IKMAL
membetulkan kedudukan tubuh along, anak sulungnya dengan Nadia yang sudah pun
terlelap di katilnya sendiri. Dia perlu balik ke rumah. Entah apa yang
difikirkan oleh Aleeya kerana semalaman tidak pulang ke rumah. Dia tidak mahu
Aleeya menyangka yang bukan-bukan. Kalau tidak kerana menunaikan permintaan
anak sulungnya yang meminta dia tidur di situ, tentu dia tidak akan
melakukannya. Buatnya ditangkap basah dengan bekas isterinya, haru!
“Awak nak balik ke?” tanya Nadia
yang sudah pun menunggu di hadapan pintu bilik anak sulungnya. Wajahnya muram.
“Semalam, saya dah temankan along. Rasanya
dia tak apa-apalah kot. Siang tadi saya dah bawa dia ke IOI Mall. Cukuplah
untuk hari ini,” kata Ikmal sambil melangkah turun ke ruang tamu. Dia harus
bergegas pulang sebelum malam semakin pekat kehitaman.
“Ayah nak balik ke? Tak syoklah!”
kata angah merengek manja.
“Ayah kena baliklah. Kasihan Mak Cik
Leya tinggal sendiri,” pujuk Ikmal.
“Ayah tidurlah lagi di sini. Macam dulu-dulu!”
kata alang pula.
“Tak boleh, sayang. Nanti polis
tangkap!” jelas Ikmal. Bukan mudah untuk membuat anak-anaknya faham bahawa dia
dan mama mereka sudah tiada apa-apa hubungan lagi.
“Acik nak tidur dengan ayah,” kata
anak kedua bongsu yang sudah mula pandai bercakap.
“Tak bolehlah malam ni ya. Nanti-nanti
pula ayah datang,” pujuk Ikmal sekali lagi.
“Lecehlah. Ayah tak bolehlah balik
rumah Mak Cik Leya… dia bukan ibu kita orang!” kata angah agak lantang.
“Angah!” tegur Ikmal, kurang senang
dengan nada kata anak keduanya itu. Baharu berumur tujuh tahun tetapi sudah
pandai membentak.
“Awak pergilah balik, nanti marah
pula bini awak tu,” sindir Nadia.
“Awak pula kenapa? Kenapa anak-anak
cakap macam ni?” tanya Ikmal kurang senang.
“Tak ada apa-apalah!” jawab Nadia
sedikit kasar. Dia menjeling. Rasa cemburu terlahir di hati. Sejak bekas
suaminya berkahwin lain, hatinya tidak pernah tenang. Memang dia cemburu. Helo…
lelaki itu pernah jadi suaminya. Lelaki itu masih bersisa di hatinya. Bercerai
bukan kerana benci, bercerai kerana ada sebabnya tersendiri. Keegoan mengatasi
segalanya. Dia terlalu mengikut kata hati, akhirnya segalanya musnah begitu
sahaja. Dia ingatkan jika dia berkeras dan meminta cerai, Ikmal akan datang
memujuk dan merayu. Telahannya silap.
Ikmal
lelaki yang juga tinggi egonya. Akhirnya, mereka bercerai atas alasan yang cetek.
Dia juga yang menyesal. Waktu mula bercerai, dia tidak pernah ambil kisah
sangat, dan memberi ruang kepada Ikmal untuk bertenang. Dia hanya menunggu masa
untuk mendapatkan semula kasih sayang Ikmal. Anak-anaklah pertaruhannya. Rupanya
dia silap. Ada perempuan lain yang berjaya menambat hati bekas suaminya itu. Akhirnya,
dia juga yang menggigit jari, merana sendiri.
“Saya balik dulu. Ada apa-apa dengan
along, beritahu saya.” Ikmal terus melangkah keluar.
“Ayah, nanti datang tidur sini lagi
ya,” kata angah pula.
Ikmal hanya mengangguk. Mana mungkin dia bermalam di rumah itu lagi. Itu
bukan lagi rumahnya, biarpun dia yang membayarnya setiap bulan. Rumah itu sudah
pun ditukar milik kepada bekas isterinya demi anak-anak.
Wajah-wajah muram yang memandangnya
dipandang sekali imbas. Terpancar kesedihan di wajah anak-anak. Ikmal terkedu
sendiri. Bukan mudah bercerai apatah lagi jika ada anak bersama pasangan yang
lalu. Apakan daya, keegoannya dan Nadia telah menghancurkan lima hati. Tidak
mungkin dia berbalik pada Nadia dan anak-anak kerana dia juga sudah punya
keluarga lain. Ikmal mengeluh sendiri.
HAMPIR
pukul 10.00 malam baharulah Ikmal sampai di rumah. Sunyi dan sepi. Lampu di
ruang tamu masih terpasang. Mungkin Aleeya masih belum melelapkan mata atau
masih menonton rancangan kegemarannya. Pintu yang berkunci dibuka
perlahan-lahan. Dia melangkah masuk dan matanya terus terpandangkan Aleeya yang
sedang menonton televisyen seperti jangkaan awalnya tadi. Dia mendekati.
Aleeya
hanya menoleh sekali imbas. Tiada sebarang riak di wajah itu.
“Abang dah makan?” tanya Aleeya
perlahan. Cuba bertenang dan bersabar sedangkan di dalam hatinya lava gunung
berapi sudah berasap dan menunggu masa hendak meledak sahaja. Jangan silap
cakap, mahu dia meroyan bagaikan orang gila yang terlupa makan ubat siang tadi.
“Belum. Leya dah makan?” Ikmal
memegang bahu Aleeya dan memicitnya perlahan-lahan. Niat di hati hendak
memujuk, tapi melihat reaksi Aleeya yang tenang dan tidak marah-marah
membuatkan hatinya menarik nafas lega.
Picitlah, picit. Ingat hatinya
tenang agaknya? Jangan cakap perkara yang menyakitkan. Memang meletuplah nanti.
Dia masih tahu menghormati suami sendiri. Tengok keadaan jugalah kalau nak
mengamuk pun.
Aleeya bingkas bangun dan menuju ke
dapur. Dia memanaskan semula lauk-pauk yang telah dimasak tadi. Dia sendiri
belum menjamah apa-apa, masih berharap dan menunggu kepulangan suami tercinta. Kalau
sehingga tiga hari masih tidak pulang, baharulah dia buat laporan ke pejabat
agama.
“Mari makan,bang!” panggil Aleeya.
Dia menyenduk nasi dan menghidangkannya. Langsung dia tidak bertanya kenapa
suaminya tidak pulang semalam. Langsung dia tidak bertanya kenapa suaminya
tidak menelefon. Biarlah, biar. Hati sendiri rajuk, biarlah sendiri yang pujuk.
“Terima kasih,” kata Ikmal lalu
duduk menghadap Aleeya yang berwajah manis. Dia menarik nafas lega kerana
Aleeya tidak marah padanya. Nasi yang terhidang dijamah dengan penuh selera. Sesekali
bergurau mesra bagaikan tiada apa yang berlaku.
Aleeya menahan duka di hati. Biarlah
dia memendam rasa agar hati suaminya tidak tercalar. Sehinggalah mereka berdua
melelapkan mata, kisah semalam langsung tidak ditanya. Biarlah berlalu kisah
duka. Semoga esok menggapai bahagia.
Ikmal mengeluh berat. Wajah tenang
Aleeya yang lena di sebelahnya ditatap lama. Terasa bersalah di hati. Ketenangan
Aleeya telah merobek perasaannya. Dia bersalah dalam soal ini. Kerana ingin
menjaga hati anak-anak, dia mencalar perasaan Aleeya, isteri yang begitu
memahami. Maafkan abang, bisik hati kecilnya. Tangan lembut Aleeya ditarik ke
dada. Dibelai dan dicium berkali-kali. Semoga mereka berbahagia sehingga ke
Jannah, doanya dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan