Dengan hati yang sebak, daun pintu ditolak
perlahan. Dia menjengah anak-anak dahulu
sebelum ke biliknya. Wajah polos yang
sedang enak diulit mimpi dicium dengan penuh kasih dan sayang Seorang anak lelaki dan seorang perempuan,
itulah jantung hatinya. Rumah empat
bilik itulah syurganya, andai emak mentuanya tidak menganggu gugat perasaannya
tadi. Di situlah nyawa dan jasadnya berhuni
Di situlah segala kekuatan diperolehi.
Tiada yang lebih bererti daripada keluarga sendiri.
Ummu
Salamah melangkah ke bilik anak lelakinya pula.
Anak bongsu yang manja dan sentiasa ceria, kalau hari cuti anak itu sudi menemaninya ke pejabat,
membantu apa yang perlu. Baharu berumur
10 tahun tetapi kematangan dan keperihatinannya mengalahkan mereka yang berumur
belasan tahun. Malah, mengalahkan Ustaz
Zaki sendiri. Benarlah janji ALLAH, kita
memudahkan orang lain, ALLAH pasti memudahkan diri kita. Buat baik tiada
sempadan. Buat jahat jangan sekali. Itulah prinsip hidupnya.
Lupa seketika kata-kata bernada ugutan daripada emak mentuanya tadi.
Biar hilang ditelan angin lalu. Usah
dikenang dan difikir. Menambah sarat di
dada, mengundang duka di jiwa. Panahan
kata-kata penghinaan dan nista usah disimpan di hati. Mampu meleburkan
keyakinan diri. Mampu melenyapkan segala yang diimpi, getus Ummu Salamah,
memujuk hati yang gundah.
Langkah
diatur ke ruang kamarnya. Daun pintu
dibuka perlahan. Katil kayu yang
diperbuat dari kayu jati setia menanti.
Langsir berwarna biru laut campur rona putih beralun lembut ditiup angin
kipas yang terpasang. Bau haruman lavender memberi ketenangan
seketika. Dia melangkah masuk. Tiada siapa di situ. Mungkin suaminya masih di bawah bersama emak mentuanya. Biarlah.
Mungkin ada perkara ingin dibincangkan.
Mungkin emak mentuanya sedang memujuk suaminya supaya berkahwin
lagi. Mungkin suaminya sedang
mempertimbangkannya. Biarlah, redhakah
dia? Ummu Salamah mencapai tuala terus
ke bilik air. Membersihkan diri.
Tubuh
yang letih dilabuhkan perlahan dikatil yang bertilam empuk. Terasa ringan segala isi dan tulang belulang,
terasa ringan urat dan saraf. Dia
menarik nafas lega. Agar ketenangannya
yang dicerobohi oleh emak mentuanya tadi, sudi kembali membungkus diri
ini. Tidak mahu dia berfikir tentang
duka. Biarlah yang seronok dan aman
damai sahaja, jika boleh kini, matanya yang terasa berat itu, cuba
dipejam. Semoga lenanya tiada mimpi yang
kurang enak menyinggah. Nanti terganggu
tidurnya. Terganggu lenanya.
Kedengaran
daun pintu terbuka dari luar. Dia
menoleh. Serta-merta, senyuman terukir kepada empunya diri yang membuka pintu
itu.
“Maafkan
sikap emak. Agak kasar abang dengar tadi.” Suami tercintanya Imran, duduk di birai
katil. Wajahnya menguntum senyuman.
“Tak
mengapa bang, salah Ummu Juga. Balik
dinihari. Maaafkan Ummu, masalah datang
secara tiba-tiba. Tidak mampu berbuat
apa-apa melainkan menyelesaikan tugasan yang ada,” luah Ummu Salamah. Kerana kesibukan bekerja sehingga terlupa
hendak mengkhabarkan tentang kelewatannya pulang ke rumah. Orang yang sepatutnya mendengar rintihan hati
adalah suaminya sendiri. Itulah tempat
dia mencari sokongan moral dan kekuatan semangat untuk terus membantu
masyarakat.
“Esok
abang cuti, nak bersama-sama isteri dan
nak tengok wajah Timbalan Perdana Menteri dari dekat,” ujar Imran, wajahnya
ceria.
“Ya?
terima kasih bang. Bang, boleh Ummu bertanya?” sambut Ummu
Salamah, keharuan. Wajah suami yang
tenang menjadi ubat mujarab menghilang rasa resah dan tersinggung di hati.
“Ada
apa? Tanyalah?” lembut Imran mengeluarkan kata-kata. Begitulah cara Imran memimpin dan membimbing
anak-anak dan isteri, selama ini. Imran
seperti menyedari bahawa kekasaran tidak membawa apa-apa erti melainkan rasa
ketidakpuasan di hati orang yang
dikasari. Nanti benci bertandang, hilanglah rasa kasih dan
sayang. Imran memang tegas tetapi bukan
garang.
“Abang
tak sukakah dengan apa yang Ummu lakukan sekarang? Tentang kerja Ummu, waktu dan masa Ummu banyak
dihabiskan di masjid dan dengan kerja-kerja amal. Kalau abang tak suka berterus teranglah. Ummu tidak mahu ada selumbar di hati
abang akan menganggu gugat kebahagian
kita bersama.” Dia perlu tahu. Dia tidak
mahu kejayaannya di pejabat atas duka di hati keluarganya.
“Selagi
Ummu jujur dan ikhlas, benar-benar bertugas untuk masyarakat. Abang tidak akan menghalang langkahmu itu.
Selagi Ummu pandai jaga nama baik abang dan keluarga kita, sudah lebih daripada
cukup pada abang. Ummu jangan bimbang,
abang ikhlas dan redha. Abang tidak
mampu berbuat seperti apa yang Ummu lakukan sekarang. Apa salahnya abang berkongsi sahamnya
bersama. Usah diambil pusing kata-kata
emak. Restu abang bersamamu,
sepenuhnya,” senyuman mewabak di hati Ummu Salamah.
Ummu
Salamah menarik nafas lega. Hanya ucapan
syukur meniti di bibir. Bertuahnya diri
mendapat seorang suami yang benar-benar memahami. Segalanya terletak di tangan sendiri. Usah
mengambil kesempatan di atas kebaikan keluarga tercinta. Dia tersenyum bahagia.
“Rehatlah,
esok kita ke masjid bersama-sama.” Imran
merebahkan diri di sebelah isterinya.
***
Senyuman
yang terukir kekal bersama lenanya yang panjang tanpa diganggu dengan degupan
jantung yang bergetar dan berdegup
kencang menghentak hatinya sejak siang
tadi
Dayuskah
aku? Soal hatinya, berulang-kali
terngiang-ngiang di cuping telinganya
kata-kata seorang manusia yang menabur racun ke dalam hatinya. Cuba melukakan satu-satunya hati yang dimiliki. Bukan dengan pisau hatinya ditoreh tetapi
dengan parang panjang yang tajam yang mampu meracik-racik halus keseluruhan
hati. Sudah berkali-kali panggilan itu diterima, sudah
acapkali panggilan itu menganggu gugat perasaannya. Mengocak keseluruhan jiwanya. Menebuk lubang wasa-was di hati. Mampu menghilangkan kepercayaan yang telah lama bertakhta di sanubari.
Bagaikan bisikan syaitan menendang jantung hatinya. Merobek-robek seluruh kepercayaannya terhadap
isteri sendiri. Mampu mengugat perasaan setia sehingga ke hujung nyawa.
Benarkah isterinya berbuat onar di
belakangnya? Tidak mungkin. Dia cukup kenal siapa Ummu Salamah yang telah
dikahwini 14 tahun yang lalu. Bukan
baharu setahun dua tetapi sudah lama,
cukup untuk dia mengenali hati budi.
Mampukah dia menapis fitnah yang mendatang? Panggilan daripada seorang lelaki yang amat
dikenali, namun tidak mahu menuduh tanpa bukti.
Dia perlu siasat perkara yang sebenar. Mungkin dia tidak bertindak
apa-apa panggilan itu terus-terusan menganggunya. Meminta dia menyuruh Ummu Salamah berhenti
kerja. Konon isterinya menganggu tugas
orang lelaki di dalam masjid, sentiasa berurusan dengan orang lelaki, bergurau
senda, bertepuk bertampar. Menyibukkan
diri dengan urusan yang bukan termasuk dalam tugasannya. Hatinya kini berbelah bahagi. Antara percaya dan tidak. Antara yakin dan was-was. Masih keliru menghambat diri.
Meskipun ada luka dan rusuh di hatinya, Imran
memandang sahaja langkah isterinya naik ke tingkat atas dengan pandangan yang
sebal. Sejurus, dengan langkah
yang sama dia turun mendekati emaknya yang masih berdiri di ruang tamu. Ternyata hati orang tua itu masih memuncak
marahnya, seperti letusan gunung berapi yang bersedia memuntahkan lavanya. Sama seperti hatinya ketika ini. Cuba berlagak tenang sedangkan dalam hati
berombak-ombak memecah tembok jantungnya.
Aduhai…! Terhimpit dia kini, bagaikan seorang
pendamai dalam perang Korea Utara dan Korea Selatan. Di sini emak, wanita yang telah melahir,
memelihara dan menjaganya sejak kecil
lagi. Wanita yang memberi air susunya
untuk diminum. Wanita yang menjadi pendorong semangat kepadanya
selama ini. Di sana isteri, wanita yang
hadir setelah dia meningkat dewasa.
Berkongsi suka dan duka bersama.
Senang dan susah dihadapi bersama.
Untunglah, di sepanjang waktu mengenali dan menjalani hidup bersama-sama
Ummu Salamah, sudah banyak kali terbukti bahawa isterinya itu bukan seorang
yang mudah melatah. Itulah antara
sebabnya maka mengapa antara dia dan Ummu Salamah mempunyai sebuah ikatan murni dan suci yang tak bisa
terucapkan. Dia benar-benar kagum dengan
sikap Ummu Salamah yang menerima teguran dan kata-kata kasar emaknya dengan
senyuman. Kalaulah isterinya kuat
melawan, pasti berlaku pertengkaran.
Jika berlaku pertengkaran antara mereka, entah apa yang harus dia
lakukan. Bak umpama gajah dengan gajah bergaduh, kancil di
tengah-tengah menjadi mangsa. Aduhai. Siapa yang harus dia bela. Kedua-duanya dia sayang.
Namun, andai Ummu Salamah mengetahui tentang panggilan telefon, kata-kata nista
yang diterima, pelbagai cerita fitnah yang bertaburan bagaikan angin lalu itu
mampukah isterinya bertahan? Jika benarlah seperti yang telah dibisikan
kepadanya, sebagai suami mampukah dia bertahan? Apakah dengan membiarkannya,
sama seperti memberitahu siapa diriku yang sebenar. Suami yang takut isteri bak kata lain dayus. Dari hembusan nafas Ummu Salamah dia tahu isterinya
letih dan penat. Sepenat-penat Ummu
Salamah, fizikal cuma. Penat lagi
dirinya apabila memikirkan tentang bisikan yang menghentak akal fikirannya. Mampukah dia membuang bisikan-bisikan itu?
Ah, dia mengeluh kesal.
“Mak,
jauh malam ini, pergilah tidur,” pujuk Imran
menarik tangan emaknya dengan lembut supaya duduk di sofa. Kalau sedang marah ketika berdiri, hendaklah
duduk, kalau duduk tidak mampu mengatasi, berbaringlah seketika, kalau juga
masih tidak kurang, ambil wuduk segeralah bersolat, itulah yang pernah
dibacanya dalam sebuah buku agama. Cara
mengatasi kemarahan dalam diri.
“Hilang kantuk mak dengan perangai
isteri kau!” Amarah masih bersisa.
“Ummu tak buat apa-apa pun pada emak, kenapa
hendak marah?” Lembut sambil mengusap lengan emak tercinta.
“Dia abaikan anak emak, tentulah emak marah,”
luah Halimahton.
Pernafasannya berasa sesak, rasa tersekat di
kerongkong, terlalu sukar untuk dia
bernafas. Bukan pertama kali emaknya
bersikap begitu. Dan dia tahu, marah emaknya
kerana sayangkan dia dan dia sayangkan Ummu Salamah lebih daripada dirinya
sendiri.
“Imran faham perasaan emak. Tetapi mak jangan bimbang. Imran redha dengan
langkah Ummu. Imran tahu apa yang dia lakukan hanya demi agama dan
masyarakat. Mak jangan bimbang. Ummu seorang isteri yang baik dan taat
Imran tidak pernah rasa kekurangan sejak berkahwin dengannya.” Ikhlas daripada hatinya yang dalam. Memahami kehendak dan harapan isterinya yang
terlalu cintakan agama dan masyarakat.
Tiada siapa mampu melakukan apa yang sedang
isterinya lakukan sekarang. Kalau dia sebagai suami tidak memberi perangsang,
siapa lagi? Memanglah sukar dan berat,
jarang dapat bersama. Hatta di hujung minggu. Ada sahaja urusan dan program serta majlis
yang berlangsung di masjid.
“Mak juga perempuan. Mak tak perlu susah payah bekerja seperti
isteri kau itu. Tugas orang perempuan
hanyalah di rumah. Uruskan anak dan suami,
sediakan makan dan minum. Kenapa perlu
bekerja? Tidak cukupkah lagi dengan
apa yang ada?” leter emaknya Halimaton.
“Zaman
sudah berubah mak, perempuan juga punya hak yang sama dalam Islam, dalam soal
belajar. Ummu seorang ustazah mak,
takkan Imran nak suruh dia duduk di rumah sahaja. Sayanglah ilmu yang dia ada. Kalau tidak dipanjangkan kepada masyarakat,
jadi kutukan ALLAH pula,” jelas Imran. Bukahlah jika meninggal anak Adam itu, dia hanya meninggalkan tiga perkara,
harta yang ditaburkan ke jalan ALLAH, anak yang soleh serta
ilmu yang bermanfaat? Itulah yang dia
tahu. Semoga emaknya juga memahami
perkara yang sama.
Bila tengok dia bungkam semakin panjang
muncung emaknya. Imran hanya mampu
mengeluh kesal. Hendak ditegur lebih-lebih, emak kandung sendiri. Sepatutnya
emaknya jauh lebih memahami hati dan perasaan Ummu Salamah. Sama-sama jantina. Kenapa perlu ada jurang antara mereka? Kenapa perlu ada rasa kurang selesa tumbuh di
hati?
“Kau memang suka manjakan isteri kau
itu. Kalau dia pijak kepala kau nanti,
jangan adu dengan emak.” Muka mencuka
semakin kelat dan buruk rupanya.
“Mak…
tahulah Imran menguruskan keluarga sendiri. Mak tak usah takut yang pelik-pelik. Ummu Salamah tahu apa yang dia lakukan. Imran juga tahu apa yang Imran lakukan,” luah
Imran. Memberi bebak kepada beban yang
telah digalas, tidak membantu langsung.
Cuba memberi pengertian kepada emaknya.
Sukar untuk memahami atau sengaja tidak mahu mengerti.
“Mak
tak mahu tengok kau sakit hati, Imran.
Kau itu anak mak. Sekejap isteri
kau ke utara, sebentar di selatan. Tahun
lepas tiga bulan di Mesir, kursus sambil belajar. Kau ditinggalkan dengan anak-anak. Hati emak sedih melihatnya. Orang lain isteri di sisi, kau isteri sibuk
memanjang.” Halimah mencebik lagi.
Bukankah sudah acap kali dijelaskan kepada
emak tentang kerjaya Ummu sebelum ini. Dia yang izinkan setelah isterinya
meminta kebenaran. Ummu Salamah tidak
buat keputusan sendiri jika hendak keluar daerah. Pasti rujuk dahulu dengannya sebagai seorang
suami. Kenapa mak perlu risau? Dia tidak apa-apa, emak pula
berlebih-lebih. Anak-anak juga sudah
memahami malah turut sama membantu mama mereka di masjid. Biarlah mak.
Itu tugas isterinya, sebagai suami dia masih mampu menjaga anak-anak,
bisik hati kecil Imran.
Perasaan yang menerjah membuku resah, semoga
emaknya mengerti dan tidak mengungkit lagi.
Simpati membalut hati terhadap
isteri yang dicintai. Tentu penat di pejabat, pulang ke rumah
bertambah dengan omelan emak yang mengusik perasaan. Mahu jatuh gugut jantung mendengar
kata-kata yang keluar dari bibir
emaknya Mahu tercabut jantung mendengar
leteran orang tua itu.
“Susah
sangat, kahwin sahaja lagi satu. Masih ada lagi tiga kekosongan. Biarlah isteri kau itu sibuk dengan kerjanya. Isteri kedua menyempurnakan apa yang kurang,”
cadang ibunya.
Imran menepuk dahi sendiri. Mahu ketawa mendengar cadangan emaknya. Seorang isteri pun tidak mampu terjaga dan
terdidik, inikan hendak tambah cawangan.
Mahu pecah gelaknya ketika itu juga.
Nanti kecil pula hati emaknya.
Lelaki mana yang tidak mahu berpoligami.
Kalau ditanya, sudah pasti ramai yang sudi. Tetapi untuk apa dia menambah beban kepada
diri sendiri. Waktu dan masa paling
bererti, jika dia berpoligami mampukah dia?
Bisikan yang sedang bermain-main dan bernyanyi-nyanyi dimindanya masih
mengundang duka di hati. Benarkah
kata-kata orang itu? Benarkah dia lelaki
dayus?
“Kau
itu takut isteri, lelaki yang takut isteri… tak cium bau syurga. Dayus tahu!”
kata ibunya dengan riak muka berkerut seribu.
Pedih menyucuk telinga. Dayuskah dia?
Takut isterikah dia? Imran
mengeluh kesal. Kenapa buruk sangat
anggapan emaknya terhadap Ummu Salamah?
Sedangkan di matanya, isterinya itu cukup sempurna. Kenapa kata-kata ibunya sama dengan butiran
bisikan yang menganggu gugat perasaannya ketika ini. Panggilan yang diterima bagaikan ingin merobek
hatinya. Kalau Ummu Salamah tahu
siapa yang menelefon dan menfitnahnya tentu isterinya akan kecewa. Apa yang membuatkan kemusykilan di hatinya
ketika ini panggilan itu lengkap dengan bukti-bukti. Bolehkah dia percaya bukti-bukti itu?
“Tidak baik emak menuduh anak sendiri, Imran
sudah besar dan cukup dewasa untuk membezakan baik dan buruk. Usahlah emak bimbang,”getus
Imran. Perasaannya terus diulit resah
yang panjang. Sekali gus
mengharapkan agar rajuk emaknya tidak
berpanjangan. Tidak mahu ada sengketa antara
emak dan isterinya. Apatah lagi jika
yang bersengketa adalah emaknya ke atas isterinya dan isterinya menjadi
penerimanya sahaja. Keharmonian kunci
ketenangan. Tidak suka kecoh-kecoh atau
pergaduhan yang tidak menguntungkan.
“Ikut suka kaulah! Rumah tangga kau. Kalau jadi apa-apa, jangan salahkan
emak. Mak sudah beri peringatan. Kau
yang degil.” Dengan riak muka kecewa, emaknya
melangkah kembali ke kamarnya. Jelas, hatinya yang sedang panas dan resah tidak terubat
langsung dengan kata-kata anak lelakinya tadi.
Perasaan Imran yang tidak dengar apa kata emaknya,
tetapi ingat pada bisikan itu. Bisikan
yang mampu menghancurkan keharmonian rumah tangganya. Bisikan yang mampu memecah belahkan
keluarganya. Kenapa? Apa yang mereka marah sangat dengan
isterinya? Salahkah dengan apa yang
sedang dilakukan oleh isterinya? Kalau
yang bercakap, orang yang jauh atau tiada kena mengena dengan tempat kerja
isterinya, tentulah dia tidak ambil
pusing. Tetapi rakan sekerja isterinya,
merangkap jiran mereka sendiri. Mana
mungkin dia buang perasaan resah itu.
Mana mungkin melupakan bisikan-bisikan itu. Dia melepaskan keluhan
kasar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan