Rabu, 2 Disember 2015

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 5- ASMAH HASHIM




            Alhamdulillah, hanya perkataan itu mengalir laju di bibirnya.  Biarpun nafasnya tiba-tiba berdegup kencang.  Biarpun kakinya berasa lembik, selembik  besi yang sedang dipanaskan dengan haba yang tinggi.  Memang penat, memang letih tetapi hati mana yang tidak  berasa puas, apabila dapat melakukan sesuatu untuk masyarakat di luar sana?  Rasa puas dapat mencurah bakti di tempat dia bekerja.  Dia ingin keberkatan daripada ILAHI setiap titik peluh diperolehi.  Tidak dipersoal sewaktu di Padang Masyar nanti.  Besar tanggungjawab apabila bekerja di dalam bidang agama ini.  bukan hanya kepada diri sendiri malah kepada masyarakat.  Dia cuba memahami, dia cuba mengerti dan menjalankan tanggungjawabnya setakat yang dia mampu.  Salahkah tindakannya itu?  Kenapa ada segelintir manusia terutama rakan sekerja kurang menyenangi caranya.  Malah ada yang sanggup buat surat layang dan memo untuk menukarkannya ke tempat lain.  Hancur luluh hatinya.  Bernanah hatinya.  Namun entah  dari mana datang kekuatan untuk terus bertahan.  Mungkin inilah kehendak ALLAH, ujian bagi dirinya, untuk menguji keikhlasan hati bekerja di sebuah Masjid yang juga dianggap sebagai rumah ALLAH SWT.
            Mengapa jantung ini berdegup kencang lagi?  Ada apa yang tidak kena?  Kenapa seperti  bermain sembunyi-sembunyi pula denganku?  Sekejap kencang dan sekejap berentak tenang?  Tetapi apa? Siapa? Aduh…!  Getus Ummu Salamah, dicengkam resah gelisah.  Padahal seluruh tubuhnya sudah benar-benar letih.  Dalam fikirannya bersusun-susun dengan pelbagai agenda.  Tidak kisahlah Ustaz Zaki hendak  memburukkan dirinya.  Tidak kisahlah!    Ingin sekali dia  menarik pernafasannya supaya ia menyelusup di pembuluh lalu ke paru-parunya, agar boleh bernafas dengan tenang, setenang  air di kolam.  Ingin sangat-sangat.  Tetapi kenapa jantungnya harus berdegup tidak keruan begitu.  Matanya berpinar-pinar kerana sejak pagi tadi tidak putus-putus meneliti  pelbagai dokumen dan fail.  Segala keperluan untuk majlis perasmian esok sudah hampir siap sepenuhnya
            Ingin diterbangkan jauh-jauh perasaan resah dan gundah yang tidak menentu daripada jantungnya yang berdegup kencang itu.    Berkerut wajahnya.    Dia tidak suka hanya duduk sahaja.  Dia tidak suka hanya datang dan pergi pejabat tanpa berbuat apa-apa.  Walaupun hanya bekerja di masjid.    Tetapi bukankah peranan masjid lebih besar dan lebih penting daripada segala institusi di dunia ini?  Sama sahaja pentingnya dengan pekerjaan lain.  Tiada beza.  Apa salahnya masjid yang muram dan suram diimarahkan.  Buat berbagai program dan majlis.  Kehadiran orang ramai membuatkan rumah ALLAH ini meriah.  Salahkah?  Selagi mereka mahu menjaga adab ketika di dalam masjid apalah salahnya.
            Bagaimana  jika majlis esok tidak berjaya?  Bagaimana segala urusan untuk  esok menghadapi masalah?  Apa harus dia lakukan?  Ah! Tidak sanggup aku  memikirkan tentang perkara itu, degupan  jantung yang kencang    bagaikan membayang sesuatu yang menakutkan itu.  Sungguh!  Ummu Salamah menyandarkan tubuh di kerusi.  Kain tudung dibetulkan entah ke berapa kali,  Baju jubah yang dipakai tidak lagi sekemas pagi tadi.  Berkedut di sana sini.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan, melepaskan  lelah kepenatan dan kebimbangan  baru yang entah apa.  Biar penat seharian bertungkus-lumus di masjid, namun hatinya puas.   Keadaan di pejabat sudah sunyi sepi.  Ada sebahagian lampu sudah pun ditutup.  Penyaman udara masih terpasang di ruang biliknya, menyapa halus pipinya.  Di luar juga tiada kedengaran suara kenderaan yang lalu lalang. 
            Dia  tersenyum sendiri memikirkan cabaran yang terpaksa dilalui untuk menjalankan program Karnival Masjid An- Nur.  Dia bukan sahaja terpaksa berhubung dengan mereka yang di dalam masjid, malah berbagai pihak turut terlibat sama.  Agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat koprat.  Setiap program yang dianjurkan oleh masjid  perlu ada  penaja, tidak sepenuhnya ditanggung  oleh pihak masjid.  Imah  masih lagi berada di kerusinya.  Simpati menerjah diri.  Dia benar-benar bersyukur dengan kerjasama yang  diberi oleh gadis itu.    Tenaga gadis itu terpaksa dikerah ke sana ke mari untuk menyelesaikan segala masalah yang ada, untuk menyempurnakan apa yang kurang.   Dia benar-benar bersyukur dalam duka tetap ada manisnya.
            “Ustazah, tak balik lagi?  Sudah lewat malam ini,”  sapa seseorang.
        Sapaan itu mematikan lamunannya.  Ummu Salamah memandang  ke arah pintu bilik pejabatnya. Dia menguntumkan senyuman buat Imah yang berwajah comel, lembut dan kecil orangnya.  Berusia awal dua puluhan.  Sering berjubah dan bertudung labuh sewaktu di pejabat.  Dia bersyukur tidak terhingga dengan kewujudan Imah sebagai kerani di situ.  Imah  yang sentiasa sudi membantunya tanpa mengira imbuhan, terbukti tenaga yang diberi dengan hati terbuka. Pintalah apa sahaja bantuan, pasti direalisasikan dengan jayanya.  Terpancar keikhlasan di mata gadis itu.  Redup pandangannya  menyentuh hati.  Lembut kata-kata mengusik diri.  Keikhlasan bukan boleh direka-reka.
            “Kejap lagilah Imah.  Imah tak balik lagi?”  tanya Ummu Salamah mesra sambil mata memandang jam yang tersarung di lengannya.
            “Baru nak bertolak, tengok bilik ustazah masih terang, itu yang singgah,”  jawab Imah lembut.
            “Hati-hati memandu.  Kejap lagi saya balik.”  Ummu Salamah mengukir senyuman lagi. “Sesampai di rumah nanti, sms saya, okay.”
            “Insya-ALLAH, ustazah.”  Imah mengenyitkan mata.
            Gadis  manis itu berlalu meninggalkannya setelah memberi salam.  Sebaik-baik sahaja Ummu Salamah menjawab dengan sekeping doa semoga  perjalanan gadis itu selamat sampai ke rumah. Jantungnya  berdegup kencang secara tiba-tiba.  Hatinya tertanya-tanya sendiri, apakah yang bakal terjadi?  Mungkin bimbang menyusuri kerana dia juga akan memandu seorang diri di waktu malam pekat apatah lagi dia seorang perempuan.  Mungkin di luar sana mata-mata liar dan jahat sedang dan sering mencari peluang untuk merompak malah mengoncang  maruah diri. 
            Entah mengapa, semakin bertatih menjunjung sebuah perjuangan suci, semakin sukar rasanya, sesukar untuk mempastikan segala urusan berjalan lancar.  Debaran di jantung bagaikan tidak mahu berhenti.  Termangu malah semakin bingung dan  diselubungi kerimasan.  Ummu Salamah mencapai beg tangannya.  Lampu di ruang biliknya terus ditutup.  Pintu juga ditarik perlahan.  Dia melangkah keluar dari pejabat  hampir pukul 2.00 pagi.
            Ya ALLAH hampir waktu tahajud-Mu, detik hati kecilnya dan jantungnya kian menghentak, debaran, degupan yang menggoncang  nalurinya membuatkan dia kelemasan.  Langkah dihayun perlahan, mencari seseorang.  Pengawal keselamatan yang bertugas.  Sekurang-kurangnya  dirinya berasa berani sikit.  Udara malam yang sejuk dan nyaman bagaikan cuba menyejukkan hatinya yang rawan. Dikerlingnya di bahagian utama ruang solat, hmmm…  masih ada yang menyinggah bersolat di Masji An-Nur, selain ke tandas, tentunya.  Ah, bukankah itu antara fungsi masjid, bagi memudahkan orang-orang yang bermusafir  singgah untuk membersihkan diri dan berehat?  Biarlah.  Asalkan bukan mengambil hak masjid selagi itu dibenarkan.  Mereka yang panjang tangan pun sesekali menyinggah juga.  Kasut para pengunjunglah yang menjadi mangsa.  Datang ke masjid bukan  untuk beribadat tetapi untuk mengambil hak orang lain.  Ummu Salamah mendengus keras, Kasar bersarang.
            Bukankah mencuri itu adalah haram?  Hasil yang diperolehi juga haram.  Makanan yang dimakan juga jadi haram jika dibeli dengan duit haram tersebut.  Nau’zubillah…  maka kalau  hasilnya sampai  mendarah daging dalam diri dan keluarga si pencuri itu, bagaimana?  Mengapa harus diizinkan kejahatan menular  dalam hati?    Tidakkah nanti hati akan  mati dan kotor kerana gara-gara dicemari dengan makanan  yang haram?  Jadi, bagaimana  Hidayah mahu sampai, jika hati disarangi kekotoran? Gerutu Ummu Salamah, perasaan hiba  menghuni.  Semoga hati mereka terbuka satu hari nanti untuk bertaubat dan mencari jalan hidup yang lebih diberkati ALLAH SWT.  Aamin…!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan