Hujung minggu itu aku dan suami
pulang ke kampung. Ada kenduri kahwin di
rumah bapa saudaraku. Anak sulongnya berkahwin.
Mana boleh tidak pulang, kalau tidak pasti pak long aku tu berleter
tujuh hari tujuh malam. Mahu pecah gegendang telingaku. Dari dibiar pecah dan terbakar, aku ajak suamiku
balik, terpaksalah guna cuti yang ada.
Kebetulan anak-anak juga sedang cuti sekolah.
Kalau sudah namanya kenduri di
kampung, amalan rewang dan bekerjasama tidak pernah hilang. Riuh rendah rumah pak long dengan kehadiran
jiran sekampung. Tidak termasuk adik
beradik dan saudara mara. Memang
meriahlah.
“Anak mak long yang bongsu dah habis
SPM, kan? Sekarang dia buat apa?” tanyaku sambil tangan mengupas bawang. Pedih juga mataku, tidak pasal-pasal berair.
“Mana ada ambil! Berhenti waktu
tingkatan empat lagi. Tak minat belajar
katanya,” adu mak long seraya memandang wajah anak lelaki bongsunya yang sedang
duduk santai sambil main telefon tangannya.
Mataku turut memandang ke arah
pemuda harapan bangsa itu.
“Sayangnya! Kenapa pula dia tak
minat mak long? Teruk sangat ke
pelajaran sekarang?” soalku.
“Entahlah, mak long suruh dia
belajar semula, dia tak nak. Katanya
buang masa sahaja, sebab tak minat. Malas mak long nak paksa,” luah mak long.
“Dia dah kerja ke?” Aku memandang
wajah kusut mak long, mungkin sebab letih menguruskan hal kenduri kendara
ditambah dengan perangai anak lelaki bongsunya itu.
“Tak, siapa nak bagi kerja? Mana ada kelulusan? Nak kerja apa? Umur pula muda lagi, tanam
anggurlah kat rumah,” bebel mak long.
“Hish, mana boleh macam tu mak long,
dia anak lelaki, nak jadi ketua keluarga.
Kalau dibiarkan macam itu, tak ubah hidup dan nasibnya nanti.
“Kau nasihatkanlah dia, mak long dah
tak sanggup!” kata mak long sambil
mengangkat tangan tanda menyerah.
Hish, tak baik berputus asa dengan
anak. Selagi ada kudrat dan tenaga, jangan berhenti mengharap dan berdoa. Aku mengeluh, susah betul anak-anak generasi
hari ini. Kita dulu takut kalau tak ke
sekolah, kata arwah abah, orang yang tak nak sekolah sama dengan lembu. Uh! Tak
naklah jadi lembu, itu sebab tak pernah culas ke sekolah. Melainkan demam atau ada hal yang tidak boleh
dielakkan. Anak hari ini, kita cakaplah
apa pun, buat tak tahu sahaja. Macam bercakap dengan dinding batu.
“Pergilah cakap dengan dia! Risau mak
long fikirkan masa depan dia,” pinta mak long dengan wajah penuh mengharap.
Aku mengeluh berat. Kenapalah asyik perlu jadi penasihat tidak
bertauliah ini. Mak long tak tahu, kalau aku menasihat, boleh pecah gegendang
telinga sesiapa sahaja.Nak pergi ke
tidak ini? Aduh! Susah betullah. Tengok wajah sepupuku itu pun buat hati
sendiri bengang. Orang lain sibuk dengan
pelbagai urusan kenduri-kendara, dia boleh duduk goyang kaki sambil main
telefon bimbit. Pakai telefon punyalah
canggih. Macam sudah bergaji besar. Tentu pak long yang belikan. Ikut sangat kehendak anak sendiri yang memang
pemalas dan tidak boleh diharap itu.
“Pergilah!” suruh mak long sekali
lagi.
“Yalah, yalah!” kataku, lantas bangun berdiri dan berjalan ke arah adik sepupuku yang duduk
santai bersendirian, macam tiada orang lain di sekelilingnya.
Aku terus duduk di sebelahnya. Dia
pula hanya memandangku sekali imbas dan melihat
telefon bimbitnya semula. Memang tak tahu hormati orang tua ke? Kalau anak aku buat macam itu, sudah kuketuk
kepalanya.
Kau fikir, kau siapa? Besar kepala ya? Aku ini kakak sepupu kau, hormatlah sikit,
berhentilah tengok telefon itu. Tengok
aku ini, pernah tengok dan nampak aku ke? Bebelanku bermula. Cantik telefon? Tentu mahal? Siapa beli? Ayah? Sudah kerja? Mengganggur? Tak nak sekolah? Sudah pandai ya? Nak jadi lembu ke? Jangan nak jegilkan mata! Duduk situ
diam-diam! Aku menarik tangannya sebab
dia sudah mula hendak melangkah pergi.
Kau tak sekolah, kenapa? Malas?
Kau tahu tak, orang yang tak ada ilmu selamanya akan dipandang
bodoh! Kau nak jadi budak bodoh ke? Mak dan ayah kau jaga, belai, beri kasih
sayang sejak dalam kandungan lagi, bila besar mereka harap kau jadi manusia
berguna, berpelajaran, ada cita-cita, ada impian. Bukan duduk rumah goyang kaki, besarkan
badan!
Masa mereka hidup, bolehlah layan
kehendah dan keinginan kau, kalau mereka tutup mata, kau ingat ada orang akan
kutip kau? Sudahlah malas tak
berpelajaran. Kau nak kerja apa? Apa sahaja
kerja sekarang ini, semuanya nak SPM, tak nak belajar sampai ke universiti,
cukuplah sekadar ada SPM! Jangan nak degil! Jangan nak berlagak! Kena fikir 10
tahun dari sekarang. Kau waktu itu ada di mana? Sedang buat apa? Entah-entah
sedang jadi gelandangan, tiada rumah, tiada keluarga, sebab orang malas ini,
semua orang benci, orang meluat! Faham tak!?
Kau ingat abang dan kakak-kakak kau tak sakit mata
tengok badan kau yang membulat macam tong dram terbaring seperti ular sawa kekenyangan. Tangan pula tak henti-henti menekan telefon
bimbit. Kalau kau guna telefon itu untuk
mencari info atau perkara yang bermanfaat tak apa juga! Ini buang masa, buang
duit! Mak dan ayah kau juga yang menjadi mangsa untuk membajar top-up telefon
kau!
Kalau tak nak belajar, pergilah
kerja! Jangan duduk goyang kaki macam putera raja. Kau ingat, kau siapa? Anak
raja? Tuan besar? Mak dan ayah kau orang gaji? Pembantu rumah? Hey… Kalau kau anak aku, aku tembak dengan senapang
patah! Hidup menyusahkan orang lain.
Memburukkan nama bangsa dan agama. Malukan mak dan ayah! Memanglah muka kau muka tak malu, orang kutuk
kau kata anak pemalas pun kau tak rasa apa-apa. Kau bangga digelar seperti itu
agaknya.
Ilmu perlu, bukan suruh jadi pandai,
tetapi jadi bijak, jadi orang berilmu. Orang yang disegani adalah mereka yang
tinggi ilmunya, bijak bertindak. Macam mana kau nak jadi bijak, kalau tak
sekolah? Kau ingat boleh belajar sendiri?
Memanglah boleh tapi kau akan sesat jika belajar tanpa seorang
guru. Jangan sia-siakan usia muda
kaulah! Orang lain berlumba-lumba nak
muda sebab nak terus nikmati kehidupan di dunia, kejar kejayaan, orang tua
berlumba-lumba nak belajar, kau yang muda malas nak cari ilmu! Bosanlah, buang
masalah! Yang kau buat ini, tak buang
masa ke? Ini dipanggil apa? Memenuhi masa
lapang?
Nanti bila kau dah dewasa, keperluan
kau sudah bertambah, kau ingat ada orang akan sediakan semua keperluan kau
ke? Kau ingat ada ke anak gadis yang
akan suka dengan orang pemalas, tak sekolah seperti kau? Cerminlah diri dulu, jangan ingat hidup di
dunia ini hanya makan tidur dan bersuka ria sahaja. Kita ada tanggungjawab yang tergalas di
bahu. Kau anak lelaki, kau bakal jadi
ketua keluarga, kalau kau tidak ada ilmu apa yang akan kau ajar pada anak-anak
kau nanti? Kalau tidak berilmu,
sekurang-kurangnya kau rajin bekerja, kau berusaha untuk membuktikan orang yang
malas sekolah seperti kau pun boleh berjaya.
Tapi, nak berjaya macam mana, kalau asyik makan tidur sahaja!
Satu kerja pun kau tak buat, umur
muda lagi sudah nak hidup bersenang lenang tanpa berbuat apa-apa. Nanti
kawan-kawan kau berjaya dalam kehidupan mereka, kau tidak jadi apa-apa hanya
menjadi pengemis kepada kedua orang tua.
Selama mana kau nak hidup menyusahkan mereka? Sedarlah diri, kembalilah ke sekolah. Jangan fikir keadaan kau sekarang, kau kena
fikirkan masa hadapan kau. Fikirlah
dengan tenang. Ilmu penting, pelajaran
penting. Kembalilah ke alam remaja,
kembalilah ke sekolah. Cuba tengok wajah kedua orang tua kau, kalau kau di
tempat mereka, apa agaknya kau rasa jika anak kau nanti berperangai sama dengan
kau, malas sekolah! Waktu itu kau nak marah pada siapa? Kau sendiri malas, jangan haraplah anak-anak
kau akan rajin belajar. Nak dapat yang
baik, kenalah jadi contoh yang baik kepada orang lain juga. Ini tidak, kau menjadi contoh yang tak baik
kepada orang lain. Aku malas nak
berleter panjang lebar. Kalau kau tak faham juga, aku tak tahulah. Kau tahu tak, Islam pun menggalakan kita
rajin belajar. Kalau tak belajar,
manakan datang ilmu dan pengetahuan kita
mengenai Islam. Ayat yang pertama turun pun berkisah tentang ‘BACA’. Baca
bermakna belajar. Faham tak!
Kau ikut kawan-kawan kau yang malas belajar, kaki ponteng sekolah. Kalau kau susah, agak-agak kau mereka akan tolong tak? Kau kenalah cari sendiri. Kau ingat kawan-kawan kau akan bantu kau? Kalau mereka sendiri malas macam mana nak beri semangat pada kau? Carilah kawan yang mampu beri kau semangat untuk berjaya dalam hidup. Jangan tersalah memilih, nanti sendiri yang rugi. Sebelum terlambat, kembalilah ke pangkal jalan.
Kau ikut kawan-kawan kau yang malas belajar, kaki ponteng sekolah. Kalau kau susah, agak-agak kau mereka akan tolong tak? Kau kenalah cari sendiri. Kau ingat kawan-kawan kau akan bantu kau? Kalau mereka sendiri malas macam mana nak beri semangat pada kau? Carilah kawan yang mampu beri kau semangat untuk berjaya dalam hidup. Jangan tersalah memilih, nanti sendiri yang rugi. Sebelum terlambat, kembalilah ke pangkal jalan.
Aku memandang wajahnya yang sudah
bertukar muram. Telefon bimbit sudah dilepaskan dan diletak ke tepi. Dia memandangku, matanya berair. Takkan sedih sangat? Fikirku dalam hati.
Dia bingkas bangun dan berjalan
menuju ke arah mak longku. Dia memeluk mak longku dan memohon maaf. Wah! Hebatnya nasihatku. Boleh mengubah orang dalam sekelip mata. Bukan aku yang mengubahnya tetapi ALLAH yang
telah mendengar doa mak longku yang tidak henti-henti untuk anak bongsunya
itu. Aku menarik nafas lega. Kuharap tidak ada lagi saudara maraku yang
malas belajar. Aku melepaskan keluhan
berat dan perasaanku berasa lega.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan