emak dan ayah pun sama. Tidak
simpatikah Intan pada kami? Tergamakkah
Intan menconteng arang ke muka kami?
Dibuatnya rahim itu berisi? Apa
Intan nak buat? Buang atau gugurkan? Dua
kali dosa berlaku, sanggup ke terima hukuman ALLAH? Belum lagi hukuman daripada masyarakat. Jangan diikuti langkah nafsu yang hanya
membawa bala dalam kehidupan. Cinta yang
sebenar, tidak meminta pengorbanan, cinta yang sebenar berlaku selepas ijab dan
kabul. Kalau sudah suka sama suka,
datang ke rumah berjumpa orang tua. Minta izin secara baik, tiada orang tua
yang menolaknya. Intan ingat pesanan
mak. Biar cinta separuh mati sekalipun,
jangan diserahkan maruah diri. Ingat tu!” pesan Hajah Kalsom panjang
lebar.
“Mak!” rintih Intan pilu.
Kata-kata emaknya bagaikan pisau menghiris pilu. Kata-kata itu melekat terus ke hatinya. Gugur segala rasa sedih dan sebak kerana
kecewa dalam dunia percintaan. Mati
segala rasa kasih terhadap cinta pertama yang telah gagal di tengah jalan. Kata-kata emaknya bagaikan racun yang
memusnahkan lalang di ladang-ladang.
Ladang hatinya yang penuh dengan cinta, kecewa, hampa dan derita. Lantas
tubuh gempal emaknya dipeluk erat.
Menangis lagi, bukan sedih kerana cintanya hancur, atau angan pelaminnya
musnah. Tetapi hatinya merintih kerana telah mengecewakan hati seorang ibu yang
menaruh harapan yang tinggi terhadap dirinya.
III
Hidupnya kembali bererti, segala
kerosakan telah diperbaiki. Dia bangun
menongkah arus melawan rasa cinta yang telah mati di hati. Disapu bersih, dicuci tanpa ada kesan
sedikitpun. Biar terus padam dalam
lipatan semalam. Ke mana sahaja dia bersama Nur Hidayah, peneman yang setia di
sisinya ketika susah dan senang. Teman
yang sudi menangis dan ketawa bersamanya.
Tidak pernah ambil hati dengan kata-katanya. Tidak pernah ambil kisah dengan tindakannya
kadangkala gila menjangkau fikiran waras seorang manusia.
“Kau dah okey ke?” Nur Hidayah merenung wajah Intan, mencari
kewarasan sahabatnya itu. Harap masih
waras.
“Okey, kau jangan bimbang,” ucap
Intan. Sudah seminggu dia berhempas pulas belajar mengejar apa yang
tertinggal. Nur Hidayah dan beberapa
teman yang lain sudi membantu. Mereka
telah memberinya nota-nota yang tertinggal ketika dia di hospital. Tesis yang diminta oleh pensyarahnya juga
sudah siap sepenuhnya dan sudah pun diserahkan.
Minggu hadapan peperiksaan akhir akan berjalan. Dia perlu berusaha lebih gigih lagi. Dia tidak
mahu gagal. Tidak sesekali mengeewakan hati kedua orang tuanya. Tidak lagi memandang ke belakang. Biarlah yang berlalu itu menjadi kenangan
buatnya. Tidak usah dikenang dan
difikirkan lagi.
“Aku ingin kau bahagia, kau
berjaya dan aku yakin satu hari nanti, kau pasti akan bertemu dengan seorang
lelaki yang jauh lebih baik daripada Ikram.
Cinta akan datang dan pergi, Intan.
Kau tengok aku begini, bukan aku tak suka atau tidak mahu bercinta. Tetapi aku lebih cintakan masa hadapanku,
keluargaku. Harapan mereka tinggi terhadapku.
Jika aku gagal merealisasikan impian kedua orang tuaku ingin melihat aku
berjaya, anak jenis apakah aku ini?
Bukan semua cinta itu buruk, ada juga yang membawa kejayaan. Malah
mereka berlumba mengejar impian. Tapi
cinta kau pada Ikram, bagaikan api dalam sekam yang membunuh dalam senyap. Kau harus bangkit, bangun, bersemangat semula untuk mengejar
impian dan cita-citakau,” nasihat Nur Hidayah.
“Kaulah sahabatku dunia dan
akhirat. Terima kasih Dayah kerana masih
berada di sisiku. Masih setia walaupun kata-kataku mampu menguris hatimu,” ujar
Intan dengan mata berkaca.
Nur Hidayah memeluk bahu Intan
erat. Orang tua Intan sudah pulang
semula ke kampung setelah memastikan anak mereka benar-benar sihat semula. Dia tersenyum bahagia melihat senyuman yang
mekar di bibir temannya itu. Dia akan
pastikan mereka sama-sama berjaya.
Sedetik cinta seorang sahabat, itu adalah lebih bererti daripada cinta
seorang lelaki yang hanya tahu menghancurkan hati dan jiwa insan yang bernama
perempuan.
“Jom, kita sama-sama mengejar
impian dan cita-cita. Lupakan seketika
makhluk yang bernama lelaki. Mereka
tidak perlu dicari. Pasti akan datang
sendiri,” ucap Nur Hidayah, penuh yakin.
“Insya-ALLAH!” Intan tersenyum bahagia. Dia sudah mampu melupakan Ikram dalam
hidupnya, Berita terakhir yang dia dengar, lelaki itu sudah pun menamatkan
zaman bujangnya sebelum sempat menghabiskan pelajarannya. Menurut si punya cerita. Bukan berkahwin dengan perempuan yang menjadi
tunangannya, tetapi ditangkap basah dengan perempuan lain. Intan menggeleng kesal. Kalau sudah bernafsukan syaitan. Halal dan haram langsung tidak tahu
dibezakan. Nasib baiklah dia tidak
menjadi pasangan Ikram, jika tidak entah apa yang berlaku dengan dirinya. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang
tersembunyi. Bahasa ALLAH bukan semua manusia mampu memahaminya. Hidupnya jauh
lebih tenang daripada dahulu. Jauh lebih
sabar, malah lebih ceria. Lebih yakin
dengan diri sendiri. Cinta biarlah
berkubur, jangan pula diri berkubur, mati sebelum masanya. Meninggal sebelum tiba ajal yang sebenar.
Jangan memilih mati kerana cinta.
Biarlah mati kerana cinta yang suci kepada ILAHI. Itulah azam dan janjinya. Lelaki?
Biarlah jodohnya datang sendiri. Usah dicari. Jika ada jodoh berkahwin jua.
IV
Nur Hidayah memeluk Intan erat,
kejayaan milik mereka bersama. Intan
berjaya memperolehi Anugerah Dekan, dia pula mendapat Ijazah Kelas Pertama.
Siapa yang tidak bahagia. Segala mainan
hati sudah dibuang ke tepi. Hanya
mengejar kejayaan yang hakiki.
Membahagiakan orang tua, matlamat utama.
“Alhamdulillah… tidak sia-sia
kita bersengkang mata dan masa. Kau
berjaya, aku tumpang gembira,” ucap Nur
Hidayah dengan mata berkaca. Paling menggemberikan kedua orang tuanya sudah
masuk meminang Intan untuk abang sulongnya.
Sahabat baiknya itu bakal menjadi kakak iparnya. Intan tidak menolak, malah menerima dengan
hati yang terbuka. Bakal isteri seorang
doktor pakar jantung. Nur Hidayah
benar-benar gembira.
“Terima kasih sahabat,” ucap Intan sambil memeluk Nur Hidayah
erat. Benarlah, jodoh itu ketentuan
ILAHI, hidupnya jauh lebih bererti.
Kedua orang tuanya yang turut hadir menangis gembira. Tiada kata yang mampu mereka ucapkan
melainkan tahniah dan terima kasih yang meniti di bibir mereka. Rasa terharu mencengkam jiwa. Rupanya membahagiakan orang tuanya jauh lebih
menggembirakan daripada memenuhi rasa cinta di jiwa terhadap manusia bernama
lelaki. Cinta terkubur bukan bermakna hidup akan merana. Cinta yang terhalang bukan penamat sebuah
kehidupan. Masih jauh perjalanan, masih
luas aras kehidupan yang perlu diterokai.
“Hidup lebih indah jika kita
tahu erti cinta yang sebenarnya, cinta kepada keluarga, diri sendiri, agama dan
bangsa jauh lebih bererti daripada kita angau melayan cinta lelaki, kemudian
kecewa dan hampa, tidak begitu?” ujar Nur Hidayah. Dia juga tidak percaya pada cinta sebelum
berumah tangga. Lebih banyak bermain
dengan nafsu dari keikhlasan di hati.
Apa erti cinta jika belum apa-apa tubuh badan sudah disentuhi. Nasib tidak baik, sembilan bulan kemudian
bergelar ibu tanpa nikah.
Na’uzubillah…
“Terima kasih kerana menjadi
teman yang sentiasa setia di sisi.
Kalaulah kau tidak memberi aku semangat untuk bangun kembali, entah di
mana aku sekarang ini,” kata Intan sebak.
Hidup masih jauh perjalanannya.
Kerakusan melayan rasa cinta yang bertahta di hati begitu melalaikan
jiwanya yang rapuh, mudah pecah dan berkecai.
Jika tidak kuat, pasti hanyut disambar badai.
“Aku hanya pendorong, selebihnya
kekuatan itu datang dalam dirikau sendiri.
Alhamdulillah… kau bertemu jodoh juga.”
Nur Hidayah tersenyum bahagia.
“Terima kasih pada kau, sudi
meminang aku yang serba kekurangan ini untuk abang kau yang amat hebat itu.”
Intan ketawa manja. Terasa malu mengucapkannya.
“Cinta yang sejati akan datang
sendiri, bukan semua cinta sewaktu remaja tidak berjaya, tetapi lebih manis
kejadiannya apabila sudah diijab kabulkan,”
ujar Nur Hidayah. Itulah keyakinannya. Semoga dia bertemu dengan jodoh yang
baik-baik juga, aamin… ucapnya dalam hati.
Kedua sahabat mula mengambil
gambar kenang-kenangan bersama ahli keluarga yang datang meraikan kejayaan
mereka. Bersama rakan sekuliah tidak
dilupa. Senyuman manis terukir di wajah
masing-masing. Kejayaan tidak datang
sendiri, kejayaan harus dikejar dan berusaha untuk mendapatkannya. Usaha itu tanda kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan