Ahad, 3 Januari 2016

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 7- ASMAH HASHIM



Dengan hati yang sebak, daun pintu ditolak perlahan.  Dia menjengah anak-anak dahulu sebelum ke biliknya.  Wajah polos yang sedang enak diulit mimpi dicium dengan penuh kasih dan sayang  Seorang anak lelaki dan seorang perempuan, itulah jantung hatinya.  Rumah empat bilik itulah syurganya, andai emak  mentuanya tidak menganggu gugat perasaannya tadi.  Di situlah nyawa dan jasadnya  berhuni  Di situlah segala kekuatan diperolehi.  Tiada yang lebih bererti daripada keluarga sendiri.
            Ummu Salamah melangkah ke bilik anak lelakinya pula.  Anak bongsu yang manja dan sentiasa ceria,  kalau hari cuti  anak itu sudi menemaninya ke pejabat, membantu apa yang perlu.  Baharu berumur 10 tahun tetapi kematangan dan keperihatinannya mengalahkan mereka yang berumur belasan tahun.  Malah, mengalahkan Ustaz Zaki sendiri.  Benarlah janji ALLAH, kita memudahkan orang lain, ALLAH pasti memudahkan diri kita. Buat baik tiada sempadan.  Buat jahat jangan sekali.  Itulah prinsip hidupnya.
            Lupa seketika kata-kata bernada ugutan daripada emak mentuanya tadi. Biar hilang ditelan angin lalu.  Usah dikenang dan difikir.  Menambah sarat di dada, mengundang duka di jiwa.  Panahan kata-kata penghinaan dan nista usah disimpan di hati. Mampu meleburkan keyakinan diri. Mampu melenyapkan segala yang diimpi, getus Ummu Salamah, memujuk hati yang gundah.
            Langkah diatur ke ruang kamarnya.  Daun pintu dibuka perlahan.  Katil kayu yang diperbuat dari kayu jati setia menanti.  Langsir berwarna biru laut campur rona putih beralun lembut ditiup angin kipas  yang terpasang.  Bau haruman lavender memberi ketenangan seketika.  Dia melangkah masuk.   Tiada siapa di situ.  Mungkin suaminya masih di bawah  bersama emak mentuanya.  Biarlah.  Mungkin ada perkara ingin dibincangkan.  Mungkin emak mentuanya sedang memujuk suaminya supaya berkahwin lagi.  Mungkin suaminya sedang mempertimbangkannya.  Biarlah, redhakah dia?   Ummu Salamah mencapai tuala terus ke bilik air.  Membersihkan diri.
            Tubuh yang letih dilabuhkan perlahan dikatil yang bertilam empuk.  Terasa ringan segala isi dan tulang belulang, terasa ringan urat dan saraf.  Dia menarik nafas lega.   Agar ketenangannya yang dicerobohi oleh emak mentuanya tadi, sudi kembali membungkus diri ini.  Tidak mahu dia berfikir tentang duka.  Biarlah yang seronok dan aman damai sahaja, jika boleh kini, matanya yang terasa berat itu, cuba dipejam.  Semoga lenanya tiada mimpi yang kurang enak menyinggah.  Nanti terganggu tidurnya.  Terganggu lenanya.
            Kedengaran daun pintu terbuka dari luar.  Dia menoleh. Serta-merta, senyuman terukir kepada empunya diri yang membuka pintu itu.
            “Maafkan sikap emak.  Agak kasar  abang dengar tadi.”  Suami tercintanya Imran, duduk di birai katil.  Wajahnya menguntum senyuman.
            “Tak mengapa bang, salah Ummu Juga.  Balik dinihari.  Maaafkan Ummu, masalah datang secara tiba-tiba.  Tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menyelesaikan tugasan yang ada,” luah Ummu Salamah.  Kerana kesibukan bekerja sehingga terlupa hendak mengkhabarkan tentang kelewatannya pulang ke rumah.  Orang yang sepatutnya mendengar rintihan hati adalah suaminya sendiri.  Itulah tempat dia mencari sokongan moral dan kekuatan semangat untuk terus membantu masyarakat.
            “Esok abang  cuti, nak bersama-sama isteri dan nak tengok wajah Timbalan Perdana Menteri dari dekat,” ujar Imran, wajahnya ceria.
            “Ya?   terima kasih bang.   Bang, boleh Ummu bertanya?” sambut Ummu Salamah, keharuan.  Wajah suami yang tenang menjadi ubat mujarab menghilang rasa resah dan tersinggung di hati.
            “Ada apa?  Tanyalah?”  lembut Imran mengeluarkan kata-kata.  Begitulah cara Imran memimpin dan membimbing anak-anak dan isteri, selama ini.  Imran seperti menyedari bahawa kekasaran tidak membawa apa-apa erti melainkan rasa ketidakpuasan di hati  orang yang dikasari.  Nanti benci  bertandang, hilanglah rasa kasih dan sayang.  Imran memang tegas tetapi bukan garang.
            “Abang tak sukakah dengan apa yang Ummu lakukan sekarang? Tentang  kerja Ummu, waktu dan masa Ummu banyak dihabiskan di masjid dan dengan kerja-kerja amal.  Kalau abang tak suka berterus teranglah.  Ummu tidak mahu ada selumbar di hati abang  akan menganggu gugat kebahagian kita bersama.” Dia perlu tahu.  Dia tidak mahu kejayaannya di pejabat atas duka di hati keluarganya.
            “Selagi Ummu jujur dan ikhlas, benar-benar bertugas untuk masyarakat.  Abang tidak akan menghalang langkahmu itu. Selagi Ummu pandai jaga nama baik abang dan keluarga kita, sudah lebih daripada cukup pada abang.  Ummu jangan bimbang, abang ikhlas dan redha.  Abang tidak mampu berbuat seperti apa yang Ummu lakukan sekarang.  Apa salahnya abang berkongsi sahamnya bersama.  Usah diambil pusing kata-kata emak.  Restu abang bersamamu, sepenuhnya,”  senyuman  mewabak di hati Ummu Salamah.
            Ummu Salamah menarik nafas lega.  Hanya ucapan syukur meniti di bibir.  Bertuahnya diri mendapat seorang suami yang benar-benar memahami.  Segalanya terletak di tangan sendiri.  Usah  mengambil kesempatan di atas kebaikan keluarga tercinta.  Dia tersenyum bahagia.
            “Rehatlah, esok kita ke masjid bersama-sama.”  Imran merebahkan diri di sebelah isterinya.
***

            Senyuman yang terukir kekal bersama lenanya yang panjang tanpa diganggu dengan degupan jantung yang  bergetar dan berdegup kencang  menghentak hatinya sejak siang tadi
Dayuskah  aku?  Soal hatinya, berulang-kali terngiang-ngiang   di cuping telinganya kata-kata seorang manusia yang menabur racun ke dalam hatinya.  Cuba melukakan satu-satunya  hati yang dimiliki.  Bukan dengan pisau hatinya ditoreh tetapi dengan parang panjang yang tajam yang mampu meracik-racik halus keseluruhan hati.  Sudah  berkali-kali panggilan itu diterima, sudah acapkali panggilan itu menganggu gugat perasaannya.  Mengocak keseluruhan jiwanya.  Menebuk lubang wasa-was di hati.  Mampu menghilangkan  kepercayaan yang telah lama bertakhta di  sanubari.   Bagaikan bisikan syaitan menendang jantung hatinya.  Merobek-robek seluruh kepercayaannya terhadap isteri sendiri. Mampu mengugat perasaan setia sehingga ke hujung nyawa.
Benarkah isterinya berbuat onar di belakangnya?  Tidak mungkin.  Dia cukup kenal siapa Ummu Salamah yang telah dikahwini 14 tahun yang lalu.  Bukan baharu setahun dua tetapi sudah  lama, cukup untuk dia mengenali hati budi.  Mampukah dia menapis fitnah yang mendatang?  Panggilan daripada seorang lelaki yang amat dikenali, namun tidak mahu menuduh tanpa bukti.  Dia perlu siasat perkara yang sebenar. Mungkin dia tidak bertindak apa-apa panggilan itu terus-terusan menganggunya.    Meminta dia menyuruh Ummu Salamah berhenti kerja.  Konon isterinya menganggu tugas orang lelaki di dalam masjid, sentiasa berurusan dengan orang lelaki, bergurau senda, bertepuk bertampar.   Menyibukkan diri dengan urusan yang bukan termasuk dalam tugasannya.  Hatinya kini berbelah bahagi.  Antara percaya dan tidak.  Antara yakin dan was-was.  Masih keliru menghambat diri. 
Meskipun ada luka dan rusuh di hatinya, Imran memandang sahaja langkah isterinya naik ke tingkat atas dengan pandangan  yang  sebal.  Sejurus, dengan langkah yang sama dia turun mendekati emaknya yang masih  berdiri di ruang tamu.  Ternyata hati orang tua itu masih memuncak marahnya, seperti letusan gunung berapi yang bersedia memuntahkan lavanya.  Sama seperti hatinya ketika ini.  Cuba berlagak tenang sedangkan dalam hati berombak-ombak  memecah  tembok jantungnya. 
Aduhai…! Terhimpit dia kini, bagaikan seorang pendamai  dalam perang Korea  Utara dan Korea Selatan.  Di sini emak, wanita yang telah melahir, memelihara dan menjaganya sejak  kecil lagi.  Wanita yang memberi air susunya untuk diminum.  Wanita  yang menjadi pendorong semangat kepadanya selama ini.  Di sana isteri, wanita yang hadir setelah dia meningkat dewasa.  Berkongsi suka dan duka bersama.  Senang dan susah dihadapi bersama.    Untunglah, di sepanjang waktu mengenali dan menjalani hidup bersama-sama Ummu Salamah, sudah banyak kali terbukti bahawa isterinya itu bukan seorang yang mudah melatah.  Itulah antara sebabnya maka mengapa antara dia dan Ummu Salamah mempunyai  sebuah ikatan murni dan suci yang tak bisa terucapkan.  Dia benar-benar kagum dengan sikap Ummu Salamah yang menerima teguran dan kata-kata kasar emaknya dengan senyuman.  Kalaulah isterinya kuat melawan, pasti berlaku pertengkaran.  Jika berlaku pertengkaran antara mereka, entah apa yang harus dia lakukan.  Bak umpama  gajah dengan gajah bergaduh, kancil di tengah-tengah menjadi mangsa.  Aduhai.  Siapa yang harus dia bela.  Kedua-duanya dia sayang.
Namun, andai Ummu Salamah mengetahui  tentang panggilan telefon, kata-kata nista yang diterima, pelbagai cerita fitnah yang bertaburan bagaikan angin lalu itu mampukah isterinya bertahan? Jika benarlah seperti yang telah dibisikan kepadanya, sebagai suami mampukah dia bertahan? Apakah dengan membiarkannya, sama seperti memberitahu siapa diriku yang sebenar.  Suami yang takut isteri bak kata lain dayus.  Dari hembusan nafas Ummu Salamah dia tahu isterinya letih dan penat.  Sepenat-penat Ummu Salamah, fizikal cuma.   Penat lagi dirinya apabila memikirkan tentang bisikan yang menghentak akal fikirannya.  Mampukah dia membuang bisikan-bisikan itu? Ah, dia mengeluh kesal.
 “Mak, jauh malam ini, pergilah tidur,” pujuk Imran  menarik tangan emaknya dengan lembut supaya duduk di sofa.  Kalau sedang marah ketika berdiri, hendaklah duduk, kalau duduk tidak mampu mengatasi, berbaringlah seketika, kalau juga masih tidak kurang, ambil wuduk segeralah bersolat, itulah yang pernah dibacanya dalam sebuah buku agama.  Cara mengatasi kemarahan dalam diri.
            “Hilang kantuk mak dengan perangai isteri kau!” Amarah masih bersisa.
“Ummu tak buat apa-apa pun pada emak, kenapa hendak marah?” Lembut sambil mengusap lengan emak tercinta.
“Dia abaikan anak emak, tentulah emak marah,” luah Halimahton.
Pernafasannya berasa sesak, rasa tersekat di kerongkong,  terlalu sukar untuk dia bernafas.  Bukan pertama kali emaknya bersikap begitu.  Dan dia tahu, marah emaknya kerana sayangkan dia dan dia sayangkan Ummu Salamah lebih daripada dirinya sendiri.
“Imran faham perasaan emak.  Tetapi mak jangan bimbang. Imran redha dengan langkah Ummu. Imran tahu apa yang dia lakukan hanya demi agama dan masyarakat.  Mak jangan bimbang.  Ummu seorang isteri yang  baik dan taat  Imran tidak pernah rasa kekurangan sejak berkahwin dengannya.”  Ikhlas daripada hatinya yang dalam.  Memahami kehendak dan harapan isterinya yang terlalu cintakan agama dan masyarakat.
Tiada siapa mampu melakukan apa yang sedang isterinya lakukan sekarang. Kalau dia sebagai suami tidak memberi perangsang, siapa lagi?  Memanglah sukar dan berat, jarang dapat bersama.  Hatta di  hujung minggu.  Ada sahaja urusan dan program serta majlis yang berlangsung di masjid.
            “Mak juga perempuan.  Mak tak perlu susah payah bekerja seperti isteri kau itu.  Tugas orang perempuan hanyalah di rumah.  Uruskan anak dan suami, sediakan makan dan minum.  Kenapa perlu bekerja?  Tidak cukupkah lagi dengan apa  yang ada?”  leter emaknya Halimaton.
 “Zaman sudah berubah mak, perempuan juga punya hak yang sama dalam Islam, dalam soal belajar.  Ummu seorang ustazah mak, takkan Imran nak suruh dia duduk di rumah sahaja.  Sayanglah ilmu yang dia ada.  Kalau tidak dipanjangkan kepada masyarakat, jadi kutukan ALLAH pula,” jelas Imran. Bukahlah jika meninggal anak Adam  itu, dia hanya meninggalkan tiga perkara, harta  yang ditaburkan  ke jalan ALLAH, anak yang soleh serta ilmu  yang bermanfaat? Itulah yang dia tahu.  Semoga emaknya juga memahami perkara yang sama.
Bila tengok dia bungkam semakin panjang muncung emaknya.  Imran hanya mampu mengeluh kesal. Hendak ditegur lebih-lebih, emak kandung sendiri. Sepatutnya emaknya jauh lebih memahami hati dan perasaan Ummu Salamah.  Sama-sama jantina.  Kenapa perlu ada jurang antara mereka?  Kenapa perlu ada rasa kurang selesa tumbuh di hati?
            “Kau memang suka manjakan isteri kau itu.  Kalau dia pijak kepala kau nanti, jangan adu dengan emak.”  Muka mencuka semakin kelat dan buruk rupanya.
            “Mak…  tahulah Imran menguruskan keluarga sendiri.  Mak tak usah takut yang pelik-pelik.  Ummu Salamah tahu apa yang dia lakukan.  Imran juga tahu apa yang Imran lakukan,” luah Imran.  Memberi bebak kepada beban yang telah digalas, tidak membantu langsung.  Cuba memberi pengertian kepada emaknya.  Sukar untuk memahami atau sengaja tidak mahu mengerti.
 “Mak tak mahu tengok kau sakit hati, Imran.  Kau itu anak mak.  Sekejap isteri kau ke utara, sebentar di selatan.  Tahun lepas tiga bulan di Mesir, kursus sambil belajar.  Kau ditinggalkan dengan anak-anak.  Hati emak sedih melihatnya.  Orang lain isteri di sisi, kau isteri sibuk memanjang.” Halimah mencebik lagi.
Bukankah sudah acap kali dijelaskan kepada emak tentang kerjaya Ummu sebelum ini. Dia yang izinkan setelah isterinya meminta kebenaran.  Ummu Salamah tidak buat keputusan sendiri jika hendak keluar daerah.  Pasti rujuk dahulu dengannya sebagai seorang suami.  Kenapa mak perlu risau?  Dia tidak apa-apa, emak pula berlebih-lebih.  Anak-anak juga sudah memahami malah turut sama membantu mama mereka di masjid.  Biarlah mak.  Itu tugas isterinya, sebagai suami dia masih mampu menjaga anak-anak, bisik hati kecil Imran. 

Perasaan yang menerjah membuku resah, semoga emaknya mengerti dan tidak mengungkit lagi.  Simpati membalut  hati terhadap isteri  yang dicintai.  Tentu penat di pejabat, pulang ke rumah bertambah dengan omelan emak yang mengusik perasaan.  Mahu jatuh gugut jantung mendengar kata-kata  yang keluar dari bibir emaknya  Mahu tercabut jantung mendengar leteran  orang tua itu.
 “Susah sangat, kahwin sahaja lagi satu. Masih ada lagi tiga kekosongan.  Biarlah isteri  kau itu sibuk dengan kerjanya.  Isteri kedua menyempurnakan apa yang kurang,” cadang ibunya.
Imran menepuk dahi sendiri.  Mahu ketawa mendengar cadangan emaknya.  Seorang isteri pun tidak mampu terjaga dan terdidik, inikan hendak tambah cawangan.  Mahu pecah gelaknya ketika itu juga.  Nanti kecil pula hati emaknya.  Lelaki mana yang tidak mahu berpoligami.  Kalau ditanya, sudah pasti ramai yang sudi.  Tetapi untuk apa dia menambah beban kepada diri sendiri.  Waktu dan masa paling bererti, jika dia berpoligami mampukah dia?  Bisikan yang sedang bermain-main dan bernyanyi-nyanyi dimindanya masih mengundang duka di hati.   Benarkah kata-kata orang itu?  Benarkah dia lelaki dayus?
 “Kau itu takut isteri, lelaki yang takut isteri… tak cium bau syurga. Dayus tahu!” kata ibunya dengan riak muka berkerut seribu.
Pedih menyucuk telinga.  Dayuskah dia?  Takut isterikah dia?  Imran mengeluh kesal.  Kenapa buruk sangat anggapan emaknya terhadap Ummu Salamah?  Sedangkan di matanya, isterinya itu cukup sempurna.  Kenapa kata-kata ibunya sama dengan butiran bisikan yang menganggu gugat perasaannya ketika ini.  Panggilan yang diterima bagaikan ingin  merobek  hatinya.   Kalau Ummu Salamah tahu siapa yang menelefon dan menfitnahnya tentu isterinya akan kecewa.    Apa yang membuatkan kemusykilan di hatinya ketika ini panggilan itu lengkap dengan bukti-bukti.  Bolehkah dia percaya bukti-bukti itu?
“Tidak baik emak menuduh anak sendiri, Imran sudah besar dan cukup dewasa untuk membezakan baik dan  buruk. Usahlah emak bimbang,”getus Imran.  Perasaannya terus diulit resah yang panjang.  Sekali gus mengharapkan  agar rajuk emaknya tidak berpanjangan.  Tidak mahu ada sengketa antara emak dan isterinya.  Apatah lagi jika yang bersengketa adalah emaknya ke atas isterinya dan isterinya menjadi penerimanya sahaja.  Keharmonian kunci ketenangan.  Tidak suka kecoh-kecoh atau pergaduhan yang tidak menguntungkan.
“Ikut suka kaulah! Rumah tangga kau.  Kalau jadi apa-apa, jangan salahkan emak.  Mak sudah beri peringatan. Kau yang degil.”  Dengan riak muka kecewa, emaknya melangkah kembali ke  kamarnya.  Jelas, hatinya  yang sedang panas dan resah tidak terubat langsung dengan kata-kata anak lelakinya tadi.
Perasaan Imran yang tidak dengar apa kata emaknya, tetapi ingat pada bisikan itu.  Bisikan yang mampu menghancurkan keharmonian rumah tangganya.  Bisikan yang mampu memecah belahkan keluarganya.    Kenapa?  Apa yang mereka marah sangat dengan isterinya?  Salahkah dengan apa yang sedang dilakukan oleh isterinya?   Kalau yang bercakap, orang yang jauh atau tiada kena mengena dengan tempat kerja isterinya, tentulah  dia tidak ambil pusing.  Tetapi rakan sekerja isterinya, merangkap jiran mereka sendiri.  Mana mungkin dia buang perasaan resah itu.  Mana mungkin melupakan bisikan-bisikan itu. Dia melepaskan keluhan kasar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan