Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 14 Oktober 2015

BIAR CINTA BERKUBUR



  Kredit Gambar : curhatcintadia.blogspot.com
                           Manusia hidup kerana cinta, tanpa cinta hidup ini bagaikan tidak bererti.  Benarkah?  Bukankah cinta itu lahir daripada hati yang suci?  Kenapa cinta itu akan dikhianati?  Kenapa cinta itu tidak akan kekal abadi?  Kenapa cinta akan berlalu pergi, meninggalkan rasa sakit di hati?  Kenapa rasa cinta membunuh rasa tenang di jiwa? Ah! Kenapa cinta harus hadir dalam hidupnya?  Kini dia ditinggal sepi sendiri.
                “Menangis! Menangislah semahu kau!  Kau dah tahu dia tu lelaki hidung belang. Tapi masih lagi kau terhegeh-hegeh menghampiri dia.  Sekarang, siapa yang rugi?” Jerkah  Nur Hidayah dengan muka merah padam.  Menyampah pun ada.  Simpati juga ada. 
                “Kau takkan faham Dayah! Cinta aku pada dia, sepenuh jiwa,”  ulas Intan dengan mata yang membengkak kesan tangisan berhari-hari.  Teringat sahaja wajah jejaka yang dicintainya itu, hatinya akan sebak, air mata mudah sahaja mengalir. Usah diceritakan apa yang dirasa.  Bernanar dan terluka, jiwa sengsara. Panahan asmara menyentap kebahagian dirinya. Kejamnya cinta!
                “Tak faham, tak faham! Kau tu yang tak faham.  Peperiksaan akhir dah semakin dekat, tapi kau… masih angau mengalahkan orang perempuan yang kematian suami!  Oi! Pak we ajelah.  Kahwin dan nikah pun belum, nak merana separuh mati!  Pergi blalah!”  Herdik Nur Hidayah, hilang sabar jadinya melayan kerenah manusia yang menjadi hamba cinta.
                “Jangan bising, boleh tak?”  Intan mencebik.  Dia menjeling.
                “Aku kawan kau, aku nak ingatkan kau.  Kalau kau tak nak dengar, aku boleh buat apa?  Kau fikirlah sendiri.  Kau ingat, bila kau menangis,  budak jantan tu akan terhegeh-hegeh sembah kau balik?  Jangan menangis kerana lelakilah.  Tak berbaloi!   Nasib baik kau tak serah semuanya.  Kalau tidak, menangis air mata darah pun tak berguna!  Buat malu keluarga aje. Malukan keturunan Hawa!  Malukan agama dan bangsa.  Perempuan Melayu hanya tahu mengandungkan anak luar nikah aje! Kau pula nak tambah angka yang ada!”  bentak Nurul Hidayah, geram.
                “Kau ni kenapa? Kau cemburukan?  Sebab kau tak ada pak we, kau masih solo walaupun dah tahun akhir kat sini.  Itu sebab kau dengki dengan aku, itu sebab kau marah aku menangis kerana gagal dalam percintaan!”  Inta mencebik.  Apa yang Nur Hidayah tahu tentang cinta?  Sejak tahun pertama sehingga ke tahun akhir ini, masih sendiri.  Masih tidak berteman.  Bertudung litup sehingga ke dada.  Jalan tunduk sampai terlanggar tiang.  Ada hati nak nasihatkan dia. Biarlah dia nak menangis dan kecewa pun, bukan ganggu sesiapa.  Bukan ganggu Nur Hidayah pun, bebel Intan dalam hati. Tidak berani cakap seperti itu, silap hari bulan, kena tongkat semambu Nur Hidayah yang garang macam singa kehilangan anak itu.
                “Eee… tak kuasa nak dengki kat kau! Kalau kau bukan kawan aku, pedulilah nak jadi apapun.  Ada aku kisah?” Nur Hidayah bingkas bangun. Langkah  diatur menuju ke biliknya.  Orang nak nasihat, dituduh cemburu dan dengki.  Lantaklah nak jadi apa.  Bukan masalah dia pun.  Nur Hidayah mencebik.
                Intan memandang sahaja langkah laju Nur Hidayah dan terus menghilangkan diri ke dalam biliknya. Marahlah itu.  Lantaklah.  Intan menyambung tangisannya semula.  Gambar kekasih hati masih digenggaman, dicium dan dibelai lembut.  Dia menangis lagi dan lagi.  Air mata pula bagaikan berkongsi kesedihan yang melanda.    Cinta tidak akan mati, yang mati hanya insan bernama manusia, bisik hati kecil Intan.  Teringat waktu bercinta. Semuanya indah belaka. 
               


*** 
                Di kejauhan, kelihatan sepasang teruna dan dara, saling bergurau senda.  Berjalan dan berbual mesra, benar-benar menyentuh hatinya.  Parah hatinya, rajuk jiwanya.  Siapakah gerangan si dara, manis bergaya, cantik orangnya.  Ah! Api cemburu menyapa.  Tak betah berdirinya.  Rasa hendak berlari, menerpa.  Geramnya!  Bukan main lagi kemesraan mereka.  Dia tidak sanggup menontonnya. Intan melangkah laju, dia menarik tangan Ikram yang berjalan seiring dengan gadis bertudung litup, berjubah dan bersolek nipis itu. Ayu orangnya, sopan langkahnya.
                                “Apa ni? Main sentuh-sentuh… haram tau!”  kata Ikram kurang senang dengan tindakan Intan yang secara tiba-tiba muncul entah dari mana.
                “Ooo… baharu hari ini tahu haram?  Sebelum ini, bukan main lagi peluk, cium, tak haram pun!” herdik Intan, berasa malu ditegur begitu oleh Ikram.  Waktu mereka bersama, setakat berpegang tangan itu perkara biasa. Hari ini, tiba-tiba haram pula.  Wah, sudah jadi orang alim ke?  Bisik hati kecil Intan.  Kemarahan memuncak di hati.  Lelaki yang pernah bertahta di hatinya, sewenang-wenangnya memalukan dirinya.  Sampai hati.  Tiga tahun mereka berkawan, ke hulu, ke hilir macam belangkas.  Hari ini semuanya menjadi noktah yang terakhir buat dia dan Ikram.  Lelaki durjana!
                “Mana ada?  Jangan buat fitnah!”  Ikram memandang gadis di sebelahnya.  Terpancar wajah serba salahnya.
                Wah, wah, bukan main tunjuk lagak di hadapan perempuan itu. Bertahun-tahun mereka berkenalan, hari ini tidak kenal pula?
                “Sampai hati awak ya, Ikram.  Awak buang saya macam sampah! Selama ini saya setia dengan awak.  Sanggup buat apa aje demi awak. Tiba masanya awak buang saya!  Awak lupakan janji setia awak pada saya!”  marah Intan. Dia buang perasaan malu jauh-jauh dari lubuk hatinya.  Biar Ikram tahu perasannya.  Biar semua orang tahu, lelaki yang berada di hadapannya ini adalah lelaki yang tidak berguna!
                “Apa ni?  Awak ni siapa?  Saya tak kenallah!”  Ikram menafikannya.
                Mahu terjerit Intan ketika itu.  Wajah Ikram dipandang lama.  Dia tersenyum sumbing.  Mudah sungguh melupakan cinta hati sendiri. Oh, ya… dia terlupa,  dia bukan sesiapa di hati Ikram.  Dia hanya teman seketika buat menghiburkan hati lelaki durjana itu.
                “Ooo… tak kenal ya?  Baharu hari ni tak kenal?  Kau bawa aku ke hulu ke hilir, tak kira siang, tak kira malam. Hari ini kau kata kau tak kenal aku?  Kau nak aku bawa kau ke Kolej kita ke? Nak mereka jawabkan bagi pihak kau?”  Marah Intan berapi-api. Orang sekeliling yang memandang, langsung tidak menjadi kudis di hati.  Biarlah mereka tengok, biarlah mereka menjadi saksi sikap seorang lelaki yang mudah sahaja menghancurkan hatinya. Orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke pasaraya Giant.
                “Siapa ni bang?” tanya gadis itu lembut. 
                “Entah!  Orang gila agaknya,”  ujar Ikram tanpa rasa bersalah. Dia menjeling tajam ke arah  Intan yang masih menghalang perjalanannya.
                “Awak bertanya, siapa saya?  Awak tu siapa dengan Ikram?”  tanya Intan keras.  Kasar dan bernada tinggi.  Kemarahan terus memuncak.  Terasa diri tercabar dengan sikap Ikram. 
                “Saya bakal isterinya.  Sudah setahun kami bertunang.  Hujung bulan ini kami akan mendirikan rumah tangga,” jelas gadis itu lembut.
                Terlopong mulut Intan mendengarnya. Terasa lembut lututnya.  Tanah tempatnya berpijak terasa tinggi rendah.  Matanya berpinar,  badannya seram sejuk.  Mereka sudah setahun bertunang?  Ikram hendak berkahwin dengan gadis itu?  Padanlah lelaki itu memutuskan hubungan dengan dirinya.  Sampai hati kau Ikram… bisik hati kecil Intan.  Dia berjalan laju meninggalkan pasangan itu dengan mata yang berair.  Ke mana dia hendak pergi?  Siapa yang mampu memujuk hatinya yang terbakar kecewa itu?
  ***
                Di anjung bilik sewanya, Intan duduk termenung sendiri.  Tidak tahu banyak mana air mata yang mengalir keluar.  Mungkin mampu membanjirkan seluruh Kuala Lumpur.  Gambar-gambar kenangan sewaktu bersama Ikram lunyai dikoyak dan diguntingnya.  Sakit benar hatinya.  Bukan setakat kecewa malah kemarahan terus membakar qalbunya.  Peperiksaan akhir semesta tinggal sebulan lagi.  Dia masih belum buat apa-apa persediaan.  Tesis yang diminta oleh pensyarahnya langsung tidak disiapkan.  Minatnya pada pelajaran langsung menghilang.  Cita-cita dan impian yang ingin dikejar sudah tidak bererti lagi bagi dirinya. Hatinya mati, berkubur bersama cinta pertama yang hancur lebur dan tidak mungkin akan hidup lagi.
                Dalam diam, Ikram bermain kayu tiga di belakangnya.  Dalam diam Ikram menghianati cintanya.  Buat apa dia setia?  Buat apa dia mencintai lelaki itu separuh hati sedangkan lelaki itu tergamak menghancur lunyaikan hati dan perasaannya.  Kini, lelaki itu sudah pun bertunang, dengan perempuan lain pula itu.  Bukan dengan dirinya.  Ah!  Kenapa begitu kejam Ikram terhadap dirinya.  Tidak tahukan Ikram yang cintanya pada lelaki itu seteguh Gunung  Tahan.  Tidakkah Ikram tahu, kasihnya pada lelaki itu seluas lautan dalam.  Kau kejam Ikram! Kejam!  Tangisannya berpanjangan.  Berpinar matanya. Sakit kepalanya.  Terasa kelam pandangannya.  Intan terus rebah, lemah dan tidak sedarkan diri.


I
                Bunyi mesin jangka hayat jelas di pendengaran.  Tanganya terasa berat untuk diangkat.  Matanya terpejam rapat, sukar untuk dibuka.  Terasa pedih terkena sinaran lampu neon yang memancar terang.  Terpisat-pisat dia cuba bangun.  Terasa sakit dadanya.  Dia membuka mata perlahan-lahan, ingin tahu dia berada di mana? Dia memandang ke bahagian kanan,kain biru menjadi tirai telah menutup pandangannya.  Dia menoleh ke bahagian kiri pula, tingkap terbuka luas melambai angin masuk menyejukkan tubuhnya.  Terasa berat kepalanya. Terasa sengal tubuhnya.  Siapa pula yang bawanya ke hospital?  Dia mengeluh berat.
                “Hah, dah sedar pun?  Aku ingatkan nak terus ke liang lahad,” perli Nur Hidayah yang muncul tiba-tiba.
                “Hah?  Aku kat mana ni?” tanya Intan, tidak ambil peduli dengan sindiran Nur Hidayah, sudah mulut temannya seperti itu, malas berbalas bicara.
                “Kat mana lagi?  Di hospitallah.  Aku jumpa kau pengsan tak sedarkan diri.  Aku terus bawa kau ke mari.  Kau ingat sudah berapa hari kau tak sedar diri?”  Nur Hidayah duduk di sebelah Intan. Memerhati wajah pucat teman sebiliknya itu dengan penuh simpati. 
                “Beberapa jam?” teka Intan.
                “Dah tiga hari kau tak sedar, Intan,”  jawab Nur Hidayah.  Dia menggeleng kesal.  Melepaskan keluhan.  Berat betul tanggungan nafsu temannya itu sehingga sanggup mengabdikan diri dengan cinta yang tiada ertinya itu.  Buang masa dan buang air mata yang sia-sia sahaja.
                “Tiga hari?” Intan terkejut.  Dia mengeluh.  Wajah Nur Hidayah dipandang lama.  Memang pedih kata-kata Nur Hidayah singgah di hatinya, tetapi butir bicara sahabatnya itu ada benarnya.  Dia sengaja merosakkan diri sendiri.  Menyusahkan orang lain, menyusahkan kedua orang tuanya.  Kenapalah dia keras hati sangat? Kenapa dia ikut rasa hati?  Nasib baik tidak terjadi apa-apa dengan dirinya.  Nasib baik tidak sampai dia membunuh diri, nau’zubillah… itu bukan cara orang Islam.  Itu cara orang sesat.  Intan mengusap dadanya perlahan.  Takut memikirkan panahan cinta yang mampu membunuh jiwa manusia yang sihat. Cinta mampu membunuh sel-sel segar dalam diri.  Cinta mampu menewaskan hati yang waras.  Bukan salah cinta sebenarnya.  Tetapi salah manusia itu sendiri yang tidak tahu mempergunakan rasa cinta di tempat yang betul.  Keluhan tersisa, meresahkan jiwanya.
                “Intan…  kenapa nak rosakkan diri sendiri kerana seorang lelaki?  Kau tak baca suratkhabar ke? Kau tak tengok berita?  Berapa ramai gadis-gadis di luar sana yang rosak kerana cinta? Berapa ramai bayi dibunuh kerana cinta?  Berapa ramai gadis-gadis sebaya kita yang terpaksa merengkok dalam penjara kerana cinta?  Berbaloikah semua itu?  Apa perasaan kedua orang tua kita, kalau tahu kita merana dan kecewa kerana cinta?”  nasihat Nur Hidayah. 
                “Kita bukan budak sekolah lagi sehingga tidak tahu membezakan baik dan buruk, kita dah dewasa, ada akal, waras lagi.  Lelaki yang baik takkan buat kau begini, lelaki yang baik takkan persiakan cinta yang kita beri, lelaki yang baik takkan minta pengorbanan atas bukti cinta kita pada mereka.  Lelaki yang baik akan terus masuk meminang untuk jadikan kita hak mereka yang sah.  Tapi aku hairan, kenapa masih lagi yang terbuai kerana cinta, sanggup serahkan apa aje kerana cinta.  Hatta tubuh badan sendiri.  Bodohnya kita, semudah itu dipermainkan.  Maruah kita diinjak dengan kejam, jiwa dan hati kita dihancurkan dengan mudah.  Lemahnya kita, kerana terleka dan hanyut dalam pujukan rayu lelaki.  Sedarlah! Waktu kita masih panjang. Masih banyak yang perlu kita kejar dan terokai, bukan hanya cinta!” bebel Nur Hidayah lagi.

II
                Seminggu  di hospital, akhirnya dia dibenarkan pulang ke rumah.  Hatinya masih terpahat rasa sedih yang berbaki.  Entah bila akan hilang rasa kecewa itu.  Intan termenung jauh.  Memikirkan nasib dirinya.  Dia kehilangan cinta, malah dia kehilangan kewarasan diri.  Hebatnya panahan cinta yang telah merasuknya.
                “Intan!”  sapa seseorang. 
                Intan menoleh.  Air mata yang ingin mengalir, cepat-cepat diseka dengan jari.  Mudah sangat dia menangis. Insan yang menyapa mendekatinya. Dia menguntumkan senyuman biarpun hambar.  Hatinya tidak lagi seriang dahulu.  Hidupnya terasa kosong dan hambar.  Semuanya kerana dia dikecewakan dalam percintaan.  Sungguh hebat rasa cinta yang lahir di hatinya.  Sungguh hebat lelaki yang telah merosakkan hatinya. 
                “Masih bersedih?”  Tangannya diraih lembut. 
                Dia tidak mampu menjawabnya. Hanya gelengan laju menidakkan apa yang dirasakan ketika itu.  Bohonglah dia tidak bersedih. 
                “Esok, mak dah nak balik.  Mak tak harap banyak-banyak daripada anak mak ini.  Mak juga tak nak memaksa. Jika Intan sudah tidak mampu untuk meneruskan pelajaran Intan, apa daya mak.  Mak reda aje.  Mungkin rezeki Intan untuk meneruskan pelajaran, hanya setakat ini aje.  Apa yang penting, mak dapat balik anak mak ni,”   kata Hajah Kalsom. 
                “Mak!”  Intan tidak mampu bersuara.  Kalau dia bercakap, takut-takut nanti, dia meraung pula.  Wajah redup dan penuh kasih sayang seorang ibu ditatap lama.  Terasa benar rindunya pada wanita itu.  Ya, ALLAH, kata-kata emaknya tadi benar-benar menyentuh hatinya, sehingga ke qalbu, biar sedikit ayat yang keluar tetapi dalam maknanya.  Mahu sahaja dia sujud di kaki emaknya.  Memohon ampun dan maaf.  Apa yang telah dia lakukan?  Apa dosa orang tuanya, sehingga sanggup dia bertindak mengikut hawa nafsunya sendiri.  ALLAH, ALLAH, ALLAH! Hanya perkataan itu sahaja yang bergema di dadanya, di jiwanya di seluruh tubuhnya.  Bergetar jantungnya. 
                “Jangan menangis, mak tak marah.  Mak faham gejolak jiwa remaja.  Cuma, satu aje yang mak minta.  Jangan sia-siakan diri sendiri, habiskanlah pelajaran Intan.  Tak dapat anugerah apa-apa pun tak mengapa.  Asalkan tamat.  Selesai.  Cinta akan datang lagi dengan cara berbeza, dengan orang yang berbeza juga.  Kita banyak pilihan sebenarnya.  Kalau cinta pertama gagal, tidak mungkin kedua atau ketiga juga akan berjaya.  Cinta juga adalah jodoh yang ditentukan oleh ALLAH.  Siapa? Di mana, apa nama?  Semuanya sudah tercatat sejak di Luh Mahfuz.  Kenapa terkejar-kejar?  Kenapa perlu merana jika sudah kecewa?  Biarlah cinta itu pergi?  Biarlah ia berlalu, kerana… mungkin ia bukan jodoh Intan.  Adakah dia lelaki yang terbaik buat anak emak ni?  Adakah dia mampu menjadi seorang suami yang terbaik untuk Intan?  Mampukah dia membimbing Intan dan membawa kebahagian dalam hidup  anak emak ini, di dunia dan akhirat?  Kalau sebelum bernikah pun, dia mampu menghancurkan hati Intan, berbaloikah pengorbanan dan air mata ini?”  Hajah Kalsom membelai lembut  rambut anak gadisnya. 
                “Intan tidak terlanjur langkah kan?”  Berkerut dahi Hajah Kalsom.
                Intan menggeleng laju.
                “Alhamdulillah…  itulah yang mak nak dengar.  Mahkota diri kita, milik lelaki yang dah sah bernikah dengan kita.  Jangan sesekali diserah kepada lelaki yang hanya teman lelaki atau tunang sendiri.  Hilang harga diri, hilang maruah dan nama juga tercemar.  Bukan nama Intan aje, nama emak dan ayah pun sama.  Tidak simpatikah Intan pada kami?  Tergamakkah Intan menconteng arang ke muka kami?  Dibuatnya rahim itu berisi?  Apa Intan nak buat? Buang atau gugurkan?  Dua kali dosa berlaku, sanggup ke terima hukuman ALLAH?  Belum lagi hukuman daripada masyarakat.  Jangan diikuti langkah nafsu yang hanya membawa bala dalam kehidupan.  Cinta yang sebenar, tidak meminta pengorbanan, cinta yang sebenar berlaku selepas ijab dan kabul.  Kalau sudah suka sama suka, datang ke rumah berjumpa orang tua. Minta izin secara baik, tiada orang tua yang menolaknya.  Intan ingat pesanan mak.  Biar cinta separuh mati sekalipun, jangan diserahkan maruah diri. Ingat tu!” pesan Hajah Kalsom panjang lebar. 
                “Mak!” rintih Intan pilu. Kata-kata emaknya bagaikan pisau menghiris pilu.  Kata-kata itu melekat terus ke hatinya.  Gugur segala rasa sedih dan sebak kerana kecewa dalam dunia percintaan.  Mati segala rasa kasih terhadap cinta pertama yang telah gagal di tengah jalan.  Kata-kata emaknya bagaikan racun yang memusnahkan lalang di ladang-ladang.  Ladang hatinya yang penuh dengan cinta, kecewa, hampa dan derita. Lantas tubuh gempal emaknya dipeluk erat.  Menangis lagi, bukan sedih kerana cintanya hancur, atau angan pelaminnya musnah. Tetapi hatinya merintih kerana telah mengecewakan hati seorang ibu yang menaruh harapan yang tinggi terhadap dirinya.

III
                Hidupnya kembali bererti, segala kerosakan telah diperbaiki.  Dia bangun menongkah arus melawan rasa cinta yang telah mati di hati.  Disapu bersih, dicuci tanpa ada kesan sedikitpun.  Biar terus padam dalam lipatan semalam. Ke mana sahaja dia bersama Nur Hidayah, peneman yang setia di sisinya ketika susah dan senang.  Teman yang sudi menangis dan ketawa bersamanya.  Tidak pernah ambil hati dengan kata-katanya.  Tidak pernah ambil kisah dengan tindakannya kadangkala gila menjangkau fikiran waras seorang manusia.
                “Kau dah okey ke?”  Nur Hidayah merenung wajah Intan, mencari kewarasan sahabatnya itu.  Harap masih waras.
                “Okey, kau jangan bimbang,” ucap Intan. Sudah seminggu dia berhempas pulas belajar mengejar apa yang tertinggal.  Nur Hidayah dan beberapa teman yang lain sudi membantu.  Mereka telah memberinya nota-nota yang tertinggal ketika dia di hospital.  Tesis yang diminta oleh pensyarahnya juga sudah siap sepenuhnya dan sudah pun diserahkan.  Minggu hadapan peperiksaan akhir akan berjalan.  Dia perlu berusaha lebih gigih lagi. Dia tidak mahu gagal. Tidak sesekali mengeewakan hati kedua orang tuanya.  Tidak lagi memandang ke belakang.  Biarlah yang berlalu itu menjadi kenangan buatnya.  Tidak usah dikenang dan difikirkan lagi.
                “Aku ingin kau bahagia, kau berjaya dan aku yakin satu hari nanti, kau pasti akan bertemu dengan seorang lelaki yang jauh lebih baik daripada Ikram.  Cinta akan datang dan pergi, Intan.  Kau tengok aku begini, bukan aku tak suka atau tidak mahu bercinta.  Tetapi aku lebih cintakan masa hadapanku, keluargaku. Harapan mereka tinggi terhadapku.  Jika aku gagal merealisasikan impian kedua orang tuaku ingin melihat aku berjaya, anak jenis apakah aku ini?  Bukan semua cinta itu buruk, ada juga yang membawa kejayaan. Malah mereka berlumba mengejar impian.  Tapi cinta kau pada Ikram, bagaikan api dalam sekam yang membunuh dalam senyap.  Kau harus bangkit,  bangun, bersemangat semula untuk mengejar impian dan cita-citakau,” nasihat Nur Hidayah.
                “Kaulah sahabatku dunia dan akhirat.  Terima kasih Dayah kerana masih berada di sisiku. Masih setia walaupun kata-kataku mampu menguris hatimu,” ujar Intan dengan mata berkaca.
                Nur Hidayah memeluk bahu Intan erat.  Orang tua Intan sudah pulang semula ke kampung setelah memastikan anak mereka benar-benar sihat semula.  Dia tersenyum bahagia melihat senyuman yang mekar di bibir temannya itu.  Dia akan pastikan mereka sama-sama berjaya.  Sedetik cinta seorang sahabat, itu adalah lebih bererti daripada cinta seorang lelaki yang hanya tahu menghancurkan hati dan jiwa insan yang bernama perempuan.
                “Jom, kita sama-sama mengejar impian dan cita-cita.  Lupakan seketika makhluk yang bernama lelaki.  Mereka tidak perlu dicari.  Pasti akan datang sendiri,”  ucap Nur Hidayah, penuh yakin.
                “Insya-ALLAH!”  Intan tersenyum bahagia.  Dia sudah mampu melupakan Ikram dalam hidupnya, Berita terakhir yang dia dengar, lelaki itu sudah pun menamatkan zaman bujangnya sebelum sempat menghabiskan pelajarannya.  Menurut si punya cerita.  Bukan berkahwin dengan perempuan yang menjadi tunangannya, tetapi ditangkap basah dengan perempuan lain.  Intan menggeleng kesal.  Kalau sudah bernafsukan syaitan.  Halal dan haram langsung tidak tahu dibezakan.  Nasib baiklah dia tidak menjadi pasangan Ikram, jika tidak entah apa yang berlaku dengan dirinya.  Sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui.  Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Bahasa ALLAH bukan semua manusia mampu memahaminya. Hidupnya jauh lebih tenang daripada dahulu.  Jauh lebih sabar, malah lebih ceria.  Lebih yakin dengan diri sendiri.  Cinta biarlah berkubur, jangan pula diri berkubur, mati sebelum masanya.  Meninggal sebelum tiba ajal yang sebenar. Jangan memilih mati kerana cinta.  Biarlah mati kerana cinta yang suci kepada ILAHI.  Itulah azam dan janjinya.  Lelaki?  Biarlah jodohnya datang sendiri. Usah dicari.  Jika ada jodoh berkahwin jua. 

IV
                Nur Hidayah memeluk Intan erat, kejayaan milik mereka bersama.  Intan berjaya memperolehi Anugerah Dekan, dia pula mendapat Ijazah Kelas Pertama. Siapa yang tidak bahagia.  Segala mainan hati sudah dibuang ke tepi.  Hanya mengejar kejayaan yang hakiki.  Membahagiakan orang tua, matlamat utama. 
                “Alhamdulillah… tidak sia-sia kita bersengkang mata dan masa.  Kau berjaya, aku tumpang gembira,”  ucap Nur Hidayah dengan mata berkaca. Paling menggemberikan kedua orang tuanya sudah masuk meminang Intan untuk abang sulongnya.  Sahabat baiknya itu bakal menjadi kakak iparnya.  Intan tidak menolak, malah menerima dengan hati yang terbuka.  Bakal isteri seorang doktor pakar jantung.  Nur Hidayah benar-benar gembira.
                “Terima kasih sahabat,”  ucap Intan sambil memeluk Nur Hidayah erat.  Benarlah, jodoh itu ketentuan ILAHI, hidupnya jauh lebih bererti.  Kedua orang tuanya yang turut hadir menangis gembira.  Tiada kata yang mampu mereka ucapkan melainkan tahniah dan terima kasih yang meniti di bibir mereka.  Rasa terharu mencengkam jiwa.  Rupanya membahagiakan orang tuanya jauh lebih menggembirakan daripada memenuhi rasa cinta di jiwa terhadap manusia bernama lelaki. Cinta terkubur bukan bermakna hidup akan merana.  Cinta yang terhalang bukan penamat sebuah kehidupan.  Masih jauh perjalanan, masih luas aras kehidupan yang perlu diterokai.
                “Hidup lebih indah jika kita tahu erti cinta yang sebenarnya, cinta kepada keluarga, diri sendiri, agama dan bangsa jauh lebih bererti daripada kita angau melayan cinta lelaki, kemudian kecewa dan hampa, tidak begitu?” ujar Nur Hidayah.  Dia juga tidak percaya pada cinta sebelum berumah tangga.  Lebih banyak bermain dengan nafsu dari keikhlasan di hati.  Apa erti cinta jika belum apa-apa tubuh badan sudah disentuhi.  Nasib tidak baik, sembilan bulan kemudian bergelar ibu tanpa nikah.  Na’uzubillah… 
                “Terima kasih kerana menjadi teman yang sentiasa setia di sisi.  Kalaulah kau tidak memberi aku semangat untuk bangun kembali, entah di mana aku sekarang ini,” kata Intan sebak.  Hidup masih jauh perjalanannya.  Kerakusan melayan rasa cinta yang bertahta di hati begitu melalaikan jiwanya yang rapuh, mudah pecah dan berkecai.  Jika tidak kuat, pasti hanyut disambar badai.
                “Aku hanya pendorong, selebihnya kekuatan itu datang dalam dirikau sendiri.  Alhamdulillah… kau bertemu jodoh juga.”  Nur Hidayah tersenyum bahagia.
                “Terima kasih pada kau, sudi meminang aku yang serba kekurangan ini untuk abang kau yang amat hebat itu.” Intan ketawa manja. Terasa malu mengucapkannya.
                “Cinta yang sejati akan datang sendiri, bukan semua cinta sewaktu remaja tidak berjaya, tetapi lebih manis kejadiannya apabila sudah diijab kabulkan,”  ujar Nur Hidayah.  Itulah keyakinannya.  Semoga dia bertemu dengan jodoh yang baik-baik juga, aamin… ucapnya dalam hati.
                Kedua sahabat mula mengambil gambar kenang-kenangan bersama ahli keluarga yang datang meraikan kejayaan mereka.  Bersama rakan sekuliah tidak dilupa.  Senyuman manis terukir di wajah masing-masing.  Kejayaan tidak datang sendiri, kejayaan harus dikejar dan berusaha untuk mendapatkannya.  Usaha itu tanda kejayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan