Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 24 Mei 2016

ADUH, PENING - BAB 12




DI RUMAH, Aleeya banyak mendiamkan diri. Tidak mahu terlalu banyak cakap, nanti meletus perang dengan suaminya yang ketika itu sedang leka melayan panggilan telefon daripada anak-anaknya. Setiap malam dan setiap hari. Hanya meraung dan menangis di hati. Kadangkala dia menangis di dalam bilik air. Hati siapa yang tidak sayu dan sedih bila suami asyik melayan anak-anaknya. Sewaktu dia keluar bersama suaminya juga diganggu. Terpaksa batalkan niat untuk menonton wayang bersama. Hanya kawan-kawan yang sering menemaninya keluar membeli-belah, menonton dan bersantai di luar untuk menghilangkan rasa bosan di hatinya.
Buku-buku juga menjadi temannya. Dia sudah menghabiskan masa dengan membaca, tidak kiralah buku apa pun. Asalkan tidak bosan dengan apa yang berlaku. Mahu sahaja dia memberitahu tentang pertemuannya dengan Nadia beberapa hari yang lalu. Namun, melihat wajah suaminya yang ceria membuatkan hatinya tidak tergamak untuk menyatakannya.
            “Leya banyak mendiamkan diri sejak akhir-akhir ni. Dah tak sudi bersembang dengan abang ke?” Ikmal duduk di sisi Aleeya yang leka membaca. Nampaknya, Aleeya sudah ada hobi terkini.
            “Dah habis bercakap dengan anak-anak abang ke?” tanya Aleeya dengan muka manis. Kalau boleh, dia tidak mahu mempamerkan rasa tidak selesanya dengan sikap Ikmal.
            “Dah,” jawab Ikmal dan bersandar di sisi Aleeya sambil melentukkan kepalanya di bahu isteri tercinta.
            Aleeya menahan hiba. Biarpun lelaki itu hadir ketika cinta masih belum kembang mekar, tetapi masa dan waktu yang berlalu telah mencambahkan rasa cinta yang utuh di hatinya. Bagaimana mungkin dia meninggalkan lelaki itu? Mampukah dia hidup dengan kenangan sahaja? Hampir sahaja air matanya mengalir. Perasaan hampa dan kecewa dengan apa yang berlaku sedang berperang sesama sendiri di hatinya.
            “Minggu ni kita keluar beli barang-barang dapur nak? Dah lama kita tak keluar bersama,” ajak Ikmal.
            “Insya-ALLAH.” Sudah berkali-kali begitu. Bila tiba masanya, selalu tidak jadi. Suaminya terpaksa keluar dengan anak-anak. Terpaksalah dia menelefon Ros, Lin dan Ina untuk menemaninya. Itu pun jika mereka tidak ada urusan lain. Kalau tidak, terpaksalah dia pergi sendiri. Terasa benar-benar bersendirian kini.
            “Leya okey ke ni? Abang tengok Leya macam tak ceria aje? Ada masalah ke?” Ikmal memandang wajah Aleeya yang telah pun membaca semula.
            “Okeylah! Kenapa?” Aleeya tidak memandang langsung wajah Ikmal. Tidak tahukah suaminya yang dia sedang menangis sendiri? Tidak sedarkah suaminya yang dirinya sudah dipinggirkan? Tidak nampakkah suaminya yang dia tidak lagi ceria dahulu? Hatinya berlagu duka. Jiwanya bernyanyi sengsara. Biarpun cinta penuh di hati tetap terasa hambarnya ketika hubungan yang masih muda belia diganggu gugat oleh orang ketiga tanpa disedari oleh suaminya sendiri.
            “Tak ada apa, cuma terasa Leya tidak seceria dulu.” Ikmal menyandar semula.
            Sedar pun! Ingatkan tidak perasan. Aleeya tidak menjawab kata-kata Ikmal. Biarlah lelaki itu fikir sendiri. Dia sebenarnya tidak suka membebel tentang apa yang berlaku. Biarlah dipendamkan sahaja duka di hati. Tapi, kalau dia mendiamkan diri, Ikmal tidak akan tahu rancangan Nadia untuk kembali kepada suaminya. Ah! Lama-lama nanti pasti suaminya tahu juga. Aleeya mengeluh dalam hati.


LIGAT otaknya berfikir. Ancaman daripada Nadia membuatkan hatinya tidak keruan. Perlukah dia berkongsi cerita dengan Aleeya? Kalau boleh, dia tidak mahu membebankan Aleeya dengan masalah yang datang tanpa dijemput itu. Nadia sudah berani melarangnya bertemu dengan anak-anak. Ada sahaja alasannya. Kalau dia nak jumpa anak-anaknya selalu, dia perlu bernikah semula dengan Nadia. Mana boleh! Tidak pernah dia terfikir nak kahwin lebih daripada satu. Ini sudah menjadi serius. Nampak sangat bekas isterinya itu tidak main-main dalam soal ini. Mudah sangat minta cerai, bila tiba masanya sendiri juga yang menyesal. Kalau dia tidak berkahwin lagi, mungkin dia boleh pertimbangkan cadangan Nadia. Dia sudah ada Aleeya, tidak mungkin dia menggores hati isterinya itu. Kalaulah Aleeya tahu cadangan Nadia, pasti isterinya itu akan mengamuk.
            Mengeluh bukan menyelesaikan masalahnya. Malah, bertambah serabut jadinya. Setiap malam Nadia menelefon bertanyakan keputusannya. Dia masih tidak memberi jawapan. Bukan senang dia nak beri jawapan segera. Dia perlu juga meminta izin Aleeya. Mahukah Aleeya? Itulah persoalan yang sedang bermain di fikirannya ketika ini. Kenapa Nadia tidak habis-habis menyusahkan dirinya?
            Pernah dia merayu agar mereka tidak bercerai, semuanya kerana anak-anak. Dia tidak sanggup melihat anak-anak membesar tanpa dirinya di sisi. Tetapi, Nadia berdegil juga. Konon tidak percaya dengannya. Akhirnya, dia terpaksa akur dengan kehendak Nadia. Kali ini, bekas isterinya itu mendesak juga. Perlukah dia mengikut juga? Dia tidak mahu anak-anak menjadi mangsa keadaan.
Penceraian membuatkan banyak hati yang terluka terutama hati anak-anak. Mungkin mereka tidak pandai menyatakan betapa kecewanya mereka. Melihat wajah mereka, dia dapat andaikan betapa mereka berasa kehilangan. Kalau dahulu, bangun sahaja pagi, mereka akan melihat wajahnya, akan bergurau dan berbual dengannya. Sebelum tidur, dia akan bercerita dan bertanya khabar mereka di sekolah.
            Sekarang, segalanya tidak sama. Biarpun setiap malam dia menelefon dan berbual dengan mereka, tetap tidak sama. Dia sendiri berasa kehilangan akan saat-saat itu. Aleeya yang sudah lena di sisi, ditatap seketika. Tidak sampai hati melukakan hati Aleeya. Isterinya itu begitu baik, tidak pernah melawan atau meninggikan suara. Dia perasan, kalau Aleeya ada masalah, isterinya tidak sudi meluahkan. Suka memendam sendiri. Mungkin juga apa yang sedang terjadi antara dia dan anak-anak dipendamkan sahaja di hati. Mungkin juga Aleeya tidak senang dia menghabiskan masa dengan anak-anaknya dan sesekali Nadia turut serta, siapalah yang tahu apa yang terkandung dalam hati Aleeya.
Riak wajah isterinya yang selamba membuatkan dia tidak pernah dapat meneka isi di dalam hati Aleeya. Aduh, pening memikirkan masalah yang bertalu-talu bertandang. Sudahlah banyak perkara terpaksa diuruskan, terutama tentang anak-anak. Semua perkara diletakkan di bahunya. Nadia seperti mahu lepas tangan sahaja. Sekali lagi keluhan terlahir di bibirnya. Kerisauan yang menerjah membuatkan dia sukar untuk melelapkan mata. Terkebil-kebil sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan