Sabtu, 31 Oktober 2015

SINOPSIS TOLONG CARI SUAMIKU



TAJUK                       :           TOLONG CARI SUAMIKU
TERBITAN                :           ALAF 21 – 2014
PENULIS                   :           ASMAH HASHIM
GENRE/TEMA          :           KEKELUARGAAN
SINOPSIS
WATAK         :

Wan Mastura/ Mastura
Wan Ashraf/Ashraf
Halijah – ibu mertua Mastura/ Ibu kandung Wan Ashraf
Kartina – Isteri muda Wan Ashraf/Ashraf
Wan Kamarudin- Suami Halijah/ Ayah tiri Wan Ashraf/ Bapa saudara Wan Mastura
Adrian-Teman lelaki Kartina
Jimmy-Teman Lelaki Halijah/Ayah kandung Wan Ashraf/ Pembunuh Upahan
Ikmal-Kawan lama Wan Mastura dan sahabat sekolej Wan Ashraf/ Inspektor polis yang menyiasat kes kematian Wan kamarudin dan Wan Ashraf
Amir- Rakan sekerja Ikmal
Mak Yam- Ibu Wan Mastura
Haji Arshad- Peguam Wan Kamarudin

Serta beberapa watak sampingan bagi menguatkan lagi jalan cerita ini.

TOLONG CARI SUAMINYA mengisahkan tentang  dendam, ketamakkan harta sanggup berbuat apa sahaja demi kekayaan, hatta membunuh anak dan suaminya sendiri serta sanggup pula menculik cucu kandungnya kerana harta.
Ketabahan dan kekuatan seorang wanita yang kehilangan suami dan dibenci oleh ibu mertua sendiri.  Terpaksa berdepan dengan ibu mertuanya yang pendendam dan ingin menyeksa dia dan anaknya.
Kejahilan, ketamakan seorang perempuan yang sanggup hidup berkongsi kasih asalkan mendapat harta yang dia inginkan.
Keinsafan seorang lelaki yang telah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar, bekerjasama dengan pihak polis untuk menangkap dalang yang telah merancang pembunuhan Wan Ashraf dan Wan Kamarudin.

Pengajaran:  Ketamakan harta tidak membawa bahagia. Dendam menghancurkan rasa kasih sayang antara sesama manusia. Kejahatan membawa kemusnahan. 



            Mastura isteri kepada Wan Ashraf.  Perkahwinan mereka tidak direstui oleh Halijah kerana dia inginkan anaknya berkahwin dengan gadis pilihannya.  Namun Wan Ashraf meneruskan juga hajatnya berkahwin dengan Mastura dan mereka hidup bahagia sehinggalah satu hari Wan Ashraf  menghilangkan diri pada malam kejadian kawasan perumahan mereka terbakar.

            Puas Mastura bertanya dengan jiran tetangga akan suaminya, namun tidak berjumpa.  Tiga hari dia terpaksa tinggal di dewan orang ramai sambil berharap suaminya akan kembali kepadanya.  Tapi hampa, yang datang hanyalah emaknya, Mak Yam.  Berita yang diterima juga membuatkan hatinya menangis pilu.  Suaminya telah berkahwin dengan gadis pilihan mertuanya. 

            Wan Ashraf akur dengan kehendak Halijah, emak kandungnya kerana emaknya telah berjanji jika dia menurut kata dan berkahwin dengan Katrina, Halijah akan menerima dan mengakui Mastura sebagai menantu. Sayang seribu kali sayang, itu semua muslihat  Halijah untuk memisahkan Mastura dan Wan Ashraf. 
            Halijah ada agendanya tersendiri.  Dia ingin merampas kembali harta pusaka peninggalan arwah suaminya, Wan Kamarudin yang telah diletakkan atas nama anak kandungnya itu.  Dia juga telah berjanji dengan Katrina akan memberi sebahagian daripada harta tersebut kepada Katrina.
            Wan Ashraf kecewa dengan perbuatan emaknya, telah bertemu dengan peguam yang menguruskan harta pusaka tersebut.  Dia meletakkan nama anaknya Maria sebagai pewaris tunggal dan Mastura sebagai pemegang amanah.       
  
            Pada hari Wan Ashraf pergi mencari Mastura dalam perjalanan pulang dia terlibat dengan kemalangan sehingga mengorbankan dirinya.
            Katrina kecewa, harta yang didambakan tidak sampai ke tangan, suami yang baru dikahwini pula sudah meninggal dunia.  Ada dia peduli?  Dia hanya inginkan harta arwah suaminya sahaja.  Dia mencadangkan agar Halijah membawa Mastura dan Maria tinggal bersama-sama mereka, cadangannya hendak mendera Mastura dan Maria.
            Mastura terkejut menerima berita kematian suaminya.  Kehadiran Katrina memujuknya untuk hidup bersama dalam satu bumbung diterima dengan baik walaupun ditentang oleh Mak Yam.  Dia tahu sangat dengan sikap Halijah yang buta hati dan perasaan itu.  Mastura mengingatkan emaknya bahawa mereka ada misi yang ingin dijalankan dan janji mereka kepada bapa saudara merangkap ayah mertuanya dan dendam yang perlu dibalas atas kematian arwah ayahnya yang telah dibunuh oleh orang upahan Halijah.

            Halijah dan Katrina sudah bersedia dengan agenda untuk mempermainkan Mastura.   Tetapi sayang, Mastura bukanlah lemah orangnya.  Semua rancangan Halijah dan Katrina berjaya ditangkis. 
            Setelah tinggal sebumbung, waktu wasiat dibaca, Halijah dan Katrina benar-benar terkejut.  Bukan wasiat itu yang ditulis oleh arwah suaminya.  Adakah wasiat itu telah bertukar?  Seluruh harta diserahkan kepada Maria sebagai waris tunggal dan Mastura sebagai pemegang amanah.  Halijah benar-benar marah dengan tindakan arwah anaknya itu. Tiada sebarang harta ditinggalkan kepada Halijah dan Katrina melainkan sejumlah wang yang akan diberi oleh Mastura setiap bulan.
            Katrina pula sudah mempunyai kekasih yang bernama Adrian. Adrian seorang gigolo hanya mencari wanita yang berharta dan mampu memberi kekayaan dan kesenangan kepadanya.  Meninggalkan Katrina lantas mengejar Mastura kerana baginya Katrina sudah tidak berguna lagi dan bukannya pewaris kepada kekayaan Wan Ashraf lagi. 
            Inspektor Ikmal dan rakan setugasnya telah memperolehi bukti kematian Wan Kamarudin dan Wan Ashraf adalah perbuatan khianat dan mereka perlu menyiasat kes tersebut. Mereka jugalah yang telah menyelamatkan Wan Ashraf daripada hangus terbakar di dalam kenderaannya sendiri.
 
            Mastura beberapa kali terlihat kelibat suaminya.  Dia tertanya-tanya adakah suaminya masih hidup lagi.
            Wan Kamarudin telah meminta bantuan Mastura untuk membalas dendam akan kematiannya yang telah dirancang oleh Halijah, isterinya sendiri.  Dia juga mendapat tahu arwah isterinya telah dibunuh oleh Halijah demi merampas segalanya yang menjadi haknya.  Dia kesal dengan sikap Halijah.  Dia kutip Halijah dari tepi jalan, dan jadikan isterinya.  Ketika itu Halijah mengandungkan Wan Ashraf, anak luar nikah yang diambil sebagai anak angkatnya dan diserahkan seluruh hartanya kepada anak itu.
            Halijah telah meminta bantuan Jimmy bekas teman lelakinya untuk membunuh Mastura dan mengambil semula harta milik arwah anaknya itu.  Jimmy tidak sanggup melakukannya kerana yang hendak dibunuh itu adalah isteri arwah anaknya dan Maria adalah cucu kandungnya sendiri.  Jimmya tidak lagi mahu bersekongkol dengan Halijah.  Dia menyerah diri kepada pihak polis dan menceritakan apa yang berlaku. 
            Mastura pula mengatur rancangan dengan Wan Kamarudin untuk menakut-nakutkan Halijah agar wanita itu bercakap akan rancangan jahatnya selama ini.

            Katrina akhirnya insaf dan bertaubat, dia bertemu dengan seorang lelaki yang telah membimbingnya menjadi manusia yang baik dan sudi mengambilnya sebagai isteri.  Beberapa hari sebelum perkahwinannya,  Wan Ashraf mendedahkan dirinya sendiri.  Dia terpaksa, jika tidak perkahwinan Katrina dan lelaki pilihannya itu tidak sah.  Katrina pengsang melihat kelibat Wan Ashraf yang disangkakan telah meninggal dunia. 
            Jimmy ingin bertemu dengan Wan Ashraf yang diketahuinya masih hidup. Akhirnya dia berterus terang siapa dirinya kepada Wan Ashraf. 
            Wan Ashraf terdidik dengan baik, dapat menerima kehadiran Jimmy, pertalian darah tidak akan pernah putus. 
            Halijah yang kecewa akhirnya bertemu dengan Adrian dan mereka mengatur rancangan untuk menculik Maria, mereka akan meminta wang tebusan sebanyak   harta yang dimiliki oleh Maria sebagai waris tunggal pemilik harta Wan Ashraf.
            Mastura juga berasa hairan kerana syarikat milik bapa saudaranya Wan Kamarudin yang diwarisi oleh arwah suaminya berjalan lancar tanpa ada masalah.  Malah peguam keluarga bapa saudaranya itu juga pernah terlihat kelibat suaminya di pejabat.  Dia cuba  siasat hal tersebut tetapi tiada kerjasama daripada para pekerja syarikat tersebut.
            Halijah dan Adrian berjaya mencolek Maria sewaktu Mastura berada di Melaka untuk mencari suaminya.  Mereka berjaya menyorokkan Maria di sebuah hutan di Janda Baik, tetapi rancangan Halijah sudah dicium oleh pihak polis dan juga maklumat daripada Jimmy.  Mereka mengekori Halijah sehingga ke tempat persembunyian Adrian dan Maria.  Setelah  Halijah pulang ke rumah, pihak polis telah menyerbu kawasan tersebut dan menyelamatkan Maria.  Mastura gembira kerana anaknya selamat dan Adrian telah ditahan untuk bantu siasatan.  Mastura juga menipu Halijah bahawa dia telah membayar wang tebusan yang diminta dan sebab itulah Maria dibebaskan. 
            Halijah geram, dia cuba menelefon Adrian tetapi tidak berjawab, malah sms yang diterima daripada lelaki itu membuatkan hatinya bertambah sakit.  Sebenarnya itu semua rancangan pihak polis untuk memerangkap Halijah.
            Operasi menangkap Halijah dijalankan.  Halijah berjaya melarikan diri dan akhirnya kembali ke rumah tanpa diketahui oleh pihak polis.  Mastura yakin emak mertuanya masih ada di rumah.  Dia telah pergi mencari emak mertuanya dan ditanah oleh Halijah.  Pada masa yang sama Ikmal dan Amir serta Wan Ashraf menuju ke rumah tempat tinggal Halijah selama ini.  Halijah terkejut melihat anaknya masih hidup. Begitu juga Mastura.
 
            Halijah yang pandai seni mempertahankan diri melawan sewaktu diminta menyerahkan diri, dia telah menjadikan Mastura sebagai tebusan.  Dia telah membawa Mastura bertemu dengan peguam keluarga itu, dia mahu semua harta dikembalikan kepadanya.     Dia tidak peduli bagaimana Mastura dan peguam Tuan Arshad lakukan. 
            Halijah ingin melepaskan diri di sempadan Thailand setelah mendapatkan kembali hartanya dengan memaksa Mastura menyerahkannya kembali kepadanya.  Dia tidak mengetahui bahawa harta tersebut telah dikembalikan kepada Wan Kamarudin.  Surat yang diterima tidak berguna biarpun ditandatangan oleh Mastura dan Tuan Arshad.

            Halijah menjadikan Mastura sebagai tebusan sehinggalah dia dapat meloloskan diri di sempadan Thailand nanti.  Sampai di satu tempat, Mastura akhirnya dapat melepaskan diri,  Halijah ditangkap, tetapi dia berjaya melarikan diri dan dia dilanggar oleh sebuah kereta dalam usaha melepaskan diri. Dia mati di tempat kejadian. 
            Mastura  akhirnya bertemu semula dengan suaminya.  Jimmy akhirnya dibebaskan kerana kerjasamanya sehingga berjaya memerangkap Halijah dan  berjaya membuktikan segala apa yang berlaku adalah perbuatan Halijah seorang.  Akhirnya mereka kembali hidup bersama dan bahagia.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan