Pengarang : Azmah Nordin (Penerima SEA Write Award 2009)
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka (2012)
Halaman : 652 halaman
Genre : Novel
Pengulas : S.M. Zakir
Mas Ayu seorang penulis terpilih
menyertai projek penulisan kerjasama Dewan Bacaan Brunei Darussalam dan
Hospital Besar Begawan (HBB). Mas Ayu mengambil peluang ini untuk
menghasilkan novel terbarunya.
Mas Ayu mempunyai sejarah hidup masa
kecil yang agak perit apabila menjadi pelarian bersama-sama ibunya di
Negeri di Bawah Bayu. Mereka kembali ke Brunei setelah ibunya membawa
lari Mas Ayu menaiki feri akibat peristiwa hitam yang kabur daripada
ingatan Mas Ayu.
Setelah ibunya meninggal dunia, Mas Ayu
dipelihara oleh Umi Jamilah, ibu saudaranya dengan penuh kasih sayang.
Mas Ayu membesar dengan jiwa yang sensitif dan mempunyai bakat sebagai
penulis. Mas Ayu kemudiannya berkahwin dengan seorang profesor bahasa
Melayu dari sebuah kolej swasta di Bandar Seri Begawan bernama Taffa
yang digelar Mas Ayu sebagai bapak badak sumbu Sumatera.
Suami Mas Ayu lelaki yang gemar memikat
wanita di sana sini. Mas Ayu ditinggalkan di Brunei sedangkan dia
bertugas di Negeri di Bawah Bayu. Mas Ayu terdengar suaminya mempunyai
gadis lain di sana. Hubungan Mas Ayu dan suaminya tidak baik lagi atas
sebab kecurangan suaminya itu.
Mas Ayu melayari hidupnya sendiri
sebagai penulis novel sepenuh masa. Mas Ayu terpilih untuk mengikuti
projek penulisan anjuran bersama kedua-dua badan itu. Apabila terdengar
Mas Ayu kembali ke Negeri di Bawah Bayu kelahirannya, Umi Jamilah mula
berasa khuatir seolah-olah ada sesuatu misteri yang tidak diketahui oleh
Mas Ayu.
Malang bagi Mas Ayu kerana dia
menghidapi kanser dan perlu menjalani rawatan kemoterapi. Akibat
rawatan kemoterapi tersebut, Mas Ayu menghidapi sindrom tertentu yang
menjadi tabii baharunya atau disebut Mas Ayu, ‘tabii Kemo’. Apabila
mengetahui Mas Ayu menghidap kanser payudara dan dibuang sebelah melalui
pembedahan, suami Mas Ayu Si Badak Sumatera itu mula mencari alasan
untuk berjauhan dengan Ayu.
Ketika berada di tanah kelahirannya yang
ditinggalkan semasa kecil, Mas Ayu didatangi halusinasi yang datang
dari masa silam. Mas Ayu mendatangi tempat kelahirannya di Begawan,
tempat terletaknya HBB ini. Jauh di sudut hatinya, seperti ada sesuatu
yang memanggilnya untuk ke sana. Ada suatu misteri berkaitan dirinya
yang dirasakan tersembunyi di situ.
Halusinasi yang datang menerjah alam
bawah sedar Mas Ayu ketika di Begawan ini membawa peristiwa yang berlaku
sekitar tahun 1930-an tentang kedatangan Dr. Calipso dari Eropah untuk
membina hospital di Borneo Utara, sebuah kawasan tempat HBB berdiri
sekarang.
Sepanjang tempoh mencari bahan penulisan
di HBB, Mas Ayu menemui banyak perkara yang tidak dijangkanya.
Perkara-perkara ini melibatkan soal pengurusan hospital yang berlaku
pelbagai penindasan dan penyelewengan etika. Antaranya, doktor pelatih
ditindas oleh doktor pakar yang menjadi mentor mereka; jururawat dibuli
oleh pegawai perubatan; doktor gila komisyen pembedahan serta gila kuasa
dan nama; termasuklah pesakit dijadikan eksperimen untuk kepentingan
nama serta kedudukan doktor dan pengurusan tertinggi hospital.
Watak Bos dengan orang kanannya Prof.
Raja muncul sebagai antagonis yang bermain di atas segala kekalutan HBB.
Sementara itu Puan Ridjah, wanita anggun lepasan universiti ternama
luar negara, menjadi presiden HBB baru yang menjadi harapan untuk
memulihkan segala kekalutan di HBB.
Halusinasi Mas Ayu kesan kemoterapi
membawanya kepada dunia bawah sedar yang membolehkannya melihat
peristiwa masa silam ketika Negeri di Bawah Bayu itu di bawah
pemerintahan syarikat Inggeris. Bagaimana muncul seorang anak gadis
bernama Fatimah yang dipaksa oleh Mak Cik Ana untuk bekerja di rumah
D.O. Lowe, yang sering mengambil kesempatan ke atas diri Fatimah.
Mas Ayu menyaksikan Fatimah dipukul
kerana tidak mahu mengikut kemahuan Mak Cik Ana dan suaminya yang juga
cuba mengambil kesempatan ke atas diri Fatimah. Di HBB pula Mas Ayu
berhadapan dengan pengurusan hospital, terutamanya Bos HBB yang sedang
menjalankan eksperimen ke atas gadis kecil bernama Maya. Malah bapa Maya
yang pemabuk itu disogok oleh pihak berkepentingan di HBB dengan
memberikannya elaun harian sebagai persetujuan dengan pihak HBB untuk
melakukan uji kaji perubatan ke atas Maya.
Maya menjadi bahan uji kaji demi
kepentingan nama dan kedudukan pihak berkepentingan di HBB, khususnya
Bos, seorang doktor pakar bedah yang ternama dan pengikutnya seperti
Prof. Raja dan Dr. Tan. Bagaimanapun muncul watak seperti Maximus dan
Boon Hian, aktivis yang berjuang mempertahankan hak pesakit dan
penindasan dalam politik dunia perubatan. Juga Karim, doktor pelatih
yang kemudian menyeret Bos ke muka pengadilan.
Halusinasi Ayu pula datang semakin kerap
membuka peristiwa demi peristiwa; muncul pula dirinya ditegur sebagai
Puteri dari Johor oleh seorang wanita bernama Dr. Fatimah. Dalam
halusinasi ini pula, Ayu muncul menjadi watak Puteri dari Johor yang
melarikan diri daripada dikahwinkan dengan Sultan Sulu. Sementara pada
halusinasi yang lain, gadis kecil Fatimah telah muncul sebagai gadis
dewasa yang kini dihantar bekerja di rumah sakit yang dibuka oleh
Inggeris di bawah Sister Santik dan bekerja dengan doktor berbangsa
Eropah yang budiman bernama Calipso.
Suasana di HBB terbongkar satu demi satu
– bagaimana berlakunya penyelewengan di tingkat bawah HBB di
bahagian pembelian ubat. Di situ Eddy melakukan urus niaga ubat-ubat
terlarang secara haram. Dalam dunia bawah sedarnya, Ayu perlahan-lahan
dibawa masuk ke dalam cerita, khususnya peristiwa yang berlaku di tapak
HBB, kira-kira seratus tahun dahulu.
Gadis Fatimah yang didera oleh Mak Cik
Ana dan dihantar bekerja di rumah D.O. Lowe yang miang itu, kemudian
dihantar bekerja di rumah sakit di bawah seliaan Sister Santik. Di rumah
sakit itu Fatimah membesar dan bersemangat gigih bukan sahaja untuk
menjadi jururawat malah menjadi doktor. Di rumah sakit itu jugalah
Fatimah berkerja dengan Dr. Calipso.
Mas Ayu muncul sebagai watak Puteri dari
Johor yang menaiki kapal S.S. Kajang dibawa dari Johor untuk
dikahwinkan dengan Sultan Sulu. Namun, sang puteri melarikan diri dan
bertemu dengan Fatimah. Fatimah menyembunyikan sang puteri. Halusinasi
Mas Ayu membawa cerita yang semakin jelas. Mas Ayu sebagai Puteri dari
Johor kemudiannya mengikuti ekspedisi perubatan Dr. Calipso bersama-sama
Fatimah.
Hubungan cinta antara Mas Ayu dan Dr.
Calipso terjalin sehinggalah Jepun masuk menyerang Negeri di Bawah Bayu.
Dr. Calipso telah ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun. Dalam dunia
realiti pula, Puan Ridjah telah mengambil tindakan ke atas
penyelewengan tersembunyi Bos yang melakukan uji kaji terhadap Maya. Uji
kaji dihentikan dan Bos digantikan dengan calon yang lain. Puan Ridjah
mula melakukan pembaikan ke atas HBB yang dipenuhi politik kuasa,
kedudukan dan penyelewengan yang tersembunyi itu.
Cerita yang berlingkar-lingkar akhirnya
bertaut. Ternyata misteri yang memanggilnya untuk datang ke HBB telah
membongkar siapa diri Mas Ayu yang sebenarnya. Ibu Mas Ayu seorang
penulis yang telah bercinta dengan seorang penyair muda dari Negeri di
Bawah Bayu dan kemudian berkahwin lari lalu menetap di Negeri di Bawah
Bayu.
Perkahwinan mereka kemudian berantakan
apabila bapa Mas Ayu berubah sikap menjadi penagih arak dan judi. Ketika
berusia 10 tahun Mas Ayu pernah ditinggalkan di rumah abang sepupu
bapanya, Upin; menjadi habuan nafsu serakah Upin bagi melunasi hutang
bapanya. Mas Ayu terlepas lari dan mengadu kepada ibunya.
Terjadi pertengkaran besar antara ibu
dengan bapanya yang berakhir dengan ibunya dipukul sehingga patah gigi.
Ibu Mas Ayu membawanya lari pada malam itu juga kembali ke Brunei. Kisah
Mas Ayu seperti berulang kembali melalui halusinasinya yang menyaksikan
kisah hidup gadis kecil Fatimah itu.
Halusinasi Mas Ayu berakhir dengan Jepun
menyerah diri dan Mas Ayu serta Fatimah pergi ke bukit tujuh untuk
menyelamatkan Calipso. Tetapi Calipso telah keluar dan diselamatkan.
Mereka dibawa oleh seorang lelaki kacak bernama Zulkarnain untuk pergi
ke Bukit Tujuh, yang akhirnya diketahui sebagai Paduka Zulkarnain,
putera Sultan Sulu yang menjadi tunangan Puteri dari Johor.
Zulkarnain menyamar sebagai orang biasa
untuk mencari tunangannya. Tetapi akhirnya Zulkarnian mengambil
keputusan untuk melupakan Puteri dari Johor dan mengambil Fatimah
sebagai penggantinya.
Sementara itu di HBB, Ayu menemui
bapanya yang kejam itu, yang tenat dan berbalut seluruh tubuh akibat
kemalangan ketika memandu dalam keadaan mabuk. Isterinya, iaitu ibu
kepada Maya terkorban. Rupa-rupanya bapa Ayu ialah bapa Maya yang
diserahkan bulat-bulat kepada Bos untuk ditebuk di sana sini bagi tujuan
eksperimen pembedahan itu. Bapanya memohon maaf kepada Ayu sebelum
meninggal dunia.
Suami Ayu, Taffa atau si bapak badak
sumbu Sumatera meninggal dunia akibat mengambil ubat perangsang seks
berlebihan ketika malam perkahwinannya dengan gadis remaja berusia 17
tahun. Suami Ayu telah membohongi dan meninggalkan Ayu apabila
mengetahui Ayu menghidap kanser payudara. Pernah sekali Ayu bertemu
suaminya di pesta buku, yang memandang sinis kepada payudara kirinya
yang leper kerana dibuang akibat kanser itu. Ketika itu suaminya
mengepit perempuan lain.
Sementara Bos pula telah dibawa ke
mesyuarat Lembaga Pengarah kerana laporan Karim, doktor pelatih tentang
kesalahan Bos yang membedah pesakit demi eksperimennya. Bos digantung
tugas dan segala operasi perubatannya digantung. Maya dilepaskan dan Mas
Ayu datang untuk membawa adik tirinya keluar. Ternyata kedatangan Mas
Ayu ke Negeri di Bawah Bayu tempat kelahirannya ini bukan sahaja telah
membongkar sejarah sebenar kehidupan Mas Ayu malah menemui keluarganya
yang memerlukan pertolongan untuk diselamatkan, iaitu adik tirinya Maya.
Novel karya Azmah Nordin ini digarap
dengan plot yang cukup kompleks tetapi akhirnya menemui penyudah yang
disimpulkan dengan begitu baik dan kemas segala titik pertemuan
ceritanya. Halusinasi Mas Ayu sebenarnya pergerakan bawah sedar yang
banyak berkaitan dengan tragedi hitam yang menimpa Mas Ayu ketika zaman
kanak-kanaknya. Perkara itu dilupakan oleh Mas Ayu tetapi tetap muncul
dalam fikiran bawah sedar Mas Ayu yang memunculkan watak Fatimah yang
menghadapi nasib yang sama dengan Mas Ayu.
Mas Ayu didatangkan ke HBB pula untuk
menyelamatkan Maya, gadis berusia sepuluh tahun yang mengulangi nasib
Mas Ayu; kemudian diketahui Mas Ayu sebagai adik tirinya sendiri.
Ternyata novel ini telah memberikan satu aliran penceritaan yang bermain
dengan double plot yang begitu kemas; dengan menggunakan imbas kembali dan imbas muka yang begitu meyakinkan.
Novel ini juga kuat membawa nada
feminisme dengan gambaran lelaki-lelaki jahat atau antagonis bermula
daripada suami Mas Ayu, Bos dan bapa Mas Ayu. Semua lelaki ini tidak
diberikan nama, sebaliknya diberikan anonim yang sama iaitu ‘bapak badak
sumbu Sumatera’ sebagai membayangkan sifat rakus, jahat dan tidak
bertanggungjawab. Bahkan hal ini disambung lagi dengan sekian banyak
watak lelaki jahat seperti suami Mak Cik Ana, D.O. Lowe, Upin dan
sebagainya.
Novel ini melakarkan sebuah dunia perjuangan wanita menghadapi penindasan kaum lelaki yang jahat dan zalim. Ternyata novel Lara
karya Azmah Nordin memberikan wacana yang sungguh serius jika dilihat
dalam kerangka pemikiran feminisme. Walau bagaimanapun dalam konteks
sastera novel, Lara telah menghidangkan kekuatan karya yang menakjubkan melalui plot, teknik dan penceritaan yang luar biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan