Rabu, 13 April 2016

SELIPAR




Selipar aku putus secara tiba-tiba di hadapan masjid di kampungku.  Cuaca panas terik, tidak mungkin aku berjalan tanpa selipar, sakitlah telapak kakiku.  Mataku mula meliar.  Memerhati ke dalam perkarangan masjid.  Akalku mula berputar, mencari jalan.  Aku menjinjit selipar yang putus itu dengan tangan kanan.  Melangkah masuk ke dalam perkarangan masjid.  Aku menarik nafas panjang.  Kupandang selipar yang bersusun kemas di kaki lima masjid. Niat jahatku sudah mula mejalar di hati.  Cepat sahaja mataku menangkap sepasang selipar yang cantik dan menarik warnanya.  Terusku sambar laju, Aku berlari selaju mungkin meninggalkan perkarangan masjid tersebut. 

Aku tersenyum sendiri, selipar yang putus kuhumban ke dalam tong sampah. Selipar yang baharu kucuri tadi terus kusarungkan ke kaki.  Saizku. Semakin lebar senyumanku.  Setiap hari aku akan berjalan kaki dari tempat kerjaku di sebuah warung ke rumahku, jaraknya lebih kurang tiga kilometer.  Kawasan kampungku tiada pengangkutan bas awam.  Rata-rata penduduk menaiki basikal, motosikal atau punya kereta sendiri atau kereta sapu. Maklumlah kedudukan kampungku  terletak jauh ke dalam, jauh dari pusat bandar Kuala Kangsar. 
Aku menayang-nayangkan selipar getah yang berbunga halus berwarna hijau itu. Cantik juga.  Tentu mahal harganya.  Seperti aku pernah melihat selipar ini, tapi di mana?  Ah! Mungkin di kedai Ah Leng yang terletak di hujung kampungku.  Hanya di kedai Ah Leng sahaja ada menjual selipar. Itu pun kalau bernasib baik ada saiz yang sesuai, jika tidak terpaksa menunggu seminggu dua.  Begitulah keadaan di kampungku, jauh dari kemajuan
Aku duduk di kaki tangga. Matamu masih memandang selipar yang sudah kutanggalkan.  Aku tersenyum sendiri.  Jahat juga aku.  Mencuri  kasut orang di hadapan masjid pula itu,  Entah selipar siapa yang menjadi mangsaku. Ah! pedulikanlah.  Nanti orang itu belilah selipar baharu.  Sedikit pun tidak ada rasa bersalah di hatiku.  Buruk benar perangaiku.  Sedar dirilah juga.
 Aku memerhati kelibat seseorang sedang menyorong basikal menghampiri pondok buruk aku dan emak.  Macam  emak gayanya itu.  Aku mendengus kasar. Kenapa pula dengan basikal emak?  Aku bingkas bangun berdiri, menunggu emak menghampiri.  Ya Allah! Emak tidak berselipar.  Basikal ditongkatkan.  Emak terus duduk di kaki tangan. Mengesat peluh yang membasahi mukanya.  Dia mengeluh berat.  Aku memandang wajahnya yang kepenatan.  Mataku memandang kakinya yang berdarah.
                “Kenapa mak? Selipar mak mana?” tanyaku kehairanan. Kasihan dan simpati melihat keadaan emak.  Benar-benar  kasihan aku melihat keadaan emak.  Aku duduk mencangkung menghadap emak. Telapak kakinya yang melecet kubelek  berhati-hati. 
                “Entah syaitan manalah yang mencuri selipar emak,” leter emak.
                “Curi selipar?”  aku terus terdiam. Selipar?
                “Eh!  Ini selipar emak, macam mana ada di sini?” kata emak sambil mengambil selipar yang ada di hadapannya.
                Aku tidak berkutik.  Emak menarik daguku memandang wajahnya.
                “Azid curi selipar di masjid? Tengok apa sudah jadi?  Selipar ini emak punya. Pak Ishak yang belikan untuk emak kerana selipar lama emak sudah putus.  Tengok keadaan kaki emak.” Sambil menunjukkan keadaan kakinya yang pecah dan berdarah.
                Aku terdiam.  Terkunci kata-kata.  Baru aku sedar kekhilafan diriku sendiri.  Biar bagaimana keadaanpun, jangan sesekali ambil hak orang lain.  Emak dan arwah ayah tidak pernah mengajar aku berbuat jahat, apatah lagi mencuri.  Aku memegang erat tangan emak. Maaf yang tidak terucap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan