Sabtu, 28 November 2015

KUTEMUI SINAR ITU- BAB 4 - ASMAH HASHIM







  Keretanya diletakkan tidak jauh dari pintu rumah.   Pintu kereta dihempas kuat, menggambarkan perasannya yang sedang kalut dan marah.  Langkahnya diayun laju melangkah masuk ke dalam rumah.  Pintu rumah tidak berkunci.  Bahaya ini.  Zaman sekarang rumah  yang berkunci pun dimasuki  tetamu yang tidak diundang. Inikan pula yang tidak berkunci seperti ini.    Zaki mendengus kasar.  Semakin memberat kepalanya.   Zaki menghenyakkan punggung di sofa di ruang tamu rumahnya.  Dia menyandar sambil memandang siling.  Otaknya berputar ligat.  Hmm…  apa yang harus dia lakukan lagi, agar ustazah itu tidak meneruskan program yang dirancang dan bakal dirancang.  Paksa ke atas orang lain pula itu.  Bukan apa, tetapi…  aduh! Malaslah hendak buat semua itu.  Menyusah dan  memenatkan sahaja. Sayang tenaga empat keratnya dikerah dan digunakan untuk perkara yang entah apa-apa dari hasil idea ustazah yang dipacu hormon melulu itu.    Buat apa perlu bersusah payah memikat dan ajak orang ke masjid?  Kalau mereka hendak datang, pasti datang.  Dia dahulu tidak perlu bersusah payah pun memikat isteri yang dikahwininya dulu.  Usaha orang tuanya yang hendak dia mendapat jodoh cepat.  Bukan ada paksaan pun.    Ah!  Perempuan memang menyusahkan.  Hanya tahu memerintah, minta itu ini, contohnya isteri dan ibunya sendiri. 
            “Abang tak kerjakah? Pulang awal hari ini?” Naemah yang sedang memasak ternyata terkejut melihat kelibat suaminya yang pulang awal ke rumah.
 “Bukankah ada program yang akan berlangsung di masjid?”  berkerut dahi Naemah melihat wajah suaminya dengan penuh kehairanan. 
            “Sahaja abang balik, hendak berehat.”  Alasan yang diberi bagi melepaskan diri seraya mengerling ke arah isterinya.  Rambut yang panjang disanggulkan ke atas.  Muka berpeluh dan berminyak, entah apa yang dibuatnya tadi.    Surirumah tangga sepenuh masa sehingga tiada masa hendak mengurus diri.  Kalau iaapun bekerja di rumah, apalah salahnya berpenampilan menarik.    Dia memandang ke arah lain.  Hendak ditegur nanti merajuk pula.  Panjang muncung mengalahkan itik serati.
            “Berehat?  Baru pukul 11.00 pagi.  Ustazah Ummu ada telefon, cari abang,” Naemah mencuri pandang. 
            “Awak pergilah masak, nanti hangit lauk di kuali,” wajah cemberut Naemah membuat perasaan risau bertandang.  Mesti Ustazah Ummu Salamah ada beritahu apa-apa pada isterinya.  Ah, biarlah!   Tiada kena mengena dengan isterinya.  Ini urusan kerja, urusan orang lelaki.  Seorang isteri tidak perlu ambil tahu.  Bukan boleh membantu pun.  Zaki mendengus, malas hendak melayan.  Mulut orang perempuan, bebelnya lebih dari meluahkan fakta.  Tiada isi, hanya omongan kosong yang membuatkan gegendang teliganya bergegar kuat.    Terasa hendak pecah, tiada rasa nyaman yang mengasyikkan.  Lebih kurang sama sahaja dengan Ustazah Ummu Salamah.    Suka benar membebel, tidak penat agaknya.  Seperti murai cabut ekor.
            “Abang kenapa?  Esokkan ada karnival. Bukan?” soalan menyinggah, minta jawapan.
            “Awak itu yang kenapa? Usah disibuk akan urusan orang lelaki.  Kerja perempuan melayan suami, menyediakan makan dan minum.  Hal lain usahlah ambil tahu,” lengking suara Zaki memecah kesunyian rumah.  Anak-anak serami lima orang, semuanya ke sekolah.
            “Marah tidak menyelesaikan masalah, bang.  Apa pula kali ini?  Abang sabotaj lagi kerja dan urusan Ustazah Ummu?”  tanya Naemah,  seakan dapat mengagak apa yang berlaku.
            “Awak jangan masuk campur Naemah, kerja saya, tahulah saya selesaikan!”  marah mula menampal dalam hati.  Pantang dirinya ditegur.  Salah dirinya disanggah.  Dia tidak akan tunduk dengan arahan seorang perempuan.  Lebih-lebih lagi seorang isteri yang sepatutnya tidak membantah dan menurut sahaja kehendak seorang suami.  Tiada kompromi. 
            “Dia ketua abang, bukankah dalam Islam kena dengar kata-kata pemerintah, hormat dan ikut,” Naemah tidak mahu kalah.
            “Kena hormat ketua lelaki, bukan perempuan! Awak tak fahamkah? “  herdik Zaki, memerah wajahnya yang putih melepak.  Berasap kepalanya bagaikan besi panas disirami air.
            “Apa salahnya bang?  Kenapa diskriminasi wujud dalam dunia orang lelaki? Kita sama sahaja, tiada beza di sisi ILAHI, hanya keimanan dan ketakwaan yang membezakan kita,” tempelak Naemah, sakit hati pula menjelma.  Wajahnya bertukar masam bagaikan tertelan cuka.
            Biar berbuih mulut isterinya bercakap, dia peduli apa.  Dia tidak akan mengaku kalah.   Lelaki adalah ketua dalam keluarga, khalifah di muka bumi ini.  Imam dalam solat.  Kaum Perempuan tidak layak perintah atau memerintah. 
            “Sudah! Jangan nak bela orang lain pula?  Abang ini yang sepatutnya awak ikut, bukan Ustazah Ummu yang berlagak rajin dan pandai itu,” tengking Zaki menyinga.
            “Bercakap dengan abang, bagaikan bercakap dengan tunggul kayu! Buat kering tekak dan hilang suara.  Tinggi benar ego abang.  Langsung tidak mahu menunduk atau bertolak ansur.  Kalau dalam keluarga, abang memang ketua.  Kalau abang hendak bercakap dengan saya apa sahaja, bagaimana sekalipun, saya tak kisah.  Turut sahajalah.  Niat Ustazah Ummu baik untuk mengajak masyarakat mendekati masjis.  Mengenal fungsi masjid.  Abang pula bukan hendak membantu, malah berusaha menggagalkannya.  Malulah bang.  Abang sudah lama bertugas di Masjid An-Nur.  Dahulu  masjid itu suram dan muram.  Kehadiran  Ustazah Ummu membawa sirna cemerlang, bantu sahajalah mana yang perlu.  Kitakan sesama  Islam.  Lakukan untuk agama dan kerana ALLAH, bukan hendak menunjuk kepada orang,”    nasihat Naemah panjang lebar.
            Mendidih darah Zaki, rasa hendak terluah  di seluruh urat nadinya bila mendidih.  Mahu sahaja dia cekik leher isterinya ketika itu.  Potong lidahnya agar tidak sewenang-wenangnya berkata-kata.  Sudah lupakah isterinya sedang berhadapan dengan siapa?  Bukan main lagi isterinya berkata-kata membela sesama jantinanya.  Sejak bila isternya bertukar profesyen menjadi pejuang wanita?  Sekolah pun setakat SPM, itu pun cukup-cukup makan sahaja.
            Orang perempuan jika diberi kesempatan bercakap, bagai butir jagung meletup-letup di dalam bekasnya.  Kalau ikutkah hati mahu sahaja ditutup mulut itu.  Biar tiada suara dan tidak menyakitkan telinga.  Dia bingkas bangun.  Ingat balik rumah bolehlah  merehatkan mindanya yang sarat dengan perasaan geram dan marah.  Bernanah hatinya mendengar omelan isteri.  Sudah lupakah isterinya, bahawa tugasnya hanya di dapur sahaja.  Zaki mencebik, memperlekehkan  Naemah yang masih mencuka memandangnya.
            “Hendak ke mana pula itu?  Pergilah kembali ke masjid,”  gelengannya laju.  Kecewa menendang tangkai hatinya.    Seolah-olah dia tidak percaya betapa sukar hendak menasihati suaminya.
            Tentu isterinya berfikir yang bukan-bukan tentang dirinya .  Orang perempuan suka berprasangka, lebih-lebih lagi jika dapat maklumat tentang apa yang berlaku.  Panjanglah fikirannya menerawang.  Bukan dia tidak mahu memikul sama beban yang ada. Cuma hatinya tidak suka dan berat hendak melakukannya.  Ego seorang lelaki, agaknya.
            “Abang!” laung Naemah, melihat langkat kaki suami yang semakin laju meninggalkan perkarangan rumah.
            Zaki menghempas pintu kereta.  Hish! Ingatkan balik rumah bolehlah bersenang lenang.  Minum seteguk  dan jamah sejemput makanan.  Lain yang diharap, lain pula jadinya.    Kalau perempuan tentulah perempuan juga disokongnya.  Hendak ke mana pula dia? Kalau pulang ke pejabat sudah pasti dirinya akan jadi sasaran. Ustazah Ummu Salamah pasti sedang mencarinya. Ah, lecehnya bekerja dengan kaum Hawa!  Zaki menghidupkan enjin kereta.  Waktu Jumaat nanti dia yang bertugas menjadi Imam Solat, untung Khutbah ada penceramah jemputan.   Kalau boleh hari itu dia tidak mahu  menyinggah di masjid.  Pasti Ustazah Ummu Salamah mampu mencarinya nanti.
            Kereta dipandu perlahan, malas yang sedang meracun, merebak perlahan-lahan diseluruh genap urat saraf dan nadinya.  Sakit hati, sakit tubuh.  Sakit jiwa, matilah diri.  Ah, persetankan semuanya.  Dia ada prinsipnya sendiri.  Tidak sesekali akur, tidak sesekali membiarkan wanita itu menang dalam meraih nama dan gelaran.  Dia paling lama bertugas di masjid itu.  Sepatutnya jawatan yang disandang  oleh Ustazah Ummu Salamah adalah haknya.  Entah muncul dari dunia mana, tiba-tiba menjelma., menghenyak semua harapan yang sudah terpasang angan-angannya.  Dia masjid itu dia hanya pegawai  biasa. Merangkap Imam 3.  Dia hanya lulusan STAM dan sekolah pondok.  Ustazah itu pula lulusan Al- Azhar dan ada berbagai ijazah dan diploma.  Ah! Peduli apa dia?  Segulung kertas bukan pengukur untuk dia bermaharajalela!
            Kereta berhenti di perkarangan masjid.  Nasib baik tempat parking untuk para petugas sudah memang tersedia.  Kalau tidak pasti tiada ruang untuk dia meletakkan kenderaan.  Khemah yang sudah siap terpasang. Para penjual sedang sibuk mengemas singgah di matanya.  Dia mendengus kasar.  Hendak lari ke mana?  Terpaksalah dia berhadapan juga.
            Dia melangkah keluar dari perut kereta.  Kawasan masjid sudah mula dipenuhi para Jemaah.  Kali ini ramai dari biasa.  Mungkin ramai yang menyinggah untuk melihat-lihat gerai yang ada.  Jam sudah menganjak jam  12.00 tengahari.  Zaki berjalan laju, tanpa memandang kiri dan kanan.  Sudah pasti Ustazah Ummu Salamah ada di sekitar kawasan tersebut.  Biar dirinya tidak dijumpai. Rasa hendak menjadi halimunanlah pula.
            “Lajunya langkah, ustaz?” sapa satu suara. Lembut tetapi cukup menyentuh jiwa.  Dia berhenti  berjalan dan menoleh.
            Tersenyum sinis kemudian memandang dengan amarah.
            “Sudah terlewat hendak ke pejabat,” serba salah pula berhadapan dengan ustazah muda yang rajin terlebih itu.
            “Ini kerja-kerja ustaz, masih awal hendak pergi ke ruang solat.  Selesaikan dahulu kerja-kerja ini! Tak usah main tarik tali, ustaz.  Kita diberi gaji untuk menjalankan tanggungjawab  kita di sini.  Jangan ngelat,”  tegur Ummu Salamah lembut namun bererti, dalam menikam jantung hati.
            “Jangan main tuduh tanpa usul periksa, ustazah.  Fitnah namanya.  Orang  menfitnah dosanya sama dengan membunuh,” sindir Zaki.  Muka memerah menahan marah.  Meluat pun ada.
            “Ini tugas awak, ustaz.  Selesaikan hari ini juga.  Esok saya tahu beresnya sahaja,  sebelum majlis perasmian berlangsung,” fail diunjurkan kepada Zaki, teragak-agak lelaki itu ingin mengambilnya.
            “Tidak usah berat tulang, nanti tidak tertanggung dek tubuh yang rendang.”
            Zaki mencebik.  Fail ditenung lama sebelum bergerak meninggalkan kawasan laman masjid.  Ummu Salamah sudah lama berlalu.  Meninggalkan dirinya sendiri termanggu di situ. Rasa hendak dicampakkan sahaja fail-fail tersebut.  Biar lenyap.  Tidak nampak.  Senanglah dia memberi alasan segalanya sudah hilang ditelan bumi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan