KE
MANA sahaja suaminya dan Nadia berserta anak-anaknya pergi, dia akan mengintip
dari jauh. Memandang dengan mata yang merah menyala. Kalaulah dia makhluk asing
sudah lama dighaibkan Nadia yang terlajak mesra dengan suaminya. Mereka
tunggang ATV, dia pun sama. Tak biasa sebenarnya. Hampir sahaja dia tergolek
menuruni bukit, nasib baik ada fasilitator yang sudi membantu. Kalau tidak
kemalangan mautlah jadinya. Kawan-kawannya pula bukan main seronok lagi. Mereka
sudah biasa menunggang ATV yang bertayar besar itu. Uh! Habis sakit satu badan.
Tengok Nadia buat hatinya
menyala-nyala marah. Geram. Rasa hendak dihumban perempuan itu dalam kandang singa
putih yang tinggal sendirian di sangkarnya itu. Memang menyakitkan mata dan
hati sahaja. Siap memeluk pinggang suaminya. Hei! Itu laki akulah! Dia
menghentak-hentak kaki di tanah tempatnya berpijak. Mak ai! Bertepuk bertampar
lagi! Ini sudah lebih. Ikmal pula bukan main lagi. Dapat pegang percuma. Wah!
Mereka sudah menyakiti hatinya bulat-bulat. Menangis dalam hati sahajalah
sambil menghentak dadanya.
“ITULAH
akak, saya dah suruh jangan ikut mereka menunggang ATV tu akak degil, nak pergi
juga. Kan dah sakit satu badan. Tak pasal-pasal kami kena jadi tukang urut tak
bertauliah akak,” bebel Lin yang sudah mula mengurut badan Aleeya yang kecil
molek itu.
“Buat apa akak skodeng mereka,
sedangkan hati akak sendiri yang sakit! Kami yang tak ada apa-apa ni pun sakit
mata tengok,” sampuk Ina pula.
“Betul, kak... esok tak payahlah
ikut mereka lagi. Kita bergembira sendirilah, kak. Biarlah suami akak dengan
anak-anak dia tu. Lagipun bekas isteri suami akak tu tak berani bertindak jauh,
kak. Suami akak bukan jenis buaya tembaga kan, kan, kan?” Ros menyengih.
“Aduh! Sakitnya pinggang akak, kaki
akak pun sengal habis. Manalah akak tak intip adik-adik oi! Itukan laki akak. Yang
bersama dengan dia tu, bekas isteri dia. Kau tahu tak, bekas isteri!” Aleeya
merengek kesakitan.
“Macam mana nak keluar makan, kalau
dah sakit macam ni.” Lin menampar paha Aleeya yang sedang diurutnya.
“Alah, setakat nak turun makan kat
kafe hotel ni, boleh ajelah.” Aleeya mencebik. Tak guna punya Nadia. Menyusahkan
dirinya sahaja. Bukan main miang lagi. Dia pasti sangat Nadia ada hati nak berbalik
dengan suaminya. Tengok gaya Nadia sahaja, dia sudah dapat meneka.
“Betul ni?” Ros mendekati Aleeya
yang berbaring di sofa.
“Bolehlah!” Aleeya mengetap bibir. Perlahan-lahan
dia bingkas duduk dan bersandar di sofa. Dia menarik nafas panjang melepaskan
kelelahan dan kepenatan.
“Esok, kita nak pergi safari pula. Jangan
akak pergi jerkah suami akak dengan bekas isterinya sudahlah. Jaga tatasusila,
kak.” Ina tersenyum sumbing.
Jaga tatasusila? Pasal jaga
tatasusilalah dia tidak menyerang bekas isteri suaminya itu. Kalau tidak! Tahulah
Nadia langit ini tinggi atau rendah.
“Harap tak jumpa suami dan sahabat
akak tu ya?” usik Lin.
“Uh! Jangan nak mainkan akak pula!” Aleeya
menjelirkan lidah. Budak-budak ini tak padan dengan perempuan, pandai pula nak
usik-usik dia.
Mereka hanya makan malam di restoran
hotel. Makan malam yang disediakan enak-enak belaka. Harga yang dikenakan
tidaklah mahal sangat. Berbaloilah. Dia tercari-cari kelibat suaminya. Manalah
tahu jika suaminya juga makan dan minum di restoran itu. Sebenarnya, hotel di Gambang ini dibahagi
kepada dua. Arabia dan Caribbean. Dia dan rakan-rakannya menginap di Caribbean.
Mungkin juga suaminya menginap di Arabia yang lebih mewah dan cantik hotelnya.
“Akak, makanlah. Usah dikenangkan
orang yang sedang bergembira dengan anak-anaknya. Kita gembirakan hati sendiri,
kak,” pujuk Lin yang sudah pun menambah makanan di dalam pinggannya. Makan cara
bufet, melantaklah sampai mengah.
“Banyak kau punya kenang! Entah-entah
dia sedang peluk suami akak, sakitnya tuh di sini!” Sambil menunjukkan dadanya.
“Kalau dah tahu nak sakit, kenapa
benarkan suami akak keluar dengan anak-anaknya?” tempelak Ros.
“Mana boleh tak bagi, Ros... itu
anak-anak suami akak. Bukan anak tiri tau, anak kandung!”
“Sabarlah, kak. Inilah dugaannya
kalau berkahwin dengan duda yang masih bernyawa bekas isterinya. Terpaksalah
akak ‘bermadu’ dengan anak-anak tiri akak tu, silap hari bulan bermadu terus
dengan bekas isteri suami akak tu pula. Uh! Kes naya kak,” kata Ina tidak bertapis.
“Hoi! Mulut tak ada insuran ke?”
jerkah Aleeya. Bukan main sedap lagi sebut bermadu. Nau’zubillah, doanya dalam
hati.
“Tak mustahil, kak,” racun Lin pula.
“Dah, dah, dah! Akak nak makan
sampai mengah. Malas nak fikirlah!” Aleeya bingkas bangun dan menuju ke kaunter
yang terhidang pelbagai jenis lauk dan nasi. Nak makan ke tidak ini? Tekaknya
terasa tidak berselera sedangkan perutnya berkeroncong.
“Hai, kira apa pula tu?” Lin
menyengih.
“Hisy… budak ni!” Aleeya mencubit
lengan Lin yang sudah pun berada di sisinya.
“Apa main cubit-cubit, kak. Sakit
tau.” Lin mengusap bekas cubitan tadi.
“Mehlah makan. Akak ambil lauk aje. Tak payah makan nasi. Nanti kita makan mi sup pula, jom kak!” ajak Lin.
“Mehlah makan. Akak ambil lauk aje. Tak payah makan nasi. Nanti kita makan mi sup pula, jom kak!” ajak Lin.
Aleeya mengikut sahaja langkah Lin
yang menemaninya memilih makanan. Dia cuba membuang jauh wajah suaminya dan
Nadia yang bergurau senda di hadapan matanya. Memanglah mereka tidak nampak
dia, tetapi dia nampak mereka. Kalau boleh, dia tidak mahu memikirkannya,
tetapi tak boleh! Itu suaminya. Anak-anak suaminya pula sampai hati tidak suka
dengannya. Apa yang telah dia lakukan? Dia sudah cuba menghampiri mereka dan
menjadi seorang ibu tiri yang baik. Kenapa dia tidak diberi peluang? Dia juga
boleh jadi sebaik Nadia, ibu kandung mereka.
“Akak sabarlah ya. Jangan fikir
sangat. Kalaulah saya tahu suami akak ada sini, saya tak nak ikut ke mari. Kita
datang nak bergembira, kalau akak bersedih macam ni, kami pun tumpang sedih
tau.” Lin membelai lembut lengan Aleeya, cuba mententeramkan hati temannya itu.
“Yalah, kak! Janganlah muram. Esok
kita tengok binatang, lepas tu kita terus ke Kuantan, jalan-jalan sebelum balik
ke KL,” ajak Ros.
“Senyumlah, kak. Tak lawalah akak buat
muka poyo macam tu. Kalau akak menangis dan meraung pun tak guna. Suami akak
sedang berseronok dengan anak-anaknya dan bekas isterinya. Lupakan mereka. Anggaplah
mereka tu tak wujud.” Ina tersenyum manis.
Aleeya mengangguk, berasa bersalah
pula dengan kawan-kawannya. Mereka ikut dia untuk berseronok, dia pula buat
mereka susah hati. Tak patut, tak patut! Ceria, ceria... Aleeya bingkas bangun!
Cerialah… berwajah manis, gembira, gembira, bisik hati kecilnya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan