DI
RUMAH, Aleeya banyak mendiamkan diri. Tidak mahu terlalu banyak cakap, nanti
meletus perang dengan suaminya yang ketika itu sedang leka melayan panggilan
telefon daripada anak-anaknya. Setiap malam dan setiap hari. Hanya meraung dan
menangis di hati. Kadangkala dia menangis di dalam bilik air. Hati siapa yang
tidak sayu dan sedih bila suami asyik melayan anak-anaknya. Sewaktu dia keluar
bersama suaminya juga diganggu. Terpaksa batalkan niat untuk menonton wayang bersama.
Hanya kawan-kawan yang sering menemaninya keluar membeli-belah, menonton dan
bersantai di luar untuk menghilangkan rasa bosan di hatinya.
Buku-buku
juga menjadi temannya. Dia sudah menghabiskan masa dengan membaca, tidak
kiralah buku apa pun. Asalkan tidak bosan dengan apa yang berlaku. Mahu sahaja
dia memberitahu tentang pertemuannya dengan Nadia beberapa hari yang lalu. Namun,
melihat wajah suaminya yang ceria membuatkan hatinya tidak tergamak untuk
menyatakannya.
“Leya banyak mendiamkan diri sejak
akhir-akhir ni. Dah tak sudi bersembang dengan abang ke?” Ikmal duduk di sisi Aleeya
yang leka membaca. Nampaknya, Aleeya sudah ada hobi terkini.
“Dah habis bercakap dengan anak-anak
abang ke?” tanya Aleeya dengan muka manis. Kalau boleh, dia tidak mahu
mempamerkan rasa tidak selesanya dengan sikap Ikmal.
“Dah,” jawab Ikmal dan bersandar di
sisi Aleeya sambil melentukkan kepalanya di bahu isteri tercinta.
Aleeya menahan hiba. Biarpun lelaki
itu hadir ketika cinta masih belum kembang mekar, tetapi masa dan waktu yang
berlalu telah mencambahkan rasa cinta yang utuh di hatinya. Bagaimana mungkin
dia meninggalkan lelaki itu? Mampukah dia hidup dengan kenangan sahaja? Hampir
sahaja air matanya mengalir. Perasaan hampa dan kecewa dengan apa yang berlaku
sedang berperang sesama sendiri di hatinya.
“Minggu ni kita keluar beli barang-barang
dapur nak? Dah lama kita tak keluar bersama,” ajak Ikmal.
“Insya-ALLAH.” Sudah berkali-kali
begitu. Bila tiba masanya, selalu tidak jadi. Suaminya terpaksa keluar dengan
anak-anak. Terpaksalah dia menelefon Ros, Lin dan Ina untuk menemaninya. Itu
pun jika mereka tidak ada urusan lain. Kalau tidak, terpaksalah dia pergi
sendiri. Terasa benar-benar bersendirian kini.
“Leya okey ke ni? Abang tengok Leya
macam tak ceria aje? Ada masalah ke?” Ikmal memandang wajah Aleeya yang telah
pun membaca semula.
“Okeylah! Kenapa?” Aleeya tidak
memandang langsung wajah Ikmal. Tidak tahukah suaminya yang dia sedang menangis
sendiri? Tidak sedarkah suaminya yang dirinya sudah dipinggirkan? Tidak
nampakkah suaminya yang dia tidak lagi ceria dahulu? Hatinya berlagu duka. Jiwanya
bernyanyi sengsara. Biarpun cinta penuh di hati tetap terasa hambarnya ketika
hubungan yang masih muda belia diganggu gugat oleh orang ketiga tanpa disedari
oleh suaminya sendiri.
“Tak ada apa, cuma terasa Leya tidak
seceria dulu.” Ikmal menyandar semula.
Sedar pun! Ingatkan tidak perasan. Aleeya
tidak menjawab kata-kata Ikmal. Biarlah lelaki itu fikir sendiri. Dia
sebenarnya tidak suka membebel tentang apa yang berlaku. Biarlah dipendamkan
sahaja duka di hati. Tapi, kalau dia mendiamkan diri, Ikmal tidak akan tahu
rancangan Nadia untuk kembali kepada suaminya. Ah! Lama-lama nanti pasti
suaminya tahu juga. Aleeya mengeluh dalam hati.
LIGAT
otaknya berfikir. Ancaman daripada Nadia membuatkan hatinya tidak keruan.
Perlukah dia berkongsi cerita dengan Aleeya? Kalau boleh, dia tidak mahu
membebankan Aleeya dengan masalah yang datang tanpa dijemput itu. Nadia sudah berani
melarangnya bertemu dengan anak-anak. Ada sahaja alasannya. Kalau dia nak jumpa
anak-anaknya selalu, dia perlu bernikah semula dengan Nadia. Mana boleh! Tidak
pernah dia terfikir nak kahwin lebih daripada satu. Ini sudah menjadi serius. Nampak
sangat bekas isterinya itu tidak main-main dalam soal ini. Mudah sangat minta
cerai, bila tiba masanya sendiri juga yang menyesal. Kalau dia tidak berkahwin
lagi, mungkin dia boleh pertimbangkan cadangan Nadia. Dia sudah ada Aleeya,
tidak mungkin dia menggores hati isterinya itu. Kalaulah Aleeya tahu cadangan
Nadia, pasti isterinya itu akan mengamuk.
Mengeluh bukan menyelesaikan masalahnya.
Malah, bertambah serabut jadinya. Setiap malam Nadia menelefon bertanyakan
keputusannya. Dia masih tidak memberi jawapan. Bukan senang dia nak beri
jawapan segera. Dia perlu juga meminta izin Aleeya. Mahukah Aleeya? Itulah
persoalan yang sedang bermain di fikirannya ketika ini. Kenapa Nadia tidak
habis-habis menyusahkan dirinya?
Pernah dia merayu agar mereka tidak
bercerai, semuanya kerana anak-anak. Dia tidak sanggup melihat anak-anak
membesar tanpa dirinya di sisi. Tetapi, Nadia berdegil juga. Konon tidak
percaya dengannya. Akhirnya, dia terpaksa akur dengan kehendak Nadia. Kali ini,
bekas isterinya itu mendesak juga. Perlukah dia mengikut juga? Dia tidak mahu
anak-anak menjadi mangsa keadaan.
Penceraian
membuatkan banyak hati yang terluka terutama hati anak-anak. Mungkin mereka
tidak pandai menyatakan betapa kecewanya mereka. Melihat wajah mereka, dia
dapat andaikan betapa mereka berasa kehilangan. Kalau dahulu, bangun sahaja
pagi, mereka akan melihat wajahnya, akan bergurau dan berbual dengannya. Sebelum
tidur, dia akan bercerita dan bertanya khabar mereka di sekolah.
Sekarang, segalanya tidak sama. Biarpun
setiap malam dia menelefon dan berbual dengan mereka, tetap tidak sama. Dia
sendiri berasa kehilangan akan saat-saat itu. Aleeya yang sudah lena di sisi,
ditatap seketika. Tidak sampai hati melukakan hati Aleeya. Isterinya itu begitu
baik, tidak pernah melawan atau meninggikan suara. Dia perasan, kalau Aleeya
ada masalah, isterinya tidak sudi meluahkan. Suka memendam sendiri. Mungkin juga
apa yang sedang terjadi antara dia dan anak-anak dipendamkan sahaja di hati. Mungkin
juga Aleeya tidak senang dia menghabiskan masa dengan anak-anaknya dan sesekali
Nadia turut serta, siapalah yang tahu apa yang terkandung dalam hati Aleeya.
Riak
wajah isterinya yang selamba membuatkan dia tidak pernah dapat meneka isi di
dalam hati Aleeya. Aduh, pening memikirkan masalah yang bertalu-talu
bertandang. Sudahlah banyak perkara terpaksa diuruskan, terutama tentang
anak-anak. Semua perkara diletakkan di bahunya. Nadia seperti mahu lepas tangan
sahaja. Sekali lagi keluhan terlahir di bibirnya. Kerisauan yang menerjah
membuatkan dia sukar untuk melelapkan mata. Terkebil-kebil sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan