Ahad, 8 November 2015

ULASAN SAYA TUNGGU AWAK



SAYA TUNGGU AWAK
BONDA NOR
GALERI ILMU
2013
632 muka surat

UstazaH Hanna Mardhiah seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi. Seorang  yang serba sempurna di mata Rafiq, salah seorang pelajarnya sehingga menanamkan rasa cinta di hati.  Sebagai seorang muslimat sejati dan isteri orang pula.  Ustazah Hanna berusaha mengelak dan menolak cinta terlarang yang hadir secara tiba-tiba itu. 
                Farhan seorang suami yang tidak berpelajaran tinggi dan tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi tetap menjadi  buah hati Ustazah Hanna Mardhiah.  Setiap rumah tangga pasti ada ujiannya.  Dalam melayari bahtera di lautan dalam, jika tidak ada ombak bukan lautan namanya.  Kekuatan hati, rasa cinta yang tinggi, kasih sayang yang tidak pernah berbelah bahagi dan iman yang tinggi mampu menahan jiwa yang bergelora dengan anasir-anasir luar yang merbahayakan rumah tangganya.  Haram mencintai lelaki lain sedangkan dia sudah ada suami. 
                Bagaimana Ustazah Hanna mampu menahan godaan Rafiq, seorang pemuda yang sedang kacau jiwanya kerana masalah rumah tangga.  Rafiq berusaha seboleh mungkin untuk menawan hati pensyarahnya yang cantik manis dan bijak itu.  Namun godaan demi godaan dicantas dengan mudah oleh Ustazah Hanna. 

                Apa yang berlaku seterusnya?  Mampukah Rafiq menawan hati ustazah muda yang bertahta di hatinya?  Bagaimana dengan rumah tangga Farhan dan Ustazah Hanna?    Adakah Farhan mengetahui hubungan mesra isterinya dan Rafiq?  Kalau nak tahu akan keseluruhan cerita, kenalah beli karya ini.
                Apa yang dapat saya katakan ketika menamatkan pembacaan saya pada karya naskah kecil tetapi sarat dengan isi dan ilmu.  Bagaikan mendidik seorang wanita bagaimana mengelak godaan luar yang datang secara tiba-tiba ingin menawan hati yang kadangkala rungsing dengan masalah rumah tangga sendiri.  Bagaimana batasan hubungan seorang wanita dan lelaki biarpun atas nama pelajar dan pensyarah, begitu juga dengan rakan sekerja.  Karya yang sepatutnya menjadi milik para peminat dan pembaca novel Melayu.  Bak kata cerdik pandai, tulislah yang baik-baik sahaja.  Inilah karya yang baik-baik yang sewajibnya dimiliki dan disimpan bukan sahaja sebagai penenang minda tetapi juga tanpa kita sedar ada ilmu yang bermanfaat di dalamnya.

                Menurut penulisnya, karya ini ditulis ketika dia tidak mempunyai ilmu dalam dunia penulisan.  Mungkin ya? Mungkin tidak.  Bagi saya yang menilai dari sudut pembaca, karya seperti ini memang menarik minat dan hati saya.  Tahniah buat puan penulis yang berjaya mengusik jiwa saya dengan jalan cerita yang berisi. Cuma sedih, watak yang baik sering dimatikan. Kenapa? Adakah memang gaya puan penulis suka mematikan watak-wataknya?  Sekadar bertanya, saya juga suka mematikan watak dalam karya saya tetapi yang jahat sahaja.  Apa pun tahniah sekali lagi buat puan penulis yang semakin saya minati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan