Aku
kebingungan seketika melihat tingkahlakunya seperti cacing kepanasan. Rimas pun ada. Seperti aku pula yang ditimpa masalah. Pening pun ya. Alahai… hendak ditegur tidak pasal-pasal
mengamuk pula dia. Tidak ditegur, sakit
pula mata memandang.
“Kau ni
kenapa? Tak boleh duduk ke?” soalku.
Berdecit mulutku menahan geram.
Rasa hendak tampar sahaja mukanya agar dia bertenang.
“Mana
boleh aku nak bertenang, kang kalau keluarga dia tanya, apa aku nak jawab?”
katanya, nampak benar kerisauan di wajahnya yang pucat lesi itu.
Aduhai,
bukan hendak jumpa Perdana Menteri! Detik hati kecilku. Urat perutku sudah berguling-guling ketawa
melihat perangai kawan yang seorang ini. Nama sahaja lelaki, tetapi penakut
mengalahkan perempuan.
“Kau
nak pergi ke tidak ni?” tanyaku. Aku sudah siap berpakaian. Kerana kasih
seorang kawan, aku sanggup temankan kawan baik aku itu bertemu bakal mertuanya.
Itulah yang menggelabah tidak tentu arah.
“Setakat
jumpa orang tua si Milah, apalah yang kau nak takutkan. Mereka makan nasilah,
bukan makan orang!” tegurku.
“Kau
boleh cakaplah. Cuba kau berada di
tempat aku ini!” desisnya perlahan.
“Oi! Yang kau takutkan sangat ni kenapa? Apa masalahnya? Kau ada kerja, bukan calang-calang pula itu.
Engineer, gaji boleh tahan. Rumah sudah
ada, kereta besar menjalar, duit simpanan di ASB, ASN, Tabung Haji, duit PTPTN
sudah selesai bayar, takkanlah emak dan ayah si Milah tidak setuju?” leterku
panjang lebar. Yalahkan, sekurang-kurangnya terjamin masa
depan, tidak ada hutang piutang yang terpaksa ditangggung.
“Masalahnya…
Uh!” Dia masih gelisah.
“Kau
nak pergi ke tidak? Nanti tidak sempat pula?” leterku. Penat bersiap, aku batalkan janjitemu aku
dengan teman wanitaku semata-mata ingin menemani sahabat baikku ini.
“Naklah!”
jerkahnya.
“Apa
hal jerkah aku pula?” Aku jerkah dia semula. Aku mencebik. Nanti aku merajuk tidak mahu
ikut, baharu dia tahu!
“Hasrul
sayang! Pergilah pakai seluar kau tu, sejak tadi kau hanya memakai boxer tu,
sakit mata aku tengok. Bersiaplah, masa
terus berjalan, jalan raya sesak, kalau terlewat, kan tidak bagus. Pertemuan
pertama dengan bakal mertua macam pergi temuduga nak dapatkan kerja, kau faham
tak?” bebelku.
Dia
memandang ke bawah, kemudian ketawa sendiri.
Sah, sahlah sudah tidak betul, aku menggeleng. Kalau aku ikut ketawa sama, pasti aku sudah
sama gila dengan dia. Hasrul, Hasrul!
Dia
berlari naik ke tingkat atas, turun semula 10 minit kemudian. Berpakaian kemas, berkemeja dan bersluar
slack. Rambut tersisir rapi. Aku
tersenyum, maklumlah bakal bertemu bakal mertua.
Di
dalam restoran yang dijanjikan, aku dan Hasrul duduk menghadap Milah dan kedua
orang tuanya. Mata kami saling memandang
antara satu sama lain. Aku pula terasa
mengelabah apabila ditenung oleh kedua orang tua Milah. Tidaklah garang sangat wajah mereka. Tenang sahaja.
“Lagu
mana ni? Hang nak mai meminang bila?” tanya ayah Milah dengan wajah serius.
“Saya
tak cipta lagu pak cik, saya kerja sebagai engineer,” jawab Hasrul penuh yakin.
Aku
memandang wajah Milah yang tersenyum memandangku dan Hasrul.
“Yalah
pak cik tau hang kerja apa, pak cik tanya lagu mana hang nak datang meminang si Milah?” tanya ayah
Milah sekali lagi.
“His! Pak
cik ni… takkan nak meminang Milah kena cipta lagu?” jawab Hasrul.
Aku
tepuk dahi!
Milah
menyengih memandangku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan