Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 29 Oktober 2015

LARA - KARYA AZMAH NORDIN-

Judul                 :           Lara
Pengarang       :           Azmah Nordin (Penerima SEA Write Award 2009)
Terbitan           :           Dewan Bahasa dan Pustaka (2012)
Halaman          :           652 halaman
Genre                :           Novel
Pengulas          :           S.M. Zakir
Mas Ayu seorang penulis terpilih menyertai projek penulisan kerjasama Dewan Bacaan Brunei Darussalam dan Hospital Besar Begawan (HBB). Mas Ayu mengambil peluang ini untuk menghasilkan novel terbarunya.
Mas Ayu mempunyai sejarah hidup masa kecil yang agak perit apabila menjadi pelarian bersama-sama ibunya di Negeri di Bawah Bayu. Mereka kembali ke Brunei setelah ibunya membawa lari Mas Ayu menaiki feri akibat  peristiwa hitam yang kabur daripada ingatan Mas Ayu.
Setelah ibunya meninggal dunia, Mas Ayu dipelihara oleh Umi Jamilah, ibu saudaranya dengan penuh kasih sayang. Mas Ayu membesar dengan jiwa yang sensitif dan mempunyai bakat sebagai penulis. Mas Ayu kemudiannya berkahwin dengan seorang profesor bahasa Melayu dari sebuah kolej swasta di Bandar Seri Begawan bernama Taffa yang digelar Mas Ayu sebagai bapak badak sumbu Sumatera.
Suami Mas Ayu lelaki yang gemar memikat wanita di sana sini. Mas Ayu ditinggalkan di Brunei sedangkan dia bertugas di Negeri di Bawah Bayu. Mas Ayu terdengar suaminya mempunyai gadis lain di sana. Hubungan Mas Ayu dan suaminya tidak baik lagi atas sebab kecurangan suaminya itu.
Mas Ayu melayari hidupnya sendiri sebagai penulis novel sepenuh masa. Mas Ayu terpilih untuk mengikuti projek penulisan anjuran bersama kedua-dua badan itu. Apabila terdengar Mas Ayu kembali ke Negeri di Bawah Bayu kelahirannya, Umi Jamilah mula berasa khuatir seolah-olah ada sesuatu misteri yang tidak diketahui oleh Mas Ayu.
Malang bagi Mas Ayu kerana dia menghidapi kanser dan perlu menjalani rawatan kemoterapi. Akibat  rawatan kemoterapi tersebut, Mas Ayu menghidapi sindrom tertentu yang menjadi tabii baharunya atau disebut Mas Ayu, ‘tabii Kemo’. Apabila mengetahui Mas Ayu menghidap kanser payudara dan dibuang sebelah melalui pembedahan, suami Mas Ayu Si Badak Sumatera itu mula mencari alasan untuk berjauhan dengan Ayu.
Ketika berada di tanah kelahirannya yang ditinggalkan semasa kecil, Mas Ayu didatangi halusinasi yang datang dari masa silam. Mas Ayu mendatangi tempat kelahirannya di Begawan, tempat terletaknya HBB ini. Jauh di sudut hatinya, seperti ada sesuatu yang memanggilnya untuk ke sana. Ada suatu misteri berkaitan dirinya yang dirasakan tersembunyi di situ.
Halusinasi yang datang menerjah alam bawah sedar Mas Ayu ketika di Begawan ini membawa peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1930-an tentang kedatangan Dr. Calipso dari Eropah untuk membina hospital di Borneo Utara, sebuah kawasan tempat HBB berdiri sekarang.
Sepanjang tempoh mencari bahan penulisan di HBB, Mas Ayu menemui banyak perkara yang tidak dijangkanya. Perkara-perkara ini melibatkan soal pengurusan hospital yang berlaku pelbagai penindasan dan penyelewengan etika. Antaranya, doktor pelatih ditindas oleh doktor pakar yang menjadi mentor mereka; jururawat dibuli oleh pegawai perubatan; doktor gila komisyen pembedahan serta gila kuasa dan nama; termasuklah pesakit dijadikan eksperimen untuk kepentingan nama serta kedudukan doktor dan pengurusan tertinggi hospital.
Watak Bos dengan orang kanannya Prof. Raja muncul sebagai antagonis yang bermain di atas segala kekalutan HBB. Sementara itu Puan Ridjah, wanita anggun lepasan universiti ternama luar negara, menjadi presiden HBB baru yang menjadi harapan untuk memulihkan segala kekalutan di HBB.
Halusinasi Mas Ayu kesan kemoterapi membawanya kepada dunia bawah sedar yang membolehkannya melihat peristiwa masa silam ketika Negeri di Bawah Bayu itu di bawah pemerintahan syarikat Inggeris. Bagaimana muncul seorang anak gadis bernama Fatimah yang dipaksa oleh Mak Cik Ana untuk bekerja di rumah D.O. Lowe, yang sering mengambil kesempatan ke atas diri Fatimah.
Mas Ayu menyaksikan Fatimah dipukul kerana tidak mahu mengikut kemahuan Mak Cik Ana dan suaminya yang juga cuba mengambil kesempatan ke atas diri Fatimah. Di HBB pula Mas Ayu berhadapan dengan pengurusan hospital, terutamanya Bos HBB yang sedang menjalankan eksperimen ke atas gadis kecil bernama Maya. Malah bapa Maya yang pemabuk itu disogok oleh pihak berkepentingan di HBB dengan memberikannya elaun harian sebagai persetujuan dengan pihak HBB untuk melakukan uji kaji perubatan ke atas Maya.
Maya menjadi bahan uji kaji demi kepentingan nama dan kedudukan pihak berkepentingan di HBB, khususnya Bos, seorang doktor pakar bedah yang ternama dan pengikutnya seperti Prof. Raja  dan Dr. Tan. Bagaimanapun muncul watak seperti Maximus dan Boon Hian, aktivis yang berjuang mempertahankan hak pesakit dan penindasan dalam politik dunia perubatan. Juga Karim, doktor pelatih yang kemudian menyeret Bos ke muka pengadilan.
Halusinasi Ayu pula datang semakin kerap membuka peristiwa demi peristiwa; muncul pula dirinya ditegur sebagai Puteri dari Johor oleh seorang wanita bernama Dr. Fatimah. Dalam halusinasi ini pula, Ayu muncul menjadi watak Puteri dari Johor yang melarikan diri daripada dikahwinkan dengan Sultan Sulu. Sementara pada halusinasi yang lain, gadis kecil Fatimah telah muncul sebagai gadis dewasa yang kini dihantar bekerja di rumah sakit yang dibuka oleh Inggeris di bawah Sister Santik dan bekerja dengan doktor berbangsa Eropah yang budiman bernama Calipso.
Suasana di HBB terbongkar satu demi satu ­­–  bagaimana berlakunya penyelewengan di tingkat bawah HBB di bahagian pembelian ubat. Di situ Eddy melakukan urus niaga ubat-ubat terlarang secara haram. Dalam dunia bawah sedarnya, Ayu perlahan-lahan dibawa masuk ke dalam cerita, khususnya peristiwa yang berlaku di tapak HBB, kira-kira seratus tahun dahulu.
Gadis Fatimah yang didera oleh Mak Cik Ana dan dihantar bekerja di rumah D.O. Lowe yang miang itu, kemudian dihantar bekerja di rumah sakit di bawah seliaan Sister Santik. Di rumah sakit itu Fatimah membesar dan bersemangat gigih bukan sahaja untuk menjadi jururawat malah menjadi doktor. Di rumah sakit itu jugalah Fatimah berkerja dengan Dr. Calipso.
Mas Ayu muncul sebagai watak Puteri dari Johor yang menaiki kapal S.S. Kajang dibawa dari Johor untuk dikahwinkan dengan Sultan Sulu. Namun, sang puteri melarikan diri dan bertemu dengan Fatimah. Fatimah menyembunyikan sang puteri. Halusinasi Mas Ayu membawa cerita yang semakin jelas. Mas Ayu sebagai Puteri dari Johor kemudiannya mengikuti ekspedisi perubatan Dr. Calipso bersama-sama Fatimah.
Hubungan cinta antara Mas Ayu dan Dr. Calipso terjalin sehinggalah Jepun masuk menyerang Negeri di Bawah Bayu. Dr. Calipso telah ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun. Dalam dunia realiti pula, Puan Ridjah telah mengambil tindakan ke atas penyelewengan tersembunyi Bos yang melakukan uji kaji terhadap Maya. Uji kaji dihentikan dan Bos digantikan dengan calon yang lain. Puan Ridjah mula melakukan pembaikan ke atas HBB yang dipenuhi politik kuasa, kedudukan dan penyelewengan yang tersembunyi itu.
Cerita yang berlingkar-lingkar akhirnya bertaut. Ternyata misteri yang memanggilnya untuk datang ke HBB telah membongkar siapa diri Mas Ayu yang sebenarnya. Ibu Mas Ayu seorang penulis yang telah bercinta dengan seorang penyair muda dari Negeri di Bawah Bayu dan kemudian berkahwin lari lalu menetap di Negeri di Bawah Bayu.
Perkahwinan mereka kemudian berantakan apabila bapa Mas Ayu berubah sikap menjadi penagih arak dan judi. Ketika berusia 10 tahun Mas Ayu pernah ditinggalkan di rumah abang sepupu bapanya, Upin; menjadi habuan nafsu serakah Upin bagi melunasi hutang bapanya. Mas Ayu terlepas lari dan mengadu kepada ibunya.
Terjadi pertengkaran besar antara ibu dengan bapanya yang berakhir dengan ibunya dipukul sehingga patah gigi. Ibu Mas Ayu membawanya lari pada malam itu juga kembali ke Brunei. Kisah Mas Ayu seperti berulang kembali melalui halusinasinya yang menyaksikan kisah hidup gadis kecil Fatimah itu.
Halusinasi Mas Ayu berakhir dengan Jepun menyerah diri dan Mas Ayu serta Fatimah pergi ke bukit tujuh untuk menyelamatkan Calipso. Tetapi Calipso telah keluar dan diselamatkan. Mereka dibawa oleh seorang lelaki kacak bernama Zulkarnain untuk pergi ke Bukit Tujuh, yang akhirnya diketahui sebagai Paduka Zulkarnain, putera Sultan Sulu yang menjadi tunangan Puteri dari Johor.
Zulkarnain menyamar sebagai orang biasa untuk mencari tunangannya. Tetapi akhirnya Zulkarnian mengambil keputusan untuk melupakan Puteri dari Johor dan mengambil Fatimah sebagai penggantinya.
Sementara itu di HBB, Ayu menemui bapanya yang kejam itu, yang tenat dan berbalut seluruh tubuh akibat kemalangan ketika memandu dalam keadaan mabuk. Isterinya, iaitu ibu kepada Maya terkorban. Rupa-rupanya bapa Ayu ialah bapa Maya yang diserahkan bulat-bulat kepada Bos untuk ditebuk di sana sini bagi tujuan eksperimen pembedahan itu. Bapanya memohon maaf kepada Ayu sebelum meninggal dunia.
Suami Ayu, Taffa atau si bapak badak sumbu Sumatera meninggal dunia akibat mengambil ubat perangsang seks berlebihan ketika malam perkahwinannya dengan gadis remaja berusia 17 tahun. Suami Ayu telah membohongi dan meninggalkan Ayu apabila mengetahui Ayu menghidap kanser payudara. Pernah sekali Ayu bertemu suaminya di pesta buku, yang memandang sinis kepada payudara kirinya yang leper kerana dibuang akibat kanser itu. Ketika itu suaminya mengepit perempuan lain.
Sementara Bos pula telah dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengarah kerana laporan Karim, doktor pelatih tentang kesalahan Bos yang membedah pesakit demi eksperimennya. Bos digantung tugas dan segala operasi perubatannya digantung. Maya dilepaskan dan Mas Ayu datang untuk membawa adik tirinya keluar. Ternyata kedatangan Mas Ayu ke Negeri di Bawah Bayu tempat kelahirannya ini bukan sahaja telah membongkar sejarah sebenar kehidupan Mas Ayu malah menemui keluarganya yang memerlukan pertolongan untuk diselamatkan, iaitu adik tirinya Maya.
Novel karya Azmah Nordin ini digarap dengan plot yang cukup kompleks tetapi akhirnya menemui penyudah yang disimpulkan dengan begitu baik dan kemas segala titik pertemuan ceritanya. Halusinasi Mas Ayu sebenarnya  pergerakan bawah sedar yang banyak berkaitan dengan tragedi hitam yang menimpa Mas Ayu ketika zaman kanak-kanaknya. Perkara itu dilupakan oleh Mas Ayu tetapi tetap muncul dalam fikiran bawah sedar Mas Ayu yang memunculkan watak Fatimah yang menghadapi nasib yang sama dengan Mas Ayu.
Mas Ayu didatangkan ke HBB pula untuk menyelamatkan Maya, gadis berusia sepuluh tahun yang mengulangi nasib Mas Ayu; kemudian diketahui Mas Ayu sebagai adik tirinya sendiri. Ternyata novel ini telah memberikan satu aliran penceritaan yang bermain dengan double plot yang begitu kemas; dengan menggunakan imbas kembali dan imbas muka yang begitu meyakinkan.
Novel ini juga kuat membawa nada feminisme dengan gambaran lelaki-lelaki jahat atau antagonis bermula daripada suami Mas Ayu, Bos dan bapa Mas Ayu. Semua lelaki ini tidak diberikan nama, sebaliknya diberikan anonim yang sama iaitu ‘bapak badak sumbu Sumatera’ sebagai membayangkan sifat rakus, jahat dan tidak bertanggungjawab. Bahkan hal ini disambung lagi dengan sekian banyak watak lelaki jahat seperti suami Mak Cik Ana, D.O. Lowe, Upin dan sebagainya.
Novel ini melakarkan sebuah dunia perjuangan wanita menghadapi penindasan kaum lelaki yang jahat dan zalim. Ternyata novel Lara karya Azmah Nordin memberikan wacana yang sungguh serius jika dilihat dalam kerangka pemikiran feminisme. Walau bagaimanapun dalam konteks sastera novel, Lara telah menghidangkan kekuatan karya yang menakjubkan melalui plot, teknik dan penceritaan yang luar biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan